Isnin, 4 April 2016

PEMBANGKANG SERANG PERIBADI PM NAJIB KERANA USAHA JATUHKAN KERAJAAN GAGAL

Pembangkang menggunakan strategi menyerang kepimpinan dan peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menjatuhkan kerajaan setelah pelbagai usaha yang dilakukan sebelum ini menemui jalan buntu. Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata taktik kotor itu dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 selepas mereka gagal mengambil alih pemerintahan negara daripada kerajaan Barisan Nasional (BN). Kini mereka menyerang kepimpinan dan peribadi perdana menteri pula dengan pelbagai isu termasuk 1Malaysia Development Berhad (1MDB) walaupun telah diputuskan beliau tidak terbabit, katanya. "Mereka mengasak dengan pelbagai isu bertujuan untuk mempengaruhi rakyat agar membenci kerajaan dan pemimpin BN dengan harapan mereka boleh menang pada PRU ke-14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan UMNO cawangan Temerloh di sini hari ini. Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin. Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata lebih malang lagi apabila bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad turut terperangkap dengan mainan politik yang dilakukan oleh pembangkang apabila bersekongkol dengan mereka mengadakan Deklarasi Mahathir. Ismail Sabri berkata bekas presiden parti itu dilihat sudah tidak boleh mengawal tindakannya sehingga 'bersahabat' dengan pembangkang sedangkan sebelum ini beliau sendiri mencemuh pemimpin dan dasar politik yang diperjuangkan oleh pembangkang. "Rakyat sebenarnya sudah muak dengan sikap pembangkang kerana apa saja yang dilakukan perdana menteri untuk kebaikan rakyat dan negara semuanya salah pada pandangan mereka," katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang sengaja menimbulkan pelbagai isu untuk menghancurkan perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini. Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa pemimpin dan anggota parti kembali merapatkan saf dan terus bersatu demi keamanan dan kesejahteraan negara.

SEBUAH UNIVERSITI MARA BAKAL DITUBUH-PM NAJIB

Sebuah universiti bukan teknikal dikenali sebagai Universiti Mara (UniMara) akan diwujudkan untuk membantu pembangunan modal insan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi telah memberi kelulusan bagi penubuhan Institusi berkenaan. "MARA (Majlis Amanah Rakyat) sudah ada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), maka untuk bidang bukan-TVET (latihan pendidikan teknikal dan vokasional), sebuah universiti MARA juga akan diwujudkan, maka ramai pelajar kita dapat peluang melanjutkan pelajaran di universiti ini," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perdana 50 tahun MARA di sini, Isnin. Penubuhan universiti berkenaan merupakan beberapa perkara penting diumumkan Perdana Menteri sempena ulang tahun ke-50 MARA bagi menentukan hala tuju baharu agensi itu selain memperkemaskannya untuk mendepani 50 tahun akan datang. Perdana Menteri turut mengumumkan perubahan nama Yayasan Pelajaran MARA kepada Yayasan MARA untuk memperluaskan bantuan kepada pelbagai kumpulan sasar. "Maknanya, dahulu Yayasan Pelajaran MARA tanggung jawab sosialnya cuma terhad kepada bidang pelajaran, tetapi bila kita ubah nama, dengan dana terkumpul sebanyak RM800 juta, jadi MARA boleh beri bantuan lain seperti bantuan kebajikan waktu banjir dan sebagainya," katanya. Najib juga berkata Jalan Semarang yang menempatkan Menara MARA di sini juga akan ditukar kepada Jalan MARA sebagai satu simbol kewujudan MARA. Sementara itu, Perdana Menteri berkata kegemilangan MARA selama 50 tahun kewujudannya berkait rapat dengan kegemilangan Umno sebagai parti pemerintah di negara ini. Menurutnya MARA sebagai agensi yang memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera berkemungkinan tidak akan wujud tanpa Umno. "MARA lahir daripada perut siapa? Umno. Jadi tanpa Umnio, tak mungkin MARA akan terus wujud. "Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) cakap MARA akan terus wujud selagi ada bulan dan matahari. Tetapi saya akan kata MARA akan wujud selagi Umno berkuasa," katanya. Sehubungan itu, Najib berkata Umno sebagai parti yang mempertahankan MARA perlu terus dipelihara. "Sebab itu kita perlu jaga Umno, jaga MARA dan tidak duduk sebaris dengan orang yang mengkhianati Umno," katanya. Najib turut menyifatkan hubungan antara Umno dan MARA sebagai tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. "Hubungan yang kita sifatkan sebagai simbiotik antara satu sama lain, seperti aur dan tebing. Maka komitmen kita, kelangsungan kedua-dua institusi ini sebati dengan perjuangan kita," katanya.