Sabtu, 19 Mac 2016

POLIS ARAH TURUNKAN POSTER BEBASKAN ANWAR

Bukit Aman meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor supaya menurunkan papan iklan #BebasAnwar di negeri itu kerana ia memaparkan unsur-unsur hasutan. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya berkata polis sedang mengesan papan tanda itu yang didapati mempunyai unsur hasutan dan mengelirukan rakyat. "@PDRMsia kesan billboard (papan iklan itu) dengan kata-kata menghasut dan mengelirukan rakyat yang merujuk DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai 'Tahanan Politik'. "Pada masa sama, PBT diminta turunkan billboard yang menghasut," katanya. Selain itu, katanya polis sedang mengambil tindakan terhadap Pengerusi NGO Selangor Datuk Jamal Md Yunos kerana mengugut untuk membakar papan iklan #BebasAnwar. Rabu lepas, Jamal yang mengetuai sekumpulan individu menampal kain rentang di papan tanda #BebasAnwar di Ampang Jaya dekat sini sebagai tanda protes selain mengugut untuk membakarnya. Jamal berkata kandungan papan iklan itu mencabar keputusan mahkamah terhadap Anwar. Beliau mendakwa terdapat lebih 20 papan iklan itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor termasuk di Subang dan Rawang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada Jamal dan beberapa saksi berhubung insiden itu pada Khamis lepas. Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

