Jumaat, 17 Oktober 2014

Gerakan pilih calon PRU lebih awal

Pemilihan calon Gerakan untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan dibuat sebelum tarikh PRU diumumkan. Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong (gambar) berkata parti itu akan mengutamakan calon berkaliber dan mempunyai kebolehan meluas bagi memastikan peluang untuk menang pada pilihan raya umum itu nanti lebih cerah. "Jika kita memilih calon lebih awal, calon itu boleh membuat perancangan berhubung strategi yang boleh digunakan dan guna pengalaman mereka untuk mempengaruhi rakyat. "Ini kerana sesebuah kawasan memerlukan strategi yang berbeza," katanya semasa merasmikan mesyuarat anggota seumur hidup parti itu di Shah Alam hari ini sempena Persidangan Perwakilan Nasional Gerakan. Persidangan tiga hari itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Ahad. Menurut Mah, langkah itu penting demi kelangsungan Gerakan dalam dunia politik yang semakin mencabar. "Ini fakta yang perlu kita terima. Sepuluh tahun lalu, kita mempunyai lebih 40 ahli Parlimen (MP), tapi 2008 kita hanya ada dua MP dan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan selepas 2013, hanya tinggal satu MP dan tiga Adun," katanya. Mah turut menekankan pentingnya bekerja keras untuk kepentingan rakyat selain senantiasa mengambil tahu perkembangan dan isu nasional yang menjadi kebimbangan mereka. "Kita perlu berkhidmat kepada rakyat. Kita tidak boleh menafikan sebuah parti politik tanpa kuasa politik sukar mempunyai pengaruh dalam menangani isu dan memberi pandangan," katanya. Mah seterusnya mengingatkan perwakilan untuk tidak 'mudah melatah' dengan isu yang dimainkan sesetengah pihak, sebaliknya matang dalam menangani dan menjawab isu itu secara berhemah. – Bernama

Felda memang saman terhadap Wan Azizah

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd, hari ini memenangi saman terhadap Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (gambar) dan dua yang lain berhubung penerbitan dua artikel fitnah dalam akhbar PKR 'Suara Keadilan'. Ini berikutan pengakuan liabiliti bagi kedua-dua artikel fitnah oleh defendan, iaitu Dr Wan Azizah, Senator Dr Syed Husin Ali, yang ketika itu Naib Presiden PKR, dan penulis artikel tersebut, Rusnizam Mahat. Artikel itu masing-masing bertajuk 'Felda Bankrap', yang diterbitkan pada 22 Jun 2010, dan 'Kontroversi' serta 'Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu', yang diterbitkan bagi edisi 29 Jun 2010. Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Kamaludin Md Said berkata mahkamah terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan Felda, sebagai sebuah badan berkanun, mempunyai hak untuk memulakan prosiding undang-undang. Beliau berkata hanya Parlimen, dan bukan mahkamah, boleh mengambil hak daripada Felda untuk menyaman, seperti yang diperuntukkan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Kemajuan Tanah 1956. Kamaludin membuat keputusan itu selepas menolak isu awal yang dibangkitkan oleh defendan Felda, sebagai pertubuhan yang didaftarkan menurut Akta Kemajuan Tanah, tidak mempunyai locus standi untuk memfailkan saman itu. Beliau berkata Felda berhak untuk memasukkan pertimbangan berkaitan liabiliti dan memerintahkan kuantum ganti rugi yang akan dinilai oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi. Pada 16 Ogos, 2010, Felda dan Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd memfailkan saman RM200 juta terhadap ketiga-tiga defendan dengan mendakwa artikel itu menjejaskan imej mereka. Plaintif berhujah defendan dengan sengaja menerbitkan artikel untuk menjejaskan kepercayaan dan keyakinan peneroka Felda terhadap agensi itu. Felda juga memohon injunksi untuk menghalang defendan daripada terus menerbitkan perkataan seperti itu dalam media cetak atau Internet. Agensi itu juga menuntut permohonan maaf secara bertulis daripada defendan yang akan diterbitkan dalam akhbar dan majalah yang akan dikenal pasti oleh plaintif dan kos lain serta relif yang dianggap wajar oleh mahkamah. Pada 30 Sept, bekas editor 'Suara Keadilan', Dzulkarnain Taib, yang merupakan seorang daripada defendan, memohon maaf kepada Felda dan anak syarikatnya berhubung penerbitan dua artikel itu. Beliau menyatakan artikel itu adalah palsu dan diterbitkan oleh 'Suara Keadilan' dengan tujuan untuk memperkecilkan pihak plaintif dan menjejaskan reputasi mereka. – Bernama -

