Sabtu, 9 Februari 2013

KU NAN KEKAL DI PUTRAJAYA

Setiausaha Agung Barisan Nasional(BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghormati kepercayaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengekalkan beliau mempertahankan kerusi Parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13 nanti. Beliau bagaimanapun menegaskan keputusan pemilihan dan penetapan calon merupakan kuasa mutlak Najib selaku Pengerusi BN. "Baru-baru ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib memperkenalkan saya sebagai calon Parlimen Putrajaya. Ia terserah kepada Perdana Menteri. Ini semua kerja Allah Subhanahuwataala," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) RM500 kepada setiap isirumah berpendapatan bulanan RM3,000 ke bawah kepada 3,500 penduduk Putrajaya, di sini hari ini. Ketika berucap, beliau meminta penduduk Putrajaya agar terus memberi sokongan padu kepada BN bagi memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di situ terus terjamin.
Najib yang juga Presiden UMNO membuat pengumuman itu di hadapan kira-kira 2,500 penduduk Putrajaya ketika menghadiri Majlis Perayaan Jubli Emas Sekolah Sultan Alam Shah, di sini Khamis lepas.
Tengku Adnan sendiri kelihatan terkejut dengan pengumuman tersebut kerana ia sesuatu yang jarang dilakukan oleh presiden parti sebelum Dewan Rakyat dibubarkan. Pengumuman itu juga telah menutup spekulasi dan kegiatan melobi beberapa individu untuk menjadi calon di pusat pentadbiran negara. Tengku Adnan merupakan wakil rakyat pertama Putrajaya sejak 2004 dan berjaya mempertahankan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-12 dengan mengalahkan calon PAS Mohamad Noor Mohamad. Tengku Adnan mendapat 4,038 undi manakala Mohamad Noor sebanyak 1,304 undi.

BN PERLU USAHA KERAS- TUN M

Barisan Nasional (BN) perlu berusaha keras untuk mendapatkan semula majoriti dua pertiga dalam pilihan raya umum akan datang, sekali gus menghakis ancaman perpecahan sesama Melayu, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Beliau berkata, BN juga bertanggungjawab untuk mempertahankan kemenangan demi masa depan bangsa dan negara dan sehubungan itu penting bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN membariskan calon yang betul. "Pentadbiran harus membariskan calon 'winnable' (boleh menang) di kawasan-kawasan yang mereka paling sesuai. Sebagai contoh, salah untuk meletakkan calon bukan Melayu di kawasan majoriti Melayu kerana Umno tidak akan mendapat sokongan dari orang bukan Melayu," katanya. Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada forum bertajuk 'Perlembagaan Negara dan Masa Depan Keselamatan Negara' di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini. Jelas beliau, penempatan calon di sesuatu kawasan perlulah bijak supaya pengundi akan mengundi BN. "Inilah yang bermakna kongsi. Barisan Nasional ialah satu coalition (satu perkongsian). Bukan macam Pakatan Rakyat (PR). Pakatan bukan kongsi, bukan coalition. Ia cuma pakat. Macam pakat nak bunuh orang. Jadi lepas pakat, nak buat kerajaan macam mana. "Pas tarik sebelah sana, DAP pula sebelah sini. Yang Datuk Seri Anwar (Ibrahim) konon nak jadi Perdana Menteri," katanya. Dr Mahathir juga berkata, sesetengah pemimpin Umno telah tergelincir daripada perjuangan asal parti, iaitu untuk menegakkan bangsa Melayu. "Kini, beberapa ahli politik berjuang untuk datang ke kuasa dan mengekalkan ia, dan sanggup untuk sabotaj antara satu sama lain bagi maksud itu," katanya. <
b>Ditanya sama ada orang Melayu sudah kehilangan kuasa, Dr Mahathir berkata, "orang Melayu hilang kuasa kerana berpecah." "Dalam sebuah demokrasi, jumlah terbesar ialah yang kuasai keadaan. Bila dia berpecah dan melawan sesama sendiri, mana boleh berkuasa," katanya.
"Sekiranya orang Melayu suka hilang kuasa, mereka boleh 'give up'. Ada orang Melayu yang tidak suka melihat orang Melayu berkuasa, sebab dia sudah dapat semua, biasiswa, kerja dan lain-lain, apa peduli orang lain", katanya lagi. Ditanya sama ada perlu untuk BN menang majoriti dua pertiga, Dr Mahathir berkata, kemenangan dua pertiga amat perlu sekiranya ingin meminda Perlembagaan Persekutuan. "Kalau tidak ada kemenangan dua pertiga, maka ia menunjukkan kerajaan yang lemah, yang akan ditekan oleh parti lawan," terang beliau. Terdahulu, dalam ucapannya, Dr Mahathir mengingatkan rakyat Malaysia menggunakan akal fikiran ketika membuat keputusan untuk mengundi parti mana dan tidak semata-mata berpandu kepada emosi bagi menentukan masa depan negara. Beliau berkata, emosi dan perasaan mungkin akan mendorong rakyat buat keputusan yang salah dan sebab itu perlu disokong pemikiran waras agar mampu membuat penilaian bijak. Katanya jika rakyat mahu sentiasa dihormati dan disegani, mereka perlu bertindak secara bijak dan tidak mudah terpengaruh agar urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar. "Saya harap rakyat sedar dan boleh berfikir, harap mereka tidak terbawa-bawa dengan emosi dan perasaan. Oleh itu, penggunaan akal fikiran serta merancang strategi akan menentukan masa depan negara," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata Perlembagaan Negara mesti dipelihara dan dipertahankan pada setiap masa oleh seluruh rakyat Malaysia. – Bernama