Khamis, 13 November 2014

Isu Mak Nyah; Hadi beri amaran kepada ahli PAS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada ahli PAS supaya tidak melanggar dasar dan peraturan parti berhubung isu lelaki berpakaian seperti wanita dan sebaliknya, termasuk berkaitan golongan Mak Nyah. Mereka yang mengambil pendirian bertentangan pendirian parti akan dibawa kepada Jawatankuasa Disiplin, kata Presiden PAS itu dalam satu temu bual dengan akhbar Harakah. "PAS ada dasar. Saya beri peringatan kepada ahli PAS. Jangan terlajak lebih daripada dasar parti. Kalau terlajak, kita tidak teragak-agak membawa kepada Jawatankuasa Disiplin. Itu saya tegaskan," kata Hadi dipetik daripada Harakah. Beliau juga mengingatkan pemimpin PAS turut menjalankan tanggungjawab sewajarnya dalam mengatasi masalah berkaitan Mak Nyah selain mendakwa kerajaan pusat tidak bersungguh-sungguh memainkan peranan mengatasi keadaan tersebut. "Bukan kerajaan saja. Kita sendiri pun, termasuklah orang PAS sendiri. Saya tahu, di kalangan orang PAS pun ada yang ikut juga. Itu tidak boleh. "Saya terang-terang kena sebut juga, PAS ada Jawatankuasa Disiplin. Kalau ada orang PAS yang terikut-ikut, saya tidak teragak-agak bawa ke Jawatankuasa Disiplin," katanya mengulangi amarannya seperti dilaporkan akhbar rasmi parti itu. Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 November lalu yang mengatakan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah di Negeri Sembilan tidak berperlembagaan dalam melarang tiga lelaki Islam berpakaian dan berlagak seperti wanita. Hadi berkata, percanggahan itu tidak sepatutnya terjadi kerana hukumnya sudah jelas dinyatakan di dalam Al-Quran. Katanya, isu itu seharusnya dirujuk kepada Majlis Fatwa sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri. "Perkara ini sudah jelas dalam Al-Quran dan hadis Nabi. Diharamkan perlakuan orang lelaki tukar kepada perempuan, perempuan kepada lelaki. Itu diharamkan. Sudah nyata benda itu. "Jadi, oleh kerana Islam sebagai agama persekutuan, sepatutnya perkara ini dirujuk kepada Majlis Fatwa (sama ada) kebangsaan (dan) negeri masing-masing," katanya. Ahad lalu, Dewan Ulama PAS Pusat membidas keputusan Mahkamah Rayuan itu, menyifatkannya mencabar undang-undang Islam dan tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan. Ketua Penerangannya Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, kedudukan undang-undang Islam yang diiktiraf Perlembagaan kini tercabar disebabkan keputusan sebulat suara mahkamah tersebut. Beliau berkata, keputusan tersebut menimbulkan keraguan terhadap sejauh mana kedudukan Islam di negara ini terpelihara dan berdaulat sedangkan Perkara 3 Perlembagaan menegaskan Islam sebagai agama persekutuan. Khairuddin juga menolak keputusan itu kerana katanya, Islam yang diiktiraf sebagai agama rasmi Malaysia tidak wajar dilihat daripada sudut kaca mata penjajah.

