Khamis, 31 Mac 2016

KENYATAAN BERKENAAN WALL STREET JOURNAL OLEH SETIAUSAHA AKHBAR Y.A.B PERDANA MENTERI

KENYATAAN BERKENAAN WALL STREET JOURNAL OLEH SETIAUSAHA AKHBAR Y.A.B PERDANA MENTERI 31 Mac 2016
Hari ini, untuk pertama kalinya, Wall Street Journal akhirnya terpaksa mengakui bahawa sebahagian daripada dana yang disalurkan kepada Y.A.B Perdana Menteri adalah dari Saudi Arabia. WSJ mengambil masa hampir setahun menafikan bahawa dana tersebut adalah daripada Saudi Arabia dan membuat serangan balas terhadap mereka yang tidak menyebelahi pihak mereka. Ini termasuklah Peguam Negara yang juga menjadi mangsa keadaan mereka setelah kerja keras beliau yang terpaksa melakukan pelbagai penyiasatan menyeluruh ke atas bukti-bukti, termasuklah bukti pemindahan atas talian serta menjalankan temubual khusus bersama keluarga diRaja Saudi yang akhirnya memihak kepada Y.A.B Perdana Menteri, bahawa dana tersebut adalah bersumberkan daripada keluarga diraja Saudi Arabia. Walaupun bukti-bukti siasatan daripada pihak berkuasa negara dan pengakuan daripada Menteri Luar Saudi Arabia telah mengukuhkan lagi bahawa kebenaran berpihak kepada Y.A.B Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak, namun ini tidak cukup untuk menyekat serangan berniat jahat WSJ terhadap kredibiliti Perdana Menteri. Ini sekaligus menunjukkan bahawa WSJ bersifat berat sebelah dalam menyampaikan laporannya, dan membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan adalah tidak berasas kerana ianya bukanlah berniat untuk memberikan fakta. Malahan, laporan palsu tersebut seolah-olah menjadi tunjang kepada kempen Anti-Najib yang diketuai oleh Tun Mahathir. Kegagalan mereka untuk menerima fakta bahawa dana tersebut adalah bersumberkan daripada keluarga diraja Saudi Arabia seperti yang dibuktikan melalui siasatan lengkap dan pengakuan khas, menyebabkan mereka semakin teruja untuk mengaibkan pihak yang benar sebagai cara menutup kesilapan yang telah mereka lakukan. Namun, hari ini adalah titik tolak yang menjadi pemangkin untuk WSJ akhirnya bakal berkata benar dan mengakui bahawa selama ini mereka telah berada di pihak yang salah dan bahawa laporan mereka adalah tidak berasas sama sekali. DATUK SERI TENGKU SARIFFUDIN SETIAUSAHA AKHBAR KEPADA Y.A.B PERDANA MENTERI Diterjemah oleh : KKMM

ISU DERMA RM2.6 BILION TIDAK BOLEH DIBAHAS DI DEWAN RAKYAT

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini memutuskan bahawa isu derma politik RM2.6 bilion tidak boleh dibahaskan di Dewan Rakyat kerana ia adalah sub judice. Dalam notanya kepada semua Anggota Parlimen, beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira suatu semakan kehakiman yang difailkan oleh Majlis Peguam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 14 Mac lepas. Keputusan itu turut mengambil kira suatu writ saman yang difailkan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Mac lepas. "Setelah menimbangkan isu yang dibangkitkan, saya berpandangan bahawa perkara ini adalah di dalam timbangan mahkamah (sub judice), yang sekiranya dibincangkan, boleh merosakkan kepentingan pihak-pihak terlibat dalam writ saman tersebut," katanya. Majlis Peguam membuat permohonan semakan kehakiman bagi mengenepikan keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali untuk tidak meneruskan dakwaan terhadap Najib berhubung dana RM2.6 bilion dan mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup siasatan mereka. "Writ saman itu secara khususnya merujuk kepada isu berkaitan dengan RM2.6 bilion. Dalam hal ini, isu tersebut telah menjadi perkara yang tertakluk kepada timbangan mahkamah sama sebagaimana prinsip yang terpakai bagi semakan kehakiman yang difailkan terhadap Peguam Negara," kata Pandikar Amin. Keputusan itu, katanya, selaras dengan peraturan Mesyuarat 23(1)(g) yang memperuntukkan apa-apa perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah tidak boleh ditanya di Dewan Rakyat. Ia juga selaras dengan Peraturan Mesyuarat 36(2) bahawa sesuatu perkara yang sedang dalam pertimbangan mahkamah tidak boleh dibahaskan sekiranya Pengerusi berpandangan ia boleh menjejaskan dan merosakkan kepentigan pihak-pihak yang terlibat. Pada persidangan Dewan Rakyat minggu lepas, beberapa Anggota Parlimen pembangkang telah membangkitkan rasa tidak puas hati mereka kerana tidak dibenarkan membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat. Antaranya ialah Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) dan Sim Tze Tzin (PKR-Bayan Baru) yang mendesak Yang di-Pertua Dewan Rakyat membuat keputusan berhubung perkara itu.BERNAMA

TUN M LEPASKAN JAWATAN SEBAGAI PENGERUSI PROTON

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PROTON Holdings Bhd, jawatan yang dipegangnya sejak Jun 2014. Tokoh yang menjadi pencetus idea pewujudan pembuat kereta nasional pertama itu menamatkan semua gesaan dan spekulasi supaya beliau melepaskan jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan. Kira-kira tiga minggu lalu, beliau dipecat sebagai Penasihat Petronas, jawatan yang dilantik sejak beliau meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2003. Ia adalah keputusan sebulat suara Kabinet berikutan beliau dikatakan tidak lagi menyokong kerajaan sekarang disebabkan beberapa tindakannya. Sebagai reaksi kepada keputusan itu, Petronas telah mengeluarkan satu kenyataan yang ia menyokong sebarang keputusan yang diambil kerajaan kerana pelantikan itu adalah hak kerajaan. Dr Mahathir hari ini telah mencatat satu kenyataan di blognya, Che Det, yang beliau juga telah melepaskan jawatan sebagai Canselor Universiti Teknologi Petronas. Beliau juga telah meletak jawatan sebagai Penasihat Lembaga Pembangunan Langkawi dan Lembaga Pembangunan Tioman, yang disandangnya sejak November 2003. Sementara itu, berikutan perletakan jawatannya sebagai Pengerusi PROTON, Dr Mahathir juga akan melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi Group Lotus plc, anak syarikat milik penuh PROTON, yang mengeluarkan kereta sports berprestasi tinggi bertaraf dunia. PROTON telah mengeluarkan satu kenyataan, menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada komitmen Dr Mahathir sebagai pengerusi sejak 2014 dan penasihat sejak 2003 serta mengiktiraf peranannya sebagai pencetus idea syarikat kereta nasional itu. Dr Mahathir yang telah menjadi Perdana Menteri Malaysia mulai 1981 hingga 2003 amat berminat kepada teknologi di mana beliau berkata, ia perlu memenuhi kepentingan awam sebagai satu cara masyarakat memperbaiki diri dan juga dunia.

LEBUHRAYA DASH BUKAN MILIK KRONI BN

Gerakan Sokong Projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) menolak dakwaan projek itu milik kroni Barisan Nasional (BN) seperti didakwa banyak pihak termasuk NGO ‘Say No To DASH’. Timbalan Pengerusi Gerakan Sokong DASH, Adlan Abdul Razak, berkata DASH adalah milik pemegang saham Pemodalan Nasional Berhad (PNB). “DASH akan diuruskan oleh Prolintas, satu anak syarikat milik sepenuhnya PNB yang secara tak langsung dimiliki oleh kesemua pemegang saham amanah yang ditadbir urus oleh PNB, termasuklah ASB, ASM, ASN, ASW2020,” katanya kepada FMT. Adlan pada masa sama meminta pihak Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor supaya tidak melayan desakan yang dibuat kumpulan ‘ Say No To DASH’ yang didakwa melakukan pelbagai perbohongan untuk kepentingan meraka yang tidak mewakili suara majoriti rakyat yang menyokong projek tersebut. “Kita menyeru agar kerajaan negeri terus tidak mempedulikan golongan yang terus menerus berbohong bagi menegakkan agenda mereka tersendiri. DASH menawarkan penyelesaian kepada majoriti penduduk dan melengkapkan pelan pembangunan kerajaan negeri Selangor. “Majoriti penduduk dan pengguna di Persiaran Mohktar Dahari, Jalan Subang, Jalan Airport, Jalan Kuala Selangor Sungai Buloh, Persiaran Surian, NKVE, Kota Damansara, SPRINT, Ara Damansara, akan beroleh penyelesaian kepada masalah yang telah menghantui kami sejak sekian lama,” katanya. Pihaknya juga kesal dengan tindakan segelintir penduduk di Damansara Perdana yang terus menerus berbohong bagi meraih sokongan dengan membuat pelbagai dakwaan bagi membantah pembinaan lebuhraya DASH. “Kita difahamkan data-data yang ada di semua pejabat agensi persekutuan dan negeri jelas menyatakan semua ketetapan EIA dan TIA telah dipatuhi dan juga membuktikan bahawa jarak lebuhraya (dengan penepatan) tersebut adalah 13m, melebihi jarak yang ditetapkan di bawah undang-undang,” katanya. Sebelum ini, kumpulan penentang pembinaan lebuhraya DASH mendakwa Kerajaan Selangor pimpinan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali bersekongkol dengan kerajaan BN untuk melaksanakan projek tersebut, malah turut menuduh wujudnya usul rasuah

