Jumaat, 20 Jun 2014

Anak Kak Rahman Osman akui ibunya dihantar ke rumah orang tua

Bekas Timbalan Menteri Pengangkutan dan Timbalan Menteri Penerangan, Datuk Paduka Rahmah Othman ditempatkan di pusat penjagaan pesakit-pesakit Alzheimer atas nasihat doktor dan persetujuan bersama ahli keluarganya. Portal mStar Online semalam melaporkan, perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Raha, yang berkata ibunya kini berada dalam keadaan sihat dan selamat. "Emak saya sihat walafiat, terlindung dan dijaga dengan baik. Dia memang ada penyakit Alzheimer kronik tetapi dari segi perubatan dan doktor semuanya dalam keadaan baik,” katanya ketika dihubungi mStar Online. Menurut beliau, sememangnya doktor menyarankan tempat itu kerana ia tempat yang terbaik untuk pesakit Alzheimer. Rahmah kini ditempatkan di Dementia Homecare Centre Sdn Bhd, Teluk Panglima Garang, sebuah pusat jagaan pesakit-pesakit Alzheimer berbayar yang menyediakan pelbagai aktiviti terapi dan penjagaan 24 jam.

MH370- Lokasi pencarian baru akan diumumkan dua minggu lagi

Fasa baharu lokasi pencarian pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 akan diumum dalam tempoh satu atau dua minggu lagi, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Bagaimanapun, katanya lokasi pencarian baharu itu masih kekal di koridor selatan. "Carian kita tidak pernah berhenti tetapi sebelum diumum fasa baharu kawasan pencarian yang akan kita beri tumpuan bersama-sama China dan Australia, kita juga akan kenal pasti aset-aset kita," katanya kepada pemberita di sini, pada Jumaat. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata selepas itu, semua aset tambahan akan dihantar untuk membantu usaha pencarian di lokasi baharu. Terdahulu, beliau menghadiri taklimat mengenai persiapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sempena perasmian lapangan terbang itu yang dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa depan. Hishammuddin menjelaskan aset tambahan dari China, Belanda serta syarikat swasta Petronas dan SapuraKencana sudah sedia untuk dihantar. Antaranya ialah Kapal Zhu Kenzhen 872 dari China, Fugeo Equator (dari Belanda) dan Deftech Phoenix International (Petronas) dan Multi-beam Echo Sounder dan Sun Bottom prOflier (SapuraKencana). Selain itu, Hishammuddin berkata jawatankuasa aset yang diketuai oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri akan bekerjasama dengan China dan Australia untuk mengenal pasti aset-aset itu benar-benar memenuhi keperluan. Dalam fasa baharu pencarian itu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi pula akan melihat dari segi panel pakar teknikal termasuk kerjasama dengan Boeing, Immarsat, Rolls Royce, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Amerika Syarikat dan Jabatan Siasatan Kemalangan Udara China, katanya. Pada 8 Mac, pesawat Boeing 777-200ER itu yang dalam penerbangan ke Beijing bersama-sama 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 tengah malam. Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya. Tujuh belas hari kemudian, Penerbangan MH370 itu dipercayai berakhir di selatan Lautan Hindi.

Mendapan KLIA2 tidak menjejaskan keselamatan-Hishammuddin

Masalah mendapan tanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) tidak menjejaskan keselamatan lapangan terbang itu. Sebaliknya, KLIA2 telah memenuhi standard antarabangsa, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata, masalah mendapan itu akan terus dipantau oleh juru runding bebas Ikram Premier Consulting (Ikram) dan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO). "Saya telah meminta MAHB (Malaysia Airports Holding Berhad) untuk memberi kerjasama dalam perkara itu. Sekarang Ikram dalam fasa kedua kajian dan ia memerlukan beberapa bulan lagi," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai KLIA2 di sini, hari ini. Sebelum ini, kedua-dua juru runding bebas itu dilantik untuk menyiasat dakwaan mengenai mendapan dan takungan air yang didakwa berlaku di landasan dan kawasan tempat letak pesawat KLIA2. Pada masa sama, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berpuas hati dengan operasi klia2 berdasarkan maklum balas positif yang diterimanya. "Tetapi ada beberapa perkara perlu ditambah baik seperti banyakkan papan tanda dan kemudahan 'walkerlator' untuk keselesaan pengguna terutama warga emas," katanya. - Bernama

