Sabtu, 16 Februari 2013

USAHA TUMBANGKAN KERAJAAN TIDAK MENJANJIKAN SESUATU YANG BAIK- PM

Perdana Menter, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan usaha untuk menumbangkan kerajaan yang sedia ada bukan menjanjikan sesuatu yang lebih baik. Katanya, apa yang berlaku di negara luar membuktikan keadaan negara tersebut berada dalam keadaan yang lebih teruk dan rakyat terpaksa menangung bebab dari tindakan itu. "Sejarah membuktikan revolusi menumbangkan kerajaan sedia ada tidak semestinya menjanjikan kesudahan yang lebih manis dari apa yang dikecapi sebelum itu, "katanya. Perdana Menteri berkata apa yang berlaku di negara-negara Arab baru-baru ini, misalnya, rakyat negara tersebut terpaksa menanggung kadar inflasi dan kadar pengangguran yang tinggi.
Kepimpinan kerajaan Barisan Nasional adalah kesinambungan daripada kepimpinan sebelum ini yang sentiasa memberi kesejahteraan kepada rakyat dan perubahan terbaik adalah perubahan yang dirancang secara sistematik, rapi dari atas ke bawah dan dari aspirasi rakyat itu sendiri.
“Perjuangan kita berdasarkan perjuangan yang sambung menyambung dari satu zaman ke satu zaman, kalau terputus kita tidak akan mungkin sampai ke garis penamat,” katanya. Najib berkata sejak Kebangkitan Dunia Arab (Arab Spring) yang menukar rejim lama kepada baharu bukan memberi kesan yang baik kepada rakyat sebaliknya kehidupan rakyat di negara itu semakin teruk berbanding sebelumnya. Semasa melawat Mesir baru-baru ini, katanyam, beliau mendapat maklumbalas dari pelajar Malaysia di sana bahawa kadar inflasi yang tinggi menyebabkan mereka terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Najib berkata beliau telah memberi arahan supaya pelajar tajaan MARA di Mesir diberi elaun sara hidup bagi mengurangkan bebanan mereka berikutan kadar inflasi yang meningkat di negara itu.

LAGI TUNTUTAN RAKYAT SELANGOR

Selepas gagal membatalkan saman yang difailkan oleh kumpulan ibu tunggal berhubung pembayaran elaun sebanyak RM100 sebulan serta tuntutan kumpulan yang menuntut air percuma, kerajaan negeri Selangor hari ini terus berdepan dengan satu lagi tuntutan iaitu berkaitan bantuan pendidikan prasekolah. Pengerusi Badan Bertindak Rakyat Selangor (BBRS), Datuk Said Anuar Said Ahmad berkata, ini berikutan kerajaan negeri dalam manifesto kempen pilihan raya umum 2008, telah berjanji akan memberi bantuan RM50 sebulan kepada kanak-kanak yang menghadiri pendidikan peringkat asas tersebut. Jelas beliau, manifesto itu juga merujuk kepada seluruh keluarga tanpa mengira jumlah pendapatan kerana tiada syarat dikenakan.
“Kerajaan Selangor hari ini jelas gagal memenuhi janji semasa Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) untuk menyediakan elaun sebanyak RM50 sebulan kepada 115,000 kanak-kanak yang memasuki prasekolah melibatkan tuntutan RM59.8 juta sejak tahun 2008. Jumlah itu termasuk seramai 23,945 kanak-kanak yang memasuki prasekolah sepanjang tahun lepas.
“Dalam masa yang sama, kita menafikan bahawa BBRS menghalang atau menakutkan ibu-bapa Pra Sekolah untuk menerima bantuan pra persekolahan dari kerajaan pakatan negeri Selangor. “Persoalannya, kerajaan negeri tidak telus untuk menyampaikan maklumat menyeluruh kepada rakyat Selangor khususnya kepada ibu-bapa yang mempunyai anak di pra-sekolah, mengapa pilih bulu, mengapa pilih kasih,” ujarnya. Beliau berkata demikian selepas bersama-sama dengan kumpulan ibu-bapa dari kawasan Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam yang mengadakan demostrasi menuntut janji PRU12 dari kerajaan negeri, di sini pagi tadi. Tambahnya, kenyataan yang dibuat oleh seorang wakil rakyat dalam website Selangorku merupakan kenyataan yang melulu dan tidak bertanggungjawab, satu pembohongan besar dengan menuduh kerajaan pusat menyekat bantuan Skim Tunas kerajaan negeri Selangor.

KERAJAAN PAS TUNTUT PAMPASAN TIDAK LOGIK- TPM

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan kerajaan Kedah meminta kerajaan persekutuan membayar pampasan RM100 juta sekiranya mahu penebangan balak di negeri ini tidak dilakukan, sebagai tidak logik. Timbalan Perdana Menteri berkata masalah penebangan balak oleh kerajaan negeri yang melibatkan kawasan tadahan air telah dilakukan dan kini mereka meminta pampasan daripada kerajaan pusat. "Perkara ini (pembalakan) dah berlaku begitu, mana ada cerita pampasan. Kawasan tanah (milik) dia, balak dia dah ambil, sekarang minta kerajaan pusat beri RM100 juta," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Himpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Utara di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Kampung di sini hari ini. Rabu lepas, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika meminta kerajaan pusat membayar pampasan itu berkata pampasan itu sebenarnya pernah dijanjikan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri, namun tidak pernah ditunaikan hingga kini. "Kalau bising sangat (mengenai penebangan balak), bayar kami RM100 juta...hutan hak Kedah...lagipun tak tebang kawasan tadahan air, kawasan hutan simpan saja tebang," kata Azizan.Muhyiddin berkata apa yang lebih penting kerajaan negeri tidak meneruskan pembalakan itu dan menghentikannya serta merta. "Saya tak tahu siapa dia berjanji dan sebagainya. Apa yang penting sekarang ini apakah wajar apa yang dibuat sekarang..untuk bersihkan kawasan-kawasan tadahan air. "Kita tahu Kedah tiada sumber dan dana pun tak mencukupi kalau tidak ada bantuan kerajaan pusat. Tapi tak seharusnya dia ambil langkah yang memusnahkan alam sekitar. Ini untuk generasi Kedah masa akan datang. Itu lebih utama yang harus difikirkan," katanya. Kerajaan Pas Kedah melakukan aktiviti pembalakan secara rakus di kawasan seluas 400 hektar di Charuk Batang Padi, di kawasan hutan simpan Tasik Pedu atas alasan untuk projek taman agro pelancongan dan ladang rakyat. Tindakan itu mendapat bantahan banyak pihak kerana akan memberi kesan kepada valam sekitar dan bekalan air tetapi tidak dipedulikan kerajaan negeri yang tetap meneruskan pembalakan itu.Mengenai dakwaan Ketua Pemuda Gerakan Kedah Tan Keng Liang bahawa hutang kerajaan negeri meningkat sebanyak 50 peratus selepas pakatan Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengambil alih pentadbiran negeri ini, Muhyiddin berkata jika maklumat itu betul, ia sesuatu yang serius. "Kalau betul, elok kerajaan negeri ambil perhatian, elok disiasat dan dikaji. Jika ia boleh menyebabkan Kedah sampai tahap bangkrap, ia akan menjadi bebanan kepada rakyat Kedah.

SYED MOKTHAR KEKAL KE 5 TERKAYA DI MALAYSIA

Robert Kuok, hartawan Malaysia yang berpangkalan di Hong Kong masih merupakan orang terkaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai RM46.1 bilion, meningkat sebanyak 0.88 peratus daripada RM45.7 bilion tahun lepas, diikuti oleh ahli perniagaan Ananda Krishnan dan Pengerusi/CEO Public Bank, Tan Sri Teh Hong Piow. Ananda, yang menduduki tempat kedua sejak 2004, telah mengalami penyusutan kekayaan terbesar apabila ia merosot 23.5 peratus dari tahun lepas, dengan aset yang dipegang melalui Usaha Tegas Sdn Bhd bernilai RM32.90 bilion setakat tarikh pengiraan pada 18 Januari, 2013. Teh, mengekalkan kedudukannya bagi tahun ketiga berturut-turut dengan aset bernilai RM13.73 bilion, demikian menurut Malaysian Business, majalah perniagaan perdana Malaysia dalam terbitan 16 Februari. Ia berkata kekayaan tergabung 40 individu terkaya Malaysia itu meningkat sedikit tahun ini meskipun dalam keadaan pasaran modal yang turun naik dan tidak menentu. Secara kolektif, 40 orang terkaya Malaysia itu bernilai RM194.86 bilion pada 18 Januari. Ini merupakan peningkatan kecil sebanyak 0.86 peratus berbanding RM193.2 bilion setahun lalu. Semasa Malaysian Business mula-mula menilai kekayaan 40 individu terkaya Malaysia pada 2002, aset tergabung mereka berjumlah RM41.7 bilion dan Robert Kuok Hock Nien muncul pada kedudukan teratas. Majalah itu berkata keempat dalam senarai itu ialah Tan Sri Quek Leng Chan, yang melonjak daripada kedudukan keenam tahun lepas, menggantikan Tan Sri Lee Shin Cheng dari IOI Group, yang turun ke tempat keenam. Kekayaan Quek, melalui syarikat utamanya, Hong Leong Group dan Guoco Group, bernilai RM11.09 bilion tahun ini.
Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengekalkan kedudukan kelimanya tahun ini dengan kekayaan berjumlah RM10.60 bilion, meningkat daripada RM9.53 bilion tahun lepas.
Tan Sri Lee Shin Cheng, melalui syarikatnya, IOI Group, turun dari kedudukan keempat pada 2012 ke tempat keenam dengan aset bernilai RM10.56 bilion. Pengerusi Genting Group, Tan Sri Lim Kok Thay, dan ibunya, Puan Sri Lee Kim Hua, masing-masing masih pada kedudukan ketujuh dan kelapan. Kekayaan Lim bertambah 7.06 peratus kepada RM8.12 bilion manakala Lee menambah kekayaannya sebanyak 9.82 peratus kepada RM7.23 bilion. Tan Sri Tiong Hiew King, melalui jenteranya, Rimbunan Hijau Sdn Bhd, berada di tempat kesembilan tahun ini dengan aset bernilai RM6.35 bilion, susut 1.01 peratus daripada kekayaannya tahun lepas. Melengkapi senarai 10 terkaya ialah jutawan harta yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng, melalui Hotel Properties Ltd, dengan kekayaan berjumlah RM4.02 bilion, setelah mengalami penyusutan sebanyak 18.36 peratus daripada tahun lepas. Malaysian Business berkata satu hakikat menarik ialah sejak 2002, seramai 81 tikun telah menyertai senarai 40 Orang Terkaya Malaysia dan daripada jumlah itu, 15 berjaya terus kekal dalam senarai. Keseluruhannya, peningkatan kukuh kekayaan hartawan-hartawan ini boleh dikaitkan dengan prestasi pasaran saham dan inflasi harga, memandangkan sebahagian besar kekayaan mereka adalah berdasarkan pegangan saham masing-masing. Ia juga mencerminkan prestasi syarikat mereka dan pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dalam 12 tahun lalu. Bagi tahun ini, ada 31 bilionair – bertambah seorang lagi sejak tahun lepas - dan 23 daripada 40 orang dalam senarai itu menyaksikan aset mereka meningkat daripada tahun lepas. Daripada seramai ini, 14 mencatatkan pertumbuhan lebih daripada 10 peratus. Senarai itu juga mencatat tiga pendatang baharu. Datuk Desmond Lim dari Pavilion REIT muncul kali pertama dalam senarai itu pada tempat ke-15, dengan kekayaan bernilai RM1.869 bilion. Dua lagi, Datuk Tan Heng Chew dari Tan Chong Motors Holding dan Tan Sri Kua Sian Kooi dari KSK Group, memasuki semula senarai itu, masing-masing pada tempat ke-37 dan ke-40. Senarai penuh 40 tikun dan perincian kekayaan masing-masing disiarkan dalam majalah itu. Ia juga memaparkan senarai 10 tikun terkaya dalam Pasaran ACE. Seperti pada tahun-tahun lepas, kekayaan 40 individu dalam senarai itu dinilai berdasarkan pegangan kepentingan masing-masing dalam syarikat-syarikat tersenarai pada 18 Januari. Malaysian Business diterbitkan oleh Berita Publishing Sdn Bhd.