Rabu, 30 Mac 2016

PEMANDU TEKSI PERLU TAMBAH BAIK PERKHIDMATAN

Pemandu perkhidmatan teksi awam perlu menambah baik perkhidmatan untuk membolehkan mereka bersaing dengan perkhidmatan teksi dalam talian seperti Grabcar dan Uber, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau berkata banyak sungutan diterima daripada rakyat dan pelancong tentang perkhidmatan tidak berkualiti pengusaha teksi, yang sekali gus menyebabkan mereka memilih perkhdmatan teksi alternatif. "Orang kecewa dengan tambang tinggi yang dikenakan pemandu teksi serta sikap pemandu teksi yang suka memilih laluan sendiri dan tiadanya kebersihan. Mungkin, inilah sebabnya orang menggunakan Uber dan Grabcar," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Harmoni Perkasa Sdn Bhd dan Banyan Tree Hotels and Resort di sini, hari ini. Semalam, kira-kira 300 pemandu teksi mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah perkhidmatan teksi dalam talian dan mengakibatkan kesesakan selama dua jam di sepanjang Jalan Bukit Bintang. Dalam kejadian itu, lima pemandu teksi ditahan kerana tidak mematuhi amaran polis. Pemandu teksi terlibat meletakkan kenderaan mereka di sekitar pusat beli-belah Pavilion dan memaksa polis melencongkan lalu lintas dari kawasan itu. Tengku Adnan berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur tidak mempunyai kuasa terhadap pemandu teksi kerana ia terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD). Terdahulu, Harmoni Perkasa Sdn Bhd dan Banyan Tree Hotels and Resorts menandatangani perjanjian pengurusan bagi hotel lima bintang baharunya, Royale Pavilion Hotel di kawasan Segi Tiga Emas Kuala Lumpur. Dibangunkan dengan kos RM330 juta, hotel itu dijangka memulakan operasinya menjelang suku kedua 2017.BERNAMA

PERAK SASAR HAPUSKAN MISKIN TEGAR 2017

Perak meletakkan sasaran untuk menghapuskan kemiskinan tegar di negeri itu selewat-lewatnya pada 2017, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. Beliau berkata berdasarkan statistik yang ada, pada tahun 2014 terdapat lebih kurang 700 keluarga miskin tegar di Perak, kurang berbanding 1,200 pada tahun sebelumnya hasil kerja keras kerajaan. "Saya sasar 2016 atau 2017, tapi tidak boleh nak buat sebarang ramalan kerana bilangan penduduk semakin bertambah dan sering berubah-ubah. Ini menyebabkan ada penduduk yang akan mudah jatuh dalam kategori miskin tegar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri Perak di sini hari ini. Zambry berkata kerajaan negeri akan menjalankan penyelidikan sendiri bagi menentukan jumlah sebenar penduduk miskin dan miskin tegar di negeri itu memandangkan kaedah yang diguna Unit Perancang Ekonomi (EPU) tidak berapa sesuai. "Dalam konteks negeri Perak kita merasakan kaedah pengiraan kemiskinan dan kemiskinan tegar hendaklah berpaksikan kepada kedudukan dan keadaan di satu-satu tempat," katanya. Menjelas lanjut, Zambry berkata sistem e-kasih yang merekodkan kemiskinan dan kemiskinan tegar kurang tepat memandangkan terdapat penduduk yang patut keluar daripada senarai itu tetap dikekalkan. "Ada negeri bila penduduk dalam e-kasih terima bantuan mereka dikeluarkan daripada senarai. "Ada juga negeri bila penduduk dapat bantuan tetap kekalkan mereka dalam senarai kerana ada yang perlukan bantuan lain. Misalnya hendak pohon bantuan rumah, syarat yang dikenakan mesti berdaftar dengan e-kasih," katanya. Dalam perkembangan lain, Zambry meminta orang ramai menjadi mata serta telinga kerajaan terhadap kegiatan tidak bertanggungjawab ke atas Jambatan Raja Permaisuri Bainun (Jambatan Sungai Dinding di Lumut), kira-kira 80 kilometer dari sini. Katanya jambatan itu yang telah dibaik pulih daripada masalah kecurian besi penghadang dan kabel elektrik serta telefon perlu dijaga untuk kepentingan orang ramai terutama penduduk tempatan. "Kalau kita biarkan kumpulan pencuri ini bermaharajalela, segala kemudahan yang dibina oleh kerajaan tidak akan dapat dinikmati oleh rakyat jelata," katanya.

JANGAN KHIANAT PERJUANGAN PARTI UNTUK KEPENTINGAN PERIBADI

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan kepimpinan dan anggota UMNO supaya tidak mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan agenda peribadi sehingga menggadai maruah diri. Najib yang juga Presiden UMNO berkata perjuangan politik yang berlandaskan moral dan prinsip perlu dipertahankan bagi menghadapi pelbagai cabaran dan isu dalam negara. "Dalam politik, kita mesti ada moral dan prinsip...kalau buat apa-apa pun mesti berpegang kepada Perlembagaan negara, kalau tidak, negara akan huru-hara. "Kalau huru-hara, apa yang kita perjuangkan sekarang akan hancur lebur...apa nak kita tinggalkan pada anak-anak dan cucu-cucu kita," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Anggota Persatuan Bekas Anggota Kemas Malaysia (PBAKM) dan pelancaran Kelab Waris PBAKM di sini, hari ini. Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Presiden PBAKM Datuk Melati Ali. Najib turut membidas pemimpin yang dilihat beralih pendirian dan bertukar perjuangan. "Bukan ke setengah orang dahulu cakap lain...dahulu suruh sokong parti, dahulu nasihat jangan kalau dah bersara jangan lupa (parti). Waktu kita jadi pemimpin, orang lain sokong kita, bila kita berhenti (jadi pemimpin) kita wajib sokong parti. "Di mana duduknya orang itu sekarang...dia tidak duduk sebaris UMNO lagi, dia tidak duduk dengan pejuang yang setia dengan perjuangan. "Dia duduk dengan orang yang dahulu dia cakap rasis, cauvanis, komunis, anti-Islam dan anti-Melayu. Apa kita nak kata dia sekarang.Kita pertahankan dia selama 22 tahun. Orang kata dia maha zalim, maha firaun...bukan saya kata, mereka kata. Saya menyambung apa yang mereka kata. "Sekarang, dia duduk sebaris (dengan mereka)...di mana letak maruah diri. Kalau kita tidak ada apa-apa, sekurang-kurangnya kita ada maruah," kata perdana menteri sambil menegaskan bahawa rakyat tidak lagi terpengaruh dengan usaha menjatuhkan kerajaan tanpa melalui pilihan raya umum. Najib berkata rakyat tidak akan membiarkan orang luar menentukan kepimpinan negara sebaliknya, menyokong usaha kerajaan dalam merencanakan pembangunan negara. "(Oleh itu) jangan layan karenah puak-puak ini kerana kita ada banyak lagi kerja dan agenda untuk rakyat dan negara. Kita mesti istiqamah, fokus sebagai pemimpin kerajaan, kita mesti pastikan negara terus berjaya di bawah kepimpinan Barisan Nasional dan UMNO," katanya. Beliau mengingatkan tentang tanggungjawab pemimpin untuk mewariskan sebuah negara yang lebih kukuh kepada rakyat. "Kalau ada kesilapan, kita betulkan sesama kita, jangan hancurkan negara kita, jangan hancurkan parti yang kita sayangkan. Kalau parti hancur, tiada lagi perjuangan. Sebab itulah, kita perlu kasihkan parti, kasihkan negara," katanya. Terdahulu, kira-kira 5,000 anggota PBAKM yang diketuai Melati membaca ikrar taat setia dan menyatakan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib.BERNAMA

Selasa, 29 Mac 2016

LAPORAN TERHADAP MUHYIDDIN DAN MUKHRIZ DIHANTAR KEPADA LEMBAGA DISIPLIN PARTI

Laporan berhubung tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang berterusan mengkritik Presiden UMNO dan bersekongkol dengan pembangkang telah dihantar kepada Lembaga Disiplin parti. Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebagai sebuah parti berstruktur, tindakan mengikut peraturan atau perlembagaan parti itu perlu, walaupun secara asasnya perbuatan mereka boleh mengakibatkan tindakan disiplin diambil seperti digantung keahlian atau dipecat. "Kita bukan seperti parti politik lain yang membuang ahlinya sesuka hati, UMNO mempunyai cara dan peraturan yang perlu diikut seperti termaktub dalam perlembagaan parti," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Wilayah Persekutuan Putrajaya di sini Selasa. "Oleh itu, tunggulah mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO akan datang kerana saya juga menanti apa yang Lembaga Disiplin akan maklumkan kepada kami," katanya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan. Tengku Adnan berkata secara peribadi beliau berpandangan Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya mengisytiharkan diri keluar UMNO selepas tidak lagi bersetuju dengan parti itu. Dalam perkembangan lain, Tengku Adnan berkata pihaknya sedang memantau dan mengawasi perkembangan penyebaran ajaran sesat Millah Abraham@ Ibrahim yang dikesan menular di wilayah itu. Beliau yang juga Anggota Parlimen Putrajaya berkata perkembangan tidak sihat itu mula dikesan sejak lapan bulan lepas. "Apa yang diajar sangat memeningkan tetapi barangkali oleh kerana perkara yang disebut atau diajar itu nampak mudah seperti mudah hendak berkahwin atau mudah untuk bersembahyang, ada pihak mudah terpengaruh," katanya. Tengku Adnan berkata modus operandi kumpulan itu ialah berpakat sesama pengikut ajaran tersebut dengan menggunakan surau sebagai platform menyebarkan fahaman kepada khalayak. Dalam ajarannya mereka didapati mencampuradukkan ajaran Islam dan Kristian, katanya.

