Ahad, 11 Mei 2014

PAS tangguh bawa Rang Undang Undang Hudud di Parlimen

Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang bersidang hari ini mengambil keputusan tidak akan meneruskan cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada persidangan Jun ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal yang bakal ditubuhkan untuk mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan. Dalam satu kenyataan media tiga perenggan yang ditandatangani Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau berkata mesyuarat telah membuat pertimbangan dalam isu Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan dan mencapai keputusan berikut: PAS Pusat mengambil maklum dan bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan. Oleh kerana itu cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada Persidangan Bulan Jun 2014 ini tidak akan diteruskan. Ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal di atas untuk merumuskan cadangan dan tindakan selanjutnya.

PKR Bukit Gelugor: DAP jangan harap menang mudah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, beliau menerima keputusan MCA untuk tidak bertanding pada PRK Parlimen Bukit Gelugor namun ia tidak bermakna akan memberi laluan mudah kepada DAP. Najib yang juga pengerusi BN berkata, akan ada calon lain yang akan bertanding dan keputusan akan dibuat bila tiba masanya. Ditanya adakah BN akan menurunkan calon daripada parti-parti komponen, Najib menjawab: "Bukan daripada komponen tapi pihak-pihak lain akan bertanding mungkin sebagai calon Bebas. Kami akan putuskan kemudian," katanya. Bercakap dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia selepas menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-24 di sini, Najib berkata MCA sebagai sebagai sebuah parti sedang dalam proses penyatuan. "Jadi adalah penting untuk MCA meneruskan proses itu supaya menjadi lebih disegani serta bertambah kukuh. "Saya harap MCA akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan MCA sebagai parti politik dan parti dalam BN," kata Najib. Semalam, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Ong Ka Chuan mengumumkan keputusan parti itu untuk tidak bertanding di Bukit Gelugor selepas Mesyuarat Tergempar Majlis Presiden yang diadakan di Ipoh, Perak.

Separuh mesyuarat pemilihan PKR Selangor dibatalkan kerana penipuan

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan apabila 12 daripada keseluruhan 22 pemilihan cabang parti itu di Selangor dibatalkan hari ini atas pelbagai sebab termasuk dakwaan wujudnya unsur penipuan dan ketidaktelusan dalam proses pengundian. Lebih memalukan PKR apabila pemilihan cabang Kuala Selangor, yang merupakan kawasan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut dibatalkan. Selain Kuala Selangor, pemilihan yang dibatalkan membabitkan cabang Sabak Bernam, Klang, Kota Raja, Shah Alam, Kapar, Sungai Besar, Subang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Selayang. Pembatalan pemilihan cabang Kuala Selangor diumumkan oleh wakil petugas pemilihan cabang itu pada 1.45 tengah hari selepas beberapa anggota parti membuat bantahan berhubung cara ia dikendalikan selain terdapat dakwaan ada wakil calon menandakan kertas undi yang sepatutnya ditanda pengundi sendiri. Situasi sama turut berlaku di PKR Cabang Kota Raja apabila pemilihannya terpaksa dibatalkan ketika proses pengundian apabila sekumpulan lelaki bertindak merampas peti undi dan melemparkannya ke lantai dewan pusat pengundian di Dewan Kompleks Sukan MPK. Pembatalan pemilihan cabang itu diumumkan oleh wakil jawatankuasa pemilihan pusat (JPP) parti, Nadarajan K. Raju kira-kira 4.30 petang ini atas alasan peti undi dipecahkan. Selain itu, pemilihan PKR Cabang Klang juga turut dibatalkan apabila tiga calon jawatan ketua cabang berkenaan iaitu P. Krishnasamy, Zudin Asrmad dan Arahyah Ibrahim sepakat memboikot proses pemilihan itu yang didakwa tidak telus. Mereka mendakwa wujudnya pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mensabotaj proses pemilihan parti itu di cabang Klang dengan menukarkan senarai calon yang diberikan kepada para pengundi. Ekoran dakwaan itu, ketiga-tiga calon berkenaan menggesa pemilihan cabang itu dibatalkan sebelum ia diumumkan secara rasmi oleh wakil JPP kira-kira 2.30 petang ini. Selain itu, pemilihan cabang Sabak Bernam dan Sungai Besar turut dibatalkan masing-masing pada 1 tengah hari dan 3 petang tadi berikutan anggota parti cabang itu tidak berpuas hati dengan proses pemilihan yang didakwa tidak telus serta wujud unsur penipuan. Pada masa sama, pemilihan PKR bagi cabang Subang, Sepang, Selayang, Hulu Selangor, Kapar dan Hulu Langat turut dibatalkan atas alasan yang sama. Dalam pada itu, pemilihan PKR Cabang Shah Alam dibatalkan kira-kira 6 petang ini atas dakwaan proses pemilihan lemah selain wujud kertas-kertas undi yang dipinda. Rata-rata penyokong calon yang bertanding serta pengundi menyuarakan rasa tidak puas hati apabila mengetahui ada segelintir pengundi yang mengundi sebanyak dua kali, malah terdapat calon ketua cabang yang berkempen di kawasan larangan. Sebelum itu, calon Ketua Cabang PKR Shah Alam Rodziah Ismail dilaporkan mencetuskan rasa tidak puas hati para penyokong lawannya, Yaakop Sapari apabila didakwa berkempen di kawasan larangan serta meraih undi ketika proses pemilihan sedang berlangsung. Dalam perkembangan lain, kekecohan berlaku ketika proses pemilihan PKR Cabang Kuala Langat apabila sekumpulan lelaki dipercayai anggota parti berang dan mencetuskan kekecohan berikutan tidak puas hati terhadap proses pengundian pemilihan cabang itu di Dewan Wawasan Batu 9, Telok Panglima Garang, lima minit sebelum pusat pengundian ditutup pada 5 petang ini. Mereka mendakwa proses pengundian cabang berkenaan tidak telus dan bertindak memecahkan sebahagian daripada tujuh peti undi di pusat pengundian tersebut selain cuba mengasari anggota parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid yang juga calon ketua cabang serta beberapa petugas di pusat pengundian. Bagaimanapun, pemilihan cabang berkenaan tidak dibatalkan sebaliknya kesemua peti undi dihantar ke Ibu Pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya untuk proses pengiraan. - Bernama

