Sabtu, 12 Julai 2014

Misi pencarian MH370-kerajaan sediakan bajet khas

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai akan berlepas ke China minggu depan untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Yang Chuangtang bagi membincangkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat MH370 yang kini memasuki fasa kedua. Beliau berkata walaupun perbelanjaan operasi SAR itu tidak termasuk dalam Bajet 2015 yang akan diumumkan pada Oktober ini, namun kerajaan tetap menyediakan bajet khas bagi menyelesaikan insiden itu. "Saya rasa bajet itu lain, MH370 adalah satu insiden yang kita ambil berat dan bagaimana kita dapat selesaikan dengan secepat mungkin. "Sebelum ini pun kita telah mengumumkan aset-aset yang baru yang dihantar kepada Australia untuk membantu dalam operasi ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Bajet 2015 di ibu pejabat MCA, di sini, hari ini. Selain itu katanya, beliau kemudiannya akan berlepas ke Australia pada Ogos ini untuk tujuan sama. "Kita akan pastikan kerjasama Australia, China dan 26 negara ini terus komited mencari pesawat MH370 yang hilang itu. Sementara itu, Tiong Lai berkata kementeriannya akan memainkan peranan yang lebih penting dalam Bajet 2015 untuk merangsang pembangunan ekonomi negara. "Kementerian Pengangkutan adalah kementerian ekonomi, kita perlu merangsang pembangunan lebih banyak di Pelabuhan dan Lapangan Terbang dan ia telah mengikat ekonomi kita antara lebih 7.5 hingga 11 kali ganda. "Jadi pembangunan pelabuhan dan lapangan terbang adalah satu pembangunan penting untuk majukan ekonomi negara kita," katanya lagi. Sumber: Sinar Harian

Kerajaan Pusat komited bantu Sabah

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Kerajaan Pusat amat komited untuk menambah sumbangan kepada Sabah melalui kaedah yang difikirkan sesuai tanpa menjejaskan pembangunan industri minyak di negeri ini. Sebagai langkah serta merta, beliau mengumumkan bahawa Petronas bersetuju menambah sumbangan Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) kepada Sabah terutama dalam bidang pendidikan termasuk menyediakan kemudahan sekolah luar bandar, penyediaan latihan kemahiran teknikal serta bantuan biasiswa kepada pelajar universiti. "Kalau kita nak berjaya secara berterusan, kita mesti ada keupayaan. Soalnya bukan untuk mendapatkan kontrak kerajaan semata-mata. Ia bukan tentang memberi kontrak tetapi tentang memberi nilai. "Dalam persaingan ekonomi hari ini, nilai kreatif menentukan kejayaan kita secara berterusan. Kita akan menambahkan keupayaan rakyat Sabah," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di sini malam Sabtu. Turut hadir isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman. Najib berkata hubungan erat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri Sabah selain sumbangan Sabah bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) menang pada setiap pilihan raya memudahkan kedua-dua pihak membincangkan isu-isu berbangkit termasuk tuntutan tambahan royalti minyak. Beliau berkata Musa juga tidak pernah berdiam diri berhubung isu royalti minyak untuk Sabah dan sering bertanya kepada beliau bagaimana Sabah boleh memperoleh lebih banyak daripada pembangunan industri minyak dan gas. "Oleh itu, kalau ada apa-apa perkara berbangkit dari semasa ke semasa, tentu sekali kita boleh merundingkan perkara ini. Tidak semestinya kita bertempik di luar, tidak semestinya kita bawa usul ke Dewan Undangan Negeri. "Atas isu royalti minyak, kerajaan negeri Sabah tetap prihatin dalam hal ini. Saya boleh sahkan perkara ini," katanya. Najib yang juga Menteri Kewangan berkata beliau telah mengarahkan Presiden Petronas Tan Sri Shamsul Azhar Abbas memberi taklimat khas kepada kerajaan negeri Sabah dan menteri-menteri kerajaan Persekutuan dari Sabah berhubung isu itu bagi membolehkan mereka memahaminya dari sudut penambahan pendapatan untuk Sabah. "Percayalah kita melakukan yang terbaik untuk Sabah. Hakikatnya yang perlu kita fahami ialah peruntukan yang diterima Sabah melalui kementerian dan agensi kerajaan Persekutuan jika dicampur perbelanjaan pembangunan dan operasi, ia adalah tiga kali ganda daripada 20 peratus royalti minyak yang disebut-sebut dan dicanang oleh parti-parti pembangkang," jelas beliau. Najib berkata kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah juga sedang menimbang usaha dan bentuk bantuan untuk negeri ini dan akan mengumumkannya kelak. Sementara itu, Najib yang juga Pengerusi BN mengingatkan semua pemimpin dan anggota parti komponen BN di Sabah supaya tetap berpegang kepada konsep perkongsian kuasa dan semangat BN serta membuat keputusan secara konsensus bagi memastikan BN terus utuh di negeri ini. Beliau berkata pemimpin parti-parti komponen BN perlu sedia duduk semeja dan mendengar pendapat mengenai sebarang permasalahan manakala wakil rakyat BN sama ada di peringkat negeri atau Parlimen haruslah adil dalam soal pengagihan bantuan. Sekiranya pemimpin parti-parti komponen BN bersifat adil dan inklusif dalam soal pengagihan bantuan, katanya keadaan itu akan memberi kekuatan berterusan kepada BN di Sabah. Mengenai masa depan Sabah, Najib berkata beliau yakin Sabah yang diterajui BN mempunyai masa depan yang cerah dan cukup baik untuk terus maju.

GST- kenaikan harga barang hanya "one-off"

Kenaikan harga barangan susulan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula April tahun depan hanya bersifat 'one-off' dan akan kembali stabil dalam masa setahun. Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Khazali Ahmad berkata berdasarkan kajian, kadar kenaikan juga agak kecil iaitu sekitar 1.4 hingga 1.8 peratus. "Bukannya tiada peningkatan langsung. Berdasarkan kajian ada sedikit peningkatan dan peningkatan ini kembali stabil dalam masa setahun," katanya di sini. Khazali ditemui Bernama selepas menyampaikan ucapan menutup Persidangan GST Kebangsaan anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tax Advisory and Management Services Sdn Bhd yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis. Mengulas lanjut, beliau berkata sehubungan itu gaya hidup pengguna tidak akan berubah dengan pelaksanaan GST tersebut. "Jabatan Kastam telah melakukan simulasi untuk menguji impak GST terhadap orang ramai dan mendapati peniaga tidak mempunyai sebab untuk menaikkan harga secara melampau," katanya. Ini kerana katanya peniaga boleh menuntut kembali cukai enam peratus yang dibayar itu daripada kerajaan. Beliau juga mengingatkan peniaga bahawa mereka boleh didakwa menurut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan jika menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya. Dalam sidang Dewan Negara pada 5 Mei lalu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memaklumkan daripada 689 barangan yang dikategorikan sebagai barangan dikenakan GST, sebanyak 287 mengalami penurunan harga, 329 kekal, 255 sedang disemak dan hanya 73 mengalami kenaikan. Pelaksanaan GST pada kadar enam peratus diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2014 pada Oktober tahun lalu, bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang berkadar keseluruhan 16 peratus. -- BERNAMA

Anggota Polis Marin terbunuh dalam serangan hendap di Pulau Mabul, Semporna

Seorang anggota Pasukan Polis Marin terbunuh manakala seorang lagi hilang dipercayai diculik, apabila pasukan keselamatan itu diserang hendap sekumpulan lelaki bersenjata dalam kejadian di sebuah resort di Pulau Mabul, Semporna malam tadi. Pengarah Operasi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Abdul Rashid Harun berkata kumpulan itu yang menggunakan senjata berat membuat serangan hendap terhadap pasukan keselamatan negara pada pukul 11.10 malam. "Anggota yang terbunuh berpangkat koperal dan yang hilang ialah konstabel. Kita tidak boleh dedahkan identiti mereka untuk menjaga sensitiviti keluarga," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Menurut Abdul Rashid, selepas melakukan serangan itu kumpulan terbabit melarikan diri ke perairan negara jiran. Beliau juga tidak menolak kemungkinan kumpulan penjenayah menyasarkan pasukan keselamatan negara susulan peningkatan penguatkuasaan di kawasan itu dengan ramai suspek ditangkap. "Saya ingin mengingatkan kepada semua anggota dari semua agensi keselamatan kita di kawasan Esscom agar lebih berhati-hati dan sentiasa siap sedia menghadapi sebarang kemungkinan," katanya.

