Sabtu, 19 April 2014

Lebih 10,000 beri penghormatan terakhir pada mendiang Karpal Singh

Lebih 10 ribu orang membanjiri Dewan Sri Pinang di sini hari ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Karpal Singh yang maut dalam kemalangan jalan raya Khamis lepas. Suasana sedih dan suram menyelubungi perkarangan dewan itu yang dihadiri segenap lapisan masyarakat seawal pukul 8 pagi bagi memberi penghormatan kepada mendiang yang lebih dikenali sebagai 'Tiger of Jelutong'. Upacara penghormatan itu dimulakan oleh orang awam pada 9 pagi, diikuti kepimpinan kerajaan negeri, anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, wakil-wakil parti politik, kumpulan profesional dan persatuan agama. Turut memberi penghormatan terakhir kepada mendiang ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, diiringi Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta barisan exco kerajaan negeri dan kepimpinan DAP. Upacara sembahyang agama Sikh oleh anggota keluarga diadakan di Dewan Sri Pinang sebelum mayat Karpal Singh yang diletakkan di dalam keranda yang diselimuti hamparan bergambar harimau diusung oleh anak-anak dan keluarga terdekat mendiang keluar dari dewan itu. Perarakan membawa jasad mendiang Karpal Singh menggunakan van dari Dewan Sri Pinang ke Krematorium Batu Gantung pada pukul 11.30 pagi itu kemudian membuat tiga 'persinggahan bermakna' bagi membolehkan sesi fotografi dijalankan. Tiga persinggahan itu ialah kompleks Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, tempat mendiang bertugas sebagai peguam; Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, lokasi beliau memulakan kerjaya politiknya; dan St Xavier's Institution, sekolah lama Karpal Singh. Upacara pengebumian anggota Parlimen Bukit Gelugor itu diberi penghormatan negeri dan bendera negeri Pulau Pinang dikibar setengah tiang bermula tarikh kematiannya hingga hari persemadian. Terdahulu, kediaman Karpal Singh di 144A, Jalan Utama di sini, dipenuhi saudara mara, sahabat handai, kenalan dan orang awam serta pihak media seawal 6 pagi. Upacara sembahyang agama Sikh secara tertutup oleh anggota keluarga berlangsung pada kira-kira 7 pagi sebelum mayat mendiang dibawa keluar setengah jam kemudian untuk dibawa ke Dewan Sri Pinang dengan anggota keluarga terdekat. Karpal Singh maut dalam kemalangan pada 1.10 pagi di Km306.1 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran Gua Tempurung, di Kampar, Perak. Turut terbunuh dalam kemalangan di laluan utara itu ialah pembantu peribadi beliau, Michael Cornelius. -- BERNAMA

Helipad akan dibina kawasan pendalaman Kemaman- Shabery Cheek

Beberapa kawasan pendaratan helikopter (helipad) akan dibina di pedalaman Kemaman yang sering dilanda banjir bagi memudahkan penyaluran bantuan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman berkata sejumlah peruntukan sudah diterima bagi tujuan itu. "Kita sudah melihat beberapa lokasi strategik untuk tujuan itu," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan bantuan berbentuk televisyen, peti sejuk, dapur dan tilam serta bantal bernilai RM5,000 kepada 331 mangsa banjir Kampung Geliga Permai. Menurut Ahmad Shabery antara kawasan yang dipertimbang untuk pembinaan helipad itu ialah Air Putih, Pasir Gajah dan Seberang Tayor yang teruk terjejas ketika bah awal Disember tahun lepas. Dalam bencana itu, Felda Seberang Tayor paling teruk terjejas apabila kesemua 132 peneroka di kawasan berkenaan kerugian harta benda selepas kediaman mereka dinaiki air hingga ke bumbung. Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata sebuah pangkalan hadapan dan pusat pemindahan baharu juga akan dibina memandangkan beberapa pusat pemindahan mangsa banjir turut tenggelam dalam kejadian itu. Kemaman antara daerah paling teruk terjejas dalam bencana hujung tahun lepas yang turut menenggelamkan Kuantan, Pahang. Di Terengganu daripada 19,205 keluarga, kira-kira 14,000 adalah di Kemaman. Bantuan banjir sumbangan kerajaan pusat itu diagih kepada semua mangsa banjir secara berperingkat sehingga akhir bulan ini. Mengenai penyaluran bantuan yang agak lewat, Ahmad Shabery berkata perkara itu disebabkan ada beberapa masalah termasuk masalah stok barangan elektrik serta logistik.BERNAMA

MH370- Pencarian diteruskan dengan kemungkinan penambahan aset

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein hari ini memberi jaminan usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 akan diteruskan, walaupun terdapat rancangan operasi berkenaan akan dibincang dan dibuat penilaian semula.

Katanya pasukan operasi mencari di bawah seliaan Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang ditubuhkan Australia dan pihak terbabit, bagaimanapun menimbang pendakatan lain, termasuk meluaskan skop pencarian dan menggunakan aset lain yang mungkin relevan dengan pencarian itu yang memasuki hari ke-43 Sabtu.

Selain terus menggunakan kapal selam mini Bluefin-21 untuk kerja mencari di dalam air, pihak berkuasa Malaysia kini mengkaji kemungkinan menambah penggunaan aset komersial dalam operasi itu, katanya pada sidang akhbar berhubung perkembangan usaha mencari pesawat berkenaan di sini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbot berkata operasi mencari itu akan dibincang dan dinilai semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu "dalam masa beberapa hari lagi".

"Di sini, syarikat seperti Deftech, DRB, Boustead dan beberapa syarikat Malaysia telah bertemu dan berbincang dengan rakan mereka dari luar negara berhubung cara bagaimana kita boleh menambah AUV (kenderaan dalam air autonomi) untuk membantu usaha mencari," kata Hishammuddin.

-- BERNAMA