PERHIMPUNAN SELAMATKAN MALAYSIA BUKAN UNTUK MENYELAMATKAN MALAYSA

Apa yang didakwa sebagai perhimpunan 'Selamatkan Malaysia' pada Ahad lepas, sebenarnya bukan untuk menyelamatkan Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Beliau berkata sekiranya hendak menyelamatkan Malaysia, Perlembagaan perlu dilindungi, bukan dicabuli, sepertimana yang mereka anjurkan bagi menyingkirkan Perdana Menteri. "Pertama sekali, mereka hendak menyelamatkan Malaysia daripada apa atau siapa? Dan bagaimana menyingkirkan Perdana Menteri secara melanggar Perlembagaan boleh dianggap sebagai menyelamatkan Malaysia?," kata Salleh dalam catatan terbaru beliau melalui blognya sskeruak.blogspot.my hari ini. "Mereka berdiri di atas pentas dan menyerang apa yang dikatakan tidak ada demokrasi di Malaysia. Tetapi, apa yang tidak mereka sebut ialah hakikat bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri) Najib Tun Razak membenarkan lebih banyak demokrasi di Malaysia, membolehkan mereka menganjurkan perhimpunan itu, yang mereka gunakan untuk menyerang Perdana Menteri," katanya. Salleh berkata perhimpunan 'ramai rakan' yang tidak berkongsi aspirasi dan ideal yang sama itu menunjukkan bahawa pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu sudah gagal sejak mula lagi. "Kita sudah lihat Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, dan kini Pakatan Harapan. "Setakat ini, semuanya mengalami kegagalan, manakala Pakatan Harapan pula sedang bertungkus-lumus ingin membuktikan ia mampu untuk kekal wujud. Dan, sebab kesemua mereka mengalami kegagalan ialah seperti kata orang Melayu, tidur satu bantal, mimpi lain-lain," katanya. Menurut Salleh, kesemua yang menyertai pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu tidak berkongsi cita-cita, doktrin, aspirasi atau objektif yang sama dan mereka hanya mahukan satu perkara - menyingkirkan kerajaan. "Secara teknikal, itulah yang akan terjadi sekiranya anda menyingkirkan Perdana Menteri," katanya. Salleh berkata kumpulan itu tidak akan sekali-kali bersetuju antara satu sama lain kerana setiap rakan dalam pakatan 'Selamatkan Malaysia' itu mempunyai pandangan sendiri mengenai siapakah yang akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri baharu sekiranya rancangan mereka itu berjaya. "Dan adakah kempen 'Selamatkan Malaysia' itu termasuk atau tidak termasuk membebaskan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dari penjara? Dr Wan Azizah Wan Ismail (isteri Anwar dan Presiden PKR) berkata ya, tetapi semua yang lain tidak berkata apa-apa," katanya. Salleh berkata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad nampaknya muncul sebagai Ketua Pembangkang de facto baharu serta mengetuai 'Kempen Anti-Najib' atau 'Kempen Selamatkan Malaysia'. "Kesemua yang lain kelihatan memberi kelulusan secara tersirat terhadap peranan kepimpinan dimainkan Mahathir apabila mereka tidak menamakan mana-mana pemimpin lain," katanya. Salleh berkata Dr Mahathir tahu bahawa Najib hanya boleh disingkirkan sekiranya UMNO sendiri tidak mahukan beliau lagi. Menurut menteri itu, Dr Mahathir sendiri mengaku bahawa Najib tidak boleh disingkirkan dari luar, maka oleh yang demikian, bekas Perdana Menteri itu berharap kempen 'Selamatkan Malaysia' itu akan membuktikan ia mendapat sokongan daripada rakyat dan dengan itu, akan memperoleh sokongan UMNO. "Sebaliknya, UMNO amat marah kepada Mahathir dan oleh kerana itu, UMNO bersatu di belakang Najib. Jadi, langkah Mahathir benar-benar memakan dirinya sendiri," katanya.BERNAMA

KENYATAAN TUN M UNTUK MENJATUHKAN PM NAJIB SEBAGAI MENGHASUT- NUR JAZLAN

Tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan mahu bertindak 'di luar jangkaan' bagi menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dianggap sebagai menghasut, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed. Beliau berkata Dr Mahathir pada Ahad lepas ketika perhimpunan tertutup bersama-sama pemimpin pembangkang di Shah Alam, Selangor bertindak mengeluarkan kenyataan tersebut. "Dia (Dr Mahathir) bercakap perkara itu kepada umum. Dia cuba untuk melakukan perkara 'di luar jangkaan' yang melangkaui perlembagaan. "Tidakkah tindakan itu boleh dianggap sebagai menghasut? Khianat?" katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini Selasa. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan bekas perdana menteri itu yang ingin melakukan perkara 'outside the box' bagi menjatuhkan Najib. Justeru, Nur Jazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melakukan siasatan terhadap pelbagai kenyataan dikeluarkan Dr Mahathir yang secara berterusan mahu menjatuhkan perdana menteri. "Apa yang dilakukan Dr Mahathir hanya mahu mendapatkan publisiti dan demi kepentingan politik semata-mata. PDRM sedang siasat. Lagi banyak beliau perkatakan lebih banyak kesilapan beliau akan buat dan lebih banyak bahan untuk polis siasat," katanya. Nur Jazlan berkata walaupun negara mengamalkan kebebasan bersuara dan berhimpun namun jika didapati perhimpunan yang diadakan berniat menimbulkan huru-hara atau menjatuhkan mana-mana pemimpin maka polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan. "Jika siasatan menunjukkan beliau melanggar undang-undang, maka kami akan mengambil tindakan," katanya. Mengenai tindakan anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mendedahkan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi kerajaan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), Nur Jazlan berkata PDRM telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu. "Serah kepada polis untuk siasat dahulu sama ada maklumat yang Rafizi dedahkan itu adalah benar di bawah OSA. Kalau benar, maka kami boleh ambil tindakan. Kena siasat dahulu dan ambil masa," katanya. Nur Jazlan juga berkata kerajaan sedang menyemak untuk meminda OSA bagi memperkemaskan peruntukan sedia ada di dalam akta itu memandangkan sikap endah tidak endah sesetengah pihak terhadap penguatkuasaan OSA.BERNAMA

KU LI TIDAK PERNAH SOKONG DEKLARASI MAHATHIR

Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden UMNO. "Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik ... dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli Umno saya boleh saja tandatangan. "Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli Umno, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada UMNO," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara. Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara. "Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib". Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial. "Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya ... tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh," katanya. Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam UMNO untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri.

Isnin, 28 Mac 2016

UMNO KELANTAN SETUJU MT PECAT AHLI PARTI CUBA JATUHKAN PRESIDEN

UMNO Kelantan bersetuju sekiranya Majlis Tertinggi (MT) UMNO memecat pemimpin dan anggota parti yang terlibat dalam gerakan cuba menjatuhkan presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed. "Kami (UMNO Kelantan) telah menyatakan di dalam Deklarasi Kelantan jika mana-mana individu sokong gerakan untuk menjatuhkan Najib perlu dipecat dari parti. "Kami sependapat agar mereka dipecat. Itu pendirian UMNO Kelantan," kata anggota Parlimen Jeli itu kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini. Mustapa berkata demikian bagi mengulas tindakan Ketua UMNO Bahagian Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua UMNO Bahagian Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang menghadiri perhimpunan tertutup bersama-sama pemimpin pembangkang di Shah Alam, Selangor semalam. Khamis lepas, kesemua 14 ketua UMNO Bahagian Kelantan termasuk anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah mengikrarkan sokongan padu terhadap kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti dengan menandatangani Deklarasi Kelantan.

Khamis, 24 Mac 2016

UMNO KELANTAN IKRAR SOKONGAN PADU KEPADA PM NAJIB

Kesemua 14 ketua UMNO Bahagian Kelantan hari ini mengikrarkan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menandatangani Deklarasi Kelantan. Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menandatangani deklarasi itu di hadapan Najib sendiri pada pertemuan UMNO Kelantan dengan perdana menteri yang berlangsung kira-kira dua jam di bangunan Parlimen. Katanya deklarasi itu kemudian diserahkan kepada Najib oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed. "Semua wakil rakyat termasuk anggota Dewan Negara dari Kelantan menghadiri pertemuan itu bagi menyerahkan Deklarasi Kelantan yang dilancarkan minggu lepas dalam satu perhimpunan di Kelantan bagi menyatakan sokongan tidak berbelah- bahagi kepada Najib. "Kami buat resolusi menandatangani dokumen bertujuan memberi sokongan penuh kepada Perdana Menteri," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen.
Dilaporkan kira-kira 10,000 rakyat Kelantan pada Sabtu lepas berhimpun di perkarangan Bangunan UMNO Kota Baharu bagi menyatakan sokongan kepada Najib selaku Presiden UMNO dan menolak Deklarasi Mahathir yang diketuai bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Annuar berkata selain majlis penyerahan deklarasi, beberapa isu mengenai permasalahan rakyat Kelantan turut disampaikan kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan dan tindakan lanjut. "Antara perkara yang dibincangkan bersama Perdana Menteri termasuk royalti minyak, pembinaan Lebuhraya Gua Musang-Kota Baharu, pembesaran lapangan terbang sedia ada dan pembinaan stadium baharu," katanya. Beliau berkata pihaknya turut mengusulkan pelbagai syor berhubung hal ehwal kemajuan Kelantan selain berbincang mengenai beberapa perkara yang difikirkan perlu bagi kepentingan rakyat Kelantan. Ditanya mengenai syor yang dikemukakan kepada Najib, Annuar berkata ia merangkumi aspek pembangunan, politik dan ekonomi negeri. "Perdana Menteri menghargai inisiatif yang diambil pemimpin Kelantan, malah memberi reaksi positif dan berjanji akan meneliti serta mengadakan perbincangan lanjut terhadap kesemua syor yang dikemukakan," katanya. Katanya Perdana Menteri turut memaklumkan mengenai perancangan serta pencapaian semasa kerajaan setakat ini. "Beliau menerangkan tentang rancangan untuk menumpukan ekonomi bagi mengukuh serta mendapatkan lebih banyak projek. Beliau turut menerangkan kesan pembangunan serantau terutama di negara China yang mempengaruhi negara ini," katanya. Annuar berkata Najib juga memaklumkan bahawa segala perancangan pembangunan negara tidak terjejas walaupun keadaan ekonomi global tidak menentu ketika ini.BERNAMA

KUMPULAN BERTINDAK UMNO PAGOH SOKONG NAJIB

Sekumpulan anggota UMNO Bahagian Pagoh hari ini menyatakan pendirian mereka untuk terus menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Gerakan yang dikenali sebagai Kumpulan Bertindak UMNO Pagoh (KBUP) itu dibentuk bagi memastikan UMNO bahagian itu sentiasa bersama arus perdana UMNO Pusat serta memperkukuhkan perjuangan parti dalam membela bangsa, agama dan negara. Pengerusi KBUP, Datuk Yusof A Bakar berkata gerakan itu ditubuhkan bagi memastikan UMNO Pagoh tidak terasing atau bersendirian dalam soal membela masyarakat, rakyat serta pengundi kawasan Pagoh. "Bukan kami tidak sayang Tan Sri Muhyidin Yassin (bekas timbalan perdana menteri yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh) tetapi kami lebih sayangkan parti UMNO," katanya pada sidang media di pejabatnya di Taman Pagoh Jaya, di sini hari ini. Yusof, yang juga Ketua Pemuda UMNO Cawangan Batu 7 Bukit Pasir, menegaskan pemimpin dalam UMNO sentiasa datang dan pergi, namun, UMNO tetap menjadi wadah perjuangan orang Melayu. Beliau berkata pihaknya terkilan dan kecewa apabila Muhyiddin bersekongkol dengan DAP dan atas dasar itu, KBUP membuat pendirian ini supaya perpaduan dalam UMNO terus terpelihara.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi KBUP, Datuk Zaaba Aman, yang juga Ketua UMNO Cawangan Seri Ledang Utara, berkata KBUP akan menggerakkan usaha dari semasa ke semasa berjumpa dengan masyarakat Pagoh bagi memberikan penjelasan secara harmoni supaya mereka mendapat maklumat yang betul. Katanya beliau tidak boleh menerima tindakan Muhyiddin bersekongkol dengan pembangkang dalam mengeluarkan 'Deklarasi Mahathir' dengan tujuan menyingkirkan Najib sebagai perdana menteri.BERNAMA

BN SARAWAK KENDALI SENDIRI PILIHANRAYA NEGERI

Barisan Nasional (BN) pusat memberi sepenuh kepercayaan kepada BN Sarawak untuk mengendalikan kempen pilihan raya negeri (PRN) itu yang dijangka tidak lama lagi. Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan negeri BN Sarawak dilihat lebih memahami setiap kehendak dan keperluan rakyat negeri itu. "Kerajaan Sarawak lebih memahami setiap inci dan detik aspirasi rakyat Sarawak sendiri. Tiada orang lain yang faham lebih baik melainkan rakan-rakan kita daripada sana," katanya selepas mengadakan pertemuan muhibah dengan Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng di Menara PGRM, di sini hari ini. Annuar berkata BN pusat sentiasa menyokong dan sedia dirujuk sekiranya BN Sarawak memerlukan bantuan bagi menghadapi sebarang kekurangan atau masalah sepanjang PRN itu nanti. "Apa juga kekurangan di Sarawak adalah tanggungjawab BN pusat untuk membantu dalam semangat BN namun kita tak boleh membawa 'template' kita guna di Semenanjung untuk Sarawak, mereka sendiri sewajarnya menentukan apa yang baik untuk mereka," katanya. Annuar berkata Sarawak merupakan satu model yang boleh dibanggakan berdasarkan keadaan negeri itu yang mempunyai pelbagai kaum dan etnik namun dapat terus maju. "Mereka (BN Sarawak) benar-benar dapat menyentuh hati dan perasaan rakyat Sarawak, mereka kenal pasti sentimen dan keinginan rakyat. "Mereka dapat rasai denyut nadi akar umbi dengan cara yang betul dan kita (BN pusat) akan bantu dan beri kerjasama yang diperlukan kerana kita menghargai apa yang dicapai di Sarawak ketika ini," katanya. Mengulas mengenai pertemuan muhibah itu, Annuar berkata Gerakan sepakat untuk bersama-sama dengan parti komponen BN yang lain untuk memainkan peranan membantu kerajaan menangkis isu yang menjejaskan perpaduan kaum di negara ini. "Pertemuan ini merupakan satu proses di mana kita diagnosis masalah yang dihadapi rakyat pelbagai kaum dan sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kita bersama-sama mencari penyelesaian untuk memastikan masalah rakyat dapat diuruskan dengan baik," katanya.BERNAMA

ISU ANCAMAN KESELAMATAN BUKAN KENYATAAN POLITIK- ZAHID

Pendedahan kerajaan mengenai ancaman keselamatan di Malaysia bukan satu kenyataan berunsur politik, sebaliknya ia harus diambil serius oleh semua pihak, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Katanya beliau telah beberapa kali mendedahkan Malaysia tidak terlepas daripada ancaman keselamatan oleh pengganas termasuk adanya perancangan untuk menculik pemimpin negara tetapi ada pihak memandang kenyataan itu sebagai berunsur politik. "Saya telah beberapa kali memberi kenyataan mengenai bahaya ancaman pengganas dan keselamatan negara, ia bukan kenyataan politik tetapi ia adalah hasil risikan," katanya kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air selepas menghadiri persidangan Bali Process di sini, hari ini. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, insiden letupan bom di Brussels, Belgium seharusnya menjadi peringatan kepada rakyat Malaysia bahawa keganasan masih dilakukan pengganas di serata dunia. Wisma Putra dalam kenyataan Selasa lepas berkata kerajaan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya insiden letupan bom yang berlaku di Lapangan Terbang Brussels yang telah meragut puluhan nyawa. Mengenai persidangan Bali Process, Zahid berkata kemajuan yang dicapai pada mesyuarat itu ialah buat pertama kalinya negara anggota bersepakat dan memberi komitmen menerusi Deklarasi Bali. "Saya amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pada persidangan ini. Komitmen semua negara digambarkan melalui Deklarasi Bali yang pertama kali dikeluarkan walaupun persidangan ini pernah berlangsung selama enam kali,", katanya. Salah satu daripada deklarasi itu ialah menggesa negara sumber mengambil tanggungjawab menerima semula rakyat mereka yang tidak mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pelarian. ISU Beliau berkata Malaysia sering membantu pelarian atas dasar kemanusiaan walaupun terdapat mereka yang menjadi pelarian atas sebab ekonomi tetapi pada masa sama Malaysia juga tidak mahu dibebani kebanjiran pendatang tanpa izin. Ahmad Zahid berkata kerajaan sangat komited untuk membanteras jenayah pemerdagangan manusia dan akan memberi saranan kepada negara terlibat bagi mengatasi masalah berkenaan. Bali Process ialah satu persidangan peringkat rantau Asia Pasifik mengenai isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan jenayah rentas sempadan dan ia disertai 48 negara termasuk Malaysia.

SERPIHAN DITEMUI DI MOZAMBIQUE HAMPIR PASTI MILIK MH370

Dua serpihan yang ditemukan di Mozambique hampir pasti milik pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370, kerana kedua-dua bahagian itu konsisten dengan panel pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata pemeriksaan ke atas serpihan itu yang dijalankan oleh Geosains Australia dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) di pusat kemudahan di Canberra, Australia sejak 21 Mac, selesai semalam. Pemeriksaan dan analisis yang dijalankan ke atas serpihan itu dikendalikan oleh pakar antarabangsa daripada Pasukan Penyiasatan Keselamatan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Annex 13 Malaysia bagi MH370, ATSB, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Boeing, katanya. Liow berkata Pasukan Penyiasatan Keselamatan ICAO Annex 13 Malaysia menyatakan dimensi, bahan dan pembinaan kedua-dua bahagian itu sama dengan spesifikasi pesawat Boeing 777 dan cat penstensilan di kedua-dua bahagian sepadan dengan yang digunakan oleh Malaysia Airlines. "Sehubungan itu, kedua-dua bahagian itu adalah konsisten dengan panel pesawat Boeing 777 Malaysia Airlines dan hampir pasti adalah dari MH370," katanya dalam kenyataan di sini Khamis. Beliau berkata lokasi di mana kedua-dua serpihan itu ditemukan di Mozambique adalah konsisten dengan hasil siasatan pemodelan hanyutan yang dijalankan oleh Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO). Liow dalam kenyataan itu menyampaikan penghargaan Malaysia kepada pihak berkuasa Mozambique, Afrika Selatan dan Australia kerana sokongan padu dan bantuan yang mereka hulurkan. Pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu hilang daripada radar semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014. Pada masa ini, operasi mencari pesawat itu dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi di mana ia dipercayai berakhir. Sekeping serpihan, kemungkinan daripada bahagian 'inlet cowling' enjin pesawat ditemukan di persisiran pantai di selatan Afrika Selatan, berhampiran bandar Mossel Bay pada Selasa. Liow berkata satu pasukan akan dihantar untuk mendapatkan serpihan itu di Afrika Selatan, dan pemeriksaan lanjut serta analisis diperlukan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370. Hari ini, kerajaan Australia mengesahkan serpihan yang ditemui di Mozambique kemungkinan besar milik MH370. Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik di http://miniter.infrastructure.gov.au/.BERNAMA

DUA PEGAWAI MARA INC DIREMAN EKORAN PEMBELIAN HARTANAH DI AUSTRALIA

Dua bekas pegawai kanan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) bergelar Datuk dan seorang pengarah syarikat direman tujuh hari sehingga 30 Mac ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hartanah oleh Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) di Melbourne, Australia. Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman mengeluarkan perintah reman itu hari ini terhadap bekas pengerusi Mara Inc, bekas ketua pegawai eksekutif dan seorang pengarah sebuah syarikat dagangan. Ketiga-tiga lelaki itu, yang berumur dalam lingkungan 40-an dan 50-an itu, ditahan kira-kira 10 pagi semalam selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini. Tahun lepas, sayap pelaburan Mara itu terbabit dengan kontroversi berikutan pendedahan akhbar Australia, The Age, yang mendakwa ia membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli sebuah blok pangsapuri lima tingkat, Dudley International House, di Melbourne dengan harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran. Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok pangsapuri di bandar raya itu pada 2013, daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan wang perbezaan itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air. Dudley International House merupakan asrama pelajar yang dibeli Mara, iaitu agensi yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Rabu, 23 Mac 2016

RAHMAN DAKWA ADA DOKUMAN PENJUALAN TANAH TAMAN MANGGIS PULAU PINANG

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mendakwa beliau memiliki dua dokumen Perjanjian Jual Beli (S&P) berkaitan tanah yang diperuntukkan untuk projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) di Taman Manggis, Pulau Pinang. Beliau mendakwa dua dokumen itu menyatakan bagaimana tanah tersebut yang kini dimiliki sebuah syarikat swasta iaitu Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) cuba dijual kepada pihak ketiga dengan harga RM20 juta. "Kedua-dua S&P ini ada dalam tangan saya, yang diberikan oleh orang-orang tertentu dan dalam percubaan untuk menjual tanah ini, dua perjanjian S&P ini begitu terperinci sekali. "Siap ada semuanya di sini yang telah menyatakan penjual meminta harga RM20 juta maknanya dia beli RM11 juta dia nak jual RM20 juta," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada Rabu. Katanya dua dokumen tersebut adalah baharu dan beliau tidak teragak-agak untuk menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat. Abdul Rahman berkata berdasarkan kandungan dokumen itu, ia jelas menunjukkan bahawa KLIDC yang membeli tanah itu daripada kerajaan negeri tidak berminat untuk membangunkannya. "Saya serahkan kepada SPRM dan pihak yang memberikan dokumen ini kepada saya kalau diperlukan untuk ditemu ramah, sudah tentu mereka juga perlu dipanggil untuk memberi keterangan," katanya. Menjelas lanjut, Abdul Rahman berkata dokumen itu turut menyatakan mengenai satu pembayaran membabitkan RM17 juta yang perlu dibayar kepada empat syarikat. Menurutnya, tanah di Taman Manggis itu seluas 4.937 ekar (1.99 hektar) diperuntukkan untuk pembinaan PPRT yang mana sebanyak 2.872 ekar (1.162 hektar) telah dibangunkan untuk projek itu, manakala selebihnya sepatutnya digunakan untuk pembangunan projek sama bagi fasa kedua. Bagaimanapun, tanah selebihnya itu kemudiannya telah dijual kepada KLIDC yang pada awalnya bercadang untuk membina sebuah rawatan swasta sahaja namun ditukar kepada pembinaan pusat rawatan swasta berserta lot komersial. Persidangan dewan bersambung esok.