Tun M gesa rakyat Malaysia hulur bantuan ke Gaza walaupun kecil

Rakyat Malaysia perlu terus menghulurkan bantuan, walaupun dalam nilai yang kecil bagi membantu penduduk Gaza, Palestin yang semakin menderita ditindas Israel, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dr Mahathir, yang juga Presiden Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) berkata bantuan itu mampu meringankan beban serta membolehkan rakyat Palestin meneruskan kelangsungan hidup. "Kita (PGPF) ada wujudkan tabung Gaza melalui internet untuk orang ramai salurkan sumbangan...walaupun RM1, semua kita terima. "Setakat hari ini, kita telah kumpul RM500,000 dan dengan sumbangan ini kita akan bantu penduduk Gaza bagi meringankan beban mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku 'Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA)- Malaysia Is Not For Sale', terbitan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) di Karangkraf di sini. Turut hadir isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MTEM Mohd Nizam Mahshar. Dr Mahathir berkata PGPF akan berusaha meminta pertolongan dari negara-negara jiran Palestin untuk membawa masuk pelbagai bentuk bantuan seperti wang dan bekalan ubat-ubatan supaya dapat disalurkan kepada rakyat Palestin. "Seperti yang kita maklum terdapat beberapa sekatan tertentu untuk membawa bantuan ini, kalau boleh kita nak hantar pada negara jiran Palestin (untuk disalurkan pada rakyat Palestin) tetapi itu terpulang pada negara jiran tersebut untuk bantu atau tidak," katanya. Israel telah melancarkan serangan darat ke Gaza dalam operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan' sejak Selasa lepas. Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera akibat serangan bertubi-tubi roket tentera rejim Israel terhadap Gaza.

Jumaat, 11 Julai 2014

APMM memperhebat rondaan sepanjang musim perayaan

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memperhebat rondaan dan penguatkuasaan menerusi Ops Tumpas pada musim perayaan ini bagi membendung jenayah maritim di perairan negara. Ketua Pengarah APMM Datuk Mohd Amdan Kurish berkata operasi khas tersebut adalah bagi membendung kegiatan penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan rompakan di laut. "Operasi dilancarkan pada 1 Julai yang lepas hingga 15 Ogos ini melibatkan semua lima wilayah maritim tanpa menjejaskan operasi sedia ada. Dalam tempoh 13 hari bulan Ramadan ini, sebanyak 880 pemeriksaan dan 22 tangkapan telah dilakukan. "Manakala pada tahun lepas APMM telah membuat 2,283 pemeriksaan dan 42 tangkapan pada bulan Ramadan dan 2,280 pemeriksaan dan 54 tangkapan pada bulan Syawal," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan sempena bulan Ramadan kepada 30 anak yatim dari sekitar Kuantan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, di sini, malam tadi. Turut hadir Ketua Pengutakuasa Wilayah Timur Datuk Nasir Adam. Mohd Amdan berkata, operasi khas itu juga adalah bagi mengelak kemalangan jiwa yang melibatkan PATI pada musim perayaan. Beliau menasihatkan PATI balik ke negara masing-masing menerusi jalan sah walaupun dikenakan denda (kerana tinggal di negara ini secara haram) daripada memilih jalan tidak selamat dengan menggunakan tekong-tekong haram yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan. Mengulas operasi APMM, Mohd Amdan berkata sepanjang enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 423 tangkapan berjaya dilakukan daripada 15,892 pemeriksaan yang dijalankan oleh APMM di seluruh wilayah maritim negara ini. "APMM juga berjaya mengutip RM261 juta hasil denda, kompaun, pelupusan vesel dan lelongan sejak tahun 2006 hingga kini. Selain itu sebanyak 30 buah bot nelayan asing berjaya ditahan pada tahun ini dan berjaya mengutip denda berjumlah RM2.1 juta. "Bagi penyeludupan minyak diesel dan petrol dari 2006 hingga Jun ini, sebanyak 171 kes ditahan yang melibatkan nilai melebihi RM2.5 juta," katanya. Menerusi operasi dan menyelamat pula, beliau berkata APMM berjaya menyelamatkan 248 nyawa bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

SOP ESSCom dinilai semula- Zahid

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) akan dinilai semula bagi memperbaiki sebarang kelemahan yang ada. Ahmad Zahid berkata penilaian semula SOP ESSCom perlu dilakukan kerana percaya tidak ada SOP yang sempurna dan masih ada ruang untuk memperbaiki SOP berkenaan atas faktor perubahan keadaan semasa serta atas permintaan masyarakat. "Kami ingin melihat semula tentang SOP dan juga sebarang tugas yang selama ini telah berjalan. Tentu masyarakat mempertikaikan mengapa masih berlaku pencerobohan, kenapa masih berlaku penculikan?," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa dengan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini Khamis. Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman dan bekas Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib. Beliau berkata selain kelengkapan aset dan tenaga manusia, ESSCom juga akan memberi perhatian serius kepada aspek risikan atau pengumpulan maklumat dan ia akan dilakukan melalui kerjasama antara bahagian risikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ahmad Zahid berkata bahagian risikan pasukan keselamatan Malaysia juga akan bekerjasama dengan bahagian risikan tentera Filipina dan unit pengumpulan maklumat polis negara berkenaan. "Ia untuk menjaga kepentingan negara ini dan pada masa sama menjaga kepentingan rakyat dan kerajaan Filipina sendiri kerana masalah yang dihadapi kini datang dari Wilayah Selatan negara itu. "Jadi mudah-mudahan dengan jalinan ini akan merupakan sebagai era baharu kepada kepimpinan pengoperasian ESSCom yang akan diambil alih secara rasmi oleh PDRM pada 15 Julai ini," katanya. Mengenai pengambilalihan sepenuhnya pengoperasian ESSCom oleh PDRM, Ahmad Zahid berkata pihak KDN dan PDRM mengucapkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi kepercayaan kepada agensi kementeriannya mengendalikan sepenuhnya pengoperasian ESSCom. Katanya meskipun tanggungjawab yang bakal dipikul PDRM adalah berat namun yakin dengan kerjasama yang diberikan oleh ATM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) akan merealisasikan operasi yang cukup terkini. Mengenai kedudukan Ketua Pengarah ESSCom Datuk Mohammad Mentek, Ahmad Zahid berkata ia akan ditentukan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Perdana Menteri. Mengulas pembebasan pengurus pusat ternakan ikan warga China, Yang Zai Lin, 34, yang culik dari Pulau Baik, Lahad Datu pada 6 Mei lepas dan diselamatkan awal pagi ini, Ahmad Zahid berkata kejayaan menyelamatkan mangsa adalah berdasarkan hasil maklumat yang diterima. -- BERNAMA

Rakyat Malaysia perlu bersatu mengecam Israel- Zahid

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu mengecam tindakan tentera rejim Israel yang menyerang rakyat Palestin di Gaza. Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno, turut mendoakan mangsa penindasan itu diberi kekuatan untuk menghadapi dugaan terutama dalam bulan Ramadan ini. "Dalam semangat kemanusiaan, dalam bulan Ramadan Al Mubarak yang penuh kemuliaan, marilah kita bersatu mengecam keganasan terhadap saudara-mara kita di Gaza. Semoga mereka diberi kekuatan untuk berhadapan dengan dugaan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera hasil serangan roket bertubi-tubi tentera rejim Israel terhadap Gaza. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata pihaknya telah mengerahkan 40,000 tentera bagi melancarkan serangan darat ke Gaza dalam satu operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan'. Sementara itu, Dewan Pemuda Masjid Malaysia (Pemuda Masjid) turut menyelar tindakan rejim Israel yang melakukan serangan ketika umat Islam Gaza sedang menjalani ibadah puasa. Ketua Umumnya Dr Mohammad Nawar Ariffin berkata perbuatan Israel itu mengesahkan lagi bahawa mereka adalah puak yang keji dan sentiasa mencari jalan provokasi dan permusuhan dengan umat Islam di Palestin khususnya, dan umat Islam seluruh dunia amnya. "Pemuda Masjid menyeru agar umat Islam di Malaysia bersatu hati dan suara untuk menyatakan bantahan terhadap apa yang berlaku di Gaza saat ini. "Pemuda Masjid meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak agar dapat segera menghantar nota diplomatik kepada Presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk meminta negara itu selaku negara mentor dan sekutu utama Israel untuk menghalang serangan itu daripada berterusan," katanya. Selain itu, Pemuda Masjid memohon rakyat Malaysia supaya memperuntukkan sejumlah wang untuk disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan yang akan melancarkan misi bantuan ke Gaza.