MAHATHIR TIDAK LAGI BERHAK CAMPUR URUSAN UMNO

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai locus standi atau kedudukan untuk memberi apa-apa cadangan kepada anggota parti. Beliau berkata ini kerana Dr Mahathir bukan lagi anggota parti selepas negarawan itu membuat keputusan untuk keluar daripada UMNO pada 29 Feb lepas. "Saya kira beliau (Dr Mahathir) tak ada locus standi untuk membuat apa-apa cadangan kepada ahli cawangan kerana beliau tak menjadi ahli UMNO dan tidak menjadi ahli UMNO adalah pilihan beliau sendiri. "Saya kira elok jika beliau tidak mencampuri urusan parti yang beliau sudah tidak anggotai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerangan, Taklimat dan Perasmian Serentak Persidangan Cawangan UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini, Sabtu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Dr Mahathir semalam supaya cawangan-cawangan UMNO mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan perdana menteri dalam mesyuarat tahunan masing-masing. Kenyataan Dr Mahathir itu diviralkan dalam media sosial. Mengulas lanjut, Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata pada masa ini, biarlah jemaah UMNO yang menentukan masa depan parti. Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim dalam ucapannya menegaskan bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan juga presiden UMNO. "Ini pendirian kita (bahagian Kuala Pilah) untuk kita mempertahankan presiden," katanya.
Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan usul Dr Mahathir itu bertujuan untuk menjatuhkan dan merosakkan UMNO. "Saya minta supaya ahli-ahli UMNO negeri tidak terpedaya dengan gerakan negatif ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah, Sabtu. Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata beliau akan meminta semua ketua cawangan memantau perkara itu kerana kebiasaannya orang dalaman parti yang akan cuba merosakkan parti secara senyap. Di LARUT, Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata rata-rata anggota parti itu sedar dan faham bahawa Deklarasi Mahathir merupakan muslihat untuk menjatuhkan kepimpinan sedia semata-mata kerana dendam. Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin niat jahat itu tidak akan tercapai kerana semua anggota parti berdiri teguh di belakang Najib. "Dahulu, Dr Mahathir menjadi presiden parti, ada juga orang membuat sesuatu untuk menjatuhkan beliau namun, dengan sokongan anggota parti beliau terus memimpin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Kampung di Lata Panggung, Kampung Teras, Ijok dekat sini hari ini. Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata anggota UMNO akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin sedia ada selagi tidak melakukan tindakan yang menyalahi agama. "Pemimpin hari ini tidak menyuruh rakyat melakukan sesuatu yang menyalahi agama, sebaliknya apa yang dibuat adalah untuk membangunkan negara dan masa depan rakyat," katanya.
Di KOTA BAHARU, kesemua 14 ketua UMNO bahagian dan kepimpinan akar umbi parti itu di Kelantan hari ini sepakat menyokong dan mempertahan Najib sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri untuk terus memimpin negara. Sokongan padu itu dizahirkan melalui satu deklarasi yang dibacakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan dihadiri lebih 3,000 anggota parti itu di sini. Mustapa ketika membacakan tujuh perkara yang terkandung dalam deklarasi itu, mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) serta mengepalai 'Deklarasi Mahathir' bersama Lim Kit Siang dari DAP, dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri. "Ini jelas bertentangan dengan amalan dan sistem demokrasi yang tidak mempedulikan implikasi terhadap negara dan rakyat," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli. Turut hadir Ketua Penerangan UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa. Mustapa berkata UMNO Kelantan tidak rela DAP memperkuda pemimpin UMNO untuk merealisasikan hasrat mereka dan kesal dengan tindakan Tun Mahathir yang sanggup mengenepikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan DAP kepadanya selama ini semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat. Mereka juga mendesak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas dengan menghalang semua program dan perhimpunan haram yang bakal dianjurkan mana-mana pihak bagi tujuan meracuni atau menghasut pemikiran rakyat dalam usaha menjatuhkan perdana menteri secara tidak demokratik. Mustapa berkata mereka juga mendesak kerajaan agar menamatkan serta merta segala jawatan yang dipegang oleh pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang jelas melanggar dan merosakkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta memperlekeh kedaulatan undang-undang dan rukun negara. "Kami mendesak Majlis Tertinggi UMNO dan Lembaga Disiplin UMNO memecat ahli-ahli UMNO yang terlibat dengan 'Deklarasi Mahathir' dan bersekongkol dengan pembangkang," katanya. Sementara itu, Annuar berkata 'Deklarasi Mahathir' bukan mewakili suara rakyat sebaliknya bekas perdana menteri itu telah terperangkap dalam jerat DAP. Di KUALA LUMPUR, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil berkata Dr Mahathir dilihat semakin 'tenat' untuk meraih sokongan anggota UMNO apabila mengemukakan surat terbuka kepada para anggota cawangan parti itu agar mereka membuat undi tidak percaya kepada Najib. "Apabila sebelum ini Tun Mahathir dan pemimpin UMNO lain duduk satu meja dan bersekongkol dengan pembangkang tidak mendapat sokongan ahli UMNO, saya nampak surat terbuka ini menunjukkan keadaan yang amat tenat untuk mereka. "Ini kerana beliau terpaksa mencari cara baharu untuk mendapatkan sokongan tetapi sebaliknya apa yang akar umbi lihat deklarasi Mahathir yang mereka lakukan itu telah menyatukan anggota UMNO untuk terus menyokong teguh kepimpinan perdana menteri," katanya selepas menghadiri Persidangan UMNO Cawangan Kepong Sentral hari ini. UMNO Cawangan Kepong Sentral pula mendesak Majlis Tertinggi (MT) UMNO segera mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden parti yang digantung tugasnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri. Ketua UMNO Bahagian Kepong Datuk Seri Rizuan Abd Hamid berkata pihaknya kecewa dengan tindakan kedua-dua pemimpin itu yang menjadi gunting dalam lipatan UMNO dan sanggup diperalatkan pembangkang. "Kami mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Tun Mahathir kerana sanggup bersekongkol dan duduk satu meja dengan musuh utama UMNO iaitu DAP dan beselindung atas nama rakyat bertujuan menjatuhkan perdana menteri. "Kami juga keliru dan kecewa dengan tindakan Muhyiddin dan Mukhriz yang turut sama menyokong tindakan Tun Mahathir. Justeru itu, kami mendesak mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan tindakan tegas termasuk melucutkan keahlian pemimpin UMNO yang terlibat dalam perkara ini," katanya. Di SUNGAI PETANI, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata Malaysia mesti dipimpin oleh orang sederhana yang meletakkan matlamat untuk membina negara melalui penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi. "Saya minta agar semua bahagian (UMNO) supaya berbaik sangka dan sentiasa mengingati bahawa UMNO adalah teras kepada BN dan BN wajar mengendalikan negara ini. "BN adalah parti politik yang sederhana. Parti yang keras dan suka bergaduh tidak boleh (mentadbir negara), Malaysia mesti dipimpin oleh orang yang sederhana, meletakkan matlamat untuk membina negara melalui penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi," katanya merasmikan Majlis Taklimat dan Perasmian Serentak Persidangan Agung Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Merbok 2016 di sini, hari ini. Di LABUAN, kesemua UMNO cawangan itu hari ini berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib. Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli berkata kesemua parti bahagian dan cawangan itu juga perlu mengukuhkan perpaduan dan mempereratkan kerjasama dalam memastikan Labuan terus menjadi kerusi kemenangan BN dalam pilihanraya umum ke-14 akan datang. "Dalam memastikan BN menang dalam pilihan raya akan datang, semua anggota harus bersatu mempertahan dan memperkukuh kedudukan UMNO," katanya ketika merasmikan persidangan Tahunan UMNO Cawangan Empat Peringkat Labuan 2016 di Mini Auditorium Perbadanan Labuan Layang-Layangan.