KENAIKAN TOL PLUS AMBIL KIRA MANIFESTO PILIHANRAYA BN

Kerajaan masih belum mencapai keputusan berhubung kenaikan lima peratus kadar tol di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) yang dijadual dilaksanakan tahun ini. Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa kerajaan masih berbincang dengan syarikat konsesi tersebut dengan mengambil kira manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lepas. Katanya manifesto BN itu menyatakan kerajaan tidak akan menaikkan kadar tol bagui lebuh raya menghubungkan antara bandar. Bagaimanapun, mengikut perjanjian konsesi, syarikat itu boleh menaikkan kadar tol lima peratus di lebuh raya tersebut setiap tiga tahun mulai Januari 2016 hingga 31 Dis 2038. "Kita ingat, memang ada manifesto kerajaan BN mengenai tol antara bandar ini tidak akan dinaikkan, kita sedar perkara ini dan kita berbincang dengan syarikat konsesi," katanya semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat. Beliau menjawab pertanyaan Teo Nie Ching (DAP-Kulai) yang ingin tahu sama ada lebuh raya PLUS akan menaikkan kadar tol pada Jun ini seperti dilaporkan sebelum ini. Merujuk kepada manifesto BN itu, Fadillah berkata ia hanya melibatkan dua lebuh raya iaitu Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT). Katanya kedua-dua lebuh raya itu sahaja yang menghubungkan antara bandar dan negeri-negeri, sementara lebuh raya lain yang berada di sekitar Lembah Klang tidak termaktub dalam manifesto berkenaan. Bagaimanapun, katanya kerajaan tetap mengambil langkah membantu rakyat dalam bandar menghadapi beban tol termasuk menamatkan tol di lebuh raya tertentu selain menggalakkan syarikat konsesi menjalankan program rebat dan diskaun untuk pengguna. PLUS, cabang lebuh raya Kumpulan UEM, mempunyai lima konsesi lebuh raya iaitu Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Lembah Klang Baru, Lebuhraya Persekutuan Laluan 2, Lebuhraya Seremban Port-Dickson, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah, Laluan Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang. Bercakap kepada pemberita di Lobi Parlimen, Fadillah berkata kerajaan sedang menyemak semula perjanjian konsesi, antara lain mengambil kira jumlah trafik dan kedudukan kewangan syarikat konsesi sebelum memutuskan kenaikan kadar tol. Selain PLUS dan LPT, katanya, mengikut perjanjian konsesi, enam lagi lebuh raya berhak menaikkan kadar tol mulai Januari lepas. "Buat masa ini, belum ada kenaikan. Tunggu sahaja keputusan," katanya sambil menambah kerajaan telah menyediakan sejumlah peruntukan kepada syarikat konsesi sekiranya bercadang tidak meluluskan kenaikan kadar tol.BERNAMA

TUN M DALAM KEADAAN TERDESAK- SALLEH

Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan betapa terdesaknya beliau melalui tindakan terbarunya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. "Beliau dalam keadaan terdesak," katanya merujuk kepada saman yang difailkan oleh Dr Mahathir dan dua pihak lagi di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil hari ini terhadap Perdana Menteri. "Tun Mahathir cuba untuk menggulingkan Perdana Menteri melalui UMNO. Beliau gagal. Tun Mahathir cuba mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen. Beliau gagal. Sekarang Tun Mahathir cuba untuk menyaman. Tuduhannya adalah palsu, jadi beliau akan gagal lagi," kata Salleh dalam satu kenyataan. Dr Mahathir, 90, bekas naib ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, 54, dan bekas anggota UMNO Anina Saadudin, 41, memfailkan saman terhadap Najib berhubung dakwaan salah laku membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mereka memohon mahkamah mengisytiharkan bahawa Najib telah melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dengan menggunakan kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri, pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO. Mereka memohon perintah Mahkamah Tinggi supaya Najib yang dinamakan sebagai defendan tunggal, membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi teruk berjumlah RM42 juta kepada kerajaan. Mengulas lanjut mengenai tindakan saman itu, Salleh berkata: "Tun Mahathir telah kehabisan opsyen. Tindakan ini menunjukkan beliau sudah tidak ada lagi saluran politik untuk digunakan."

ISU BANGLO LIM GUAN ENG, SPRM MULA TERIMA ADUAN

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerima lapan aduan daripada pelbagai pihak berhubung isu pembelian banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng. Pengarah Siasatan SPRM Datuk Azam Baki berkata bagi membolehkan siasatan dijalankan dengan menyeluruh, pihaknya telah memanggil beberapa saksi dan mengambil dokumen-dokumen yang berkaitan. "SPRM juga menerima banyak pertanyaan bila keterangan daripada Lim akan diambil. Keterangannya akan diambil apabila keterangan daripada saksi-saksi diperoleh, dan ia juga bergantung kepada keadaan selepas dokumen-dokumen yang diperoleh diteliti dan keterangan saksi diambil. "Walau bagaimanapun, berhubung kesediaan Lim untuk memberi kerjasama kepada SPRM dan mahu siasatan disegerakan, beliau boleh datang ke Pejabat SPRM pada bila-bila masa untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Azam berkata pihaknya memberi jaminan bahawa dalam menjalankan siasatan, SPRM akan menjalankan tugas dengan bebas dan telus sebagaimana kes-kes lain yang disiasat sebelum ini. Pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang, meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta yang dibeli oleh Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan, di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah itu adalah lebih RM3 juta. Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin. Sementara itu, pemilik rumah itu Phang Li Koon dalam akuan berkanunnya semalam menyatakan beliau menjual banglo itu atas dasar rela hati antara pembeli dan penjual pada harga RM2.8 juta, yang dipersetujui melalui perjanjian bertarikh 23 Jun 2014. Phang berkata penjualan rumah itu tidak memberinya sebarang manfaat daripada kerajaan negeri, dan beliau tidak ditekan atau dipaksa atau telah dipengaruhi dengan cara yang tidak sewajarnya oleh ketua menteri atau mana-mana pihak supaya menjual rumah berkenaan.BERNAMA

Selasa, 22 Mac 2016

MAT SABU TIDAK DIBENARKAN MASUK SARAWAK ADALAH HAK MUTLAK KERAJAAN NEGERI

Halangan terhadap Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu atau Mat Sabu daripada memasuki Sarawak adalah hak mutlak kerajaan negeri itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Nur Jazlan Mohamed. Beliau berkata KDN tidak perlu dimaklumkan mengenai tindakan menghalang mana-mana individu memasuki Sarawak kerana ia merupakan hak Jabatan Imigresen negeri itu. "Akta Imigresen Sarawak membenarkan negeri itu membuat keputusan atas apa-apa alasan. Undang-undang itu mutlak. KDN hanya bertanggungjawab kepada Akta Imigresen 1959/63 di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak ia di bawah kuasa kerajaan negeri," kata Nur Jazlan kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini. Terdahulu, Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dalam sidang media di lobi Parlimen mendakwa Mat Sabu dihalang memasuki Sarawak oleh Jabatan Imigresen negeri itu pagi tadi. Beliau berkata Mat Sabu tiba di Lapangan Terbang Sibu kira-kira pukul 10.40 pagi dan ditahan ketika melalui pemeriksaan Imigresen dengan hanya dimaklumkan ia atas arahan Pejabat Ketua Menteri. "Saya dimaklumkan tiada sebarang alasan diberikan oleh pihak Imigresen yang menahannya dan Mat Sabu diarahkan pulang ke Semenanjung dengan penerbangan pertama dari sana," katanya. Mengulas mengenai perkara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi tertentu termasuk kuasa Jabatan Imigresen dan mereka berhak berbuat demikian atas alasan-alasan tertentu. "Ini harus dihormati. Kita bicara soal autonomi apa pun yang dilakukan sudah tentu ada pertimbangannya dan bukanlah bertujuan politik semata-mata. "Apabila mereka halang sudah tentu mereka mempunyai alasan tertentu yang hanya boleh dijawab oleh kerajaan Sarawak sendiri," katanya.BERNAMA

AHLI UMNO PERLU FOKUS UNTUK HADAPI PRU14- MAHDZIR KHALID

Anggota dan kepimpinan UMNO di peringkat akar umbi perlu memberi fokus kepada pengukuhan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata mereka perlu memberi keutamaan kepada parti dan bukannya kepada individu tertentu yang mempunyai agenda peribadi. Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata kepimpinan di peringkat akar umbi juga perlu mengatur pelbagai program pengukuhan bagi menyatupadukan anggotanya dan memberi sokongan padu kepada parti. "Saya yakin 21,300 cawangan UMNO di seluruh negeri memberi sokongan kepada Presiden parti yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi menjadikan parti lebih kuat. "Segelintir ahli dan kepimpinan UMNO yang teragak-agak (dengan kepimpinan sedia ada) agar kembali menyokong parti," katanya mengulas mengenai surat terbuka oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada ketua cawangan UMNO baru-baru ini. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Serentak Mesyuarat Agung UMNO Cawangan-cawangan Bahagian Padang Terap di sini, malam tadi. Mahdzir yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata walaupun Dr Mahathir berasal dari Kedah, seluruh anggota UMNO tetap menyokong kepimpinan Najib. "Yang penting solidariti UMNO kepada Najib dan kita menolak Deklarasi Mahathir bersama parti DAP. UMNO Kedah hanya sokong parti dan kepimpinan Najib," katanya. Mahdzir yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Terap bersama kepimpinan UMNO Bahagian, Pemuda, Puteri dan Wanita serta jawatankuasa UMNO Cawangan turut melafazkan ikrar taat setia dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti. Dalam ikrar tersebut, lebih 200 anggota dan kepimpinan akar umbi turut menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir yang disertai DAP, Parti Amanah Negara dan PKR pada 4 Mac lepas. Mereka juga mahu MT UMNO memecat anggota UMNO yang terlibat dalam deklarasi tersebut dengan segera dan turut berikrar untuk berkerja keras bagi memastikan UMNO menang pada PRU14.