KENYATAAN AKHBAR YB TIMBALAN MENTERI KEWANGAN I KAITAN ISU 1MDB

Kenyataan Akhbar ini disediakan untuk menjelaskan lagi kenyataan saya sebelum ini berkaitan 1MDB semasa sesi Penggulungan Peringkat Dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2015, Kementerian Kewangan pada 6 November 2014 (Khamis). 1. Saya mendapat maklum mengenai usul YB Tuan Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan untuk merujuk saya kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan dibawah Peraturan Mesyuarat 36(12) dan 80A kerana tuduhan mengelirukan Dewan. Ia dibangkitkan berdasarkan kenyataan saya semasa sesi Penggulungan Peringkat Dasar untuk Kementerian Kewangan pada 6 November 2014 mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti berikut : Petikan Hansard 6 November 2014 “Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kerajaan hanya beri jaminan kepada sukuk oleh 1MDB sebanyak RM5.8 bilion sahaja, sedangkan semua hutang 1MDB ialah RM36.25 bilion.” “ Itu sahaja yang dijamin oleh kerajaan, tidak ada lebih daripada itu. Selain daripada itu, 1MDB tidak menerima jaminan daripada kerajaan bagi pinjaman-pinjaman yang lain, hanya RM5.8 bilion yang menerima jaminan explicit atau explicit guarantee Kerajaan Malaysia. Satu lagi yang disebut mengenai letter of support itu sebenarnya tidak ada.” 2. Kenyataan letter of support itu sebenarnya tidak ada membawa maksud bahawa tiada surat sokongan lain yang memberi jaminan explicit atau explicit guarantee Kerajaan Malaysia selain terhadap jumlah sebanyak RM5.8 bilion. 3. Saya masih berpegang kepada kenyataan tersebut sebagai benar dan saya juga telah mengeluarkan kenyataan akhbar bertarikh 8 November 2014 (Sabtu) seperti berikut : “Seperti yang saya jelaskan di Parlimen pada hari Khamis 6 November 2014, jaminan Kerajaan yang dikeluarkan untuk 1MDB hanyalah sebanyak RM5.8 bilion. Saya ingin memaklumkan di sini bahawa memang tiada surat yang membawa maksud kepada jaminan yang lebih daripada jumlah itu. Kerajaan tidak ada lagi mengeluarkan sebarang jaminan selain RM5.8 bilion untuk 1MDB atau anak-anak syarikat milik penuhnya, termasuklah untuk bon USD3 bilion. Sebagaimana yang dilaporkan dalam penyata tahunan 1MDB untuk tahun kewangan berakhir 2013, satu surat telah dikeluarkan sebagai pemegang saham tunggal 1MDB. Menurut syarat-syarat di dalam surat tersebut, sekiranya 1MDB tidak dapat membayar hutang berkaitan bon yang berkenaan, sebarang tuntutan terhadap kerajaan (selain tuntutan terhadap 1MDB) hanyalah terhad kepada syarat-syarat yang dinyatakan di dalam surat itu sahaja, dan ini bukan merupakan jaminan Kerajaan.” 4. Saya juga memahami bahawa terdapat satu letter of support yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia untuk bon yang berjumlah USD3 bilion. Walau bagaimanapun ia bukan memberi jaminan explicit atau explicit guarantee Kerajaan Malaysia. 5. Surat sokongan (letter of support) itu membawa maksud bahawa sekiranya 1MDB tidak mampu membayar pinjaman yang berjumlah USD3 bilion tersebut, maka 1MDB perlulah menstruktur semula asetnya yang berjumlah RM51 bilion bagi membayar hutang tersebut. Dalam hal ini, 1MDB akan menggunakan kesemua asetnya sehingga habis (fully exhaust) yang berjumlah RM51 bilion untuk membayar hutang yang bernilai USD3 bilion. Mengikut rekod setakat hari ini, 1MDB tidak pernah gagal dalam menjelaskan hutangnya mengikut jadual pembayaran balik. Kerajaan hanya akan membantu sekiranya ada lagi tanggungan bagi hutang tersebut yang perlu dijelaskan oleh 1MDB sekiranya ke semua langkah seperti di atas telah pun diambil oleh 1MDB. 6. Saya ingin menjelaskan bahawa jaminan explicit adalah terikat di bawah Akta Jaminan Pinjaman ( Pertubuhan Perbadanan ) 1965. Syarikat yang diberi jaminan perlu diwartakan sebagai Pertubuhan Perbadanan manakala surat sokongan yang dikeluarkan dalam isu 1MDB kepada pihak berkaitan tidak terikat di bawah akta tersebut dan tidak perlu diwartakan. 7. 1MDB adalah sebuah syarikat dengan izin “going concern” yang berdaya saing dan maju. Ini bermakna 1MDB akan sentiasa berkembang dan nilai syarikatnya akan sentiasa meningkat. Ini dibuktikan dengan peningkatan pendapatannya sebanyak 64% bagi tahun berakhir 31 Mac 2014. 8. Perkara yang saya nyatakan pada 6 November 2014, dengan jelas menunjukan bahawa jaminan Kerajaan adalah kepada pinjaman yang berjumlah RM5.8 bilion sahaja. Jaminan ini terikat di bawah Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965. Justeru itu, hanya jumlah RM5.8 bilion sahaja yang termasuk dalam contingent liability Kerajaan dan bukannya ditambah dengan USD3 bilion. Sekian, terima kasih. DATUK HAJI AHMAD BIN HAJI MASLAN