Tindakan terhadap ahli PAS Johor sertai PasMa

Pas Johor sudah membuat ketetapan melarang ahli-ahlinya menyertai Pasma sepertimana yang diputuskan Majlis Syura Ulama Pas Pusat, sebelum ini. Pesuruhjayanya, Aminolhuda Hassan berkata, Pas Johor memutuskan mengenai ketetapan larangan itu melalui keputusan yang dibuat pada mesyuarat harian parti itu dua minggu lalu. "Secara dasarnya Pas Johor melarang ahli-ahli daripada terlibat dengan sebarang penganjuran yang boleh mengelirukan kefahaman dan keyakinan ahli kepada kepimpinan. "Larangan itu termasuklah dalam aspek ahli Pas Johor menyertai kumpulan Pasma mahupun pertubuhan yang mengelirukan," katanya, semalam. Menurutnya, larangan itu dibuat bagi memastikan keseluruhan ahli Pas Johor memfokuskan kepada dasar perjuangan parti yang dijunjung selama ini tanpa perlu bercampur aduk dengan agenda lain yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan dalam Pas. "Bila Majlis Syura Ulama telah memutuskan melarang ahli Pas terlibat dengan Pasma, kita (Pas Johor) akur dan menerima keputusan itu dengan hati terbuka. "Kita sedar rasional keputusan yang dibuat itu adalah demi menjaga dasar perjuangan dan perpaduan dalam parti sendiri," katanya. Aminolhuda berkata, tindakan tatatertib akan diambil sekiranya terdapat ahli yang terlibat, dan Pas negeri akan mengikut sahaja keputusan Majlis Syura atau pimpinan pusat untuk tindakan yang bakal dikenakan terhadap mereka. “Saya berharap agar ahli Pas negeri ini matang pemikirannya, di mana mereka perlu tahu membezakan persatuan atau pertubuhan yang betul atau sebaliknya, sebelum menyertainya," katanya.

Jangan salahguna PasMa untuk menyerang kepimpinan- Pesuruhjaya PAS Selangor

Pas Selangor tiada hak melarang ahlinya menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) kerana ia adalah sebuah pertubuhan NGO dan tiada kaitan dengan politik. Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata, soal larangan terpulang kepada Pas Pusat, bagaimanapun ahli terlibat tidak dibenarkan menggunakan Pasma sebagai platform untuk menyerang kepimpinan parti. “Kita tiada kuasa untuk halang ahli Pas sertai Pasma. Yang kita tidak benarkan jika ahli parti menganggotai dua pertubuhan politik dalam satu masa,” katanya ketika ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam. Beliau turut mengingatkan ahli Pas supaya menggunakan saluran yang betul jika tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara berkaitan parti. “Jangan serang kepimpinan secara terbuka menggunakan mana-mana pertubuhan. Jika masih ahli dan ada perkara-perkara yang mereka tidak bersetuju gunakan saluran yang bersesuaian,” katanya. Iskandar berkata, pihaknya sedang menunggu laporan berhubung terdapat ahli Pas Selangor yang menyalahgunakan platform berkenaan. “Buat masa ini memang ada dengar, kita sedang siasat dan tunggu laporannya. Jika betul kita akan serahkan kepada pimpinan pusat untuk ambil tindakan,” katanya. Kelmarin, Pas Perak menggesa ahlinya supaya tidak terlibat secara langsung dengan Pasma bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalaman yang juga mampu menggugat kesejahteraan parti. Sementara itu, berhubung penggantungan dua Adun Pas iaitu Hasnul Baharudin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) yang menerima tindakan tatatertib, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pimpinan Pas Pusat. Beliau mendakwa tidak tahu menahu perkembangan lanjut kerana tempoh 15 hari rayuan yang diberikan dibuat terus kepada Pas Pusat tanpa melalui Selangor.