Isnin, 21 Mac 2016

AUDIT NEGARA BUAT FORENSIK TERHADAP KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Jabatan Audit Negara akan melakukan pengauditan forensik terhadap proses perolehan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi dibawahnya susulan laporan isu penyelewengan dananya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang supaya melakukan proses pengauditan itu, selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan penubuhan pasukan siasatan bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik prosedur kewangan dalaman KBS. Pengauditan itu, antara lain, akan meneliti peraturan kewangan yang dipatuhi KBS selain mengenal pasti kelemahan prosedur kewangannya, kata Ali dalam sidang media di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. "Jabatan Audit Negara akan melaporkan hasil pengauditan dan mengemukakan kepada kerajaan penambahbaikan yang perlu dibuat. Ini adalah seperti pengauditan forensik. "Hasil siasatan akan dilaporkan kepada kabinet dan mesyuarat Ketua-Ketua Setiausaha. Kita harap dapat melaksanakannya dalam tempoh suku tahun," kata Ali. Pada Jumaat lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta. Dalam sidang media di KBS hari ini, Khairy mengesahkan bahawa pegawai kementeriannya yang sedang disiasat SPRM berhubung isu penyelewangan dana itu. Ali berkata Ketua Audit Negara juga diminta melihat proses keseluruhan pengauditan bermula dengan KBS sebelum langkah sama dilaksanakan secara rawak di kementerian lain, supaya tidak berlaku ketirisan dan tiada pihak yang mengambil kesempatan. Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Ketua Setiausaha kementerian selaku ketua pengawal kewangan sepatutnya mengetahui perbelanjaan peruntukan kementerian kerana mereka bertanggungjawab terhadap perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi. "Sepatutnya, beliau (KSU) harus tahu ke mana perginya wang itu. Kemudian, pembayaran projek dilakukan oleh pegawai di bahagian kewangan atau bahagian pembangunan. "Itulah yang saya mahu tahu sama ada (laporan) itu kembali kepada pengawal kewangan (KSU) atau tidak. Kita perlu tunggu dan lihat," katanya. Ditanya sama ada KSU dan bekas-bekas KSU di KBS perlu bertanggungjawab terhadap penyelewengan dana itu, Ali berkata: "Ia bergantung sama ada ia disalahgunakan atau tidak. Kita akan periksa. Kita tidak boleh buat kesimpulannya sekarang," katanya. Ali berkata suspek itu, yang ditahan SPRM, akan dikenakan tindakan penahanan kerja mengikut Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata prosedur perbelanjaan wang kerajaan akan diperketatkan dengan ketua setiausaha di setiap kementerian perlu meneliti setiap perbelanjaan. Ketua Setiausaha akan melapor kepada Ketua Setiausaha Negara mengenai setiap perbelanjaan yang dilaksanakan, katanya semasa ditemui pada satu program di Kementerian Kewangan hari ini. "Dengan perancangan yang rapi ini, saya harap tidak akan berlaku ketirisan, rasuah dan sebagainya," katanya sambil memberitahu bahawa langkah memperketatkan prosedur perbelanjaan wang kerajaan telah dibincangkannya dengan Ali. Irwan Serigar turut mengingatkan penjawat awam bahawa arahan Perbendaharaan dan Pekeliling kerajaan mestilah sentiasa dipatuhi.

PAS PULAU PINANG MAHU GUAN ENG BERCUTI

Lim Guan Eng disaran bercuti daripada menjalankan tugas sebagai ketua menteri sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan berhubung isu pembelian rumah bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, di sini. Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPNPP) Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata tindakan bercuti itu perlu bagi memastikan ketelusan dan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa. Beliau berkata DPPNPP turut menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Lim tidak bersalah sehingga diputuskan bersalah oleh mahkamah. "Pendirian beliau ini disifatkan sebagai berjiwa besar kerana mengambil pendirian mempertahankan seseorang yang belum diputuskan bersalah walaupun (Lim) bersikap memusuhi PAS," katanya dalam kenyataan di sini Isnin. Isu pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas. Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta dibeli Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta. Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.BERNAMA

BERLAPANG DADA DALAM MENANGANI PERBEZAAN PENDAPAT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam di negara ini supaya berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat. Beliau berkata Islam membenarkan perbezaan pendapat, menyuarakan pandangan dan bantahan tetapi ia harus dilakukan dengan cara beradab dan konsisten khususnya dalam memelihara perpaduan sesama Islam. "Janganlah kerana perkara kecil, titik bengit atau khilafiah, kita berbalah sehingga mendorong kepada permusuhan, kebencian dan menaruh prasangka serta label yang tidak sepatutnya daripada seorang Muslim kepada saudara Muslim yang lain," katanya. Semasa berucap merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 bagi Tahun 1437H/2016M di sini, malam ini, Najib berkata matlamat untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul juga mestilah datang dengan pakej dan kaedah yang betul. "Atas nama membetulkan itu dan ini, sudah pasti akan menjadikan rasa aman, harmoni dan kebersamaan yang kita warisi ini, goyah. "Selain itu, bersesuaian dengan komposisi masyarakat yang berbilang-bilang kaum, agama dan budaya khususnya, semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat majmuk perlu dipelihara sebaiknya,"katanya. Najib menjelaskan bahawa kerajaan sememangnya amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama terutamanya yang melibatkan persefahaman sesama umat Islam dalam suatu kepentingan bersama. Malah, katanya, kerajaan tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan dengan sesiapa sahaja sama ada individu, mana-mana parti mahu pun badan bukan kerajaan (NGO). Menurutnya kerajaan juga tidak pernah mengenakan apa-apa syarat kerana baginya kepentingan umat dan rakyat sentiasa diutamakan berbanding kepentingan kelompok-kelompok tertentu. "Apabila kita menutup pintu-pintu persefahaman dan rundingan demi kepentingan ummah, akhirnya kita akan menjadi bagai nasib Pak Pandir 'menang sorak, kampung tergadai'," katanya. Perdana Menteri berkata untuk mencapai perpaduan, umat Islam di negara ini mesti berusaha sedaya upaya menepis segala serangan pemikiran yang datang dari pelbagai sudut dengan tujuan mengaburkan fikrah dan keyakinan terhadap kesyumulan Islam. "Serangan pemikiran seperti liberalisme, pluralisme, humanisme dan sekularisme, misalnya, perlu ditangani dengan penerangan yang lebih jelas dan menyeluruh oleh para ulama dan cendekiawan Islam agar kesatuan fikrah umat Islam di negara ini tidak goyah dan tergugat," katanya. Najib turut berharap tilawah kali ini mampu menjana penghayatan umat Islam dalam memahami isi kandungan al-Quran agar dapat diimplementasikan dalam urusan kehidupan seharian. Diadakan buat julung kalinya di Putrajaya, tilawah itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj). Tilawah bertema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu bermula malam ini sehingga 26 Mac. Setiap negeri menghantar seorang qari dan qariah menyertai tilawah itu, yang turut disertai oleh johan menunggu qari dan qariah tahun lepas iaitu Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan dan Siti Husna Hassan dari Pahang.

Ahad, 20 Mac 2016

MAHATHIR TIDAK HAK CAMPURI URUSAN UMNO

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tiada hak untuk mencampuri urusan UMNO kerana beliau sudah mengisytiharkan keluar daripada parti itu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak. Menurutnya Dr Mahathir mengungkit semula cerita lama, mengulang perkara yang sudah pun dijawab dengan jelas dan mengkritik parti dengan pelbagai tohmahan, sedangkan beliau sudah meninggalkan perjuangan itu. "Pendirian Dr Mahathir nampak semakin kontradiksi. Surat terbuka yang ditulisnya jelas menunjukkan niat untuk hancurkan UMNO. Tulisannya penuh dengan dendam pada (perdana menteri) Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak," kata Salleh dalam catatan di blognya, sskeruak.blogspot.com hari ini. Menteri itu berkata jika niat Dr Mahathir ikhlas untuk mempertahankan UMNO, beliau sepatutnya tidak bersubahat dengan kumpulan yang menjadi musuh politik UMNO selama ini. Salleh berkata: "Berpakat dengan musuh-musuh ini untuk menumbangkan kerajaan yang dipilih secara demokratik, jelas bukan untuk menyelamatkan Malaysia, tapi menghancurkannya. "Tun Dr Mahathir dan kumpulannya cuba mencari jalan singkat menjatuhkan kerajaan. Mereka tidak mengikut saluran demokrasi, yang menjadi amalan di Malaysia sejak merdeka dan tidak sabar menunggu proses pilihan raya," katanya. Menerusi penulisannya itu, Salleh berkata Dr Mahathir mempunyai cita-cita dan agenda politik yang tinggi. "Dia cuba menunjukkan bahawa dia lebih baik daripada Najib, malah menyamakan kebaikan dirinya dengan beberapa perdana menteri sebelum ini, walhal sikapnya tidak menggambarkan keperibadian sebenar. "Buktinya, Dr Mahathir tidak mahu mendengar dan tidak mahu menerima apa juga jawapan atau penjelasan yang tidak memenuhi kehendaknya," kata beliau. Pada 29 Feb lepas, Dr Mahathir mengumumkan keluar daripada UMNO selepas dilaporkan hilang keyakinan terhadap kepimpinan ketika ini.