Ulama perlu bersatu bebaskan politik kotor- Tun M

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan perlunya para ulama dan pemikir ummah untuk bersatu secara ilmiah dalam usaha membebaskan pemikiran fiqh politik daripada kekotoran kediktatoran. Beliau berkata, golongan ulama dan pemikir itu perlu berbuat demikian bagi memastikan Islam menjadi sumber perundangan dan umat Islam sebagai asas legitimasi pemerintahan. Katanya, gesaan itu adalah salah satu daripada resolusi sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2014 yang berakhir hari ini. Sidang itu dihadiri oleh pemikir-pemikir Islam daripada lebih 14 buah negara dengan tema Negara Sivil dari Perspektif Islam. Katanya, permasalahan dan cabaran yang dihadapi umat Islam pada masa kini adalah berpunca daripada kediktatoran, kezaliman dan pengkhianatan ke atas kehendak rakyat. "(Sehubungan itu), resolusi ini menyokong pergerakan umat Islam yang berusaha membebaskan diri daripada kediktatoran dan pelbagai bentuk pemerintahan, agar dapat membentuk pemerintahan yang adil dan terpandu," katanya selepas menutup sidang kemuncak tiga hari itu. Dr Mahathir berkata antara resolusi lain yang dicapai ialah keperluan menjalankan lebih banyak kajian untuk menentukan titik-titik pertemuan dan perbezaan yang benar, agar perbezaan dan kepelbagaiaan ini dapat diurus dengan baik. "Ia perlu untuk pelajari pengalaman dan pemerintahan di negara-negara Islam mengenai perkara yang boleh diimplementasikan dan aset-aset yang masih tersembunyi agar dapat menjadi suatu harapan baharu yang menjamin kebahagian di dunia serta membuka jalan kebahagian di akhirat," katanya. Antara resolusi lain ialah mewujudkan satu laman web untuk kegunaan penggajian dan menerbitkan majalah khusus berkaitan kajian yang dijalankan, menerbitkan keputusan persidangan itu dalam pelbagai bahasa dan menyebarkan sesi rakaman persidangan menerusi media sosial. Dalam sidang kemuncak itu, peserta telah berbincang mengenai negara sivil daripada sudut pandangan Islam terhadap kebebasan, keadilan, syura dan kemuliaan insan yang dianggap sebagai nilai-nilai utama dalam sistem pemerintahan Islam. Sesi-sesi dalam persidangan itu telah menggariskan kefahaman asasi yang berkait dengan negara dan sistem pemerintah, serta titik-titik persetujuan dan perbezaan yang lahir daripada kepelbagaian latar belakang dan idea mengenai isu pemerintahan. - Bernama