Lebih 100 ribu peniaga daftar untuk pelaksanaan GST

JABATAN Kastam Diraja Malaysia menjangka lebih 100,000 perniagaan mendaftarkan operasi mereka pada akhir tahun bagi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST). Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, pendaftaran wajib oleh jabatan itu akan bermula pada September. Sejak Jun, lebih 4,000 perniagaan telah mendaftar secara suka rela dengan 3,900 telah diberikan kelulusan bagi rejim cukai baharu itu. "Kami melaksanakan pendaftaran menerusi sistem kami, MyGST, yang akan mengoperasikan GST Malaysia," katanya kepada pemberita pada penutup Persidangan GST Kebangsaan 2014, di sini, hari ini. Khazali berkata GST akan meletakkan Malaysia di kedudukan yang sama dengan negara-negara lain dari segi daya saing eksport. "Kos eksport akan lebih murah. Di bawah GST, pengeksport boleh menuntut balik cukai input. Pada tahap eksport, tiada GST dikenakan. "Itulah sebabnya mengapa eksport kita akan lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa," katanya. Khazali berkata Jabatan Kastam kini giat menjalankan "Program Hand-Holding", yang disasarkan kepada industri khusus bagi mewujudkan kesedaran tentang GST. Beliau berkata perniagaan yang berdaftar akan melalui enam modul program untuk menyediakan diri mereka dengan pelaksanaan GST. - Bernama

OIC perlu hantar bantuan kemanusian ke Gaza serta merta

Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat menggesa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghantar bantuan kemanusiaan dengan serta-merta ke Semenanjung Gaza. Dalam 'Siaran Radio Perdana Menteri Mengecam Operasi Serangan Udara Israel Ke Atas Gaza' pada laman blog www.1malaysia.com.my hari ini perdana menteri berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan pasukan pertahanan Israel ke atas wilayah itu. Beliau berkata kekejaman rejim Zionis terhadap penduduk Palestin di Gaza, bukan sahaja ditentang umat Islam, malah seluruh manusia yang berpegang kepada prinsip kemanusiaan. Sehingga kini, media melaporkan sekurang-kurangnya 81 rakyat Palestin terkorban manakala ratusan lagi cedera hasil serangan roket bertubi-tubi tentera rejim Israel terhadap Gaza. Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dilaporkan berkata pihaknya telah mengerahkan 40,000 tentera bagi melancarkan serangan darat pula ke Gaza dalam operasi yang digelar 'Operasi Perlindungan Sempadan'. Najib berkata Malaysia tidak akan berputus asa memperjuang hak rakyat Palestin, dan memberi sokongan padu terhadap segala usaha untuk menamatkan konflik yang telah sekian lama berlaku di Gaza. Bagaimanapun, katanya, segala usaha tidak akan lengkap tanpa adanya tawakal. "Oleh itu, kepada yang beragama Islam saya sarankan kita lakukan solat Hajat beramai-ramai, di samping menunaikan ibadah solat Tarawih demi rakyat Palestin," kata perdana menteri.

Isnin, 7 Julai 2014

Zahid kekal kerusi Parlimen Bagan Datoh

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) mengekalkan kemenangan bagi kerusi Bagan Datoh di Perak apabila Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menolak dua rayuan untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen itu. Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel lima hakim, sebulat suara menolak rayuan dikemukakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Madhi Hassan dan seorang pemilih berdaftar, Azmi Sulaiman. Beliau berkata kedua-dua perayu menyatakan 19 April, 2013, sebagai tarikh Zahid didakwa melakukan rasuah sebagai seorang calon pilihan raya. Bagaimanapun, 19 April adalah tarikh menjelang penamaan calon bagi pilihan raya umum pada 2013 dan Zahid masih belum menjadi calon pada tarikh berkenaan, katanya. Madhi mendakwa Zahid terlibat dalam rasuah dengan memberikan wang tunai RM100 dan lima kampit beras yang tertera loga BN menerusi seorang bernama R. Supramaniam dan seorang lagi bernama Mustofa Saifudin, pemilih berdaftar di kawasan itu. Azmi mendakwa Zahid melantik kira-kira 24,000 pekerja menerusi pembayaran wang tunai di samping memberi beras kepada individu yang bertugas dalam kawasan itu semasa pilihan raya. Panel Mahkamah Persekutuan turut dianggotai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali. Hakim Arifin juga memerintahkan Madhi dan Azmi, masing-masing membayar RM25,000 sebagai kos perundangan kepada Zahid. Pada 19 Februari tahun ini, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen difailkan oleh Mahdi dan Azmi selepas memutuskan mereka tidak mempunyai fakta mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa Zahid terlibat dalam amalan rasuah. Zahid memperoleh majoriti 2,108 undi untuk mengalahkan Madhi dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lepas. Zahid diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin; Madhi oleh peguam Edmund Bon dan Azmi oleh peguam New Sin Yew. – Bernama, - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/zahid-kekal-memenangi-kerusi-bagan-datoh-mahkamah-persekutuab-tolak-dua-ray#sthash.MvEnA5B4.dpuf

Pakatan Rakyat belum sedia perintah negara

Pergeseran dalaman Pakatan Rakyat yang tidak berkesudahan dalam kerajaan negeri Selangor memberi mesej jelas bahawa gabungan parti itu belum bersedia memerintah sebuah negara, kata Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Beliau berkata krisis kepimpinan yang masih tidak dapat diselesaikan sehingga kini melambangkan kurangnya kemampuan parti itu untuk mentadbir dengan berwibawa malah percakaran antara pemimpin menunjukkan pentadbiran mereka adalah lemah. "Ini memberi gambaran jelas bahawa PR masih belum mampu mentadbir kerana krisis jawatan Menteri Besar Selangor pun masih berlarutan sehingga terpaksa mengambil masa sampai setahun. "Menteri Besar yang ada sekarang pula tidak dapat sokongan daripada pemimpin parti menyebabkan timbul pula krisis air dan sebagainya, jadi apakah mesej yang cuba mereka (PR) sampaikan kepada rakyat?" katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Sumbangan kepada Anak Yatim anjuran Pemuda Umno Selangor di sini pada Isnin malam. Khairy berkata demikian ketika diminta mengulas krisis jawatan Menteri Besar Selangor yang diterajui Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berikutan tekanan hebat daripada kepemimpinan Pakatan Rakyat sendiri sehingga ada yang mendesaknya meletakkan jawatan. Jelas Khairy, krisis jawatan itu ibarat memberi tamparan hebat kepada kepimpinan tertinggi Pakatan Rakyat kerana dilihat masih tidak dapat meyakinkan masyarakat bahawa mereka mampu memilih seorang menteri besar yang diterima ramai. Dalam pada itu, ketika diminta mengulas kenyataan Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang yang didakwa cuba memutar belit peringatan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perpaduan kaum semalam, Khairy menyifatkan ia sebagai berniat jahat. Katanya, tindakan Kit Siang itu ibarat mahu menutup kelemahannya sendiri malah mendakwa kerapuhan perpaduan nasional masa kini turut disumbang oleh DAP. "Selama ini sudah banyak kenyataan yang dibuat DAP mengguris perasaan bumiputera di negara ini dan beliau sendiri tidak dapat bendung kemarahan rakyat kerana dia gagal kawal kenyataan yang dikeluarkan daripada anggota parti dia sendiri," katanya. Tambah Khairy, peringatan Muhyiddin itu seharusnya dilihat secara positif kerana tidak mustahil peristiwa 13 Mei 1969 boleh berulang jika perpaduan nasional tidak terus diharmonikan oleh semua lapisan masyarakat.

Pegawai KDN dan politik disaran anjur program bersama

Pihak pentadbir dan ketua jabatan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta ahli politik disaran agar mengadakan lebih banyak program bersama untuk mewujudkan persefahaman antara satu sama lain. Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ketidaksefahaman antara dua pihak itu kadangkala sering menimbulkan salah faham yang akhirnya boleh menjejaskan pentadbiran kerajaan. "Ada pentadbir yang melihat orang politik sebagai suka kacau daun, manakala orang politik pula suka melihat pentadbir tidak suka patuh arahan. "Sebenarnya ada kaedah yang boleh dilakukan (untuk wujud kesefahaman). Apabila ada kombinasi ini, secara tidak langsung akan wujud kebersamaan antara kita," katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa bersama Menteri Dalam Negeri di Kompleks KDN Pahang di sini pada Isnin. Majlis itu turut dihadiri Timbalannya Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang Datuk Sharkar Shamsudin serta Ketua Polis Pahang Datuk Sharifuddin A Ghani. Ahmad Zahid berkata pada bulan Ramadan, program seperti tarawih, berbuka puasa dan moreh boleh dijadikan sebagai antara acara tidak formal untuk mewujudkan dan mengeratkan kefahaman tersebut. "Hubungan tidak formal adalah sama penting dengan hubungan formal dan perkara itulah yang kita cuba wujudkan di peringkat kementerian," katanya. Sehubungan itu juga, katanya, beliau sendiri juga kerap turun padang pada bulan Ramadan ini untuk berjumpa dengan kakitangan dan ketua jabatan di bawah agensi kementerian untuk meraikan mereka dan mengelakkan mereka rasa terpinggir. Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada 30 anak yatim dan miskin dari Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin D'Nasti, Bukit Setongkol.