UMNO TETAP KUKUH WALAUPUN ADA PEMIMPIN YANG MENINGGALKAN PARTI ITU

UMNO tetap kukuh dan berupaya meneruskan agendanya untuk membela bangsa, agama dan negara meskipun ada pemimpin tertinggi atau bekas pemimpin tertingginya keluar meninggalkan parti berkenaan, kata Setiausaha Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Yahya Hussin. Menyingkap sejarah kepimpinan dan perjuangan UMNO pada masa lalu, Yahya yang juga Ketua UMNO Bahagian Putatan berkata ada presiden UMNO yang pernah meninggalkan parti kerana tidak sehaluan dengan pendirian parti pada ketika itu namun UMNO tetap kukuh di bawah dokongan ahli-ahlinya. "UMNO tetap kekal. Ada beberapa presiden dan pemimpin keluar parti tetapi orang UMNO tidak ikut. Sejarahnya begitu. Sebab itu ia digelar parti keramat. Sejarahnya (UMNO) memang begitu. Lihat sahaja bekas perdana menteri, siapa ikut dia?," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat cawangan UMNO secara beramai-ramai di sini Ahad. Sebanyak 140 cawangan UMNO di Bahagian Putatan layak mengadakan mesyuarat cawangan masing-masing tahun ini. Menurut Yahya anggota UMNO telah terlatih dan diajar agar mementingkan parti melebihi kepentingan peribadi dan apabila berhadapan dengan sebarang isu dalaman dan perjuangan parti, ahli akan menolak mana-mana pemimpin yang cuba lari daripada landasan perjuangan parti. "Pemimpin terdahulu mengajar kita untuk taat kepada parti. Kekuatan (pemimpin) itu adalah daripada parti dan bukannya daripada perseorangan. Saya naik jadi pemimpin semuanya kerana parti bukan disebabkan oleh saya sendiri atau orang perseorangan. Ahli yang sokong maka jadilah pemimpin," katanya. Terdahulu dalam ucapannya Yahya mengulangi pendirian UMNO Putatan yang diumumkannya sebelum ini iaitu menolak sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir yang turut ditandatangani pemimpin parti pembangkang. Katanya UMNO Putatan akan tetap teguh menyokong kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah dipilih anggota UMNO dan rakyat negara ini secara demokrasi.

AHLI UMNO DIINGAT BERI KESETIAAN DAN KETAATAN TERHADAP PEMIMPIN

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengingatkan anggota-anggota parti supaya memberikan kesetiaan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi terhadap pemimpin yang menerajui parti itu. Beliau yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO berkata sikap berbelah bahagi merupakan permulaan kepada segala permasalahan, yang akhirnya akan merugikan parti dan perjuangan. Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata prinsip pegangannya dalam perjuangan parti ialah membantu Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri serta sentiasa memastikan kekukuhan institusi kepemimpinan parti. "Ia merupakan asas yang perlu dipegang dan dihayati setiap anggota parti. Itu prinsip yang saya pegang selama ini selain kita juga perlu menghindari rasa berbelah bahagi dalam memberikan ketaatsetiaan. "Jadi, sebagai pendokong parti, cintailah UMNO sepenuh jiwa raga agar parti terus bergerak kukuh bersama kepimpinan sedia ada," katanya semasa berucap merasmikan serentak persidangan UMNO cawangan seluruh Selangor di Tapak Ekspo Pertanian Malaysian (MAEPS) di sini. Turut hadir Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar. Ahmad Zahid turut mengingatkan anggota parti supaya tidak mudah dipengaruhi cubaan individu tertentu untuk memecahbelahkan keharmonian parti dengan mewujudkan rasa sangsi dan tidak percaya terhadap Najib. Tanpa menyebut individu yang dimaksudkan, beliau menarik perhatian dengan menyifatkan individu itu sebagai 'kitab lama' yang perlu diletakkan di satu tempat tinggi tanpa perlu lagi membacanya. "Tetapi jangan pijak kitab itu, letak di atas tetapi jangan baca sebab ia kisah atau nostalgia lama. Jadi, tinggalkan ia sebagai sejarah kerana kita perlu terus melangkah ke hadapan," katanya. Beliau juga yakin saranan individu itu tidak akan mempengaruhi pendirian sedia ada anggota parti, sebaliknya sokongan terhadap Presiden UMNO kekal tertinggi walaupun sedar ada segelintir yang cuba 'menjadi kacang hantu' yang merosakkan parti dari dalam. Mengenai persediaan UMNO Selangor berdepan pilihan raya umum akan datang, Ahmad Zahid turut mengumumkan pemberian imbuhan sebanyak RM50,000 kepada bahagian yang berjaya mendaftarkan keahlian tertinggi, pembukaan cawangan baharu terbanyak, dan daftar pengundi teramai bermula tahun hadapan. Beliau juga mahu anggota UMNO di negeri itu melupakan segala persengketaan, bermuhasabah serta faham bahawa mereka bukannya 'tuan' sebaliknya adalah pembangkang yang perlu bekerja lebih keras untuk merampas semula negeri itu pada pilihan raya akan datang. Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menerima deklarasi menyokong kepimpinan Najib daripada Noh sebagai tanda sokongan semua ketua cawangan dan bahagian UMNO Selangor, yang sebelum itu turut dibacakan bersama-sama oleh kira-kira 5,000 anggota perwakilan yang hadir.BERNAMA

Sabtu, 19 Mac 2016

POLIS ARAH TURUNKAN POSTER BEBASKAN ANWAR

Bukit Aman meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor supaya menurunkan papan iklan #BebasAnwar di negeri itu kerana ia memaparkan unsur-unsur hasutan. Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi akaun Twitternya berkata polis sedang mengesan papan tanda itu yang didapati mempunyai unsur hasutan dan mengelirukan rakyat. "@PDRMsia kesan billboard (papan iklan itu) dengan kata-kata menghasut dan mengelirukan rakyat yang merujuk DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sebagai 'Tahanan Politik'. "Pada masa sama, PBT diminta turunkan billboard yang menghasut," katanya. Selain itu, katanya polis sedang mengambil tindakan terhadap Pengerusi NGO Selangor Datuk Jamal Md Yunos kerana mengugut untuk membakar papan iklan #BebasAnwar. Rabu lepas, Jamal yang mengetuai sekumpulan individu menampal kain rentang di papan tanda #BebasAnwar di Ampang Jaya dekat sini sebagai tanda protes selain mengugut untuk membakarnya. Jamal berkata kandungan papan iklan itu mencabar keputusan mahkamah terhadap Anwar. Beliau mendakwa terdapat lebih 20 papan iklan itu dipamerkan di beberapa kawasan di Selangor termasuk di Subang dan Rawang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Hamzah Alias berkata pihaknya telah mengambil keterangan daripada Jamal dan beberapa saksi berhubung insiden itu pada Khamis lepas. Pada 10 Feb 2015, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar kerana meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Anwar didapati bersalah meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

