Jumaat, 21 November 2014

Kaedah pengapungan terkawal diguna pakai bagi menetapkan harga petrol RON95 setiap bulan

Kaedah pengapungan terkawal dijangka diguna pakai bagi penetapan harga petrol RON95 dan diesel setiap bulan selagi harga minyak dunia berada pada paras AS$80 setong ke bawah. Penurunan harga minyak dunia sekarang ini sudah sampai tahap bawah garisan subsidi RM2.30 seliter RON95, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan kepada Bernama. Sehingga semalam, harga kontrak hadapan minyak West Texas berada pada paras AS$76.28 setong bagi penghantaran Januari tahun depan manakala minyak mentah Brent North pada AS$79.64 setong bagi penghantaran sama. Sehubungan itu, katanya, kerajaan memutuskan mulai 1 Disember ini, penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal. Harga purata RON95 dari 1 November hingga 19 November berasaskan Mekanisme Harga Automatik (APM), turun kepada RM2.27 seliter yang mana ia lebih rendah berbanding harga runcit RM2.30 seliter ketika ini. Ditanya sama ada kaedah pengapungan terkawal ini akan dihentikan sekiranya harga minyak dunia meningkat semula, Ahmad berkata kaedah ini akan berlangsung buat seketika. Namun sekiranya harga minyak dunia meningkat melepasi AS$80 setong, Ahmad berpendapat rasionalisasi subsidi perlu dilakukan. Ahmad berkata rasionalisasi subsidi itu tidak bermaksud berbalik semula kepada kaedah pemberian subsidi bahan api menyeluruh sedia ada tetapi ia lebih bersasar. "Ia kemungkinan termasuk memperkenalkan kaedah pemberian subsidi berdasarkan jumlah pendapatan," katanya. Ahmad berkata kaedah pengapungan terkawal bagi RON95 ini memberi kebaikan kepada kerajaan kerana ia tidak lagi menanggung subsidi. "Peruntukan subsidi itu boleh diserah semula kepada rakyat," katanya. Menurutnya, pada tahun lepas kerajaan menanggung subsidi purata 74 sen seliter setahun bagi RON95 dan diesel 76 sen seliter setahun, bagi kira-kira 23 juta kenderaan. "Jumlah subsidi bahan api pada tahun lepas adalah RM23.5 bilion atau kira-kira RM2 bilion sebulan. Pada tahun ini subsidi bahan api berkurangan sekitar RM19 bilion. "Ia berkurang dalam dua bulan terakhir tahun ini berikutan harga minyak mentah dunia yang menurun. Harga minyak mentah dunia berada pada AS$100 hingga AS$120 setong sejak sekian lama," katanya. Beliau juga berharap peniaga, pemborong dan pengilang bertanggungjawab untuk menurunkan harga barang seiring penurunan harga bahan api. "Kerajaan tidak harus terus dipersalahkan kerana mengakibatkan kenaikan harga barang sedangkan pihak yang harus dipertanggungjawabkan adalah peniaga, pemborong dan pengilang ini," katanya. – Bernama

UMNO perlu kuasai teknologi digital agar tidak ketinggalan

UMNO perlu menguasai aspek ‘hyperconnectivity’ atau kesalinghubungan digital untuk memastikan mereka tidak ketinggalan dalam landskap baharu politik Malaysia, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Beliau berkata aspek itu adalah cabaran besar kepada kepimpinan setiap peringkat parti kerana pengguasaan teknologi baharu seperti media sosial akan memberikan anjakan paradigma minda kepada parti dan menarik lebih ramai penyertaan golongan muda. “Bila disebut hyperconnectivity, bermakna segala-galanya berpandukan kepada digital iaitu internet yang menyebabkan kita saling berhubung, termasuklah dalam mengendalikan kerajaan dan berpolitik. “Inilah yang menjadi cabaran UMNO dan cabaran dunia,” katanya selepas menghadiri Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini. Persidangan yang dihadiri kira-kira 250 mahasiswa dari dalam dan luar negara itu diadakan sempena Persidangan Agung UMNO 2014 yang akan berlangsung dari 25 hingga 29 Nov ini. Ahmad Shabery yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata ‘hyperconnectivity’ telah mengubah cara komunikasi antara parti-parti politik dengan masyarakat, justeru adalah penting untuk UMNO berhubung melalui media sosial. “Kalau dahulu, kita kena dapatkan dewan, sediakan makan minum dan mesyuarat untuk bertemu rakyat, kini, dengan menghantar satu mesej melalui Twitter atau posting di Facebook, akan menarik dan dikongsi beribu-ribu pandangan. “Hyperconnectivity menjadikan lebih orang ‘menjerit’ mendapat perhatian. Mereka (dalam laman sosial) ‘menjerit’ untuk meraih perhatian. Perkara kecil menjadi besar, dan perkara besar menjadi semakin besar,” kata beliau. Ahmad Shabery berkata seni pidato perlu turut dikekalkan meskipun teknologi aplikasi Whatsapp digunakan sepanjang persidangan UMNO kali ini. Mengenai persidangan mahasiswa itu, beliau berkata ia adalah untuk member pendedahan kepada golongan muda untuk bertukar pandangan dan melahirkan pelbagai idea bernas bagi menerajui transformasi negara.