Khalid Ibrahim nafi letak jawatan

Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan bahawa beliau telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar Selangor seperti yang tersebar di laman sosial sejak semalam. Beliau berkata perkara itu tidak benar sama sekali. "Tidak benar...saya baru lepas mesyuarat dan saya ada satu lagi mesyuarat petang ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perancangan negeri di Bangunan Darul Ehsan (SUK II) di sini Isnin. Abdul Khalid mengulas penyebaran maklumat di aplikasi Whatsapp bahawa beliau akan menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di istana pagi ini bagi menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor. Ditanya sama ada tindakan penyebaran maklumat palsu itu merupakan serangan peribadi terhadapnya, beliau berkata walau apapun sebabnya, maklumat itu tidak benar dan individu yang melakukan perkara itu hanya membuang masa. Abdul Khalid meminta individu berkenaan menghentikan tindakan penyebaran maklumat palsu itu. Ditanya kemungkinan ia dilakukan lawannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR), beliau menjawab: "Bulan puasa saya tidak boleh cakap benda yang tidak betul." Terdahulu, pihak media berkumpul di hadapan Istana Bukit Kayangan dan Istana Mestika di sini susulan penyebaran maklumat itu. Bagaimanapun, selepas menunggu hampir dua jam mereka bergegas ke Bangunan Darul Ehsan selepas mendapat maklumat Abdul Khalid sedang menghadiri mesyuarat perancangan negeri di situ. Ketika menunggu Menteri Besar selesai mesyuarat, pihak media sekali lagi dikejutkan dengan berita terkini (flash) kononnya daripada Bernama bahawa Abdul Khalid telah meletak jawatan dan tempatnya digantikan dengan Pesuruhjaya Pas Selangor Iskandar Abdul Samad. Bernama bagaimanapun mengeluarkan kenyataan ia telah mengesan ada pihak tertentu menggunakan namanya untuk menyebarkan berita palsu mengenai peletakan jawatan Menteri Besar Selangor. Iskandar, yang turut hadir pada mesyuarat sama, ketika ditemui pemberita juga menafikan berita itu. "Tidak benar...ia hanya khabar angin," katanya. Abdul Khalid kini dikatakan menerima tekanan daripada beberapa pimpinan PKR secara terbuka yang mahukan beliau meletak jawatan Menteri Besar. Jumaat lepas, sebuah akhbar berbahasa Inggeris melaporkan Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei sebagai berkata peletakan jawatan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PKR pada 15 Jan lalu. Ini bagi memastikan kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Mac lalu.

Tahniah Bang Li, Ghazali angkat sumpah sebagai Setiausaha Politik Menteri Kewangan

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Datuk Paduka Ghazali Ibrahim hari ini mengangkat sumpah memegang jawatan dan menyimpan rahsia di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini. Beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Perdana Menteri. Majlis itu turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Ghazali, 60, sebelum ini pernah menjadi Exco Negeri Kedah (1995-1999) dan anggota Parlimen Padang Terap (2004-2008).

Tabung Haji ada simpanan RM50 bilion daripada pendeposit

Lembaga Tabung Haji (TH) mempunyai kira-kira RM50 bilion jumlah simpanan daripada keseluruhan 8.4 juta pendepositnya di seluruh negara. Ahli Lembaga Pengarah TH Ghazali Awang berkata simpanan yang diterima TH setiap tahun daripada pendeposit baharu ialah kira-kira RM5 juta di 120 cawangannya. TH menerima banyak penyimpan baharu setiap kali selepas pengumuman dividen setiap tahun, katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan Zakat Program Ehsan TH bagi kawasan Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Seberang Takir dekat sini Isnin. Turut hadir pada majlis itu ialah Pengurus TH negeri Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar. Mengenai Program Ehsan TH, Ghazali berkata TH menyasarkan agihan zakat berjumlah RM1.7 juta kepada sebanyak 3,424 asnaf miskin dan fakir di seluruh negara pada tahun ini. Katanya bagi negeri Terengganu, sebanyak 320 orang terdiri daripada golongan miskin menerima sumbangan masing-masing RM500 melibatkan jumlah keseluruhan RM160,000. Ghazali berkata program berkenaan merupakan tanggungjawab sosial tahunan TH yang diadakan pada bulan Ramadan bertujuan meringankan beban kewangan golongan itu. "Walaupun sumbangan kita tidak begitu besar, namun diharap ia mampu meringan sedikit beban golongan itu yang sangat memerlukan," katanya. Sementara itu Mohammad Mokhzani berkata kira-kira 1,000 bakal haji dari Terengganu dan sebahagian dari Kelantan akan berkumpul di Hotel Tabung Haji dan Pusat Konvensyen di sini sebelum berlepas menunaikan fardu haji bermula 8 Sept dengan lima penerbangan terus ke tanah suci dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini. Justeru itu TH telah membuat persiapan untuk bakal-bakal haji berkenaan dan persiapan terakhir ialah Kursus Haji Perdana yang akan diadakan pada 8 dan 9 Ogos bertempat di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini.

Ahad, 6 Julai 2014

MH370- Malaysia tamban aset untuk teruskan misi pencarian

Malaysia menghantar lebih banyak aset ke Selatan Lautan Hindi untuk mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 di lokasi baharu lautan itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang mampu membuat pencarian dengan menggunakan peralatan 'multi beam echo sounder', akan menyertai pasukan mencari dengan memberi bantuan dalam proses batimetrik. "Kapal ini akan memulakan pelayarannya pada 4 Ogos," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Foto MH370 di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Ahmad Jauhari Yahaya. Mengenai aset komersial, Hishammuddin berkata Petronas serta DEFTECH and Phoenix International akan segera menghantar sebuah kemudahan dikenali sebagai Prosas Side Scan Sonar (Towed Synthetic Aperture Sonar) untuk dipasang pada kapal induk, yang akan dikenal pasti kelak. Hishammuddin berkata sebuah lagi syarikat, Boustead Heavy Industries, bersama iXBlue Australia, juga akan menghantar sebuah 'deep towed side scan sonar' bersama Kenderaan Kawalan Jauh (ROV) yang dipasang pada kapal induk bernama John Lethbridge. Aset tersebut dijangka tiba di kawasan mencari pada pertengahan Ogos dan keperluan operasi aset ini akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Australia, katanya. Beliau seterusnya menjelaskan bahawa kapal TLDM, Bunga Mas 6 (BM6), yang menyertai usaha mencari secara aktif sejak pencarian di permukaan laut dijalankan pada April, akan terus berada di kawasan pencarian dalam fasa akan datang bagi membantu usaha mencari pesawat yang hilang itu. Menurut beliau, BM6 kini memberi bantuan dari segi sokongan logistik dan pemindahan data kepada kapal yang berada di kawasan mencari. Pada 26 Jun, pegawai Australia mengumumkan bahawa usaha mencari MH370 akan beralih jauh ke selatan Lautan Hindi dan dijangka selesai dalam masa lebih kurang setahun. Bagaimanapun, lokasi baharu itu masih di kawasan di mana pesawat Boeing 777-200 yang dalam penerbangan ke Beijing bersama 239 penumpang dan anak kapal didapati kali terakhir berkomunikasi dengan satelit sebelum hilang pada 8 Mac, setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL. Kerja batimetrik atau memeta dasar laut itu dijangka selesai dalam masa tiga bulan dan akan disusuli dengan usaha mencari secara menyeluruh di laut mulai Ogos. Ditanya tentang kos operasi akan datang, Hishammuddin berkata penggunaan aset yang baru diumumkan itu akan ditanggung syarikat komersial. Beliau bagaimanapun berkata terdapat juga kemungkinan Malaysia, China dan Australia akan berkongsi memikul kos operasi mencari itu. Ditanya tentang pampasan kepada keluarga penumpang dan anak kapal MH370, Hishammuddin berkata perkara itu adalah tanggungjawab Jawatankuasa Waris, yang kini bekerjasama rapat dengan MAS untuk menyelesaikannya mengikut garis masa yang ditetapkan. Selepas pesawat itu hilang, gerakan antarabangsa untuk mencarinya secara besar-besaran dilancarkan, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di Selat Melaka dan Laut Andaman, sebelum pasukan mencari mengalih tumpuan mereka ke perairan di luar pantai barat di selatan Lautan Hindi, dalam jarak pertengahan ke Antartika. Pada 29 Mei, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama menolak kawasan isyarat akoustik di kesan di Selatan Lautan Hindi pada awal April sebagai tempat bersemadinya pesawat MH370. Sementara itu, 40 foto karya jurufoto tempatan dan antarabangsa yang membuat liputan berhubung kehilangan pesawat MH370, kini dipamerkan di Black and Blue Bridge, Publika Mall hingga 21 Julai. Pameran ini dianjurkan Kelab Wartawan Asing Malaysia.