MAHATHIR TIDAK LAGI BERHAK CAMPUR URUSAN UMNO

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mempunyai locus standi atau kedudukan untuk memberi apa-apa cadangan kepada anggota parti. Beliau berkata ini kerana Dr Mahathir bukan lagi anggota parti selepas negarawan itu membuat keputusan untuk keluar daripada UMNO pada 29 Feb lepas. "Saya kira beliau (Dr Mahathir) tak ada locus standi untuk membuat apa-apa cadangan kepada ahli cawangan kerana beliau tak menjadi ahli UMNO dan tidak menjadi ahli UMNO adalah pilihan beliau sendiri. "Saya kira elok jika beliau tidak mencampuri urusan parti yang beliau sudah tidak anggotai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penerangan, Taklimat dan Perasmian Serentak Persidangan Cawangan UMNO Bahagian Kuala Pilah di sini, Sabtu. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan Dr Mahathir semalam supaya cawangan-cawangan UMNO mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai presiden parti dan perdana menteri dalam mesyuarat tahunan masing-masing. Kenyataan Dr Mahathir itu diviralkan dalam media sosial. Mengulas lanjut, Shabery yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata pada masa ini, biarlah jemaah UMNO yang menentukan masa depan parti. Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah Datuk Ismail Lasim dalam ucapannya menegaskan bahagian itu menyokong penuh kepimpinan Najib sebagai perdana menteri dan juga presiden UMNO. "Ini pendirian kita (bahagian Kuala Pilah) untuk kita mempertahankan presiden," katanya.
Di ALOR SETAR, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyifatkan usul Dr Mahathir itu bertujuan untuk menjatuhkan dan merosakkan UMNO. "Saya minta supaya ahli-ahli UMNO negeri tidak terpedaya dengan gerakan negatif ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Kuala Kedah, Sabtu. Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah berkata beliau akan meminta semua ketua cawangan memantau perkara itu kerana kebiasaannya orang dalaman parti yang akan cuba merosakkan parti secara senyap. Di LARUT, Anggota Majlis Tertinggi Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata rata-rata anggota parti itu sedar dan faham bahawa Deklarasi Mahathir merupakan muslihat untuk menjatuhkan kepimpinan sedia semata-mata kerana dendam. Hamzah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yakin niat jahat itu tidak akan tercapai kerana semua anggota parti berdiri teguh di belakang Najib. "Dahulu, Dr Mahathir menjadi presiden parti, ada juga orang membuat sesuatu untuk menjatuhkan beliau namun, dengan sokongan anggota parti beliau terus memimpin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kenduri Kampung di Lata Panggung, Kampung Teras, Ijok dekat sini hari ini. Hamzah yang juga Anggota Parlimen Larut berkata anggota UMNO akan terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin sedia ada selagi tidak melakukan tindakan yang menyalahi agama. "Pemimpin hari ini tidak menyuruh rakyat melakukan sesuatu yang menyalahi agama, sebaliknya apa yang dibuat adalah untuk membangunkan negara dan masa depan rakyat," katanya.
Di KOTA BAHARU, kesemua 14 ketua UMNO bahagian dan kepimpinan akar umbi parti itu di Kelantan hari ini sepakat menyokong dan mempertahan Najib sebagai Presiden UMNO, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Perdana Menteri untuk terus memimpin negara. Sokongan padu itu dizahirkan melalui satu deklarasi yang dibacakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dengan dihadiri lebih 3,000 anggota parti itu di sini. Mustapa ketika membacakan tujuh perkara yang terkandung dalam deklarasi itu, mengutuk sekeras-sekerasnya tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sanggup bersekongkol dengan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) serta mengepalai 'Deklarasi Mahathir' bersama Lim Kit Siang dari DAP, dalam usaha untuk menjatuhkan Perdana Menteri. "Ini jelas bertentangan dengan amalan dan sistem demokrasi yang tidak mempedulikan implikasi terhadap negara dan rakyat," katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Jeli. Turut hadir Ketua Penerangan UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh Tan Sri Annuar Musa. Mustapa berkata UMNO Kelantan tidak rela DAP memperkuda pemimpin UMNO untuk merealisasikan hasrat mereka dan kesal dengan tindakan Tun Mahathir yang sanggup mengenepikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan DAP kepadanya selama ini semata-mata untuk mendapatkan sokongan rakyat. Mereka juga mendesak kerajaan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertindak tegas dengan menghalang semua program dan perhimpunan haram yang bakal dianjurkan mana-mana pihak bagi tujuan meracuni atau menghasut pemikiran rakyat dalam usaha menjatuhkan perdana menteri secara tidak demokratik. Mustapa berkata mereka juga mendesak kerajaan agar menamatkan serta merta segala jawatan yang dipegang oleh pemimpin UMNO dan BN dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang jelas melanggar dan merosakkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta memperlekeh kedaulatan undang-undang dan rukun negara. "Kami mendesak Majlis Tertinggi UMNO dan Lembaga Disiplin UMNO memecat ahli-ahli UMNO yang terlibat dengan 'Deklarasi Mahathir' dan bersekongkol dengan pembangkang," katanya. Sementara itu, Annuar berkata 'Deklarasi Mahathir' bukan mewakili suara rakyat sebaliknya bekas perdana menteri itu telah terperangkap dalam jerat DAP. Di KUALA LUMPUR, Ketua Pergerakan Wanita UMNO Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil berkata Dr Mahathir dilihat semakin 'tenat' untuk meraih sokongan anggota UMNO apabila mengemukakan surat terbuka kepada para anggota cawangan parti itu agar mereka membuat undi tidak percaya kepada Najib. "Apabila sebelum ini Tun Mahathir dan pemimpin UMNO lain duduk satu meja dan bersekongkol dengan pembangkang tidak mendapat sokongan ahli UMNO, saya nampak surat terbuka ini menunjukkan keadaan yang amat tenat untuk mereka. "Ini kerana beliau terpaksa mencari cara baharu untuk mendapatkan sokongan tetapi sebaliknya apa yang akar umbi lihat deklarasi Mahathir yang mereka lakukan itu telah menyatukan anggota UMNO untuk terus menyokong teguh kepimpinan perdana menteri," katanya selepas menghadiri Persidangan UMNO Cawangan Kepong Sentral hari ini. UMNO Cawangan Kepong Sentral pula mendesak Majlis Tertinggi (MT) UMNO segera mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden parti yang digantung tugasnya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersekongkol dengan pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri. Ketua UMNO Bahagian Kepong Datuk Seri Rizuan Abd Hamid berkata pihaknya kecewa dengan tindakan kedua-dua pemimpin itu yang menjadi gunting dalam lipatan UMNO dan sanggup diperalatkan pembangkang. "Kami mengutuk dan membantah sekeras-kerasnya tindakan Tun Mahathir kerana sanggup bersekongkol dan duduk satu meja dengan musuh utama UMNO iaitu DAP dan beselindung atas nama rakyat bertujuan menjatuhkan perdana menteri. "Kami juga keliru dan kecewa dengan tindakan Muhyiddin dan Mukhriz yang turut sama menyokong tindakan Tun Mahathir. Justeru itu, kami mendesak mesyuarat khas diadakan bagi membincangkan tindakan tegas termasuk melucutkan keahlian pemimpin UMNO yang terlibat dalam perkara ini," katanya. Di SUNGAI PETANI, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata Malaysia mesti dipimpin oleh orang sederhana yang meletakkan matlamat untuk membina negara melalui penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi. "Saya minta agar semua bahagian (UMNO) supaya berbaik sangka dan sentiasa mengingati bahawa UMNO adalah teras kepada BN dan BN wajar mengendalikan negara ini. "BN adalah parti politik yang sederhana. Parti yang keras dan suka bergaduh tidak boleh (mentadbir negara), Malaysia mesti dipimpin oleh orang yang sederhana, meletakkan matlamat untuk membina negara melalui penyertaan rakyat dalam aktiviti ekonomi," katanya merasmikan Majlis Taklimat dan Perasmian Serentak Persidangan Agung Cawangan, Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Merbok 2016 di sini, hari ini. Di LABUAN, kesemua UMNO cawangan itu hari ini berikrar berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib. Ketua UMNO Bahagian Labuan Datuk Rozman Isli berkata kesemua parti bahagian dan cawangan itu juga perlu mengukuhkan perpaduan dan mempereratkan kerjasama dalam memastikan Labuan terus menjadi kerusi kemenangan BN dalam pilihanraya umum ke-14 akan datang. "Dalam memastikan BN menang dalam pilihan raya akan datang, semua anggota harus bersatu mempertahan dan memperkukuh kedudukan UMNO," katanya ketika merasmikan persidangan Tahunan UMNO Cawangan Empat Peringkat Labuan 2016 di Mini Auditorium Perbadanan Labuan Layang-Layangan.

NAJIB TEKAD PERTAHANKAN KEPIMPINANNYA

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertekad untuk terus berjuang mempertahankan kepimpinannya demi pembangunan ekonomi negara dan kebajikan rakyat. Najib berkata beliau bukanlah seorang pencuri harta rakyat seperti yang digambarkan oleh pihak yang ingin menjatuhkannya, yang disifatkannya sebagai sengaja dilakukan untuk memburukkan imej beliau sebagai pemimpin nombor satu negara. "Tuan-tuan dah kenal saya. Saya ini bukanlah (seperti) apa yang dikatakan oleh orang belah sana (yang ingin menjatuhkannya). Saya bukanlah macam itu. Saya telah jaga Pahang (dan negara) dengan sebaik-baiknya. "Kalau saya nak rompak dah lama saya rompak hutan (balak) sini (Pahang). Saya tidak ambil seinci pun, sebatang pokok pun saya tidak ambil, saya tidak ambil lombong bauksit, saya tidak ambil apa-apa. "Bila saya jadi perdana menteri saya tidak ubah pendirian saya, saya tidak akan ambil harta rakyat, jangan ingat saya penyangak, jangan ingat saya mencuri harta rakyat, saya perdana menteri untuk rakyat," katanya pada majlis Himpunan Solidariti di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia, di sini Sabtu. Himpunan itu diadakan bagi menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Najib, dihadiri lebih 5,000 anggota dan pemimpin UMNO dan Barisan Nasional daripada 14 UMNO bahagian di negeri ini. Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Najib yang juga Presiden UMNO dan Anggota Parlimen Pekan sebelum itu tiba di Pangkalan TUDM, di sini kira-kira 9.30 pagi dengan menaiki pesawat khas dan disambut oleh Adnan serta pimpinan parti. Perdana Menteri turut meminta rakyat di negara ini khasnya anggota parti supaya tidak memperdulikan kerjasama politik bekas pemimpin UMNO dan pihak pembangkang kerana ia tidak mendatangkan manfaat berbanding langkah kerajaan selama ini yang telah banyak membuat kebajikan untuk rakyat. "Kita (pemimpin kerajaan) buat kerja, kita jaga ekonomi, kita nak orang muda ada pekerjaan, memperkembangkan ekonomi, kita nak jaga orang kampung, kita nak bangunkan kawasan bandar, pinggir bandar, pesisiran pantai, gunung, semua kita kena jaga," katanya. Dalam masa yang sama Najib turut menempelak tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang melancarkan deklarasi bersama-sama pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinannya. Beliau berkata tindakan itu jelas bertentangan prinsip yang dipegang oleh Dr Mahathir selama 22 tahun menerajui kepimpinan negara apabila cuba menjatuhkan kerajaan dan menukar perdana menteri dipilih rakyat dengan cara tidak demokrasi. "22 tahun kutuk parti DAP... kata Kit Siang (veteran DAP Lim Kit Siang) rasis...kata DAP parti cauvinis, menidakkan hak orang Melayu, menekan Islam, kita dah dengar ucapan-ucapan dia. "Ini bukan saya kata, ini Dr Mahathir sendiri kata selama 22 tahun ... hari ini dia duduk sebelah siapa, dia 'sign' (tandatangan) deklarasi rakyat dengan siapa," soalnya. Najib berkata Dr Mahathir, beberapa bekas pemimpin UMNO dan pembangkang tidak wajar menjatuhkan kerajaan dengan cara demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan seperti yang dirancang oleh pihak berkenaan sebelum ini. "Dulu (Dr Mahathir) kata demonstrasi jalanan salah di sisi undang-undang. Dulu kata salah dari segi prinsip demokrasi. Tapi sekarang ini lain pula," katanya. Pada 4 Mac lepas, bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan dan Lim adalah antara lebih 50 individu menandatangani deklarasi menyokong penyingkiran Najib, diketuai Dr Mahathir. Dalam pada itu, Najib mengucapkan terima kasih kepada rakyat Pahang yang hadir pada Himpunan Solidariti hari ini untuk menyatakan sokongan terhadap kepimpinannya. Perdana Menteri berkata beliau berasa gembira dengan keadaan itu kerana ia menggambarkan beliau tidak keseorangan dalam menghadapi pelbagai ujian dan cabaran dalam memimpin negara. "Sebagai anak watan Pahang hati ini terubat hari ini. Walaupun diserang daripada mana-mana pun, tetapi kalau 'askar' saya ini seperti hari ini, saya tidak keseorangan, I'm not alone," katanya.BERNAMA