Jumaat, 7 Mei 2010

Wanita Faktor Penentu -Shahrizat




Pengundi wanita akan menjadi faktor penentu kemenangan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu 16 Mei ini, kata Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil Jumaat.

Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata jumlah pengundi wanita mencatat 53 peratus daripada 54,695 pemilih berdaftar di kawasan itu.

"Maklum balas dari jentera Wanita BN menunjukkan golongan wanita di sini mempunyai azam yang kuat untuk memastikan BN terus menang di kerusi Parlimen Sibu.

"Wanita yang menghargai perpaduan dan kestabilan negara yakin kerajaan di bawah pimpinan BN sahaja yang akan menentukan perpaduan dan pembangunan negeri Sarawak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pembangunan Wanita: Mini Karnival Kraf Seni dan Tani di sini.

Pilihan raya kecil ke-11 sejak pilihan raya umum pada 2008 itu, diadakan berikutan kematian Anggota Parlimen Sibu selama lima penggal Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April di Kuala Lumpur akibat kanser hati.

SPR menetapkan 8 Mei sebagai hari penamanan calon dan pengundian pada 16 Mei.

Pertandingan 3 penjuru di Sibu



Pilihan raya kecil Parlimen Sibu bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru selepas hanya calon DAP, Wong Ho Leng; calon Barisan Nasional (BN), Robert Lau Hui Yew; dan calon Bebas, Narawi Haron mengemukakan borang pencalonan masing-masing apabila tempoh pencalonan berakhir jam 10 pagi tadi.

Hamka Kassim, 40, yang sebelum ini dilaporkan akan bertanding sebagai calon Bebas, tidak hadir bagi mengemukakan borang pencalonan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Wong See Meng, mengumumkan tempoh pencalonan tamat pada jam 10 pagi dan tempoh bantahan selama sejam bermula.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kem Barisan Nasional (BN) bergerak dari Estate Delta, kira-kira 2 kilometer dari pusat penamaan calon itu manakala pihak DAP bergerak dari Taman Rajang, di Sibu.

Muhyiddin bersama rombongan penyokong BN yang berjumlah kira-kira 3,000 orang tiba di dewan tersebut pada jam 8.43 pagi.

Antara pemimpin-pemimpin BN yang lain yang turut serta ialah Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta beberapa menteri Kabinet.

Sementara itu, calon DAP, Wong Ho Leng tiba di pusat penamaan calon pada pukul 8.30 pagi bersama kira-kira 700 orang penyokong dengan diketuai Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Suasana di kawasan penamaan calon agak tenang tanpa sebarang insiden membabitkan penyokong BN dan DAP.

BN menamakan Robert Lau Hui Yew, 45, sebagai calonnya manakala DAP memilih ahli dewan undangan negeri Bukit Assek, Wong Ho Leng, 50, sebagai calonnya.

Selain BN dan DAP, sebelum ini ada dua lagi calon, Narawi Harun dan Hamka Kassim menyuarakan hasrat untuk bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya calon Bebas, Narawi Harun yang telah tiba.

Cuaca di pusat pencalonan dilaporkan cerah dengan penyokong calon masing-masing berhimpun seawal pukul 7 pagi di tempat yang ditetapkan, dan anggota polis sudah sulai sibuk mengawal lalulintas.

Pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu diadakan berikutan kematian penyandangnya Robert Lau Hoi Chew, yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April lalu.

Pada pilihan raya umum 2008, Robert Lau mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 3,549 undi, menewaskan pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng.

Sibu mempunyai 54,695 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 52,158 pengundi biasa dan 2,537 undi pos, merangkumi 1,910 anggota tentera dan 627 anggota polis.

Menurut senarai pemilih yang dikemas kini sehingga 9 April lalu, pengundi dari kaum Cina adalah hampir 67 peratus daripada jumlah pengundi, diikuti Melayu/Melanau (10.5 peratus) dan Bumiputera Sarawak (22 peratus).

Sebanyak 45 pusat mengundi dengan 110 saluran akan dibuka di 39 buah sekolah, dua tadika dan masing-masing satu pusat latihan, rumah panjang, perpustakaan awam dan pusat rekreasi awam bagi proses mengundi.

Sementara itu tinjauan di Dewan Suarah mendapati polis sudah mula berkawal di persekitaran Dewan itu seawal jam 5 pagi ini, dengan akses beberapa jalan menghala kearahnya sentiasa dipantau.

Jurucakap polis memberitahu pihaknya menjangka kira-kira 10,000 orang akan berhimpun di Dewan berkenaan hari ini.Sumber Malaysiakini