Isnin, 13 Oktober 2014

SPRM bantu Kastam perbaiki proseder kerja elak rasuah

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah berbincang dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk membantu memperbaiki sistem dan prosedur kerja jabatan itu bagi membasmi gejala rasuah dalam kalangan kakitangan dan pegawainya. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Mustafar Ali berkata susulan tangkapan yang dibuat berhubung kes membabitkan anggota dan pegawai kastam, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Khazali Ahmad mengenai isu itu. Perbincangan itu juga memperincikan mengenai prosedur kerja jabatan itu yang berkemungkinan memberi peluang terbuka kepada kakitangan dan pegawai kastam untuk terlibat dengan rasuah. "Di SPRM kita mempunyai bahagian perundingan dan pencegahan, jadi soal pencegahan amat penting untuk mengenal pasti dan memperbaiki sistem dan prosedur JKDM yang terbuka kepada rasuah. Sebab itu kita memberikan fokus dan berbincang dengan JKDM dan usaha sama itu disambut baik oleh Ketua Pengarahnya," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di antara Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri Terengganu dan SPRM di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Mazlan Ngah dan Pengarah SPRM negeri Zainal Adam. Baru-baru ini SPRM bertindak tegas menahan ramai pegawai Kastam termasuk pengarah negeri berpangkat "Datuk" yang dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki terbabit dengan rasuah. Terdahulu dalam ucapannya Mustafar berkata SPRM telah melakukan pelbagai transformasi sama ada operasi, pembangunan modal insan dan juga pencegahan bagi menghapuskan rasuah dan memperkasakan integriti dalam setiap urusan. Beliau turut memuji langkah kerajaan negeri Terengganu yang dilihat begitu serius menangani aspek integriti di kalangan pegawai tertinggi kerajaan demi kesejahteraan hidup rakyat.

Rosmah tidak dapat sesen pun dari Permata- Ahmad Maslan

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor tidak menerima peruntukan RM711 juta untuk Program Permata Negara (Permata) yang diumumkan semasa Bajet 2015 seperti didakwa beberapa pihak, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan. Ahmad berkata, Permata hanya berkongsi peruntukan berkenaan dengan Kementerian Pendidikan, Tadika Kemas dan Tadika Perpaduan. "Rosmah tidak dapat sesen pun daripada Permata," kata Ahmad di lobi Parlimen hari ini. "Dapat RM711 juta itu tidak betul. Ia keseluruhan yang diperolehi pendidikan pra sekolah," katanya dan menambah, Permata hanya berada pada kedudukan keempat daripada keseluruhan penerima belanjawan itu. "Pecahan itu boleh didapati daripada Kementerian Kewangan," kata ahli Parlimen Pontian itu lagi. Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini menjadikan Permata sebagai sasaran untuk mengkritik Rosmah dengan mendakwa projek pembangunan kanak-kanak itu merupakan satu pembaziran. Ahli Parlimen Kapar Manivanan Gowin sebelum ini berkata, Permata hanya dilihat menjadi "orang tengah" mengagihkan peruntukan kerajaan. Beliau juga turut mencadangkan, Permata yang dinaungi Rosmah itu juga seharusnya dipindahkan daripada Jabatan Perdana Menteri ke Kementerian Pendidikan Malaysia. Pada 2013, Permata menerima peruntukan sejumlah RM150 juta, yang mana daripada jumlah itu RM77 juta diserahkan kepada Kemas bagi menaiktaraf 313 tadika di seluruh negara. Manakala, RM16 juta pula digunakan untuk Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu dan RM9 juta disalurkan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi program Permata dan RM20 juta lagi dipulangkan kembali kepada kerajaan. Permata ditubuhkan bagi menjadi institusi terulung dalam mempelopori keperluan pelajar pintar dan berbakat dalam bentuk generasi bitara bangsa yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan sejagat.

MAHB yakin mampu capai 83 juta penumpang tahun ini

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) yakin dalam berhati-hati trafik penumpang tahun ini tidak banyak bezanya daripada sasaran lebih 83 juta penumpang meskipun berlakunya beberapa insiden yang tidak dijangka secara berturut-turut. MAHB dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini berkata impak daripada tragedi MH370 dan MH17 masih kekal menjadi satu kebimbangan terutamanya kepada operasinya, memandangkan insiden yang belum pernah berlaku itu menjejaskan syarikat penerbangan tersebut dalam tempoh yang singkat. Pengendali lapangan terbang itu berkata prospek pertumbuhan tahun penuh masih kekal sederhana berbanding pertumbuhan trafik sebenar setakat ini. "Peristiwa geopolitik global yang berlaku ketika ini, terutamanya di Timur Tengah, memberi kesan kepada pertumbuhan trafik. "Selain itu, sekiranya konflik tersebut semakin tegang, ia mungkin memberi kesan kepada harga bahan api jet, walaupun ia masih belum ketara pada ketika ini," kata syarikat itu. MAHB berkata unjuran keluaran dalam negara kasar global rendah oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan penularan penyakit Ebola ke Eropah boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan trafik penumpang. IMF telah menyemak semula unjuran ekonomi global kepada 3.3 peratus daripada 3.7 peratus pada April dan 3.4 peratus pada Julai 2014. Unjuran 2015 juga diturunkan sebanyak 0.2 peratus lagi kepada 3.8 peratus pada Oktober. Kapasiti penumpang yang ditawarkan oleh syarikat penerbangan bagi tempoh tiga bulan akan datang masih kekal optimistik dalam jajaran purata 5.1 peratus

PAS Pahang gesa ahli parti tidak terlibat dengan PasMa

PAS Pahang menggesa seluruh ahli parti agar tidak terlibat dengan sebarang aktiviti anjuran PasMa sebagaimana yang telah diarahkan oleh Majlis Syura. Pesuruhjayanya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sebagai sebuah badan tertinggi parti, Majlis Syura bertanggungjawab memelihara keaslian jamaah dari anasir yang boleh merosakkan parti. Menurutnya, PasMa yang ditubuhkan atas matlamat kebajikan, kini telah jauh menyimpang dari tujuan asal. Beliau menambah, sebagai sebuah entiti NGO parti, sepatutnya ia fokus kepada soal kebajikan ahli dan anggota masyarakat, bukan mengadakan majlis bagi mempertikaikan Presiden dan Majlis Syura atau keputusan parti. "Apa erti kita berada dalam parti lalu mengadakan majlis bagi mempertikai kepimpinan parti, mempersoal perkara yang telah diputus oleh jamaah termasuk dasar dan perlembagaan parti," ujar beliau dalam satu kenyataan. Katanya, sehubungan arahan tersebut yang bertujuan agar tiada jamaah dalam jamaah, atau tiada parti dalam parti, sehingga wujud pelbagai masalah dalaman parti sekiranya fenomena ini tidak dibendung, ia akan mengundang kekeliruan dan pra sangka buruk ahli kepada kepimpinan parti. "PAS Pahang akan memantau secara dekat sebarang aktiviti yang boleh merosakkan jamaah ini," katanya lagi. Jelasnya, PAS mempunyai saluran bagi menyatakan sikap dan pandangan. "Perbezaan pandangan dirai dalam ruang yang ada, bukan menambah kekeliruan dengan pelbagai kritikan yang tidak berasas serta tidak menguntungkan jamaah. "Kepada Allah kita bertawakal," katanya lagi. - HARAKAHDAILY

Nik Aziz sokong dua Adun pengkhianat PAS digantung

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyokong penggantungan keahlian dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor dari parti itu atas kesalahan mengkhianati keputusan Majlis Ulama PAS. Majlis itu mengambil pendirian menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor semasa berlaku kemelut jawatan itu. Namun mereka berdua membuat pendirian bercanggah menyokong presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk jawatan itu. Nik Abdul Aziz berkata penggantungan itu selama setahun berkuat kuasa semalam terhadap ADUN Hulu Klang, Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin adalah tepat dan bersesuaian dengan kesalahan. "Mana-mana persatuan berbentuk politik, dalam sekolah dan kerajaan sekalipun, mesti patuh pada peraturan, tidak boleh suka-suka hati," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim di sini. Ditanya tentang kemungkinan kedua-dua Adun itu keluar parti ekoran penggantungan itu, bekas menteri besar Kelantan itu berkata itu adalah hak individu untuk berbuat demikian. "Kalau dia nak keluar parti, itu dia punya pasal lah, ertinya dia akan berdepan dengan rakyat. Dulunya dia berkempen PAS, lepas tu parti lain pula, ini orang yang tidak siuman. Orang yang akil baligh, mesti jaga lidah," katanya. Pengumuman mengenai penggantungan keahlian itu dibuat Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali semalam. "Kedua-dua ADUN itu masih lagi ahli parti dan mereka bukanlah dipecat malah masih menjadi ADUN kita," katanya.

14 barang kawalan sempena Deepavali

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan menetapkan 14 jenis barangan diletakkan bawah Skim Kawalan Harga sempena perayaan Deepavali yang bakal disambut 22 Okt. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek berkata, skim kawalan harga itu dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, bermula 18 hingga 27 Okt ini. Beliau berkata 14 barangan itu ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, daging kambing tempatan bertulang, daging kambing biri-biri import bertulang, daging kambing biri-biri import tanpa tulang, daging paha kambing biri-biri import bertulang, telur ayam gred A, B dan C, tomato, bawang merah kecil dari India, ubi kentang dari China dan kacang dhal dari Australia. "Penguatkuasaan Skim Kawalan Harga ini bertujuan mengelakkan peniaga dan pekedai mengambil kesempatan menaikkan harga barangan berkenaan, selain memastikan bekalan barangan terkawal itu mencukupi di pasaran," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Isnin. Katanya harga maksimum ditentukan bagi 14 barangan tersebut di 89 daerah di Semenanjung, 32 daerah di Sarawak, 27 daerah di Sabah dan satu daerah di Wilayah Persekutuan Labuan. Hasan berkata para peniaga perlu memastikan barangan harga terkawal dijual tidak melebihi harga maksimum ditentukan serta meletakkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi membezakan barangan harga terkawal tersebut. Tanda harga hendaklah jelas, mudah dibaca, menggunakan unit sukatan atau timbangan yang telah ditentukan dan memaparkan harga yang tepat serta tidak mengelirukan, katanya. Katanya aduan berkenaan peniaga yang tidak mematuhi undang-undang berhubung skim itu boleh disalurkan kepada pihak kementerian menerusi talian bebas tol 1800-886-800 atau di mana-mana pejabat PDNKK di seluruh negara. Dalam pada itu, Hasan berkata kementerian telah melakukan 75,851 pemeriksaan terhadap premis perniagaan bagi memastikan peniaga tidak menaikkan harga barang, sejak penyelarasan subsidi minyak sebanyak 20 sen berkuat kuasa 2 Okt lepas. Beliau berkata daripada pemeriksaan itu, pihaknya menerima 37 aduan membabitkan 47 kes, dengan kebanyakan aduan berkenaan peniaga tidak meletakkan tanda harga. "Walaupun ada yang membangkitkan mengenai tindakan peniaga menaikkan harga barang susulan penyelarasan subsidi minyak, namun jumlahnya adalah kecil," katanya dan menambah 24 daripada keseluruhan kes sedang diambil tindakan.BERNAMA

Dari Parlimen: Annuar Musa ajak PAS bersama BN.

Ahli Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa hari ini berkata, PAS adalah tulang belakang kepada komponen parti dalam Pakatan Rakyat (PR) meskipun kemelut menteri besar Selangor sebelum ini menyaksikan parti Islam itu bertelagah dengan DAP dan PKR. Annuar berkata, lebih baik PAS bersama dengan Barisan Nasional (BN) daripada terus dibuli rakan-rakan dalam PR. "PAS marilah duduk bersama BN," katanya ketika perbahasan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat Parlimen, Kuala Lumpur hari ini. "PKR dan DAP buli PAS, turut buli bekas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Mereka lupa kekuatan DAP dan PKR datang daripada PAS," katanya. Kenyataan itu kemudiannya disambut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang bangun dan menegaskan PAS tidak akan "termakan umpan" yang dihulurkan Umno untuk menyertai BN. "Ucapan Ketereh amat melucukan, macam nak cuba beri umpan. Beliau kata kita orang lama, minta maaf Ketereh, kita tidak termakan umpan," kata Khalid ketika membalas hujah daripada Annuar. Annuar kemudiannya memuji PAS kerana mempunyai pendirian yang teguh meskipun diasak kepimpinan DAP dan PKR. "PAS tidak akan hancur kerana mereka istiqamah dalam perjuangan mereka, yang hancur parti lain," kata Annuar. Khalid kemudian bangun sekali lagi dan menegaskan kebersamaan PAS bersama PR berjaya menjadikan sokongan mereka meningkat sehingga 52% ketika pilihan raya umum 2013. "Apa nak bangga sangat dengan 52%, kalau orang buli," kata Annuar. "Saya tidak salahkan Shah Alam, beliau tidak tahu," kata pemimpin Umno itu. Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Abduh Nik Abdul Aziz sebelum ini melalui akaun Facebook miliknya mengakui PAS menjadi mangsa buli DAP dan PKR rentetan isu di Selangor berhubung isu menteri besar dan pemecatan ahli majlis di Pulau Pinang baru-baru ini. Anak Mursyidul Am PAS itu berkata, jika dahulu PAS mangsa buli Umno, sekarang mereka dibuli rakan sendiri dalam PR. "Hari ini, selain Umno, PKR dan DAP mula hendak buli PAS. "Sehinggakan PAS kelihatan seperti terpinga-pinga tidak tahu hendak sentuh yang mana satu. Semua macam tidak menjadi," katanya dalam tulisan akaun Facebook miliknya. Pertelagahan PAS dengan rakan komponen PR semakin hangat apabila parti itu tetap menghantar lebih daripada satu nama calon menteri besar, sedangkan DAP dan PKR memutuskan mereka akan tetap menghantar nama Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mengkehendaki parti pemerintah di Selangor itu menghantar lebih daripada satu nama calon untuk dilantik sebagai menteri besar. Baginda kemudiannya memilih melantik Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebagai menteri besar Sumber:themalaysianinsider

Rafizi ganti Saifuddin sebagai Setiausaha Agung PKR

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli‎ dilantik sebagai Setiausaha Agung PKR yang baharu bagi mengantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkuat kuasa semalam. Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Saifuddin pula ditukar kepada Pengarah Pilihanraya PKR bersama seorang lagi Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar bagi mengantikan Mohamed Azmin Ali. "Walaupun Rafizi telah dipilih sebagai Naib Presiden ia tidak menjadi masalah untuk memegang jawatan Setiausaha Agung. "Bagi saya keputusan memilih Rafizi merupakan satu keputusan yang baik," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen yang mengesah pelantikan tersebut. Menurut Anwar, rombakan kecil itu dibuat selepas selesai pemilihan PKR baru-baru ini. Mengulas lanjut, beliau berkata tindakan melantik Saifuddin dan Nurul Izzah itu kerana tidak mahu membebankan Azmin yang kini sebagai Menteri Besar Selangor. "Namun kita berharap agar Azmin dapat membantu Saifuddin dan Nurul Izzah memandang beliau mempunyai pengalaman dalam tugas tersebut," kata beliau lagi. Menurut beliau lagi, beberapa lagi keputusan lain akan diumumkan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail nanti.

Tiga faktor untuk pastikan kemenangan BN pada PRU 14- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tiga faktor iaitu calon yang tepat, jentera yang kuat dan Barisan Nasional (BN) yang padu perlu wujud bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-14. Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata gabungan tiga faktor itu terbukti memberi kemenangan besar kepada BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor pada 25 Sept lalu. “Calon yang tepat…(perlu) pilih calon yang kena dengan selera pengundi,” katanya mengenai faktor pertama ketika berucap pada ‘Majlis Pemimpin bersama Rakyat: Sepetang Bersama Perdana Menteri’ di Pusat Khidmat Masyarakat Kampung Geting, Pengkalan Kubor, di sini hari ini. Mengambil contoh pemilihan Mat Razi Mat Ail sebagai calon BN pada pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor, Najib berkata ia memenuhi selera pengundi setempat kerana Mat Razi antara lain mempunyai keperibadian disenangi ramai selain berpengetahuan agama serta mempunyai pondok tempat beliau mengajar ilmu agama. Najib berkata jentera pilihan raya yang kuat akan menyumbang kepada kejayaan BN atas dasar semua pihak bekerja dalam satu pasukan. Najib seterusnya menjelaskan bahawa perpaduan dalam Umno dan dalam kalangan parti komponen BN yang kukuh tanpa perasaan iri hati menjadi teras kepada semangat untuk bersama-sama memastikan kemenangan BN. KB13_11014_PM_PONDOKPerdana menteri menegaskan formula kemenangan BN di Pengkalan Kubor itu akan dijadikan titik permulaan pembaharuan bagi BN Kelantan untuk menghadapi PRU14. Beliau juga menggesa BN Kelantan bekerja lebih kuat dalam usaha meningkatkan sokongan rakyat kepada BN. Di kesempatan itu, beliau berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Pengarah Jentera BN pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor Datuk Seri Mustapa Mohamed serta seluruh jentera BN yang bekerja keras dalam memastikan BN kekal bertapak di DUN berkenaan. Pada PRK Pengkalan Kubor bulan lepas, Mat Razi memperoleh majoriti 2,635 undi untuk menewaskan calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas, Izat Bukhary Ismail. Turut hadir Mustapa yang juga Pengerusi BN Kelantan, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan dan Mat Razi.

Senarai produk berkaitan GST diwartakan hari ini- Ahmad Husni

Senarai produk yang berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) akan diwartakan oleh kerajaan esok, kata Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. Beliau berkata senarai itu mengandungi lebih daripada 900 barang yang berada dalam ‘basket of goods’ (kumpulan barang). “Lebih 900 produk yang berada dalam ‘basket of goods’ akan diwartakan esok. “Kita perlu mewartakannya lebih awal supaya langkah itu membolehkan peniaga menstrukturkan semula sistem perniagaan masing-masing apabila CBP mula dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan carnival futsal dan bola jaring Piala Ahli Parlimen Tambun di sini, hari ini. Beliau berkata kementerian berkenaan juga bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bagi mewujudkan jalinan dengan sektor pengguna supaya dapat memastikan kenaikan harga tidak berlaku sewenang-wenangnya. Ahmad Husni juga berkata satu badan pemantau secara kerjasama dengan persatuan pengguna di peringkat negeri dan nasional turut akan dibentuk. “Setakat ini kita mempunyai tujuh persatuan pengguna, kita akan memberi bajet kepada mereka atas kerjasama dengan kerajaan untuk membantu orang ramai memastikan tidak berlaku kenaikan harga sewenang-wenangnya oleh penjual,” katanya. Di bawah CBP, terdapat produk yang tidak dikenakan cukai di semua peringkat iaitu pengilang, pemborong, peruncit dan pembeli, katanya. “Satu lagi adalah pengecualian CBP atau ‘exempt supply’ iaitu cukai pada peringkat ‘output’ tidak perlu dibayar, maknanya rantaian daripada peruncit hingga pembeli tidak perlu bayar, tetapi di peringkat ‘input’, ia perlu dibayar,” katanya. Mengenai Bajet 2015 pula, Ahmad Husni berkata ia adalah bajet kesinambungan sehingga tahun 2020 dan seterusnya yang memberi penekanan kepada ekonomi keperluan rakyat. Sebagai contoh katanya, peruntukan untuk pembangunan infrastruktur di Sarawak seperti Lebuh Raya Pan Borneo adalah ekonomi modal fizikal tetapi memberi kesan kepada ekonomi keperluan rakyat, katanya. “Ia (projek tersebut) membuka kawasan yang tiada hubungan infrastruktur, membuka hubungan rakyat, hubungan kawasan luar bandar-bandar. Untuk capai itu ia mesti datang daripada ‘ekonomi modal fizikal’,” katanya.