PAS Selangor tolak Khalid Ibrahim

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bakal berdepan dengan masalah baru untuk terus memimpin Selangor apabila PAS negeri yang selama ini menyokongnya untuk terus kekal sebagai menteri besar kini bersama PKR dan DAP untuk menolaknya ekoran tindakan beliau yang selalu membuat keputusan bersendirian di negeri kaya itu. Sikap menteri besar Selangor pada penggal kedua itu yang seringkali membelakangkan Pakatan Rakyat (PR) dalam keputusan menyebabkan parti Islam negeri yang selama ini setia bersamanya, beralih arah, kata beberapa pemimpin PAS negeri. "Pada dasarnya, inilah yang disuarakan oleh satu mesyuarat Badan Perhubungan PAS Selangor sebelum ini, kesemua 22 Yang di-Pertua PAS kawasan di seluruh Selangor bersetuju agar Khalid ditukar kerana beliau dianggap membawa masalah," kata Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor Jaafar Sulaiman kepada The Malaysian Insider. Menurut Jaafar, pelbagai isu yang berlaku di Selangor kini berpunca daripada kelemahan pimpinan Khalid yang membelakangkan parti-parti dalam PR walaupun mereka yang meletakkan beliau di kedudukan itu. Jaafar turut mendesak PAS Pusat dan PR agar menukar Khalid dengan calon yang lebih layak dan sentiasa bersama gabungan itu. PKR sebelum ini memulakan Langkah Kajang untuk menggantikan Khalid dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai menteri besar Selangor. Namun langkah itu terbantut selepas Mahkamah Rayuan menerima rayuan Putrajaya, dan mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Keputusan mahkamah itu menyebabkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang selepas bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan. Bagi Jaafar, kelemahan Khalid semakin ketara dalam menggendalikan beberapa isu penting, termasuk pengambilalihan syarikat pengurusan air, rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) dan pembinaan Lebuhraya Kidex yang mendapat bantahan ramai. Menurut Jaafar, rampasan Bible berbahasa Melayu dan Iban daripada PBM dan serbuan ke atas majlis perkahwinan di sebuah kuil Hindu, selari dengan Agenda Rampas Selangor (ARS) yang dibentuk Umno negeri untuk menjauhkan sokongan bukan Islam daripada PR. Beliau berkata kuasa berlebihan yang diberikan oleh Khalid kepada pegawai kerajaan di pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang membelakangkan ahli-ahli majlis dilantik oleh parti-parti PR, turut menimbulkan kemarahan. "Misalnya, pengambilan kuasa pengurusan ke atas pasar-pasar malam daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) yang dikuasai parti Pakatan kepada pegawai di PBT. Apabila kita bertanya kepada pegawai PBT, mereka katakan ini kehendak menteri besar," katanya. Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS, Khalid Samad turut bersetuju dengan Jaafar. "Kita sudah membuat keputusan sebelum ini, Khalid perlu ditukar dengan pemimpin lain yang bagi saya perlu diterima oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat. "Saya tidak nampak bagaimana seorang menteri besar boleh kekal jika partinya sendiri menolak beliau," kata Khalid ketika kepada The Malaysian Insider. Ketika ditanya mengapa isu ini bergema kembali, Khalid berkata, ia senyap seketika kerana pemilihan PKR sedang berjalan dan bukan kerana sudah selesai. "Ramai senyap kerana bimbang jika serangan ke atas Khalid diteruskan, ia ditafsirkan sebagai kempen negatif ke atas beliau yang bertanding timbalan presiden PKR," katanya yang sebelum ini adalah penyokong utama Khalid Ibrahim di Selangor. Sementara itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Rani Othman berkata, masalah besar Khalid adalah beliau tidak mendengar dan mendapatkan nasihat daripada rakan-rakannya dalam PR. "Ketika hangat isu ini dibincangkan sebelum ini, saya pernah menyebut kepada beliau bahawa kita tidak bercadang untuk menukar beliau, tetapi kita mahu beliau berubah," kata Dr Rani yang juga merupakan Adun Meru. Menurut Dr Rani, beliau pernah membisikkan kepada Khalid dan meminta beliau agar mendekati dan mengambil pandangan sahabat-sahabat dalam PR. "Isu yang saya sebut kepada beliau, antaranya adalah PBT. Nampaknya isu ini boleh menjatuhkan Pakatan selepas ini," katanya. Sementara Adun Hulu Klang dari PAS, Shaari Sungib mengatakan DAP pernah menimbulkan agar Khalid digantikan, tetapi perbincangan masih belum dilakukan di peringkat PR. "Tetapi jika dikekalkan keadaan dasar yang ada, ini akan menyebabkan kekalahan PR dalam PRU14, kita kena bersemukalah, 'put our facts together'," katanya. PKR Selangor pimpinan Mohamed Azmin Ali sememangnya tidak sebulu dengan pentadbiran Khalid. DAP pula secara terbuka menyerangnya melalui pemimpin seperti Gobind Singh Deo. Ahli Parlimen Raub dari DAP, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz baru-baru ini menulis di blognya Sakmongkol AK47, mengatakan jika Khalid tidak digantikan, BN akan berjaya merampas Selangor dalam PRU14. Bagaimanapun, apabila diminta mengulas kenyataan ahli Parlimen DAP itu, Khalid berkata: "Tidak, itu perlu bertanya pada Raub. Dia bukan wakil daripada negeri Selangor."Sumber: themalaysianinsider.com