Peneroka Felda terima dividen RM72.9 juta-PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pembayaran dividen akhir Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH) kepada peneroka Felda berjumlah RM72.9 juta. Sehubungan itu, semua 112,635 warga peneroka seluruh negara akan menerima imbuhan sebanyak RM647.78 seorang. Pembayaran dividen akhir FGV ini membabitkan jumlah 10 sen sesaham yang mana ia akan dibayar menerusi Tabung Amanah pada Jumaat ini (11 Julai). Perdana Menteri yang menghadiri majlis berbuka puasa bersama warga peneroka di Pejabat Felda Wilayah Terengganu ketika berucap turut mengumumkan pemberian duit raya kepada peneroka Felda dengan jumlah keselurahan sebanyak RM30.5 juta. Najib berkata pemberian ini sebagai menghargai sumbangan peneroka kepada pembangunan Felda dan membantu perbelanjaan persiapan Hari Raya mereka. "Kita juga menyerahkan duit raya sebanyak RM300 bagi setiap keluarga peneroka bagi meringankan lagi beban kewangan peneroka dan keluarga mereka dalam membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi," katanya. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri Toh Puan Harlina Zakaria, Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari serta Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad. Di majlis itu juga, Najib turut menyerahkan zakat perniagaan bagi pihak Kumpulan Felda berjumlah RM22.02 juta. Katanya, jumlah bayaran zakat tersebut bersempena keuntungan FGV yang dicatatkan pada tahun kewangan 2013 iaitu sebanyak RM8.6 juta, Koperasi Permodalan Felda (KPF) RM12.8 Juta, Felda D'Saji RM321,200 dan koperasi kakitangan Felda Malaysia Berhad (FELKOP) RM297,985.97. Zakat perniagaan ini dibayar kepada 14 Pusat Zakat Negeri iaitu bagi negeri-negeri dimana kumpulan Felda menjalankan operasi perniagaannya. Sementara itu bersempena majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 6,000 orang, kumpulan Felda turut memberikan sumbangan amal dan saguhati kepada masjid Felda yang melibatkan jumlah sebanyak RM927,500 yang akan diagihkan kepada Pengerusi Masjid, Imam, Bilal dan Siak. Selepas majlis ini, Najib dijadual bersolat Isyak dan tarawih di Masjid Al-Abrar Bukit Tok Beng, Seberang Takir di sini sebelum berlepas pulang ke ibu negara. Sementara itu, rata-rata peneroka Felda melahirkan rasa terharu dengan pengumuman dan sumbangan itu oleh Perdana Menteri. Wakil peneroka Samsudin Othman, 62, bersyukur dengan pengumuman Najib yang sudi memberi sumbangan hari raya sebagai persiapan menyambut lebaran. "Walaupun jumlah itu tak besar namun ia sedikit-sebanyak menolong dan mampu meringankan beban kami," kata Samsudin yang berasal dari Johor. Seorang lagi peneroka Ismail Mohamad, 66, dari Felda Neram Satu Kemaman berkata beliau berharap golongan Felda akan terus dilimpahi faedah pada masa akan datang dan usah percaya kata-kata negatif dilemparkan kepada Felda. "Para peneroka usahlah mendengar kata-kata tidak sahih kerana ia akan mendatangkan rasa kurang senang kepada kita sendiri. "Kerajaan kita sudah cukup baik, apa lagi kita masih tidak puas hati?," katanya.

PM Najib ucap terima kasih kepada Ahmad Said

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said atas jasa yang disumbangkannya sepanjang mentadbir negeri ini. Beliau berkata jasa Ahmad sepanjang bergelar Menteri Besar tidak harus dipandang mudah kerana beliau melakukan pelbagai sumbangan dan usaha untuk membangunkan negeri Terengganu. Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap sebelum mengumumkan pemberian dividen Felda Global Ventures Holdings Berhad dan duit raya kepada warga peneroka Felda di Kompleks Pejabat Felda Wilayah Terengganu di Tepoh di sini hari ini. Najib juga menyokong penuh konsep pembangunan yang dibawa oleh Menteri Besar Terengganu yang baharu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam memajukan pembangunan dan pentadbiran negeri. Katanya Ahmad Razif juga bersedia meneruskan kesinambungan usaha yang dilakukan oleh Ahmad Said. "Apa sahaja yang baik yang dilakukan oleh Ahmad Said, Ahmad Razif akan teruskan bagi memastikan negeri ini terus berkembang," katanya.

Isu judi haram- Zahid akan bertemu dengan menteri besar

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau akan mengadakan perjumpaan dengan menteri besar dan ketua menteri bagi membincangkan mengenai masalah judi haram yang semakin berleluasa. Katanya tindakan melawat negeri-negeri itu bagi mendapatkan sokongan terhadap usaha kementerian itu memerangi judi haram, antaranya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak lagi mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga (PHK). "Saya yakin mereka (menteri besar dan ketua menteri), termasuk yang dikuasai pembangkang, akan memberi sokongan kepada KDN (Kementerian Dalam Negeri) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk membanteras judi haram yang akhirnya akan merosakkan akhlak penduduk di negeri berkenaan. "Masalah (judi haram) ini terlalu serius. Dan saya fikir Selangor yang paling 'hebat'," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa bersama warga KDN Kedah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini. Hadir sama Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Mohamad Khalid Sharif, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim. Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid berkata pasukan petugas yang diwujudkan bagi menangani kegiatan judi haram itu akan mengadakan kerjasama dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri selain Jabatan Peguam Negara, PBT, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). "Ini semua bagi membanteras judi haram termasuk penyitaan premis perjudian, aset perjudian, perkakasan perjudian dan harta benda dipunyai oleh mereka yang menjalankan kegiatan perjudian haram," katanya. Beliau berkata ada undang-undang berkaitan yang telah diluluskan oleh Dewan Rakyat tetapi beberapa pindaan tambahan diperlukan untuk memperkuatkan pelaksanaan pencegahan dan pembanterasan. "KDN amat mengalu-alukan usaha Jabatan Peguam Negara untuk membantu membentangkan pindaan itu. Kita harap akan dapat dilakukan dalam sidang Parlimen pada Oktober depan," katanya. Beliau berkata iltizam politik dan komitmen kerajaan amat jelas dalam membendung serta membanteras kegiatan judi haram dan beberapa mesyuarat penyelarasan antara agensi persekutuan yang terlibat telah diadakan dan akan diperluaskan di peringkat negeri. "Ada yang mencadangkan supaya KPI (petunjuk prestasi utama) ditekankan bagi menentukan penguatkuasaan ini dilaksanakan. KPI ini adalah prestasi yang akan diukur bukan hanya untuk KDN dan PDRM tetapi juga mengukur pencapaian semua agensi pusat dan negeri apabila pelaksanaan penuh dilakukan kelak," katanya.

Sabtu, 5 Julai 2014

Kerusi MB Selangor- Pas akan bincang esok

Pimpinan Pas Pusat dan Selangor akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan suasana politik negeri ini, esok. Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perjumpaan itu bukan khusus berkenaan kedudukan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semata-mata tetapi perkara lain juga. “Kita mahu bincangkan perkembangan politik di Selangor dalam pelbagai sudut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad turut mengesahkan perjumpaan pada hujung minggu ini. “Ya, ada pertemuan antara Pas Pusat dan Pas Selangor Ahad ini. Pusat hendak dengar pandangan Adun, Ahli Parlimen dan Yang Dipertua Pas Kawasan berhubung isu Menteri Besar,” katanya. Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kayat ketika dihubungi berkata, perjumpaan itu bertujuan mendengar cadangan dan pendapat peringkat akar umbi. "Pas parti yang tidak membuat sesuatu keputusan terburu-buru dengan mendengar cakap sesetengah pihak sahaja dan kita akan adakan perbincangan untuk capai kata sepakat dan buat keputusan. Ketika ditanya berkenaan kelantangan beliau sebelum ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang yang mahukan kedudukan Menteri Besar itu berhak diberikan kepada Pas beliau berkata, ia merupakan pendapat semata-mata. Suhaizan juga tidak menolak sekiranya jawatan Menteri Besar itu diisi oleh PKR lagi jika ia keputusan bersama parti komponen lain dalam PR dalam masa sama tidak mahu Pas dilihat sebagai parti yang hanya mengambil peluang dalam masalah kepimpinan di negeri tersebut. Kebelakangan ini timbul desakan segelintir ahli PKR yang mahukan Abdul Khalid berundur termasuk suara kalangan Pas sendiri. Desakan lepas jawatan itu timbul apabila Abdul Khalid dikatakan mengetepikan pandangan Adun semasa membuat beberapa keputusan besar yang membabitkan negeri antaranya isu penstrukturan semula industri air negeri. Pas yang memenangi majoriti 15 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU13) memberi laluan kepada PKR untuk jawatan Menteri Besar yang mana masing-masing memperolehi 14 kerusi bagi DAP dan PKR.Petikan; Sinar Harian

Isu gelandangan- Kementerian Wilayah bincang Selasa ini

Bagi meleraikan isu berkaitan pengagihan makanan kepada golongan gelandangan dapat dimuktamadkan, Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan pertemuan khas dengan NGO-NGO terlibat Selasa ini, ujar menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Menurut Tengku Adnan, perbincangan tersebut akan menyentuh mengenai lokasi baharu yang lebih sesuai untuk kumpulan sukarelawan tersebut mengagihkan makanan kepada golongan yang memerlukan. “ Saya menghargai segala usaha murni yang dilaksanakan oleh NGO-NGO yang terlibat dan Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan akan mengadakan perbincangan dengan NGO-NGO ini. “Perbincangan itu adalah bagi menetapkan lokasi yang bersesuaian supaya pengagihan makanan dan bantuan-bantuan lain dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini. Terdahulu, Tengku Adnan dikritik hebat setelah pelbagai kenyataan yang dikeluarkannya yang menyentuh mengenai golongan gelandangan dan NGO ini mencetuskan kontroversi. Beliau sebelum itu melarang mana-mana NGO memberi makanan percuma kepada golongan miskin dalam lingkungan dua kilometer dari pusat membeli-belah Lot 10, Bukit Bintang. Menurutnya, kawasan berkenaan dikira sebagai tempat tumpuan pelancong, yang dibimbangi akan menjadi kotor dengan kehadiran orang miskin dan gelandangan. Setelah dikritik keras pelbagai pihak, Tengku Adnan memberi penjelasan bahawa niatnya adalah untuk memperbetulkan keadaan dan membantu golongan tersebut mendapat kehidupan yang lebih baik.

