Ahad, 22 Jun 2014

Peranan pegawai daerah perlu ada nilai tambah

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pegawai daerah perlu 'menokok tambah' peranan masing-masing di samping tugas tradisional sebagai pentadbir untuk memberikan khidmat yang lebih relevan dan berkesan dalam konteks semasa. Perdana menteri berkata pegawai daerah perlu mampu melakukan tambah nilai itu menerusi penglibatan diri dengan rakyat dan semua pihak untuk merasai denyut nadi mereka. Beliau berkata pegawai daerah tidak boleh menggangap dirinya 'besar' sebaliknya perlu meletakkan diri sebagai pemimpin, pemudah cara, rakan kongsi, pemimpin setempat dan sentiasa bersama rakyat setiap masa. "Sebagai pegawai pentadbir, kita perlu menghayati apa sebenar kehendak dan isi hati rakyat. Jangan kita lihat berdasarkan kehendak yang datang dari Kuala Lumpur atau pun ibu negeri sahaja," katanya pada Persidangan Pegawai-pegawai Daerah 2014 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini Isnin. Persidangan bertemakan 'Pegawai Daerah Pemacu Transformasi Luar Bandar' itu menghimpunkan semua pentadbir di peringkat negeri dan daerah.

Kalimah Allah milik orang Islam

Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan Gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran rayuan penggunaan kalimah ALLAH dalam The Herald. Empat daripada tujuh panel hakim yang bersidang menolak permohonan gereja untuk membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah sebelum ini yang melarang penggunaan kalimah ALLAH penerbitan The Herald dalam versi bahasa Melayunya. Selain Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, hakim-hakim lain yang membuat keputusan kes ini termasuklah Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum. Turut serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Zainun Ali dan Tan Sri Jeffrey Tan Kok Wha. Editor akhbar Katolik, The Herald, Lawrence Andrew berkata beliau “amat kecewa dengan keputusan” hari ini. Sebelum ini, penerbitan itu berkata, pihaknya tidak akan berputus asa untuk mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah ALLAH. The Herald tahun lalu memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan melarang Gereja Katolik menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan mingguannya. Pada 16 Februari 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik, Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, pengisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah ALLAH dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah. Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk kepada “Tuhan” dalam edisi Bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak. Terdahulu, pada 31 Disember 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sisi undang-undang, tidak sah dan bata

Tukar MB Selangor, pandangan rakyat perlu diambil kira-PAS Selangor

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar A Samad berkata, tidak wajar hanya mengambil pandangan kelompok tertentu dalam membuat keputusan Menteri Besar perlu ditukar. Menurut beliau, dalam isu ini, pandangan rakyat juga perlu diambil kira dan bukan pandangan pemimpin politik semata-mata. "Pemimpin politik perlu juga turun ke bawah untuk mendapatkan pandangan sebenar di peringkat akar umbi. "Jangan sama sekali hasrat rakyat biasa diketepikan. Mereka juga mempunyai hak kerana seorang Menteri Besar itu bukan sahaja milik orang politik tetapi juga milik seluruh rakyat," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian sebagai mengulas gesaan pihak tertentu yang mahu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ditukar. Beliau yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, berkata pada pilihanraya umum ke-13 lalu, parti-parti politik telah turun merayu kepada rakyat untuk mendapatkan sokongan. Maka ujarnya, adalah wajar di saat-saat seperti ini lebih-lebih lagi melibatkan perubahan besar seperti pertukaran Menteri Besar perlu juga mendapat pandangan mereka. "Sekiranya rakyat tidak merestui jika pertukaran berlaku maka kesannya akan diterima pada Pilihan Raya Umum yang akan datang. "Pakatan Rakyat mesti mesra rakyat dan ini termasuk peka kepada kehendak rakyat. "Biarlah pandangan kesemua kelompok dan peringkat rakyat diambil kira, bukan hanya kumpulan-kumpulan tertentu sahaja," tegasnya. HARAKAHDAILY

GST- Rakyat diminta berfikiran terbuka

Rakyat diminta berfikiran terbuka dan menerima baik langkah kerajaan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang bertujuan memakmurkan dan memajukan negara. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata rakyat perlu berganding bahu dengan kerajaan dalam pelaksanaan GST demi menjadikan Malaysia negara maju. "Sudah pasti sebagai sebuah negara yang membangun, kita kena menambahkan sumber hasil. Masalahnya, sekarang ini asas cukai kita sempit dan kita nak perluaskan lagi asas cukai itu. "Kita tahu GST ini lebih adil kerana mereka yang dahulunya tidak bayar cukai, kena bayar cukai...itu antara sebab kenapa kita perkenalkan GST untuk membolehkan kerajaan terus mendapat hasil tambahan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat pembangunan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Baharu, hari ini. Taklimat itu disampaikan Naib Canselor universiti itu Prof Datuk Dr Raduan Che Rose. Mustapa berkata sebagai contoh, penjawat awam mengharapkan ganjaran yang setimpal dan kerajaan berusaha memberikan ganjaran itu berdasarkan kemampuannya. "Dengan adanya GST, Insya-Allah, kehendak penjawat awam dan rakyat akan mampu ditunaikan apabila kerajaan mampu menambah sumber hasil. "Sebab itu, GST mampu merencanakan pendapatan negara yang lebih stabil dan berdaya maju," katanya. Beliau berkata jika sumber hasil itu masih ditakuk lama, kerajaan sukar melaksanakan kehendak rakyat. Mustapa turut mempersoalkan tindakan pembangkang yang berjanji menghapuskan pelbagai cukai jika dapat memerintah negara. Menurutnya janji itu tidak logik dan langkah populis seperti itu sudah tentu tidak bertahan lama bagi mana-mana kerajaan. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/mustapa-minta-rakyat-berfikiran-terbuka-terhadap-gst#sthash.dwxSGbwy.dpuf

Sokongan padu daripada rakyat beri kekuatan saya tadbir negara- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sokongan padu daripada rakyat, terutama penduduk Pekan, memberi kekuatan kepada beliau untuk mentadbir negara selama ini. Kata Najib, beliau tidak mampu untuk mentadbir negara ini bersendirian jika rakyat tidak bersama-sama bersatu dengan mengekalkan hubungan baik antara masyarakat pelbagai kaum. "Kejayaan dalam negara kita termasuk di Pekan adalah berkat kita bersama sebenarnya. Saya tidak boleh buat kerja tanpa sokongan anda semua. "Daripada sokongan inilah saya dapat semangat untuk terus memimpin negara," katanya ketika berucap di majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau serta sumbangan baju raya kepada jawatankuasa badan bukan kerajaan Parlimen Pekan di sini, Ahad. Majlis turut dihadiri Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Ishak Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda negeri Datuk Abu Bakar Harun. Najib berkata perkara itu turut dibantu dengan jalinan hubungan baik beliau dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Katanya secara kebetulan ayahanda beliau Tun Abdul Razak Hussein yang merupakan Perdana Menteri kedua pernah mentadbir negara semasa Tuanku Abdul Halim memerintah negara dari 1970 sehingga 1975. "Itu merupakan secebis sejarah Malaysia, semuanya takdir telah menentukan. Nak dapat Yang di-Pertuan Agong yang mendapat pusingan dua kali dan dua generasi sebagai perdana menteri berkhidmat untuk berulang lagi dalam sejarah Malaysia, barangkali amat sukar tetapi inilah kuasa Ilahi," katanya. Sementara itu, Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan, meminta rakyat yang berkemampuan supaya memperbanyakkan amalan bersedekah di bulan Ramadan. "Nabi (Muhammad SAW) bersabda, sedekah paling afdal adalah sedekah pada bulan Ramadan dan jika dilakukan dengan ikhlas ia akan memberi rahmat dan pembebasan daripada api neraka," katanya. Dalam majlis berkenaan Najib turut menyampaikan sumbangan kepada 58 buah masjid dan 151 buah surau di Parlimen Pekan. Setiap masjid mendapat bantuan sebanyak RM1,200 manakala surau pula menerima RM800, iaitu tambahan RM200 daripada jumlah bantuan yang diberikan pada tahun lepas selain bantuan iringan seperti kurma, teh, susu, gula dan milo. Selain itu Biro Kebajikan Umno turut menyumbangkan kain jubah kepada setiap anggota jawatankuasa masjid dan surau berkenaan.BERNAMA

Majlis Perundingan Melayu desak kerajaan tidak adakan lagi IPP

Majlis Perundingan Melayu (MPM) hari ini mendesak Putrajaya supaya tidak ada lagi pengeluar tenaga bebas (IPP). Ini ekoran tindakan YTL Power International Bhd menarik diri daripada projek loji tenaga yang digelar 'Projek 4A' benilai RM3 bilion di Johor yang dianugerahkan secara langsung kepada sebuah konsortium yang melibatkan syarikat itu dan juga firma Sultan Johor dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Setiausaha Agung MPM, Hasan Mad berkata kerajaan sebaliknya harus kembali kepada keadaan sebelum ini di mana TNB bertanggungjawab sepenuhnya terhadap penjanaan kuasa. "Selepas YTL menarik diri, tiada lagi kontroversi dan kerajaan sepatutnya mengambil peluang ini dan memberikan projek kepada TNB sendiri," kata Hasan dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini. Beliau menambah perkara ini hendaklah diteruskan dalam setiap projek jana tenaga di masa hadapan. MCC berkata ia merupakan kumpulan payung yang mewakili lebih 400 NGO Melayu. YTL berdepan dengan tekanan hebat, terutama tentang bagaimana ia mendapat projek secara langsung daripada kerajaan tanpa tender terbuka. Bagaimanapun, Hasan berkata IPP sedia ada yang menandatangani perjanjian dengan kerajaan haruslah dibenarkan beroperasi sehingga kontrak mereka tamat. Hasan berkata TNB telah membuktikan mereka mempunyai pengalaman dan keupayaan menangani projek janaan tenaga berskala mega ini dan berhak mendapat peluang menguruskannya. "Berdasarkan kapabiliti itu, TNB diiktiraf dan membangunkan projek penjanaan tenaga di beberapa negara lain. "Justeru, jika sekiranya negara lain mengiktiraf kapabiliti TNB, mengapa tidak negara sendiri?" kata beliau. Beliau menambah bahawa utiliti merupakan hal keselamatan negara yang tidak sepatutnya diswastakan. Hasan turut mempertikaikan kekurangan peluang untuk vendor bumiputera apabila IPP dianugerahkan kepada pemain bukan bumiputera seperti YTL

H370-Hishammuddin nafi juruterbang Kapten Zaharie sebagai suspek utama

Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyangkal laporan sebuah akhbar di United Kingdom mengenai juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah sebagai suspek utama di sebalik kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Hishammuddin berkata perbuatan akhbar terbabit yang melaporkan tanpa sumber sahih merupakan sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan bertujuan meningkatkan jualan akhbar. "Kalau hendak layan akhbar di UK (United Kingdom), hari-hari mereka ada cerita baharu. Jika ada asas, pihak tertentu di UK kena beri kita bukti dan petunjuk. Kita akan siasat mengenainya dan tidak perlu heboh di akhbar," katanya kepada pemberita selepas majlis 1Veteran 1Malaysia: Jasa Mu Sentiasa Dikenang dan Dihargai, di sini hari ini. Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata Malaysia sentiasa konsisten dari awal mengenai apa jua petunjuk kejadian itu dan setiap perkara yang perlu diperjelaskan kepada umum mesti mendapat pengesahan daripada pakar serta badan tertentu. Beliau berkata kesahihan sebarang perkembangan kejadian terbabit amat penting kerana kerajaan tidak mahu keluarga juruterbang mahupun anak kapal dan keluarga keseluruhan penumpang menerima pelbagai tuduhan yang boleh menjejaskan mereka. "Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar juga sudah menegaskan bahawa kita menggunakan segala pertimbangan bila kita siasat juruterbang, anak kapal dan penumpang. Jadi kita jangan layan konspirasi teori kerana kalau ada perkara yang disembunyikan sudah tentu ada pihak lain yang akan membantah," kata Hishammuddin. Akhbar Sunday Times, UK melaporkan polis Malaysia kini menganggap suspek utama di sebalik kehilangan pesawat MH370 adalah juruterbang penerbangan tersebut, Kapten Zaharie Ahmad Shah. Akhbar itu melaporkan Zaharie menjadi sasaran kini selepas semua yang lain di atas pesawat tersebut dibersihkan. Dalam perkembangan lain, Hishammuddin menyifatkan desas-desus yang mengaitkan namanya untuk menggantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri sebagai perbuatan nakal dan tidak bertanggungjawab. Naib Presiden Umno itu berkata tindakan seumpama itu sengaja melaga-lagakan pemimpin dan bertujuan melemahkan parti. "Kita tidak boleh ikut rentak ini kerana kita perlu rapatkan barisan dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada perdana menteri dan timbalan perdana menteri," katanya. Sebelum ini, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno. Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan perdana menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA dan Gerakan.

Umno Pagoh lega penjelasan PM mengenai isu Muhyiddin

Penjelasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa tidak ada sebarang pengguguran membabitkan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melegakan masyarakat Pagoh khususnya anggota Umno Bahagian berkenaan. Timbalan Ketua Umno bahagian Pagoh Ismail Mohamed berkata penjelasan itu sekali gus membuktikan laporan disebarkan laman blog dan media sosial berhubung pengguguran jawatan berkenaan sebagai satu cubaan untuk meretakkan hubungan baik kedua-dua pemimpin negara. "Datuk Seri Najib sendiri menjelaskan tidak ada langsung timbul mengapa Timbalan Perdana Menteri perlu digugurkan. Ini jelas menunjukkan ia adalah usaha pembangkang yang mahu memecahkan gandingan baik antara kedua-dua pemimpin negara," katanya semasa berucap pada majlis penerangan mengenai pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), di sini, Ahad. Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor bersyukur kerana masyarakat di kawasan Parlimen Pagoh tidak melatah apabila menerima khabar-khabar angin yang menyentuh pemimpin mereka sejak beberapa minggu lepas. Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan masyarakat kawasan berkenaan supaya tidak mudah mempercayai laporan yang belum tentu mempunyai kebenarannya. Sebelum ini, laman blog dan media sosial melaporkan kemungkinan Muhyiddin berundur bagi memberi perhatian kepada usaha memulihkan Umno. Ia juga timbul berikutan desas-desus rombakan Kabinet yang mungkin dilakukan Perdana Menteri khususnya untuk membawa masuk pemimpin daripada parti komponen BN iaitu MCA dan Gerakan. Bagaimanapun, Muhyiddin berkata beliau akan terus berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri selagi khidmatnya diperlukan dan memberitahu setakat ini tidak ada apa-apa perkara dibangkitkan berhubung kedudukannya itu.