MB Johor nafi tidak berupaya menasihati Sultan

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menafikan dakwaan pihak tertentu kononya beliau tidak berupaya 'menasihati' dan 'mengawal' Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar. Menerusi posting terbaru dalam laman Facebooknya, hari ini, katanya sebagai Menteri Besar, beliau berperanan memberi nasihat kepada Tuanku dan baginda menghormatinya sebagai pentadbir kerajaan negeri Johor. "Saya juga tahu ada pihak yang melemparkan tuduhan kononnya saya tidak berupaya untuk 'menasihati' dan 'mengawal' Tuanku Sultan terutamanya dalam soal pentadbiran tanah. Ini tidak benar," katanya. Menurut beliau, tugasnya bukanlah untuk mengawal selia aktiviti Sultan Johor tetapi adalah untuk memberi nasihat kepada Tuanku. Mohamed Khaled berkata, sejarah akan menentukan sama ada beliau yang dikatakan tidak dapat menasihati Tuanku boleh membawa manfaat kepada rakyat negeri Johor atau tidak. "Sebagai pemimpin yang dipilih oleh rakyat tidak ada apa yang harus saya bimbangkan selagi saya tidak melakukan sesuatu yang membawa kemudaratan kepada rakyat negeri Johor," katanya. Beliau juga menafikan tuduhan yang mengatakan Sultan Johor mencampuri urusan pentadbiran kerajaan negeri dan menyifatkan tuduhan itu tidak benar sama sekali. "Tuanku adalah seorang yang sangat mengambil berat akan hal ehwal kerajaan negeri dan juga negeri Johor tetapi baginda tidak pernah mencampuri urusan pentadbiran negeri sejak saya menjadi Menteri Besar," katanya. Hubungan baiknya dengan Sultan Johor menurutnya, menjadi asas kepada beliau untuk memberi nasihat tanpa rasa gentar atau pilih kasih. Mengenai Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ), Mohamed Khaled mendedahkan bahawa baginda kecewa dengan persepsi negatif yang dilemparkan terhadapnya berhubung isu yang melibatkan enakmen tersebut. Persepsi serta tuduhan yang mendakwa enakmen itu bercanggah dengan prinsip Raja Berpelembagaan, katanya, ia adalah tidak tepat kerana apa yang terkandung di dalam deraf asal pindaan ke atas enakmen tersebut adalah selari dengan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor 1895. "Harus diingat, Johor adalah negeri pelopor yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan di negara ini. Kesultanan Johor telah sedia wujud sejak tahun 1885 lagi. Raja memainkan peranan memantau dan menegur di dalam sebuah negara," katanya. Enakmen LPHJ katanya, adalah sama sepertimana semasa kita hendak menubuhkan Johor Corporation (JCorp) dahulu, selain ketika penubuhan Suruhanjaya Koperasi Malaysia ketika beliau mengetuai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Mohamed Khaled berkata, pelantikan anggota lembaga, pengerusi, ketua eksekutif mestilah dilakukan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan bagi di peringkat negeri pula, Sultan yang memainkan peranan tersebut. "...apa sahaja kuasa yang diberikan kepada Yang Di-Pertuan Agong, ia selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sama jugalah di peringkat negeri, kuasa Sultan tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri," katanya. - Bernama

