Ahad, 16 Januari 2011

Lagi talian hayat untuk Anwar...



Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi akan disambung bermula 14 Feb hingga 25 Mac ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menetapkan tarikh itu selepas berjumpa dengan peguam Anwar dan pihak pendakwa raya dalam kamar ketika kes itu tampil untuk sebutan hari ini.

Perbicaraan setakat ini menyaksikan pasukan pembelaan membuat pemeriksaan balas ke atas saksi ketiga pendakwaan, pakar patologi forensik Dr Siew Sheue Feng dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sehingga kini empat saksi pendakwaan telah selesai memberi keterangan. Mereka ialah pengadu Mohd Saiful Bukhari Azlan dan tiga pakar dari HKL.

Bercakap kepada pemberita kemudian, peguam Anwar, S.N. Nair berkata pihaknya bimbang mengenai peluang kumpulan pakar perubatan mereka dari Australia untuk hadir pada perbicaraan kali ini berikutan bencana banjir di negara itu sekarang.

Beliau berkata kumpulan pakar DNA dan forensik itu tidak mempunyai masa luang sehingga 20 Feb kerana kejadian banjir tersebut, namun pihak pembelaan akan berusaha untuk membawa salah seorang daripada mereka hadir.

Perbicaraan dijadual untuk sebutan selepas mahkamah pada 6 Dis membenarkan permohonan peguam Anwar, Karpal Singh untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mohamad Zabidin untuk tidak menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Pada 14 Jan, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Ketua Pembangkang itu dan memutuskan bahawa Anwar tidak mempunyai hak untuk merayu terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi memandangkan keputusan dibuat semasa perbicaraan sedang berlangsung.

Hakim Mohamad Zabidin pada 6 Dis lepas menolak permohonan kali kedua Anwar agar beliau menarik diri daripada mendengar kes tersebut.

Anwar, 63, membuat permohonan itu atas alasan hakim telah mengugut peguam belanya semasa prosiding lepas dan walaupun hakim telah menarik balik ugutan seperti didakwa itu, wujud bahaya akan berlaku berat sebelah sekiranya hakim terus mendengar kes itu.

Mohamad Zabidin turut menolak permohonan pertama Anwar supaya beliau menarik diri, yang difailkan atas alasan mungkin berlaku berat sebelah sekiranya Mohamad Zabidin enggan melayani permohonan peguam belanya untuk mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap Utusan Malaysia berhubung dua artikel yang disiarkan akhbar itu.

Anwar memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi tetapi kemudian menariknya balik.

Anwar dituduh meliwat Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, bekas pembantunya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

BN tak kisah siapa calon pembangkang



Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Barisan Nasional (BN) tidak kisah siapa pun calon yang diletakkan oleh parti lawan untuk menentang calon BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari nanti.

Katanya, BN tidak mahu mencampuri urusan mana-mana parti lain yang berhajat untuk bertanding dalam PRK terbabit.

“Itu terserah kepada mereka (pembangkang) kerana kita tidak mahu mencampuri urusan mereka seperti mana kita tak mahu mereka mencampuri urusan dalam parti kita,” katanya kepada UMNO-Online.

Sebelum itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Ketua Muslihat Pas Labis, Normala Sudirman dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Labis untuk bertanding mewakili parti itu.

“Kita tidak peduli siapa pun calon yang akan diletakkan oleh pembangkang kerana kita optimis terhadap apa yang kita lakukan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Pertahanan yakin bahawa BN akan dapat mempertahankan DUN Tenang berdasarkan kepada gerak kerja dan persiapan yang telah dilakukan dalam semua peringkat.

“Insya-Allah kita akan dapat mengekalkan kawasan tersebut dengan syarat jentera BN khususnya UMNO dapat memperkukuhkan barisan serta merapatkan saf kepimpinan,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, jentera BN sendiri harus bergerak dengan telus dan ikhlas dalam melaksanakan amanah parti yang tentunya akan menyumbang kepada kemenangan keseluruhan dalam BN.

“Kita percaya pada calon yang akan mewakili BN dan paling penting ia tentunya dapat menunaikan tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan dalam masa yang sama rakyat juga jangan meminta yang pelbagai daripada kerajaan sendiri apatah lagi yang tidak mampu ditunaikan.

“BN adalah kerajaan yang realistik dan tidak akan menjanjikan sesuatu yang tidak akan mampu untuk ditunaikan sebagaimana sering dibuat oleh parti pembangkang,” tegasnya.

Selar beliau lagi, pakatan pembangkang adalah parti yang sering bermimpi di siang hari dan pastinya akan melakukan serangan propaganda dalam DUN tenang sebagaimana sering berlaku sebelum ini.

“UMNO dan BN mampu merungkaikan mimpi-mimpi yang selalu diluahkan oleh pembangkang dengan realiti untuk kesejahteraan bersama, malah ia telah pun terbukti melalui pentadbirannya selama ini,” katanya.

Penamaan calon bagi PRK ini ditetapkan pada 22 Jan ini dan BN dijadualkan untuk mengumumkan calonnya pada Rabu ini.

PRK DUN Tenang diadakan berikutan kekosongan kerusi selepas kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis. - MediaUMNO

PRK Tenang: Pas letak calon Wanita



PAS meletakkan calon wanita - Normala Sudirman - untuk bertanding mewakili parti itu dalam pilihan raya kecil DUN Tenang pada 30 Januari ini.

Pengumuman itu dibuat oleh presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis ceramah Pakatan Rakyat di Labis malam ini.

Hadir memberi sokongan ialah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, penasihat DAP Lim Kit Siang, setiausaha agung PAS, Datuk Mustafa Ali serta beberapa pemimpin Pakatan yang lain.

Normala,ketua Muslihat PAS Labis, dan tidak pernah bertanding dalam pilihan raya sebelum ini.

Ibu kepada tiga orang anak itu - yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala - adalah dari Muar, Johor dan berkahwin dengan seorang guru di Tenang.

Normala adalah guru lulusan Kolej Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang dan bertugas di Sekolah Kebangsaan LKTP Kemelah, Segamat, selepas meletak jawatan baru-baru ini.

Beliau berbuat demikian untuk menumpukan kepada politik sepenuh masa. Udang-undang pilihan raya melarang kakitangan kerajaan bertanding dalam pilihan raya.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Normala menegaskan bahawa pemilihannya sebagai calon merupakan pengiktirafan penting parti Islam itu kepada kepimpinan wanita muda.

UMNO Kedah beri peluang ke dua pada calon kalah



Barisan Nasional Kedah bersedia memberi peluang kedua kepada calon-calon yang kalah pada pilihan raya umum 2008 jika mereka dilihat mempunyai peluang yang baik untuk menang pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ahmad Bashah Hanipah memberitahu, bagaimana pemilihan dan peluang itu hanya diberikan kepada calon calon yang boleh menjaminkan kemenangan kepada parti itu.

"Mungkin dulu ada tsunami...mereka kalah. Kalau keadaan lepas ni mereka dilihat boleh menang, mereka boleh dicalonkan. Apa yang diputuskan... calon mestilah orang yang boleh menang," katanya selepas mengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno negeri.

Sementara itu beliau memberitahu, Umno Negeri akan mula menggerakkan jentera pilihan rayanya bulan depan bagi menghadapi kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Menurut Ahmad Bashah Umno perlu bersedia dan bersiap dengan segera bagi memperlihatkan kesungguhan untuk menawan semula Kedah kerana masa sudah suntuk.

Katanya program Gelombang Merah akan dikerahkan bulan depan dan melakukan penambahbaikan terhadap program-program sebelum ini dengan slogan "BN Menang Kedah Senang".

"Kena gerak betul-betul. Kita juga kena siapkan "bilik perang" yang dulu dikenali sebagai bilik gerakan. Kita akan wujudkan di setiap 672 daerah mengundi. Bilik ini peringkat bahagian pun ada, negeri pun ada," katanya.

Ini merupakan mesyuarat pertama sejak rombakan bagi dua jawatan tertinggi dalam Umno negeri yang menyaksikan Ahmad Bashah dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri manakala Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir sebagai Timbalannya berkuatkuasa 1 Januari lepas.

Ahmad Bashah berkata persediaan untuk menghadapi pilihan raya ini juga akan diselaraskan dengan parti-parti komponen BN yang lain kerana mereka juga ada perancangan masing-masing.

Sementara itu, katanya, beliau belum merancang untuk melakukan rombakan kepada jawatan-jawatan lain dalam Umno negeri dan hanya berbuat demikian selepas mendapatkan pandangan ibu pejabat dan Presiden Umno.

"Jika rasa perlu, baru buat perubahan. Kita jumpa presiden dulu, sekiranya perlu perubahan kita akan adakan satu lagi mesyuarat. Bagi jawatan bendahari, masih dipegang oleh Datuk Mukhriz," katanya.