5 keutamaan Malaysia sebagai anggota Majlis Keselamatan PBB- PM Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggariskan 5 keutamaan peranan yang akan dilakukan Malaysia dalam memikul amanat sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Lima keutamaan itu ialah mengembangkan agenda kesederhanaan pada peringkat global; menggalakkan rundingan sebagai kaedah penyelesaian konflik, menggalakkan operasi pengaman PBB; membantu proses membangunkan keamanan di negara yang menghadapi konflik dan terus membincangkan reformasi komprehensif UNSC. Dalam reaksinya terhadap kejayaan Malaysia meraih satu kerusi UNSC sebagai anggota tidak tetap bermula 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016, Najib sambil melahirkan rasa syukur dengan sokongan menyeluruh masyarakat antarabangsa, menyifatkan kejayaan itu merupakan penerimaan terhadap dasar luar Malaysia yang berpegang pada prinsip utama dasar luar negara. Malaysia memperoleh 187 undi daripada 193 negara anggota yang menyertai proses pengundian secara sulit di New York, Amerika Syarikat pada Khamis. "Hendak dapat 100% susahlah tapi itu kira sangat baik, pencapaian cemerlang," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan sempena Sidang Kemuncak Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di Milan. Najib turut mengucapkan terima kasih kepada negara yang menyokong pencalonan Malaysia. Pertama kali ketika Malaysia menduduki kerusi tersebut bagi sesi 1989-1990, Malaysia memperoleh 143 undi daripada 158 negara manakala kali kedua pada penggal 1999-2000, Malaysia mendapat 174 undi daripada 176 negara. Najib berkata, beberapa pemimpin yang menghadiri ASEM termasuk Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong antara yang mengucapkan tahniah atas kejayaan itu, dengan Perdana Menteri Itali Matteo Renzi yang pertama berbuat demikian. Beliau turut mengucapkan terima kasih atas kerja keras Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin dan pegawai-pegawai Wisma Putra dalam memastikan kejayaan memihak kepada negara. Najib berkata, beliau percaya negara yang menyokong, bersikap positif terhadap peranan dan dasar Malaysia yang bertanggungjawab dan berprinsip selain pendekatan kesederhanaan atau wasatiyah. Katanya, Malaysia akan memainkan peranannya sebagai anggota tidak tetap UNSC dalam menimbangkan apa yang patut dilakukan antaranya berkaitan penyelesaian konflik seperti menentukan pendirian berdasarkan undang-undang antarabangsa serta berpegang pada pendirian berdasarkan prinsip. "Ini akan jadi pegangan wakil kita untuk meneruskan tradisi selama ini yang mengambil kira berdasarkan prinsip utama dasar luar negara," katanya. Katanya, dalam melihat sesuatu isu, Malaysia akan membuat keputusan berdasarkan dasar kerajaan serta pertimbangan secara mendalam dan juga mendapatkan pandangan wakil Malaysia sebelum membuat sesuatu keputusan. Beliau berkata, bagi dasar Malaysia yang jelas dalam isu tertentu seperti hak Palestin, Malaysia akan terus mempertahankannya dan memperjuangkan pendirian Malaysia itu. – Bernama

Pemuda PKR ambil pendekatan profesional jika Anwar dipenjara

Pemuda PKR hari ini memberi jaminan mereka akan bersikap aman dan profesional sekiranya ketua umum mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dihantar mahkamah ke penjara hujung bulan ini. Naib ketuanya, Mohd Radzlan Jalaludin berkata mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk sekiranya Anwar dipenjarakan berikutan rayuan peringkat akhir kes Liwat II beliau di mahkamah ditetapkan pada 28 dan 29 Oktober ini. "Ada dua kemungkinan, tapi kita harap Anwar dibebas dan dilepaskan," katanya pada satu sidang media di ibu pejabat PKR hari ini. Mengenai kemungkinan Anwar ke tirai besi, Radzlan berkata mereka akan menghadapi situasi tersebut secara aman dan profesional dengan harapan tidak ada perkara tidak baik yang akan berlaku. "Ini adalah kemungkinan yang kita tidak mahu berlaku," kata Radzlan yang juga ketua mobilisasi bagi mengumpul penyokong PKR untuk datang memberi sokongan kepada Anwar. Ditanya sama ada kebangkitan semangat reformasi seperti pada 1998 akan berulang, Radzlan enggan mengulas lanjut mengenai kemungkinan Pemuda PKR akan menganjurkan himpunan besar-besaran jika Anwar dipenjarakan. Sementara itu, Radzlan menggesa rakan dalam PAS dan DAP untuk turut serta menyatakan sokongan kepada Anwar semasa hari penentuan tersebut. Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun kepada Anwar tetapi memberikannya penangguhan sementara menanti keputusan rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan. Anwar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin. Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas bagi hukuman penjara yang lebih berat.sumber:themalaysianinsider.com