Isnin, 16 Jun 2014

Perarakan bot terbesar dunia di Kemaman September ini

Enam ribu nelayan dari Kuala Kerteh, Kemasik, Kijal, Telok Kalong dan Kuala Kemaman dengan 1,200 buah bot pelbagai jenis bakal mencipta sejarah apabila menyertai perarakan bot terbesar di dunia pada 13 September ini. Ketua Sekretariat program itu Mustafa Ab Rahman berkata ia juga sebagai percubaan untuk mengatasi rekod dalam Buku Rekod Dunia Guinness yang dibuat di Sungai Thames, London semasa sambutan Ulangtahun ke-60 pemerintahan Ratu Elizabeth pada tahun 2012. "Ketika ini, rekod perarakan bot terbesar dimiliki rakyat Britain dengan menggunakan 670 buah bot sempena sambutan itu dan kita yakin rekod itu bakal dipecahkan oleh 6,000 warga nelayan Terengganu pada 13 September ini. "Program ini bagi membuktikan kepada dunia bahawa rakyat Malaysia bersatu hati mampu mengatasi mana-mana bangsa dalam apa juga acara seterusnya Malaysia akan dikenali sebagai negara membangun yang disegani atas kemampuan mengatasi rekod dunia," katanya kepada Bernama di sini pada Isnin. Perarakan 70 kilometer dari Kuala Paka ke Kuala Kemaman itu bakal dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merangkap Anggota Parlimen Kemaman serta wakil Buku Rekod Dunia Guinness yang akan mengesahkan kejayaan perarakan itu. Mustafa yang juga Pegawai Tugas-Tugas Khas Ahmad Shabery berkata perarakan itu adalah hasil gabungan tenaga dan idea daripada Persatuan Anak-Anak Kemaman dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Perikanan, petugas Pejabat Menteri Komunikasi Dan Multimedia dan Pejabat Parlimen Kemaman. "Sehingga kini, semuanya berjalan lancar dan Anggota Parlimen Kemaman juga akan turun padang melawat tapak pelepasan perarakan itu di Kuala Paka pada 27 Jun ini," katanya. Tahun lalu, Kemaman turut mencatat sejarah apabila program Jelajah Perahu Fiber Di Pesisiran Pantai Kemaman diiktiraf sebagai 'Konvoi Bot Terbesar' dan dicatat dalam Buku Rekod Malaysia.

FAMA jamin barang keperluan menjelang Ramadan mencukupi

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan sepanjang Ramadan dan Aidilfitri adalah mencukupi. Pengerusinya, Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata menjadi kelaziman apabila tiba Ramadan, permintaan terhadap barangan keperluan bertambah sebanyak 10 hingga 20 peratus serta meningkat tiga kali ganda dalam tempoh tiga hari sebelum hari raya dan seminggu selepas itu. "Fama telah membuat persedian awal iaitu dengan menambah bekalan barang keperluan seperti santan kelapa, kobis, ayam dan daging lembu yang mana produk berkenaan akan dijual di semua pasar tani serta kedai bergerak kita. "Jadi, orang ramai tidak perlu risau tentang kekurangan stok barangan keperluan menjelang bulan puasa dan sambutan Aidilfitri nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelab Myagrosis di Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini Isnin. Beliau turut merasmikan Program Bersempena Karnival Minggu Peniaga Kecil dan Sederhana di kawasan UiTM berkenaan yang bermula hari ini hingga Rabu. Sementara itu, Pengarah Fama Pulau Pinang Habibah Sulaiman berkata bersempena karnival berkenaan, pihaknya turut mengadakan Parti Durian iaitu setiap orang hanya dikenakan bayaran RM15 dan dibenar makan buah durian, manggis serta rambutan sehingga puas. Beliau berkata pihaknya menyasarkan sehingga 20,000 orang untuk program Parti Durian. "Bersempena Parti Durian, kita telah menyediakan sebanyak 25 metrik tan buah-buahan iaitu 15 metrik tan durian dari Balik Pulau, di bahagian pulau dan Singkir, Kedah serta masing-masing lima metrik tan rambutan dan manggis dari Sungai Petani, Kedah serta Balik Pulau," katanya.

PAC cadang kerajaan kaji prestasi GLC yang lemah

Kerajaan disaran mengkaji prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) susulan Laporan Ketua Audit Negara yang menyatakan terdapat beberapa GLC menghadapi kelemahan pengurusan. Menyarankan demikian, Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kelemahan pengurusan itu menyebabkan perolehan kerajaan berkurangan atau kerajaan terpaksa menanggung kerugian. "Kita minta Kementerian Kewangan mengkaji balik GLC-GLC di negara ini, terutama berkaitan prestasi dan pengurusan selain rasional atau objektif penubuhan sesuatu GLC itu. "Ada antara GLC-GLC ini sudah wujud dan menjalankan perniagaan sekian lama, namun kenapa masih berlaku kelemahan pengurusan," katanya. Beliau bercakap dalam sidang media selepas taklimat Laporan Ketua Audit Negara 2013 siri 2 kepada PAC yang dibentangkan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang, di Bangunan Parlimen di sini hari ini. Nur Jazlan turut meminta kerajaan mengkaji rasional pewujudan banyak GLC hingga terdapat GLC yang menjalankan peranan dan objektif yang sama. Katanya, keadaan ini menyebabkan kerajaan menanggung perbelanjaan yang lebih sedangkan berlaku pertindihan tanggungjawab. Nur Jazlan berkata secara keseluruhan laporan itu menyatakan banyak kesalahan berkaitan kelemahan pengurusan berbanding ketirisan atau salah guna kuasa. Katanya, beberapa kementerian dan badan berkanun persekutuan akan dipanggil bagi menjelaskan masalah berkaitan kelemahan pengurusan selain isu berkaitan perolehan yang dihadapi mereka. "Kementerian tersebut termasuk Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Kewangan; Kementerian Kerja Raya; dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, selain Felda dan Felcra," katanya. Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, menurut laporan audit terbaru itu 57 kes berkaitan prestasi kementerian dan 18 mengenai pengurusan syarikat. - Bernama

Pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan di KLIA 2

Tinjauan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mendapati pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata MAHB selaku pengendali lapangan terbang di negara ini sentiasa melakukan tinjauan untuk menambah baik perkhidmatan mereka. “MAHB sentiasa menjalankan tinjauan Airport Service Quality (ASQ) di semua lapangan terbang negara termasuk klia2. Setakat ini, hasil tinjauan amat menggalakkan dan positif,” katanya. Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) yang ingin tahu jika kementerian membuat sebarang kajian sejak klia2 mula beroperasi 2 Mei lepas. Menjawab soalan lain berkaitan Sistem Pemprosesan Penumpang Guna Sama (CUPPS) SITA yang merangkumi sistem daftar masuk di klia2, Ab Aziz yang juga Anggota Parlimen Sri Gading berkata sistem itu terpaksa diwajibkan ke atas semua syarikat penerbangan bagi memastikan kelancaran operasi di klia2. “Sistem ini mengintegrasi kesemua sistem-sistem penerbangan seperti pintu. bagasi dan Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS). “SITA dapat memastikan kesesakan di terminal yang berpunca daripada masalah teknikal di kaunter daftar masuk dapat dielakkan,” kata Ab Aziz. SITA adalah penyedia utama dunia bagi penyelesaian perniagaan teknologi maklumat (IT) bersepadu. Selain itu, beliau berkata kementerian akan mempertimbangkan kemungkinan mengintegrasi sistem daftar masuk setiap syarikat penerbangan sebagai sebahagian sistem CUPPS sedia ada, dalam tempoh satu tahun.

ESSCom perlu tingkatkan kerjasama risikan dengan Filipina

Kawalan di Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCom) bukan hanya bergantung kepada aset dan keanggotaannya sahaja, malah ia perlu melibatkan kerjasama dari segi risikan dengan Filipina. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kewujudan ESSCom tidak patut dipertikaikan, namun ia perlu meningkatkan tahap risikan dengan negara berkenaan bagi mengelak sebarang jenayah di kawasan itu. "Kita tidak sepatutnya bergantung kepada aset dan peralatan sahaja namun kita perlu mempertingkatkan rangkaian risikan dengan kerajaan Filipina. Usaha juga telah dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan pasukan keselamatan memantau pergerakan penceroboh, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y.Yun di sebuah hotel dekat sini Isnin. Ahmad Zahid berkata demikian bagi mengulas kejadian penculikan terbaharu di Kunak, Semporna, Sabah tengah malam tadi membabitkan dua lelaki, seorang penjaga pusat ternakan ikan dalam sangkar dan seorang suku kaum Suluk, yang dilarikan dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata. "Oleh kerana tujuannya untuk mendapatkan tebusan, mereka tidak akan sunyi daripada terus melakukan perkara ini. Saya tahu budaya masyarakat kumpulan berkenaan yang membalas dendam dan merupakan satu usaha untuk mencari pendapatan, akan terus berjalan. "Jadi saya fikir pihak ESSCom perlu lebih bersiap siaga di dalam melakukan tindakan dan jangan lalai di dalam operasi yang dilakukan. Saya yakin ia boleh dilakukan oleh pegawai-pegawai ESSCom terutamanya pihak tentera sendiri mengambil alih kepimpinan di dalam operasi ESSCom," kata Ahmad Zahid. Sementara itu, Ahmad Zahid memberi jaminan mangsa culik di Sabah akan dijejaki dengan kerjasama semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia. Menyentuh mengenai pertemuannya itu, beliau berkata pihak Amerika Syarikat menawarkan bot berkuasa tinggi bagi meningkatkan keselamatan di perairan negara, terutama di Sabah untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia. "Pada pertemuan itu juga, kami membincangkan empat isu utama iaitu mengenai pengecualian visa ke Amerika Syarikat, jenayah merentas sempadan, usaha-usaha bagi mengatasi masalah militan dan memperdagangkan orang," katanya.