Rabu, 25 Jun 2014

Kedah akan rampas tanah yang dijadikan ladang ketum

Kerajaan negeri Kedah akan merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum bagi mengekang penyalahgunaan air ketum dalam kalangan masyarakat negeri ini. Semasa mengeluarkan amaran itu, Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Mahathir (gambar) berkata seksyen dalam Kanun Tanah Negara memperuntukkan bahawa kerajaan negeri boleh merampas tanah-tanah yang melanggar syarat seperti tanah sawah yang dijadikan ladang ketum. "Kerajaan negeri tidak teragak-agak merampas tanah itu jika didapati bersalah (menanam ketum) dan pemilik-pemilik tanah persendirian juga tidak terkecuali menerima tindakan sama jika menanam pokok ketum. "Ini kerana penanaman ketum adalah satu kesalahan di negeri ini walaupun masih belum ada akta yang melibatkan ketum diwartakan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco negeri di Wisma Darul Aman di Alor Setar, hari ini. Beliau berkata polis serta Pejabat Tanah dan Galian juga menyalurkan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan menanam ketum. "Undang-undang sedia ada memperuntuk hukuman denda dan pesalah yang melakukan kesalahan berulang kali juga dikenakan denda sama. "Oleh itu, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk merampas tanah-tanah yang dijadikan ladang ketum," katanya. Dalam perkembangan lain, Mukhriz berkata beliau dan rakyat Kedah berbangga dengan pelantikan Pengerusi MCA Kedah Datuk Lee Chee Leong sebagai timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Sambil mengucapkan tahniah kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilantik sebagai menteri pengangkutan, Mukhriz berkata beliau akan membuat temu janji awal dengan Liow bagi membincangkan mengenai pembinaan lapangan terbang baharu di Kulim. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/kedah-rampas-tanah-dijadikan-ladang-ketum#sthash.dBjRaHt0.dpuf

Usaha membenteras dadah perlu secara kolektif-PM

Usaha membanteras penyalahgunaan dadah perlu ditangani secara kolektif oleh semua pihak untuk mengelaknya menjadi lebih buruk dan membawa ancaman keselamatan kepada negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Najib, yang juga Penaung Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Kebangsaan, berkata di negara-negara tertentu, kartel dadah wujud hingga mempunyai angkatan bersenjata yang turut melakukan jenayah kejam lain seperti pembunuhan. "Kalau tidak ditangani dengan berkesan, dadah akan merebak daripada satu ancaman bersifat sosial kepada sesuatu yang boleh kita sifatkan sebagai ancaman keselamatan dan akhirnya boleh menjadi pemusnah ketamadunan negara," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Pemadam ke-39 di sini, malam ini. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga Penaung Pemadam Johor dan Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan Datuk Wira Mohd Johari Baharum. Sambil melahirkan kesyukurannya bahawa Malaysia tidak mencapai tahap buruk hingga mempunyai kartel dadah seperti sesetengah negara, Najib mengingatkan betapa pentingnya usaha gigih secara kolektif dan tersusun di semua peringkat bagi menangani masalah dadah daripada menjadi lebih serius. Perdana menteri berkata usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah perlu bermula dari keluarga dengan menerapkan kefahaman dan peranan anggota keluarga dalam menangani masalah itu. "Kalau perlu kasih sayang, tunjukkanlah kasih sayang tetapi janganlah terlalu memanjakan anak sehingga anak tidak hormatkan kita," kata Najib. Selain itu, Najib berkata sekolah perlu menitikberatkan pendidikan mengenai bahayanya dadah yang boleh merosakkan akidah. Beliau turut mencadangkan Kementerian Dalam Negeri mewujudkan Akta Daun Ketum berikutan seriusnya masalah penyalahgunaan daun ketum di negara ini sekarang. Dalam pada itu, Najib akan mempertimbang dana tahunan bagi Pemadam untuk mempertingkat usaha membasmi penyalahgunaan dadah di Malaysia. Beliau kemudian melancarkan Pelan Tindakan Strategik Pemadam Johor. Kira-kira 1,600 pewakilan Pemadam dari seluruh Malaysia dijangka menghadiri perhimpunan itu esok.