DAP dibidas cuba :"menyalak" menjelang Perhimpunan Agung UMNO minggu depan

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menyelar Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok yang turut ‘menyalak’ menjelang perhimpunan agung UMNO mingu depan. Beliau berkata, pemimpin UMNO tidak memerlukan pandangan pemimpin DAP yang rasis kerana parti itu sendiri sedang bermasalah dengan rakan mereka dalam pakatan rakyat. “Saya ingatkan Teresa Kok, jangan nak menyibuk, bersihkan dulu DAP yang penuh kekotoran perkauman,” tegasnya dalam entri terbaru di umnobahagiancheras.blogspot. Teresa Kok kata beliau, sepatutnya masih ada air muka dan berasa malu kerana sebelum ini pernah mencerca dan menghina kedudukan orang Melayu dan umat Islam di negara ini. “Orang Melayu terutama ahli UMNO masih ingat apa yang dilakukan Teresa Kok, jadi tak payah nak beri cadangan yang mengarut,” tegasnya. Beliau menyifatkan usaha campur tangan pihak tertentu termasuk DAP menjelang Perhimpunan Agung UMNO sebagai jarum halus untuk mengahacurkan pati itu. “Ini strategi dan taktik jahat pembangkang, mereka cuba lakukan provokasi untuk mempengaruhi perwakilan UMNO,” tegasnya. Justeru tegas Syed Ali, Teresa Kok tidak ada hak untuk mengajar perwakilan UMNO supaya membahaskan isu syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Menerusi beberapa portal berita, Teresa Kok mahu para perrwakilan UMNO turut membahaskan isu 1MDB pada perhimpunan agung parti minggu depan. Syed Ali mendakwa isu 1MDB sengaja dipolitikkan oleh DAP sempena perhimpunang agung UMNO bertujuan mencemarkan reputasi Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan presiden parti. “Pembangkang buat fitnah kononnya 1MDB ada kaitan dengan Najib, ini semua fitnah jahat dan tidak berasas,” tegasnya. “Isu 1MDB sudah dijelaskan oleh kerajaan termasuk di Dewan Rakyat, tiada berlaku sebarang penyelewengan. Katanya, Teresa Kok sengaja membuat saranan supaya 1MDB dibahaskan di Perhimpunan Agung UMNO kerana DAP juga mempunyai agenda merosakkan perpaduan orang Melayu. Wakil Rakyat DAP itu tambah beliau, sepatutnya terlebih dahulu membersihkan parti itu daripada amalan diskriminasi dan bersifat perkauman. Oleh sebab itu katanya, tidak ada keperluan untuk para perwakilan membahaskan isu 1MDB. Lagipun jelas beliau, beberapa usul telah ditetapkan yang menjuruskan kepada kepentingan UMNO dan orang Melayu. “Saya berharap perwakilan UMNO lebih rasional dan realistik, jangan mudah terpedaya dengan perangkap yang sedang dipasang oleh DAP dan pihak yang cuba merosakkan UMNO,” tegasnya. Syed Ali turut menegaskan DAP cuba mencari isu untuk mengalih perhatian rakyat berikutan perbalahan parti itu dengan PAS. “Sekarang hubungan PAS-DAP dalam pakatan rakyat ibarat retak menunggu belah,” ujarnya. Beliau mendakwa, pemimpin PAS sepertimana dilaporkan media secara terbuka mendesak DAP keluar daripada pakatan.

