Selasa, 1 Jun 2010

Menteri Luar ke Jordan untuk misi bebas rakyat Malaysia



Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berlepas ke Jordan pagi ini dalam usaha untuk membebaskan 12 rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel, Isnin lalu.

Dalam kejadian Isnin lalu, tentera Israel telah menyerang kapal mereka (aktivis) naiki bersama sukarelawan antarabangsa dalam perjalanan untuk menyerahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza.

Pemergian Anifah diiringi beberapa pegawai Wisma Putra.

Dalam insiden tersebut, 12 rakyat Malaysia termasuk seorang wartawan dan jurukamera stesen televisyen Astro Awani berada dalam kapal Turki, “Mavi Marmara”.

Kedua-dua mereka dilaporkan selamat dalam serangan itu yang mengakibatkan beberapa sukarelawan terbunuh.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengarahkan Wisma Putra supaya menyelamatkan kesemua rakyat malaysia itu.

Anifah memberitahu pemberita semalam bahawa Wisma Putra sedang mengenal pasti lokasi di mana kesemua rakyat Malaysia itu kini berada. - Bernama

Solat hajat untuk misi kemanusiaan Gaza

Kira-kira 600 umat Islam menyertai solat hajat dan tahlil di Masjid Jamek Kampung Baru di sini mendoakan mangsa keganasan dan kezaliman Israel ke atas konvoi sukarelawan misi kemanusian ke Palestin semalam.

Program anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu turut dihadiri Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan; Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Aziz Jamaludin Mohd Tahir dan juga pelajar-pelajar Tahfiz Al-Zahrah dan Tahfiz Al-Hidayah.

Program tersebut dimulakan dengan solat Maghrib dengan diikuti solat hajat, yang diketuai imam masjid, Abdul Ahad Abu Bakar.

Sebelum bacaan Yassin, Ibrahim memberikan taklimat kepada jemaah yang hadir mengenai perkembangan 12 orang rakyat Malaysia yang terlibat dalam serangan tersebut.

Kemudian ia disusuli dengan bacaan Yassin dan tahlil sebelum solat Isyak.

Ibrahim yang ditemui selepas program tersebut berkata, usaha tersebut diadakan untuk mendoakan keselamatan dan kesejahteraan sukarelawan yang menyertai konvoi tersebut.

“Melalui solat hajat ini kita mahu mendoakan keselamatan dan juga kesejahteraan sukarelawan yang terselamat.

“Kita juga mendoakan kesejahteraan bagi sukarelawan yang terbunuh dalam serangan tersebut,” katanya.

Beliau juga berkata, MPM akan terus memantau perkembangan mengenai sukarelawan Malaysia yang terlibat dan pada masa sama sedia memberikan sebarangan bantuan sekiranya diperlukan.

“Kita sedia memberikan bantuan sekiranya khidmat kita diperlukan malah kita akan sentiasa memantau perkara ini,” katanya.

Sementara itu Ahmad berkata kerajaan akan berusaha untuk membawa keluar kesemua rakyat Malaysia yang kini ditahan Israel.

“Kerajaan kini sedang berusaha untuk membawa keluar semua rakyat Malaysia tersebut.

“Justeru kita harap kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya.

PM umum rombakan kabinet



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari Selasa mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan bekas Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat digugurkan manakala Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung dilantik sebagai menteri penuh.

Beliau juga melantik dua Anggota Parlimen dan empat senator sebagai Timbalan Menteri yang baru, demikian menurut satu kenyataan Pejabat Perdana Menteri kepada Bernama.

Chor dilantik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menggantikan Datuk Seri Kong Cho Ha yang kini menjadi Menteri Pengangkutan, jawatan yang sebelum ini disandang oleh Ong.

Dalam pemilihan MCA pada Mac lepas, Ong gagal mempertahankan jawatan presiden setelah tewas kepada Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Turut digugurkan ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Wee Jeck Seng.

Najib turut mengumumkan pelantikan dua anggota Parlimen sebagai Timbalan Menteri iaitu anggota Parlimen Serian Datuk Richard Riot Jaem (Timbalan Menteri Luar) dan Anggota Parlimen Labis Chua Tee Yong (Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani), yang juga anak kepada Dr Chua.

Empat senator turut dilantik sebagai Timbalan Menteri yang baru iaitu bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk G. Palanivel (Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi); Datuk Donald Lim Siang Chai (Timbalan Menteri Kewangan); Datuk Maglin Dennis D'Cruz, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Progresif Rakyat (PPP) sebagai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan; dan Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

Rombakan kali ini juga menyaksikan empat timbalan menteri bertukar portfolio.

Mereka ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Rohani Abdul Karim yang bertukar menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Timbalan Menteri Dalam Negeri Jelaing Mersat (Timbalan Menteri Pengangkutan); Timbalan Menteri Luar Datuk Lee Chee Leong (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Heng Seai Kie (Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan istiadat mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Baginda pada hari Jumaat ini, 4 Jun pada pukul 3.30 petang di Istana Negara.

Najib berkata pelantikan mereka telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan perenggan (b) Fasal (2) Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan Menteri Persekutuan dan Fasal (1) Perkara 43A mengenai pelantikan Timbalan Menteri Persekutuan.

Katanya Seri Paduka Baginda juga telah memperkenankan pelantikan Senator Datuk Donald Lim Siang Chai, Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz dan Senator Gan Ping Shou@Gan Ping Sieu sebagai Ahli Dewan Negara berkuat kuasa mulai hari ini (1 Jun).

Mereka akan mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara dalam tempoh terdekat.

-- BERNAMA