PM berpuas hati dengan barisan kabinet sedia ada

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu berkata beliau berpuas hati dengan barisan Kabinet sedia ada yang tidak memerlukan beliau untuk mengadakan rombakan besar. Tambahan pula, katanya, barisan Kabinet beliau hanya dibentuk kira-kira setahun lalu. "Kabinet sedia ada hanya dibentuk baru saja setahun, kita perlu beri mereka masa untuk berkhidmat dan kita akan kaji semula jika perlu apabila tiba masanya," katanya pada sidang media mengumumkan pelantikan baharu dalam Kabinet beliau di sini pada Rabu. Pelantikan itu melibatkan tiga jawatan menteri dan tiga timbalan menteri terdiri daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional MCA dan Gerakan. Mereka ialah Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA Datuk Wee Ka Siong masing-masing sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut dilantik ialah tiga naib presiden MCA - Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dalam kenyataan Najib pada sidang media itu, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Chew sebagai anggota Dewan Negara selama tiga tahun mulai Rabu. Najib menjangkakan mereka yang baru dilantik dalam barisan Kabinet itu akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dalam melaksanakan dasar-dasar kerajaan dengan baik. "Ini merupakan kerajaan Barisan Nasional, oleh itu walaupun kita mewakili parti komponen masing-masing, dalam masa yang sama kumpulan etnik kita juga, tapi jangan lupa kepada tanggungjawab yang lebih besar lagi iaitu kita secara keseluruhannya ialah sebuah kerajaan BN, jadi kita perlu mengmbil kira kepentingan semua komuniti," katanya. Najib berkata pembesaran Kabinet akan membawa kepada perbincangan yang lebih bermakna di peringkat Kabinet kerana mereka akan berupaya mendapat pandangan yang lebih luas dan pelbagai. Beliau juga mahu memastikan saiz Kabinet tidak akan menjadi masalah dari segi membuat dan melaksanakan sebarang keputusan. Mengenai operasi mencari pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang memandangkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak lagi memangku jawatan menteri pengangkutan, Najib berkata perbincangan akan diadakan antara Hishammuddin dan Liow mengenai tindakan seterusnya berhubung MH370. Sementara itu berhubung kekosongan kerusi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berikutan peletakan jawatan P.Waytha Moorthy, beliau berkata tiada keperluan untuk mengisi kekosongan itu. Beliau berkata ini kerana terdapat satu Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal kaum India dan semua menteri serta timbalan menteri yang mewakili kaum India telah diberi tugas dan tangungjawab masing-masing secara terperinci. "Satu unit juga telah diwujudkan di JPM untuk membantu dari segi memantau keputusan dan cadangan baharu kepada pihak kerajaan, jadi masalah kaum India tetap diberi perhatian berat oleh kerajaan," katanya. Mengenai pertambahan timbalan menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Najib berkata terdapat keperluan untuk pelantikan itu bagi menangani tugas-tugas tertentu terutama isu berkaitan kaum. Misalnya pelantikan Chew sebagai timbalan menteri KPWKM jelas beliau adalah termasuk untuk berurusan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada kaum Cina. Pelantikan Chua sebagai Timbalan Menteri Kewangan boleh membantu berurusan dengan usahawan kecil dan sederhana yang banyak terdiri daripada kaum Cina, katanya.

Model baru rumah PR1MA untuk golongan muda diperkenalkan

Kerajaan akan memperkenalkan rumah model baharu di bawah projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) khusus untuk golongan muda yang berpendapatan rendah di negara ini. Pengerusi Perbadanan PR1MA Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis berkata rumah separuh berkembar (semi-D) itu akan dijual pada harga di bawah RM100,000 dengan projek perintis dilaksana di Teluk Intan. "Rumah PR1MA model baharu itu antara lain mempunyai ciri tapak keluasan tanah 20 kaki x 70 kaki dengan sebuah bilik tidur, ruang tamu dan dapur kecil yang boleh diubah suai pada masa depan. "Kita membinanya mengikut pelan rumah yang mempunyai tiga bilik bagi membolehkan pembelinya melakukan pengubahsuaian apabila ahli keluarga mereka telah bertambah nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian zakat Kumpulan Teras Dara Konsortium (TDK) di Dewan Angkat Berat Rompin, di sini Rabu. Beliau berkata model baharu itu diperkenal berdasarkan kajian pasangan muda yang baharu berkahwin tidak memerlukan ruang yang luas. Sementara itu, Jamaluddin berkata pihaknya juga sedang mengkaji untuk memanfaatkan tanah rizab melayu (TRM) bagi pembinaan PR1MA. Langkah itu katanya boleh membantu mengurangkan kos pembinaan rumah PR1MA sehingga 50 peratus memandangkan harga TRM lebih murah berbanding tanah kategori biasa. Sekali gus ini akan mengurangkan lagi harga rumah PR1MA yang dijual kepada rakyat, katanya. Bagaimanapun menurut Jamaluddin perkara itu akan dibincangkan lebih lanjut pada peringkat Lembaga Pengarah PR1MA sebelum dibawa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau juga berkata setakat ini PR1MA menerima 600,000 permohonan untuk mendapatkan rumah di bawah program itu. Katanya sehingga kini pembinaan sebanyak 80,000 rumah PR1MA telah diluluskan daripada 500,000 yang disasar akan dibina dalam tempoh lima tahun.

Mah Siew Keong ucap terima kasih kepada kepimpinan BN

Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) kerana mempunyai keyakinan terhadap beliau untuk dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Mah berkata beliau berbesar hati dengan pelantikan itu, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada Rabu. "Saya berasa amat berbesar hati apabila dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri oleh Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun 2014. "Juga mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Razak kerana mempunyai kepercayaan dan keyakinan terhadap saya," kata Mah dalam laman Facebooknya. Najib pada Rabu mengumumkan pelantikan tiga menteri dan tiga timbalan menteri baharu terdiri daripada pemimpin MCA dan Gerakan. Dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei, Mah, 53, mengalahkan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi. Kemenangan Mah bukan sahaja menyaksikan BN merampas kembali kerusi itu, tetapi juga mengukuhkan kedudukannya sebagai presiden Gerakan, jawatan yang dimenanginya pada pemilihan parti Oktober tahun lepas, serta kedudukan Gerakan dalam BN.