NAJIB TEKAD PERTAHANKAN KEPIMPINANNYA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat. Najib berkata beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya, yang disifatkannya sebagai sengaja dilakukan untuk memburukkan imej beliau sebagai pemimpin nombor satu negara. "Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya. "Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa. "Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya pada majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini Sabtu. Himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Najib, dihadiri lebih 5,000 anggota dan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional daripada 14 UMNO bahagian di negeri ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Najib yang juga Presiden UMNO dan Anggota Parlimen Pekan sebelum itu tiba di Pangkalan TUDM, di sini kira-kira 9.30 pagi dengan menaiki pesawat khas dan disambut oleh Adnan serta pimpinan parti. Perdana Menteri turut meminta rakyat di negara ini khasnya anggota parti supaya tidak memperdulikan kerjasama politik bekas pemimpin UMNO dan pihak pembangkang kerana ia tidak mendatangkan manfaat berbanding langkah kerajaan selama ini yang telah banyak membuat kebajikan untuk rakyat. "Kita (pemimpin kerajaan) buat kerja, kita jaga ekonomi, kita nak orang muda ada pekerjaan, memperkembangkan ekonomi, kita nak jaga orang kampung, kita nak bangunkan kawasan bandar, pinggir bandar, pesisiran pantai, gunung, semua kita kena jaga," katanya. Dalam masa yang sama Najib turut menempelak tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan deklarasi bersama-sama pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinannya. Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan prinsip yang dipegang oleh Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kepimpinan negara apabila cuba menjatuhkan kerajaan dan menukar perdana menteri dipilih rakyat dengan cara tidak demokrasi. "22 tahun kutuk parti DAP... kata Kit Siang (veteran DAP Lim Kit Siang) rasis...kata DAP parti cauvinis, menidakkan hak orang Melayu, menekan Islam, kita dah dengar ucapan-ucapan dia. "Ini bukan saya kata, ini Dr Mahathir sendiri kata selama 22 tahun ... hari ini dia duduk sebelah siapa, dia 'sign' (tandatangan) deklarasi rakyat dengan siapa," soalnya. Najib berkata Dr Mahathir, beberapa bekas pemimpin UMNO dan pembangkang tidak wajar menjatuhkan kerajaan dengan cara demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan seperti yang dirancang oleh pihak berkenaan sebelum ini. "Dulu (Dr Mahathir) kata demonstrasi jalanan salah di sisi undang-undang. Dulu kata salah dari segi prinsip demokrasi. Tapi sekarang ini lain pula," katanya. Pada 4 Mac lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dan Lim adalah antara lebih 50 individu menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir. Dalam pada itu, Najib mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pahang yang hadir pada Himpunan Solidariti hari ini untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya. Perdana Menteri berkata beliau berasa gembira dengan keadaan itu kerana ia menggambarkan beliau tidak keseorangan dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam memimpin negara. "Sebagai anak watan Pahang hati ini terubat hari ini. Walaupun diserang daripada mana-mana pun, tetapi kalau 'askar' saya ini seperti hari ini, saya tidak keseorangan, I'm not alone," katanya.BERNAMA

KERAJAAN BN SENTIASA LAKUKAN TERBAIK UNTUK RAKYAT

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat negara ini tidak perlu mempedulikan gerakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang menerusi 'deklarasi Mahathir' kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat. Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan melaksanakan pelbagai program yang dapat memenuhi kehendak selain memastikan semua akujanji pada manifesto pilihan raya umum lepas dapat dipenuhi. Beliau berkata apa yang penting bukan deklarasi atau surat tetapi tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan mampu milik yang sedang dilaksanakan kerajaan. "Apa guna memekik sana, memekik sini? Melaung sana, melaung sini? Orang yang dulu maki hamun kita, kita pula dakap dia. Ini tidak patut. Apa yang patut adalah untuk kita jaga hati rakyat," katanya. Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pri1ma) Pahang di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya, Jalan Kuantan-Gambang di sini Sabtu. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. Najib yang juga Presiden UMNO percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan berkerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri. Perdana Menteri sekali lagi berikrar akan terus beristiqamah dalam perjuangannya dengan fokus kepada pembangunan ekonomi negara kerana perkara itu memastikan peluang pekerjaan bertambah, meskipun dirinya 'diserang' daripada pelbagai sudut. "Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan. "Mereka tetap kata 'America is great' (Amerika hebat). Tapi puak-puak kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya, kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita," katanya. Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana perkara itu lebih kepada politik persepsi. Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa gembira kerana agenda perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di landasan yang ditetapkan. Di Pahang sendiri, katanya, sebanyak 39,000 unit rumah PR1MA Pahang telah berjaya dibina sejak Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun sasaran awal hanya sebanyak 19,000 unit. "Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat," katanya. Beliau berkata rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit merupakan pembelian aset yang menguntungkan rakyat.