9,000 kes jenayah melibatkan warga asing- Zahid Hamidi

Sebanyak 9,496 kes jenayah melibatkan warga asing dicatatkan antara Jan hingga Ogos tahun ini, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Menurutnya, jumlah itu adalah 11.2 peratus daripada keseluruhan 85,029 kes jenayah yang direkodkan dalam tempoh sama di negara ini. "Walaupun perangkaan itu masih lagi kecil berbanding keseluruhan indeks jenayah negara, polis sentiasa memberi perhatian serius dalam membendung kegiatan jenayah melibatkan warga asing kerana ia boleh membawa kemudaratan kepada rakyat tempatan," katanya. Ahmad Zahid berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) yang ingin tahu statistik pendatang asing tanpa izin (PATI) dan pekerja asing yang terlibat dalam kes jenayah serta pelan tindakan kementerian dalam memastikan kegiatan mereka dapat dikawal. Katanya, daripada jumlah itu, 2,306 melibatkan jenayah kekerasan iaitu bunuh (167), rogol (138), samun berkawan bersenjata api (108), samun berkawan tanpa senjata api (1,008), samun bersenjata api (10), samun tanpa senjata api (377) dan mencederakan (498). Ahmad Zahid berkata, 7,190 kes pula melibatkan jenayah harta benda iaitu curi (1,871), curi kereta (568), curi motosikal (1,252), curi jentera berat (78), ragut (318) dan pecah rumah (3,103). Tambahnya, pada 2012 terdapat 1,575 kes jenayah melibatkan warga asing atau satu peratus daripada keseluruhan 153,669 kes jenayah, manakala tahun lepas jumlah itu meningkat kepada 13,591 atau 9.2 peratus daripada 147,062 keseluruhan kes. Menurutnya, beberapa tindakan telah diambil untuk mengawal kegiatan jenayah oleh warga asing termasuk mengadakan operasi bersepadu melibatkan polis, Jabatan Imigresen, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia. "Kementerian juga telah menghantar lebih ramai pegawai serta anggota tambahan ke kawasan-kawasan yang kerap menjadi tumpuan warga asing, selain mewujudkan balai atau pondok polis dan meningkatkan operasi besar-besaran di kawasan terbabit," katanya. Selain itu, katanya polis juga mengadakan kerjasama erat dengan kumpulan masyarakat dan kerajaan tempatan serta meningkatkan keberkesanan penggunaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV). "Cap jari (biometrik) semua pekerja asing turut diambil melalui program 6P untuk mengesan kemasukan kali kedua dan pendaftaran rekod jenayah," tambahnya. - Bernama

RM33 juta kos operasi mencari dan menyelamat MH370 dan MH17

Kerajaan memperuntukkan RM33,461,861.50 bagi menampung kos operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 dan Penerbangan MH17 setakat ini. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, seramai 3,732 penjawat awam juga terlibat dalam operasi itu. "Sehingga kini, kos operasi mencari dan menyelamat telah ditanggung sendiri oleh negara-negara yang terlibat," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ng Wei Aik (DAP-Tanjong). Ng bertanya mengenai kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan dan jumlah penjawat awam yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat MH370 dan MH17 selain kos-kos yang ditanggung oleh negara lain yang terbabit dalam tragedi itu. Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada pada 8 Mac lepas. Ia sepatutnya tiba di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, pula terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai lepas semasa dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, dipercayai ditembak jatuh pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama

Desakan DAP ada niat lain- Nik Abduh

Desakan DAP yang berulang-ulang terhadap kehadiran Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Mesyuarat Majlis Pimpinan PR dilihat seolah-olah mempunyai niat lain. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegaskan ketidakhadiran bosnya itu dalam beberapa mesyuarat lalu mempunyai sebab tertentu dan tidak boleh dielakkan. "Isu kehadiran mesyuarat itu semua orang tahu, kewajipan hadir, tidak hadir itu mesti ada sebab, jadi bila desak-desak itu, saya fikir sudah lain (niat)," katanya kepada pemberita di pekarangan bangunan Parlimen, di sini, hari ini. Terdahulu, Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP yang bermesyuarat kelmarin sebulat suara menggesa Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada masa akan datang. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, memandangkan Abdul Hadi merupakan satu-satunya pemimpin yang boleh membuat keputusan dalam Pas, maka kehadiran beliau penting untuk mengukuhkan gabungan PKR dan DAP dalam PR. Dalam pada itu, Nik Mohamad Abduh memberi jaminan isu kehadiran itu akan dibincangkan oleh pimpinan PR dan perkara lalu tidak wajar diulang dan diungkit. "Saya fikir pihak pimpinan PR akan bincang benda ini, yang lepas itu, lepaslah," katanya lagi.Petikan Sinar Harian