Sultan Perak minta Anggota Dewan Negara Perak bercakap perkara yang benar

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah meminta anggota Dewan Negara Perak memberi sebaik-baik nasihat dan panduan serta sentiasa menyampaikan kepada baginda perkara yang benar walaupun ia pahit untuk dinyatakan. Baginda bertitah setiap kebenaran wajib dipersembahkan kepada baginda tanpa sebarang rahsia. "Jauhkan beta daripada cerita-cerita penglipur lara hingga mendorong beta untuk berkhayalan, lena dengan mimpi indah, sedangkan realiti yang berlaku dalam kalangan rakyat dan di dalam negeri sangat berlainan dengan apa yang diceritakan. "Semoga anggota Dewan Negara akan membantu beta dengan segala keikhlasan dan kejujuran agar beta dapat menyempurnakan amanah dan tanggungjawab dengan adil lagi saksama," titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-159 di Istana Iskandariah di sini, Jumaat. Ia adalah Mesyuarat Dewan Negara yang pertama dipengerusikan baginda selepas bergelar Sultan. Sultan Nazrin bertitah sumpah jawatan yang baginda zahirkan ketika dilantik sebagai Sultan adalah ikrar perjanjian baginda dengan Allah dan ia adalah amanah dan tanggungjawab yang berat. Baginda bertitah ketika mesyuarat Dewan Negara Perak ke-150 pada 6 Mac 2012, mesyuarat terakhir yang dipengerusikan ayahanda baginda Sultan Azlan Shah, almarhum bertitah institusi raja akan kekal relevan jika terus mendapat penghormatan rakyat. Sultan Nazrin bertitah almarhum telah meninggalkan legasi pemerintahan yang wajib dijadikan rujukan. Baginda bertitah kata-kata peringatan yang dizahirkan ayahanda baginda semasa dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh Universiti Sains Malaysia pada 28 Jun 1980 akan dijadikan pedoman. Almarhum yang ketika itu masih seorang hakim yang dikenali sebagai Tan Sri Azlan Shah dalam ucapannya berkata: "...sejarah telah menunjukkan bahawa takhta yang dialihkan dari istana ke muzium sejarah adalah hasil daripada salah nasihat yang diberi oleh penasihat istana yang tidak bertanggungjawab kepada rakyat. "Sebenarnya, penasihat istana ini adalah terdiri daripada mereka yang mencari keuntungan jangka pendek bagi kepentingan diri mereka sendiri tanpa memikirkan kepentingan rakyat dan negara. "Apabila keadaan ini berlaku, maka lambat laun rakyat akan memberontak dan takhta akan tergugat. Walau seberapa banyak sekalipun askar, polis rahsia atau pegawai istana digaji untuk melindungi dan menjaga takhta, namun tidak satu pun akan dapat mengatasi kehendak dan aspirasi rakyat jelata. "Jika kehendak rakyat jelata itu dimakbulkan Allah, maka berpindahlah takhta dari istana ke muzium seni dan budaya." Sultan Nazrin bertitah, almarhum telah memenuhi peranan seorang Raja Pemerintah yang berpegang teguh kepada konsep Raja Berperlembagaan. "Almarhum telah melakarkan imej Raja Pemerintah yang disegani dan menyuntik kedaulatan takhta yang dihormati," titah baginda. Baginda bertitah daulat seseorang Raja Pemerintah itu akan ditentukan oleh kebijaksanaan dan kearifan serta keadilan dan kesaksamaan pemerintahan baginda. "Pemerintah yang bijak dan arif, adil dan saksama, akan dilimpahkan rahmat Ilahi, negerinya makmur dengan pelbagai rezeki, dan Raja berupaya memberi payung naungan membolehkan rakyat hidup dalam rukun, damai, harmoni lagi sejahtera," titah baginda.

Dakwaan Muhyiddin berundur hanya rekaan politik- PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata laporan media sosial bahawa timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berundur daripada kabinet hanyalah 'rekaan politik' pihak tertentu. Najib berkata ini kerana beliau mempunyai hubungan dan persefahaman yang amat baik dengan timbalannya itu. "Sebagai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sentiasa mendukung dan telah menjayakan segala dasar dan agenda pembangunan nasional terutama yang berkait dengan rancangan transformasi negara yang dibawa saya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Najib berkata sebagai Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) pula, Muhyiddin sentiasa bersama-sama dalam segala usaha memperkukuh dan memantapkan perjuangan Umno dan BN dan ini merupakan satu usaha berterusan dan masih banyak perlu dilakukan antara beliau dan Muhyiddin. "Dengan adanya hubungan dan persefahaman yang amat baik di antara saya dengan Muhyiddin, saya yakin kita dapat menghadapi segala cabaran untuk membangunkan negara seterusnya meningkatkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan BN," katanya. Laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno. Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan. Bagaimanapun semalam, Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selagi khidmatnya diperlukan dan memberitahu setakat ini tidak ada apa-apa perkara dibangkitkan berhubung kedudukannya itu.