Liow Tiong Lai anggap perlantikannya sebagai amalan perkongsian kuasa

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak atas pelantikan wakil-wakil MCA dalam barisan kabinet bagi membantu dalam usaha pembinaan negara. Liow berkata, pelantikan ini membuktikan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Najib sentiasa berusaha mengamalkan perkongsian kuasa bagi memastikan pembangunan negara yang berbilang kaum ini sentiasa dalam keadaan harmoni. "Saya berterima kasih dan melahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri bagi pelantikan baharu menteri dan timbalan menteri dari MCA. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk melaksanakan tugas dan berkhidmat kepada negara dan menggerakkan negara ke hadapan," katanya kepada Bernama di sini Rabu. Liow yang juga anggota Parlimen Bentong berkata selepas meninggalkan kabinet lebih setahun lalu, beliau mendapati banyak perkara yang perlu dilakukan menteri dan timbalan menteri dari MCA untuk membantu perdana menteri. "MCA perlu meningkatkan usaha untuk mengejar apa yang telah kami tinggalkan, terdapat banyak kerja yang perlu dilakukan dan dengan itu saya menyeru semua menteri dan timbalan menteri dari MCA untuk memberikan yang terbaik bagi menunaikan tanggungjawab kami," katanya.

Tiga dilantik menteri penuh dan tiga Timbalan Menteri

Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mengumumkan pelantikan tiga menteri penuh dan tiga timbalan menteri baharu daripada pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) MCA dan Gerakan, dalam barisan Kabinetnya. Ketika membuat pengumuman itu pada sidang media di Bangunan Perdana Putra di sini, perdana menteri menamakan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai sebagai Menteri Pengangkutan, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Turut dinamakan ialah tiga naib presiden MCA Datuk Lee Chee Leong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dengan pelantikan Liow sebagai menteri pengangkutan, Najib mengesahkan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak lagi memangku jawatan itu. "Saya gembira wakil MCA kembali dalam Kabinet begitu juga Gerakan," kata Najib. MCA sebelum ini memutuskan untuk tidak menerima sebarang jawatan peringkat pusat dan negeri susulan prestasi kurang memberangsangkan semasa pilihan raya umum ke-13 tahun, namun memutuskan untuk kembali menyertai kabinet dan menduduki jawatan dalam kerajaan setelah mendapat sokongan majoriti dalam mesyuarat agung luar biasa parti itu pada Februari lepas. Sebelum ini, Najib dilapor berkata akan melantik Mah sebagai menteri jika menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei lalu. Mah menang dengan majoriti 238 undi ke atas calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud. Najib berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah memperkenan untuk majlis angkat sumpah dan simpan rahsia anggota Kabinet baharu itu pada Jumaat ini di Istana Negara. Najib berkata kemasukan wakil MCA dalam barisan Kabinet mengukuhkan konsep perkongsian kuasa dalam pentadbiran negara yang melibatkan semua kaum di negara ini. "Pengumuman (anggota) Kabinet baharu berkait rapat dengan hasrat kerajaan membentuk pasukan jitu, memimpin rakyat daripada pelbagai kaum," katanya. Beliau menyedari saiz Kabinet yang semakin membesar namun menegaskan ia tidak dapat dielakkan serta menyifatkan pertambahan anggota Kabinet itu sebagai "luar jangkaan". "Setakat ini tiada sesiapa yang sukarela keluar Kabinet...hanya bergurau," katanya. Najib yakin barisan Kabinet itu dapat menterjemah Aku Janji kepada rakyat seperti yang dilafazkan pada pilihan raya umum lepas agar terus membawa kemajuan lebih besar kepada negara. Perdana menteri akan turut berbincang dengan menteri dan timbalan menteri baharu mengenai pengangihan dan bidang kuasa serta tanggungjawab masing-masing. Najib berharap semua menteri dan timbalan menteri baharu ini akan menjalankan tugas dan tanggungjawab dengan baik serta melaksanakan dasar kerajaan. "Harus diingat bahawa beberapa tanggungjawab tertentu hendaklah digalas seperti memastikan janji kita kepada rakyat dilunas dan dilaksanakan, supaya kita terus memegang kepercayaan rakyat," katanya. Najib menolak dakwaan bahawa beliau tertekan untuk mengumumkan pelantikan baharu itu, sambil menjelaskan bahawa beliau memerlukan masa yang sesuai untuk mengumumkan penambahan anggota Kabinet berkenaan. Beliau berkata pengumuman itu tidak dapat dilakukan lebih awal berikutan kejadian seperti kehilangan pesawat MH370 dan penglibatan beliau dalam beberapa program negara. Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa.