Isnin, 10 Mei 2010

Orang kecewa saja dakwa UMNO tidak relevan


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, persepsi UMNO tidak relevan sengaja dibina oleh orang-orang yang kecewa dan telah keluar daripada parti keramat ini.

“Barangkali mereka tidak mendapat tempat lagi dalam parti. Mereka hendakkan sesuatu tetapi tidak dapat mencapai apa yang dihasratkan maka dibina satu persepsi kepada rakyat bahawa UMNO tak relevan,’’ tegas beliau.

Dalam temubual dengan umno-online.com sempena ulang tahun ke 64 UMNO pada 11 Mei, beliau berkata, kalau dilihat daripada jumlah ahli UMNO itu sendiri, angka tersebut meningkat setiap hari.

‘Yang amat menggembirakan, anak muda sudah mulai berminat terhadap perjuangan UMNO. Saya yakin tuduhan ini tidak berasas.

“Saya percaya, selagi Melayu ada di bumi Malaysia ini, UMNO tetap akan terus menjadi nadi penggerak bagi memastikan hak anak bangsa, negara dan agama tidak digugat,’’ ujar beliau.

Tengku Adnan berkata, tidak ada parti Melayu lain memperjuangkan nasib bangsa, agama dan tanahair seperti UMNO.

Menurut beliau, sebenarnya parti Melayu lain seperti Pas, adalah serpihan UMNO.

“Kalau kita lihat sejarah, apabila Haji Ahmad Fuad tewas bertanding melawan Tunku Abdul Rahman untuk jawatan presiden, dia keluar parti dan bersumpah di Gunung Semanggol di mana ada UMNO, di situ Pas mahu hancurkan UMNO. Itu niat asal Pas ditubuhkan,’’ katanya.

Tambah beliau, begitu juga semasa pertandingan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah.

“ Bila Ku Li kalah, dia tubuhkan parti serpihan UMNO, iaitu Semangat 46 tetapi kita bersyukur, mereka kembali ke pangkuan UMNO.

“ Satu lagi parti diterajui mantan Timbalan Presiden Anwar Ibrahim juga ditubuhkan kerana kecewa. Parti ini tidak ada hala tuju, tidak ada hala perjuangan untuk memperjuangkan hak bangsa, agama dan tanahair,’’ katanya.

Menurut beliau, UMNO bukan sahaja menjaga hak bangsa Melayu tetapi mempertahankan dan memelihara hak kaum lain dalam sebuah negara yang Melayu itu menjadi teras.

“ Kita kena terima hakikat, Malaysia negara berbilang kaum, bangsa dan agama. Malaysia berjaya kerana wujud perpaduan yang erat di antara kaum-kaum yang membangunkan Malaysia,’’ katanya.

Tengku Adnan berkata, parti-parti serpihan ini mungkin akan ada lagi pada masa akan datang apabila ada ahli yang kecewa.

“Bila kecewa, kita tak tahu apa hasrat dan niat dia. Kadang-kadang buat benda-benda sehingga sanggup menghancurkan negara.

“ Saya nasihatkan kawan-kawan yang dah terlanjur, kalau hendak berjuang dengan niat suci dan murni, hasrat memastikan hak bangsa, negara dan agama tidak diganggu-gugat, kembalilah ke pangkuan UMNO.

“Walaupun mereka satu ketika dulu marah dan mencerca UMNO, parti keramat ini berjiwa besar dan sanggup menerima mereka kembali. Kita tidak mahu bangsa Melayu menjadi bangsa yang kucar- kacir. Kalau bangsa Melayu lemah, percayalah Malaysia akan kucar-kacir,’’ katanya.

Beliau sependapat dengan pandangan veteran UMNO, Tan Sri Aziz Tapa yang berkata, Hilang UMNO, hilanglah Melayu.

“Memang benar. Melayu UMNO. UMNO itu Melayu. Yang menjadi masalah, kebanyakan tidak tahu sejarah. Mereka bangun, semua sudah ada, sekolah , jalan, frasarana. Dia tak mengkaji bagaimana ini semua ada.

“Tiap-tiap manusia ada sejarah. Kita sepatutnya mengimbau kembali sejarah kerana sejarah akan menentukan detik tapak kita ke hadapan.

“Kalau tak ingat pada sejarah, percayalah apa yang kita lakukan, detik hendak kita langkah, barangkali akan berulang apa yang berlaku pada masa-masa lampau,’’kata beliau.

Mengenai sikap segelintir ahli UMNO yang memandang remeh perubahan dan transformasi yang hendak dilakukan, Tengku Adnan berkata:

“Rumah nak ubah pun, kadang-kdang nak pecah buat bilik baru ada yang menentang dan mungkin beri pandangan.

“Tapi percayalalah apa yang dilakukan oleh Presiden adalah untuk kebaikan bangsa, demi untuk memastikan parti terus bertahan. Kita mesti ikut masa,’’ katanya.

Beliau berkata, 11 Mei adalah tarikh keramat bagi orang-orang Melayu kerana ia merupakan tarikh tertubuhnya UMNO sebagai wadah perjuangan untuk bangsa Melayu.

“Tahun ini kita menyambut 64 tahun UMNO ditubuhkan. 64 tahun adalah satu masa yang panjang dan banyak boleh dikatakan terhadap pencapaian yang telah dilaksanakan oleh UMNO.

“ UMNO sebagai sebuah parti pertubuhan siasah tidak ada yang salah. Barangkali orang UMNO yang salah,’’ katanya.

Menurut beliau, UMNO ada perlembagaan, hala tuju dan perjuangan yang hendak dilaksanakan seperti tertera dalam perlembagaan parti.

UMNO, tegas beliau, merupakan parti siasah yang mempunyai struktur mulai daripada cawangan, bahagian, negeri dan pusat

“Saya menyeru kepada orang-orang Melayu yang belum lagi jadi ali UMNO supaya mereka mendaftar menjadi ahli Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ini,’’ujar beliau.

Tengku Adnan membeirtahu, UMNO satu-satunya parti yang akan memastikan bahawa hak bangsa, agama dan tanahair tidak diganggu-gugat.

Tambah beliau, banyak juga yang diperkatakan, kononnya UMNO telah lama.

“Bukan semestinya yang lama itu kita buang. Kita boleh perbaiki. UMNO tak salah. Wadah perjuangan UMNO sungguh nyata. Yang salah orang yang masuk dalam UMNO,’’ kata beliau.

Beliau menegaskan, sesiapa saja yang menjadi ahli dan pemimpin UMNO mesti tahu, menghayati serta menterjemahkan apakah asas tujuan mereka untuk memperjuangkan UMNO.

“Yang penting kita masuk UMNO untuk berjuang memastikan masalah kelompok bangsa kita tidak diganggu-gugat. Bukan untuk kepentingan diri dan individu tertentu,’’katanya.

Beliau berkata, selepas Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak mengambil alih teraju kepimpinan, Presiden parti telah mengubah banyak perkara, khususnya dalam pemilihan UMNO itu sendiri.

Ini, tegas Tengku Adnan, bukti jelas menunjukkan UMNO mahu berubah.

“UMNO balik kepada asal. Sesiapa sahaja yang hendak bertanding jawatan apa saja boleh menawarkan diri tetapi saya ingin nasihatkan, kita mesti memahami bahawa masuk UMNO untuk berjuang. Kita pegang amanah. Bukan untuk cari sesuatu benda untuk diri sendiri.

“Sekiranya asas tujuan salah, percayalah, parti ini keramat, kita akan sendiri merasa gusar, kesal dan akhirnya akan kecewa. Lihat sahaja kawan- kawan kita yang sudah beralih daripada UMNMO,’’ katanya.

Beliau mengimbau sejarah pada 1985-86 apabila berlaku pertandingan Presiden dan UMNO berpecah.

Bagaimanapun, UMNO bersyukur kerana parti Semangat 46 akhirnya kembali semula kepada UMNO kerana sedar hanya UMNO sahaja wadah perjuangan bangsa.

Menurutnya, pada 1998, berlaku satu lagi perpecahan. Banyak yang mengikut jejak seorang yang kecewa kerana tidak dapat menerajui parti dan kerajaan dengan keluar daripada UMNO.

“Yang penting asalnya masuk UMNO untuk apa. Barangkali niat yang telah keluar pada 1998-1999, kalau kita tengok apa yang dilakukan, dia hanya hendak mempopularkan diri dia , bukan mempopularkan parti.

“Dia buat sehinggakan ahli-ahli parti taksub kepada pemimpin. Dalam perjuangan, kita tidak boleh taksub pada pemimpin. Mereka datang dan pergi. Yang penting parti terus berjuang untuk tentukan hak bangsa tidak diganggu-gugat,’’ tegas beliau.

Tengku Adnan berkata, orang boleh cerita macam-macam mengenai UMNO dan parti-parti komponen Barisan Nasional tetapi perlu terima hakikat bahawa apa yang berlaku mesti berteraskan kepada perjuangan bangsa masing-masing.

“ Inilah cara kita dalam UMNO dan BN memperjuangkan nasib bangsa Malaysia dan UMNO selalunya menjadi teras kepada bangsa Malaysia.

“Kita sebuah parti yang bukan sahaja fikikirkan orang Melayu tetapi bangsa Malaysia,’’ tegas beliau.

Tengku Adnan mahu setiap cawangan dan bahagian mengibrakan bendera esok,11 Mei untuk memperingati perjuangan datuk nenek moyang kita .

Marilah berdoa supaya UMNO akan sentiasa kekal, dulu kini dan selamanya.

Robert Lau Boleh Memberi Khidmat Yang Baik

Robert Lau Hui Yew, calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu, akan memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di kawasan itu.

Penilaian itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek yang berkata beliau juga mendapati calon BN itu seorang yang bertenaga dan akan bekerja keras untuk pembangunan Sibu.

"Jika anda mencari pemimpin yang seumpama hero, beliau adalah hero itu," katanya yang sebelum itu bermain skuasy dengan Lau di Sekolah Menengah Sacred Heart. Lau juga adalah naib presiden Persatuan Skuasy Malaysia.

Bercakap pada sesi dialog dengan pertubuhan belia dan sukan di sini Isnin, Ahmad Shabery berkata berkata mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew, ketika menjadi wakil rakyat kawasan itu, telah membawa banyak perubahan kepada Sibu dan menjadikannya sebagai kawasan yang selesa untuk didiami.

Beliau berkata bukan mudah untuk menguruskan pembangunan dan terdapat masalah di beberapa kawasan.

"Ya, kita mempunyai masalah tetapi penyelesaiannya bukan di tangan DAP, Parti Keadilan atau PAS," katanya.Bernama