Jumaat, 4 Julai 2014

Pemalsuan MyKad-105 individu ditahan sejak September lepas

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menahan 105 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemalsuan MyKad sejak September tahun lepas hingga April ini. Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada anggota sindiket dan individu yang bergerak aktif menjalankan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan. "Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sindiket yang menyasarkan warga asing yang berhajat menjadi warganegara Malaysia. "Dua lagi ialah individu yang mengenakan bayaran tertentu kepada pihak yang mahukan kad pengenalan dan individu yang melaksanakan aktiviti itu secara berkala dengan menumpukan di kawasan tertentu terutama di ladang serta kawasan perumahan yang mempunyai warga asing," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga KDN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi. Ahmad Zahid berkata antara yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah warga asing daripada beberapa negara yang dipercayai bertindak sebagai ejen. Katanya setakat ini tiada penjawat awam terutama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan dalam aktiviti pemalsuan MyKad. Beliau berkata MyKad palsu itu tidak mempunyai 13 ciri khas seperti yang terdapat pada kad tulen, malah tiada butiran maklumat dalam sistem berkomputer JPN yang boleh diimbas menerusi mesin pengimbas. Ahmad Zahid turut menafikan KDN melantik ejen untuk memudahkan urusan bagi memohon MyKad kerana pihaknya mempunyai 41 pejabat JPN di seluruh negara. "Saya minta orang ramai jangan terpedaya atau percaya dengan pihak yang cuba menawarkan kad pengenalan kerana kita tidak pernah lantik mana-mana ejen. "Lagipun urusan pemprosesan MyKad hanya memakan masa 24 jam dan bukan berminggu seperti yang didakwa mereka (ejen)," katanya.

Lapor terus aktivti rasuah kepada SPRM dan bukan di laman laman sosial

Orang ramai diminta melapor terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mengetahui sebarang aktiviti rasuah dan bukan menyalurkannya di laman-laman sosial. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata ini bagi mengelakkan bahan bukti hilang ketika hendak disiasat selain maklumat yang diperoleh bukan maklumat asal sekali gus merosakkan sistem keadilan jenayah. "Mungkin ramai yang tidak mahu laporkan kepada pihak berkuasa kerana takutkan ancaman tetapi kita mempunyai beberapa akta seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta Akta Perlindungan Saksi 2009 untuk menjaga pemberi maklumat," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Lawatan Sambil Belajar oleh 70 pelajar dan guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Harcroft, Puchong susulan Kempen Wira AntiRasuah di sini hari ini. Katanya mereka yang menyebarkan maklumat palsu mengenai rasuah juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kanun Keseksaan. Kempen itu mula diadakan di peringkat sekolah rendah sejak awal tahun ini untuk memberi pendedahan awal mengenai kegiatan rasuah dan sehingga hari ini empat buah sekolah telah mengambil bahagian.

Kerajaan perlu perbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam- Cuepacs

Kerajaan perlu memperbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam dalam perkhidmatan bagi membendung penglibatan mereka dalam kegiatan militan atau aktiviti negatif yang lain. Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, ikrar Aku Janji yang dilafazkan penjawat awam ketika mula bertugas di jabatan awam harus sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa sebagai peringatan kepada mereka supaya sentiasa taat setia terhadap kerajaan dan negara. "Pembaharuan ikrar ini bertujuan untuk memberi kesedaran agar para penjawat awam tahu tanggungjawab mereka terhadap kerajaan, dan hal ini juga mampu untuk memberi persepsi yang positif terhadap pembangunan negara," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. Azih turut melahirkan rasa kecewa berhubung pembabitan penjawat awam dalam kegiatan militan, dan menganggap ia satu pengkhianatan terhadap amanah negara dengan menjalankan aktiviti yang tidak sepatutnya. Cuepacs akan bekerjasama dengan berbagai kementerian bagi mencari jalan terbaik menangani masalah ini daripada terus berlaku, katanya mengulas penglibatan dua penjawat awam yang merupakan antara lima warga Malaysia yang diburu polis kerana disyaki terbabit dengan kegiatan militan. Azih turut menggesa kerajaan mengadakan program menyemai kecintaan dan kesetiaan terhadap negara di pelbagai peringkat termasuk di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun di tempat kerja. Beliau berkata, jati diri rakyat Malaysia mudah goyah apabila timbul perbalahan ataupun perbezaan pendapat dalam parti politik, tetapi hal ini tidak seharusnya terjadi kerana ia akan menggugat dan memecahbelahkan perpaduan negara. "Semangat cintakan negara seharusnya sentiasa dipupuk dan diberi penekanan dalam diri masing-masing dan ia harus dididik tanpa mengira perbezaan ataupun percanggahan parti politik," katanya.

Rakyat boleh menulis surat kepada PM mengenai pelancongan

Rakyat Malaysia berpeluang menulis surat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyalurkan cadangan untuk meningkatkan industri pelancongan di negara ini melalui 'Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2014'. Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Che Azemi Haron berkata tema pelancongan dipilih bersempena Tahun Melawat Malaysia, dengan sasaran penyertaan yang lebih banyak pada tahun ini berbanding 79,875 tahun lalu. Peserta boleh memilih satu daripada tiga tajuk iaitu 'Kenapa Malaysia Menjadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing', 'Pengalaman dan Keistimewaan Melancong di Malaysia' dan 'Cadangan Untuk Meningkatkan Industri Pelancongan di Kawasan Anda yang Berkonsepkan Pelancongan 1Malaysia'. Selain kategori Sekolah Rendah (150-250 patah perkataan), Sekolah Menengah (350-500 patah perkataan) dan Terbuka untuk 18 tahun ke atas (550-700 patah perkataan), kategori baharu yang diperkenalkan adalah untuk orang kelainan upaya (OKU) dari 9 hingga 45 tahun (tidak melebihi 300 patah perkataan), katanya. "Surat mesti bertulis tangan dan tidak boleh ditaip kecuali bagi kategori OKU (penglihatan) surat itu hendaklah menggunakan mesin taip braille dan karya yang dihantar disertakan dengan terjemahan," katanya pada sidang media di sini hari ini. Pertandingan edisi ke-5 itu yang merupakan anjuran bersama Pos Malaysia Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos. "Kita juga telah membukukan 100 surat terbaik setiap tahun iaitu empat buku dalam empat tahun lalu dan ia akan diterbitkan untuk pembacaan umum dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka tidak lama lagi," katanya. Beliau berkata selain menggalakkan budaya menulis di kalangan generasi muda dan masyarakat Malaysia serta meningkatkan kecekapan penulisan, pertandingan itu juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan industri pelancongan. Sepuluh pemenang dalam setiap kategori akan menerima wang tunai, album setem, sijil, netbook dan hadiah-hadiah lain bernilai RM72,800 yang dijangka disampaikan pada 9 Okt bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.pos.com.my, www.skmm.gov.my atau di laman Facebook www.facebook.com/surat2014 dan www.twitter.com/surat1malaysia.

Khamis, 3 Julai 2014

Tengku Adnan perjelaskan fakta sebenar isu golongan gelandangan

Apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menghadkan aktiviti pemberian bantuan dan makanan kepada gelandangan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) maka ramai pihak yang mula keliru dan membuat tafsiran tanpa berlandaskan agenda sebenar. Dalam hal ini, Tengku Adnan menjelaskan bahawa niat kerajaan bukanlah untuk menghalang atau menidakkan mana-mana pihak melakukan usaha murni terhadap golongan gelandangan di Ibu Kota sebaliknya ia adalah usaha kepada memastikan golongan terbabit terbela. “Saya tidak ada niat untuk menghalang mana-mana pihak untuk membuat amal kebajikan kerana ianya memang digalakkan dalam mana-mana agama sekalipun, tetapi kaedah pemberian itu haruslah bersesuaian dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada orang lain,” katanya. Ujar beliau, masyarakat dan orang ramai perlu faham masalah yang sedang dihadapi dengan realitinya kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah ini dan memastikan golongan terbabit mendapat kehidupan yang baik. Dalam hal ini, beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO bersifat terbuka untuk memberikan penerangan dan penjelasan selain bersedia menerima pandangan yang bernas untuk sama-sama memastikan golongan gelandangan mendapat kehidupan yang lebih baik dan imej Kuala Lumpur tidak tercemar. Dalam memastikan Kuala Lumpur tidak dilimpahi dengan golongan gelandangan yang ditafsirkan sebagai individu atau mereka yang tidak mempunyai pekerjaan serta tempat tinggal yang tetap di samping terdapat pengemis yang berkeliaran, kementerian terbabit telah merangka pelan bagi mengekang penularannya dan seterusnya membanteras gejala tersebut. Untuk makluman, kebersihan adalah salah satu taskforce Kementerian Wilayah Persekutuan dan laporan kebersihan adalah dipantau secara terus oleh menteri yang bertanggungjawab. Berdasarkan laporan oleh agensi, masalah kebersihan di Kuala Lumpur salah satu faktor yang telah menyumbang kepada imej negatif Ibu Kota khususnya di kawasan tumpuan pelancong yang juga menjadi tempat bagi kumpulan gelandangan. Ini ditambah pula dengan tabiat gelandangan yang suka membuang sampah serta tidur di tempat-tempat yang tidak sesuai di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, selain itu kumpulan pengemis pula kebanyakan meminta sedekah di hadapan kompleks perniagaan, seperti Pavillion, KLCC, tepi-tepi jalan dan sebagainya. Kedua-dua faktor ini bukan sahaja menyumbang kepada masalah kebersihan, malah turut menyumbang pelbagai perkara lain seperti masalah sosial, keselamatan, menjejaskan imej Kuala Lumpur dengan pandangan yang kurang elok apabila dilihat oleh pelancong. Dalam pada itu, kajian terhadap golongan ini juga telah dilakukan secara menyeluruh dan mendapati kumpulan gelandangan ini berpunca daripada tiada pekerjaan, miskin, masalah mental/kemurungan,/penyakit melarat, warga asing tiada pekerjaan, ketidakupayaan mengurus diri serta ditinggalkan keluarga kerana penagihan dadah/arak/bekas banduan selain warga emas. Kaedah dan lokasi yang tidak sesuai diambil kira bagi mengelakkan sebarang permasalahan timbul seperti keracunan makanan akibat kekotoran, kencing tikus, masalah kebersihan yang berlarutan, kecacatan pemandangan kawasan tumpuan pelancong dan sebagainya. Selain itu, kajian juga telah mengenal pasti kawasan “hot spot” yang sentiasa menjadi tumpuan kumpulan ini antaranya; 1. Mydin Kotaraya; 2. Masjid Negara; 3. Central Market; 4. Menara Maybank; 5. Jalan Tuanku Abdul Rahman; 6. Jalan Masjid India; 7. Jalan Tiong Nam (Chow Kit); 8. Jalan Silang; 9. Masjid Jamek; 10. Bank Negara; 11. Bulatan Sultan Mohamad; 12. Dataran Merdeka. Sehubungan itu, aplikasi terbaik telah diambil dengan mengenal pasti masalah sebenar sebelum cadangan zon bebas gelandangan dikemukakan iaitu memberi makanan kepada golongan gelandangan ini mengikut hari dan waktu serta lokasi popular pengagihan makanan seperti: 1. Pasar Seni; 2. Dataran Kota Raya; 3. Stesen Bas Klang 4. Masjid India; 5. Masjid Negara; 6. Bangkok Bank, Jalan Tun HS Lee; 7. Kota Raya; 8. Pudu Sentral; 9. Swiss Garden Hotel, Jalan Pudu. Dalam hal ini, Kementerian Wilayah Persekutuan bersama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengenalpasti pusat pengagihan makanan yang sesuai supaya NGO yang aktif dapat meneruskan aktiviti sukarelawan serta menderma makanan kepada golongan ini. Usaha ini juga mampu mengurangkan masalah kekotoran yang akan timbul akibat pembuangan sampah oleh golongan berkenaan. Pemilihan lokasi ini juga akan mengambil kira daripada aspek kesampaian yang mudah kepada golongan gelandangan ini. Antara cadangan lain ialah mewujudkan “Once Stop Centre” Kepada golongan gelandangan sebagai jalan penyelesaian untuk jangka masa panjang. KWP bersama DBKL telah mengenalpasti lokasi yang sesuai bagi penempatan golongan ini iaitu dengan menyediakan bangunanseperti konsep “Anjung Singgah” yang akan menyediakan beberapa kemudahan untuk golongan gelandangan seperti: 1. Menyediakan makanan yang berkhasiat secara percuma dan pihak NGO juga dialu-alukan untuk menyumbang makanan di pusat pengumpulan golongan tersebut; 2. Menyediakan tempat rehat dan tidur bagi memberikan keselesaan dan keselamatan kepada golongan ini; 3. Menyediakan pusat rawatan kesihatan bagi memastikan tiada masalah penyakit berjangkit akan tersebar oleh golongan ini; 4. Menyediakan pusat pendaftaran bersepadu yang akan merekod perihal golongan ini dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat termasuk maklumat diri, waris dan sebagainya; 5. Menyediakan kemudahan riadah, mendobi pakaian dan sebagainya untuk kesihatan dan kekemasan diri. Berikut adalah kumpulan NGO yang dikenal pasti aktif membantu golongan gelandangan di Kuala Lumpur: Gosm (The Gospal Of Salvation Mission Society); Precious Children Home; Kecana Soup Kitchen; Pj Caring Home; Kenosis Home; KL Urban Fellowship; Reach Org. Sdn. Bhd. Nineteen O One Sdn. Bhd. Yayasan Kebajikan Negara; Archdiocesan Office For Human Development (Aohd); Grace Community Service; Community Excel Service Sehubungan itu, isu kononnya kerajaan menghalang pemberian bantuan kepada golongan gelandangan adalah tidak benar sebaliknya kerajaan bersifat terbuka dan melihat keperluan rakyat keseluruhan sebagai keutamaan termasuklah imej Malaysia. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan penglibatan semua pihak, dan kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya meletakkan ketetapan tanpa mengambil kira kepentingan awam. – MediaUMNO

Khalid ketepikan desakan letak jawatan

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mempedulikan desakan dan asakan untuk beliau melepaskan jawatannya selaku Menteri Besar Selangor. Menurut Abdul Khalid, beliau tidak mempunyai sebarang komen berhubung desakan itu dan masih menjalankan tugas seperti biasa. “Soalan spekulasi seperti ini bukan menguntungkan sesiapa pun, jadi saya rasa saya tidak ada komen,” katanya di dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco, semalam. Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung desakan kuat di kalangan pemimpin PR termasuk Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin yang memintanya melepaskan jawatan tersebut, Abdul Khalid berkata, beliau masih yakin dengan sokongan pemimpin PR di Selangor sambil menegaskan mandat rakyat kepada pakatan di Selangor harus dijalankan dengan sebaiknya. “Saya yakin dengan sokongan Adun-Adun PR dan juga barisan Exco yang masih menyokong. Ini adalah mandat dari rakyat. Ini bermakna rakyat memberikan amanah kepada wakil-wakil Dewan Negeri menjalankan tugas a dengan penuh amanah dan tanggungjawab. “Ini adalah keutamaan kita,” katanya. Beliau turut menegur Shamsul supaya menjadi lebih matang dalam mengeluarkan sebarang kenyataan supaya PR dapat bersaing dengan BN dalam apa juga bentuk keupayaan memimpin rakyat. Menurutnya, desakan sebegitu hanya menunjukkan kelemahan PR dan ini hanya akan membuka ruang kepada BN untuk melumpuhkan PR terutamanya di Selangor. “Saya rasa kepimpinan kita mestilah bertanggungjawab dan menunjukkan kematangan kerana Parti Keadilan adalah sebahagian daripada PR. "Kita ingin menunjukkan sebagai satu kumpulan parti yang boleh bersaing dengan BN dalam apa juga bentuk dan mempunyai keupayaan jika dipilih oleh rakyat untuk memerintah negara,” katanya. Sumber: SInar Harian

KPWKM dan DBKL akan bincang isu golongan peminta sedekah

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan membincangkan langkah bagi mengatasi masalah peminta sedekah, kata Datuk Seri Rohani Abdul Karim. Beliau berkata perbincangan itu sekali gus akan membantu mengurangkan golongan gelandangan. "Mereka yang berumur 60 tahun ke atas yang hidup sebatang kara, daripada merayau di jalanan, lebih baik mereka ditempatkan di rumah kebajikan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Sinar Kasih Ramadan' di Anjung Singgah, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Pada majlis itu, 500 individu kurang bernasib baik dirai dan menerima sumbangan juadah berbuka puasa serta peralatan penjagaan diri. Dalam pada itu, Rohani berkata pemberi sedekah pula boleh menyalurkan bantuan mereka melalui program tanggungjawab sosial atau tabung khas yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat. "Ia bukan bermaksud untuk menghentikan galakan si pemberi untuk menderma (secara terus) tetapi ia perlu melalui cara yang betul untuk membantu dalam jangka masa panjang," katanya. Sementara itu, Rohani berkata sejumlah 1,028 gelandangan mendaftar di Anjung Singgah YKN dan 500 daripadanya sudah mendapat pekerjaan.

PDRM tubuh pasukan elit untuk benteras judi haram

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pasukan khas atau elit untuk membanteras kegiatan judi haram di semua peringkat, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau berkata dengan penubuhan pasukan berkenaan, ia dapat memerangi kegiatan judi haram dan melakukan lebih banyak tangkapan di semua peringkat. "Sejak akta pencegahan jenayah diwartakan pada 1 April tahun ini, hasilnya tujuh orang penganjur yang terbabit dalam kegiatan judi haram telah ditangkap di bawah akta itu. Untuk banteras kegiatan mesin judi ini, Op Dadu diteruskan bukan sahaja di peringkat IPD (ibu pejabat polis daerah) malah di balai-balai," katanya kepada pemberita sebelum majlis berbuka puasa bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) Perak di sini hari ini. Berhubung dakwaan Persatuan Pengguna Islam bahawa pusat perjudian haram tetap beroperasi semula walaupun ia kerap diserbu pihak berkuasa, Ahmad Zahid berkata ada kebenaran berhubung dakwaan itu kerana ketika serbuan dilakukan penganjur telah menukar kod komputer, oleh itu tiada bukti menyatakan bahawa kegiatan itu adalah aktiviti perjudian dan mereka beroperasi semula pada keesokannya. Beliau berkata pihaknya masih tidak berpuas hati dengan serbuan, tangkapan dan tindakan undang-undang yang dilakukan dalam memerangi kegiatan itu. Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata KDN meminta kerajaan negeri menerusi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Tenaga Nasional Berhad (TNB), pihak berkuasa air dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memainkan peranan dalam membanteras kegiatan itu. Katanya masyarakat sering menyalahkan PDRM dalam hal demikian, sedangkan pasukan itu tidak lari daripada menjalankan tanggungjawab kerana dalam memberi lesen kepada pemilik pusat hiburan keluarga ia di bawah bidang kuasa PBT. "KDN minta PBT menarik balik dan tidak keluarkan lesen-lesen baru kepada pihak yang membuka pusat hiburan keluarga ini, kita minta TNB potong bekalan elektrik, pihak berkuasa air mesti memotong bekalan air dan pihak SKMM mesti ambil tindakan ikut proses undang-undang sedia ada," katanya. "Polis umpamanya telah melakukan operasi dadu khas yang menumpukan kepada rampasan mesin-mesin perjudian, untuk menentukan supaya mesin-mesin berkenaan dirampas dan perundangan dilakukan," katanya. Sementara itu, beliau berkata setakat ini pihaknya telah menyerbu 9,358 pusat perjudian haram berbanding 1,584 tahun lepas. "Sebanyak 4,728 kertas siasatan telah dibuka manakala 657 kes telah dituduh mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka dan 504 kes telah dituduh di bawah Seksyen 5(2) Enakmen Hiburan dan 3,001 kes lagi masih dalam siasatan," katanya.

Selasa, 1 Julai 2014

Jawatankuasa Fatwa Terengganu putuskan kenyataan Kassim Ahmad kufur dan murtad

Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebulat suara memutuskan bahawa kenyataan bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad pada satu seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad. Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas kali pertama jawatankuasa itu yang bersidang pada 9 Mac lalu. 'Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian' itu berlangsung di Putrajaya. Mohd Rozali berkata, "Fahaman atau golongan tersebut adalah sesat, menyeleweng dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah mereka. "Berdasarkan kepada ucapan yang telah disampaikan oleh Kassim Ahmad, terdapat unsur penyelewengan antaranya mempertikaikan syahadah yang kedua, mengingkari dan mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum, mempertikaikan hukum rambut perempuan sebagai aurat, hukum selawat dan membenarkan jenayah murtad berlaku dalam masyarakat," katanya dalam sidang media Selasa. Sehubungan itu, jawatankuasa fatwa turut memutuskan apa jua fahaman yang berunsurkan penolakan hadis ini perlu disekat dari berkembang. Mohd Rozali berkata sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran apa-apa buku, risalah, filem, video dan apa sahaja berhubung fahaman ini adalah diharamkan dan orang Islam dilarang memiliki, menyimpan mencetak, menjual atau mengedarkan semua bahan terbabit. "Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang mengikuti fahaman anti hadis ini dengan berselindung di sebalik aktiviti ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai unsur persefahaman anti hadis ini adalah dianggap mengamalkan fahaman yang bercanggah dengan syariat. "Oleh yang demikian, orang ramai di negeri ini hendaklah menghindarkan diri daripada terlibat dengan fahaman golongan tersebut," katanya. Mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju supaya keputusan berhubung fahaman anti hadis ini diwartakan untuk dijadikan fatwa yang mengikat bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kesalahan yang terbabit, katanya.

Pemberi dan peminta sedekah di KL bakal berdepan hukuman

Pemberi dan peminta sedekah bakal berdepan hukuman seperti denda apabila undang-undang berkaitan kegiatan mengemis di ibu negara diperketat, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau berkata langkah itu akan dilaksana di beberapa tempat tumpuan bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara. Tengku Adnan berkata keputusan itu diambil selepas pihaknya bermesyuarat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan beberapa agensi berkaitan baru-baru ini yang antara lain, membincangkan masalah kebersihan serta isu gelandangan. "Kita akan ambil satu kaedah di mana yang pemberi kita akan saman dan penerima pula akan kita 'angkut' kerana kebanyakan peminta sedekah ini adalah orang asing. "Selain itu, badan bukan kerajaan yang memberi makanan secara percuma kepada gelandangan juga akan ditetapkan tempatnya dan tidak boleh merata-rata tempat kerana ini akan mengundang kekotoran," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Nur Ramadan peringkat Putrajaya, Selasa malam. Terdahulu, dalam ucapannya, Tengku Adnan berkata kementerian itu dan agensi di bawahnya akan mengadakan majlis berbuka puasa di semua 13 kawasan Parlimen Wilayah Persekutuan agar dapat mendengar permasalan rakyat dan lokasi pertama ialah Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin. Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 780 penerima antaranya anak yatim, fakir miskin dan orang kelainan upaya.

Kes serangan seksual-Mindef sokong tindakan tarik balik imuniti diplomatik

Kementerian Pertahanan (Mindef) menyokong tindakan menarik balik imuniti diplomatik pegawainya yang didakwa membuat serangan seksual terhadap seorang wanita di New Zealand pada Mei lepas, bagi membolehkan lelaki itu didakwa mengikut undang-undang New Zealand. Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Mindef memandang serius tuduhan itu dan akan melakukan siasatan menyeluruh terhadap pegawai terbabit. "Kami akan siasat dan bekerjasama dengan Kementerian Luar dan Kerajaan New Zealand dan akan memastikan mana-mana pegawai yang didapati bersalah akan dijatuhkan hukuman yang setimpal," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen, pada Selasa. Hishammuddin juga menegaskan Mindef tidak akan memberi perlindungan kepada mana-mana pegawainya yang didapati melakukan kesalahan. Beliau mengulas kenyataan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman hari ini yang dilapor berkata Wisma Putra sedia menarik balik kekebalan diplomatik pegawai tersebut yang dikehendaki oleh pihak berkuasa New Zealand. Lelaki berpangkat Pegawai Waran II daripada Mindef yang dihantar bertugas selama setahun di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington itu ditahan polis negara berkenaan pada 9 Mei atas tuduhan cuba melakukan pecah rumah dan serangan seksual terhadap seorang wanita. Bagaimanapun pegawai itu dikatakan menggunakan imuniti diplomatiknya daripada menghadapi tuduhan jenayah di sana dan telah pulang ke tanah air pada akhir Mei. Wellington mahukan pegawai itu menghadapi dakwaan jenayah di mahkamah negara tersebut.

MH370-Tidak kuasa misteri yang. mengaitkan kehilangan- Hishammuddin

Dakwaan penyiasat nahas udara Australia yang mengaitkan kehilangan penerbangan MH370 dengan kuasa misteri baru-baru ini hanyalah spekulasi, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Beliau berkata kerajaan Malaysia hanya menerima pakai laporan yang dikeluarkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan khusus berhubung kehilangan pesawat Malaysia Airlines itu. "Apa juga isu kita ada panel pakar untuk mengesahkannya. Laporan itu bukan daripada JACC. "Bagaimanapun saya tetap anggap sebarang maklumat terkini... sama seperti yang saya lakukan pada masa lalu... biar JACC sahkan. Selama ini kita tidak pernah berhenti daripada mencari kotak hitam dan mengesan maklumat baharu berhubung pesawat itu," katanya kepada pemberita selepas taklimat Jawatankuasa Khas Kabinet berhubung insiden MH370 di Parlimen, di sini hari ini. Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Aset MH370 dan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin, iaitu Pengerusi Jawatankuasa Waris mengenai MH370. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) semalam, unit data satelit pesawat itu cuba 'log masuk' ke satelit dalam tempoh tidak sampai 90 minit setelah berlepas. Permintaan itu yang dikenali sebagai 'hand shake' mungkin disebabkan gangguan kuasa elektrik pesawat Boeing 777 tersebut. Sementara itu, Liow berkata maklumat terperinci berhubung penghantaran aset dan pakar dalam mengesan pesawat MH370 ke lokasi pencarian di Lautan Hindi akan dimaklumkan kemudian. Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang serta anak kapal ke Beijing hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam. Gerakan mencari membabitkan pelbagai negara bermula di Laut China Selatan sebelum diperluas ke Selat Melaka dan akhirnya di Lautan Hindi selepas data satelit menunjukkan pesawat itu melencong jauh daripada laluan asal dengan isyarat terakhir dikesan di selatan Lautan Hindi.