BN perlu kekal pendekatan sederhana-Adenan Satim

Pendekatan sederhana serta persefahaman antara semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu dikekalkan kerana ia adalah faktor utama BN terus berjaya mentadbir negara sejak merdeka, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem. Beliau berkata ini berikutan sejak kebelakangan ini ada gerakan ekstrem yang boleh mengganggu perpaduan yang dilihat kurang sesuai dengan masyarakat pelbagai kaum, budaya dan agama di negara ini. "Sebagai orang lama, saya berpandangan bahawa ada bahayanya dalam fanatisme, dan ekstremisme di kedua-dua pihak dan ada kalanya kesederhanaan terperangkap di tengah-tengah. "BN atau sebelum ini Perikatan berjaya memerintah negara disebabkan kita mengambil pendekatan sederhana, bukan pendekatan ekstremisme. Inilah yang menyelamatkan kita selama bertahun-tahun. "Saya tidak gemar orang menggunakan perkataan 'pendatang' ka apa ka. Kami tidak bercakap begitu di Sarawak, kita semua rakyat Malaysia," katanya ketika berucap pada Program Pemukiman Pemuda BN Malaysia 2014, di sini pada Jumaat. Turut hadir Pengerusi Pemuda BN Malaysia Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Pemuda BN Sarawak Datuk Seri Fadillah Yusof. Program dihadiri 350 anggota pergerakan itu daripada 13 parti komponen BN dan wakil daripada tiga pertubuhan bukan kerajaan, diadakan di sini bermula hari ini sehingga 23 Nov. Justeru, Adenan berkata menjadi tanggungjawab mereka yang mengambil pendekatan sederhana untuk menyuarakan apa yang dirasakan tidak benar. "Kita adalah majoriti... majoriti tidak boleh berdiam diri tetapi ada kalanya begitu la orang kita, diam saja," katanya. Sementara itu, Khairy mahukan semua anggota Pemuda BN Malaysia mula mendekati pengundi-pengundi muda kerana mereka adalah penentu masa depan negara. "Itu tanggungjawab Pemuda BN untuk pastikan mereka (pengundi muda) didampingi dan diyakini. Kita kena yakinkan anak-anak muda ini BN adalah parti terbaik kepada negara," katanya. Khairy berkata selain itu kepelbagaian dalam BN yang mempunyai 13 parti komponen, merupakan antara asas kepada kejayaan yang dikecapi selama ini. "Kita berjaya menguruskan 13 parti dengan begitu baik. Parti lawan kita hanya ada tiga tetapi dah nak hancur. "Kita kena pastikan kepelbagaian ini menjadi aset, kejayaan BN selama ini adalah kerana dapat mewakili dan membawa harapan seluruh rakyat Malaysia (menerusi 13 parti komponen) dan harapan itu mudah-mudahan dapat dijayakan dalam program pemukiman ini," katanya.

Mahasiswa dirai menjelang PAU

Seperti tahun-tahun sebelum ini, mahasiswa luar dan dalam negara turut terlibat bagi menjayakan Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung pada 25 sehingga 29 November ini. Bagi meraikan mahasiswa ini sebelum menyertai Persidangan Kepimpinan Mahasiswa Nasional 2.0 yang akan bermula pada 22 November ini, satu majis ramah mesra bersama Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Prof Dr. Ibrahim Shah Abu Shah telah diadakan. Dalam ucapan aluannya, beliau melahirkan rasa bimbangnya terhadap trend pemikiran anak muda khususnya bangsa Melayu masa kini. Semakin tinggi pelajar itu belajar, semakin mereka ini berfikiran liberal. Inilah yang membimbangkan saya. “Di dalam kita berhadapan tahun-tahun yang cukup getir menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, saya mengharapkan para pelajar turut memainkan peranan untuk melakukan gerak kerja dengan penuh kejujuran. “Ini amat penting untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus menjadi pemerintah di masa-masa akan datang,” ujarnya. Tambah Ibrahim, para mahasiswa yang menghadiri perhimpunan ini harus menggunakan peluang yang ada untuk menambah jati diri cintakan bangsa, Negara dan agama. Selain itu, beliau turut berharap agar mahasiswa ini dapat mengembalikan maruah para pelajar yang sedikit tercalar akibat daripada perbuatan segelintir para pelajar yang merosakkan nama mahasiswa itu sendiri.- MediaUMNO

Harga runcit petrol RON 95 akan mengikut kaedah pengapungan terkawal

Mulai 1 Disember, penetapan harga runcit untuk petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal, umum Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek. Kaedah pengapungan terkawal yang diputuskan Kabinet hari ini adalah sebagaimana pelaksanaan penetapan harga runcit RON97 sejak Julai 2010, katanya. Berikutan itu, mulai tarikh itu juga tiada lagi subsidi bagi kedua-dua bahan bakar itu memandangkan harga pasaran dunia lebih rendah berbanding harga di pam, katanya. Melalui pengapungan terkawal, katanya, purata perubahan kos produk akan menentukan penetapan harga bagi bulan berikutnya. "Ini bermakna, jika harga pasaran minyak mentah dunia meningkat, harga runcit RON95 dan diesel juga akan meningkat. Begitu juga sebaliknya," katanya dalam sidang media di sini Jumaat. Harga runcit petrol RON95 kini ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter. Hasan berkata harga runcit produk petroleum di Malaysia ditentukan melalui kaedah Mekanisme Harga Automatik (APM) sejak 1983. Melalui APM, kerajaan akan menetapkan harga runcit pada satu paras tertentu iaitu perubahan kos produk tidak akan mengubah harga runcit. Beliau memberikan contoh harga purata RON95 yang direkodkan pada pasaran dunia dari 1 hingga 19 Nov 2014 ialah RM2.27 seliter, berbanding harga di pam RM2.30. Hasan berkata penetapan harga RON95 dan diesel pada 1 Dis nanti bergantung pada harga purata pasaran minyak dunia sepanjang November. "Dalam hal ini kerajaan akan memantau harga pasaran pada 20 hingga 30 November dan jumlah sebenar akan menentukan purata harga runcit pada bulan Disember," katanya. Hasan juga tidak menolak kemungkinan harga runcit RON95 pada Disember akan lebih rendah daripada harga semasa sekiranya harga pasaran minyak dunia terus menunjukkan trend penurunan. "Jika trend ini berlarutan adalah dijangkakan harga runcit RON95 bagi bulan Disember akan dikurangkan sewajarnya berdasarkan formula APM," katanya. Kepada satu soalan, Hasan berkata penetapan harga runcit RON95 dan diesel melalui kaedah pengapungan terkawal akan dibuat secara bulanan. Beliau berkata kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga produk berasaskan kos setiap masa, harga pasaran dunia dan kadar pertukaran mata wang untuk menetapkan harga runcit petrol dan diesel. "Kita akan pantau setiap hari harga di pasaran dunia tetapi kita ambil purata sebulan dan waktu itu kerajaan buat keputusan sama ada naik atau turun. "Harga mungkin turun mungkin naik tetapi trend sejak bulan-bulan lepas stabil dan menurun," katanya. Hasan berkata kajian bagi pelaksanaan pengapungan terkawal harga petrol RON95 dan diesel itu telah dilakukan oleh kerajaan sebelum memutuskan pelaksanaannya. "Langkah ini membuktikan hasrat kerajaan untuk memastikan rakyat menikmati manfaat sepenuhnya berikutan penurunan harga minyak mentah dunia," katanya. Ditanya sama ada pelaksanaan kaedah pengapungan terkawal adalah muktamad, Hasan berkata kerajaan proaktif dan sensitif terhadap keadaan semasa berdasarkan harga pasaran dunia dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). "Pendekatan kita adalah untuk meletakkan rakyat didahulukan. Jadi apa juga yang kita boleh jimat adalah untuk kesejahteraan rakyat," katanya.BERNAMA

PAU: Wanita tumpu isu keselamatan dan perpaduan

Isu keselamatan, keamanan dan perpaduan negara merupakan antara perkara yang akan dibangkitkan oleh Pergerakan Wanita Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2014 (PAU 2014) yang bermula Selasa depan. Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata pergerakan itu memandang serius soal keselamatan dan keamanan yang menjadi faktor kepada masa depan negara yang cemerlang. "Kalau tiada keselamatan dan keamanan, jangan cakap soal pembangunan kerana pembangunan masa depan dan kejayaan rakyat berbilang kaum berpaksi kepada perkara ini," katanya kepada pemberita di sini, Jumaat. Isu lain yang menjadi tumpuan pergerakan itu dalam PAU 2014 adalah berkaitan Akta Hasutan, katanya. Terdahulu Shahrizat menerima kunjungan hormat daripada Speaker Parlimen Singapura Halimah Yacob di ibu pejabat pergerakan itu di Menara Dato Onn di sini. Dalam kunjungan itu, 23 anggota delegasi republik berkenaan diberi penerangan tentang struktur dan program pergerakan itu.