Pusat tidak pernah abai rakyat Sabah

Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak sekali-kali akan mengabaikan kepentingan rakyat Sabah dalam pelaksanaan pembangunan di negara ini sebaliknya akan memastikan Sabah sentiasa berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan rakyat di negeri-negeri lain. Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri berkata semenjak Sabah diperintah semula oleh kerajaan BN sejak 20 tahun lalu, pembangunan sosio-ekonomi Sabah dan rakyatnya berjalan begitu pantas malah dengan melihat secara mata kasar pun perubahan peningkatan ekonomi dan pembangunan berkenaan kelihatan begitu ketara. "Di samping melihat pelbagai projek pembangunan awam dan swasta yang semakin pesat di setiap bandar, nilai hartanah sudah meningkat dengan lebih tinggi malah Sabah berada di tempat ketiga selepas Wilayah Persekutuan dan Selangor dan jauh lebih nilai daripada Sarawak," katanya ketika berucap pada Pesta Kaamatan di Kampung Indah, Pitas yang terletak lebih 100 kilometer dari Kota Kinabalu. Pada majlis itu, Abdul Rahim yang juga Anggota Parlimen Kudat turut menyampaikan bantuan kepada 350 orang golongan memerlukan bagi menceriakan lagi Pesta Kaamatan pada tahun ini. Menurut Abdul Rahim, jumlah kenderaan di Sabah juga bertambah dengan pesat sehingga suasana kesesakan lalulintas semakin menjadi fenomena yang kian ketara khususnya dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini. Katanya kualiti hidup rakyat juga semakin meningkat sementara kemudahan pendidikan serta kesihatan semakin baik dan meluas dari setahun ke setahun. "Suasana yang semakin baik dan menarik pelabur dan pedagang ke Sabah sekarang telah menepis dakwaan sesetengah pihak khususnya pembangkang bahawa Sabah tidak berjaya dan tidak diurus dengan sempurna," katanya. Justeru, beliau mengingatkan rakyat supaya sentiasa mengamalkan sikap sederhana dan toleransi serta hormat menghormati kerana jelas terbukti bahawa kejayaan negara Malaysia membangunkan negara ini adalah wujud dari semangat perpaduan dan muafakat di kalangan rakyatnya. Katanya kesepakatan antara rakyat dan kepimpinan negara ini walaupun mereka terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan agama telah membawa berkat yang dapat dirasai melalui nikmat pembangunan. "Rakyat harus menolak apa juga bentuk dan golongan ekstrimisme kerana golongan ini adalah perosak kepada perpaduan dan masa depan negara. Jika kita membiarkan mereka merosakkan negara maka kita sendiri akan memikul tanggungjawab dan merasai akibatnya nanti. Jangan biarkan nasi menjadi bubur dan sesal kemudian tidak berguna seperti mana yang berlaku kepada banyak negara lain," katanya.

Sambutan hari Ibu harus bagi umat Islam-Mufti Kelantan

Meraikan sambutan Hari Ibu pada Ahad minggu kedua bulan Mei setiap tahun bagi umat Islam adalah harus, kata Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad. Beliau berkata tidak menjadi satu kesalahan untuk anak-anak meraikan Hari Ibu bagi menghargai jasa insan istimewa itu yang banyak berkorban jiwa dan raga dalam mendidik serta membesarkan anak-anak. "Mengucapkan Selamat Hari Ibu dan meraikan ibu yang melahirkan kita dan bersusah-payah membesarkan kita, mandikan kita dan membersihkan najis kita semasa kecil, adakah ia satu kesalahan?. "Perkara yang dilarang dalam Islam adalah menderhaka kepada ibu. "Kalau kita lakukan sesuatu yang 'harus' dan dapat memberi kegembiraan kepada orang lain termasuk ibu sendiri ia merupakan sedekah dan dikira mendapat pahala," katanya ketika dihubungi Bernama Ahad. Beliau mengulas dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan haram untuk umat Islam menyambut hari berkenaan kerana meniru perayaan orang Kristian yang menyambut hari 'Mother of Church'. Sambutan Hari Ibu tahun ini jatuh pada hari ini. Mohamad Shukri berkata Islam tidak pernah melarang umatnya mencontohi kebaikan orang lain termasuk Barat, namun sebarang perbuatan yang menyerupai upacara keagamaan lain serta bertentangan dengan syariat Islam amat ditegah. Begitu juga menyambut Hari Ibu, beliau berkata umat Islam perlu memastikan pengisian sambutan itu berlandaskan syariat Islam sebenar, katanya. "Macam hendak sambut Hari Ibu pun perlu dengan cara yang dibenarkan syarak jangan langgar batas-batas dalam Islam termasuk pergaulan bebas lelaki dan perempuan, ini tidak boleh," katanya. Mohamad Shukri berkata walaupun tiada suruhan untuk meraikan Hari Ibu di dalam Al-Quran, namun terdapat ayat yang menekankan perlunya umat Islam berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Katanya, Islam meletakkan ibu pada kedudukan tertinggi malah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud: "Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik?, jawab Rasulullah SAW: Ibumu. "Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? ujar Baginda: Ibumu. "Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. "Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu".