Isnin, 11 Ogos 2014

Semua Exco PAS Selangor terus jalankan tugas seperti biasa

Keempat-empat Exco PAS Kerajaan Selangor akan terus menjalankan tugas mereka seperti biasa di bawah pentadbiran Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, demikian tegas Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali. Mustafa berkata, ini kerana kerajaan negeri masih lagi wujud dan berfungsi seperti biasa, sebelum menunggu pengumuman terbaru daripada PAS Pusat. "Kerajaan masih ada, jadi mereka hendaklah menjalankan tugas sebagaimana biasa sehingga ada keputusan baru," katanya kepada Harakahdaily. Beliau berkata demikian bagi mengulas kedudukan kesemua Exco PAS selepas Lembaga Disiplin PKR memecat Abdul Khalid kelmarin. PAS mempunyai empat Exco dalam kerajaan Selangor iaitu, Pengerusi Perumahan Pengurusan dan Peneroka Bandar Iskandar Samad (Adun Chempaka), Pengerusi Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian Pembangunan Desa Sallehen Mukhyi (Adun Sabak), Pengerusi Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali (Adun Selat Klang) dan Pengerusi Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Dr Ahmad Yunus (Adun Sijangkang). Sementara itu, Mustafa mengingatkan kepada semua peringkat kepimpinan parti, ahli dan para penyokong supaya bertenang dalam menghadapi konflik politik yang kini melanda Selangor. Katanya, PAS masih bersama Pakatan Rakyat dan menangani krisis ini secara berhemah, cermat dan bijaksana bersama-sama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang lain.

BN sokong Khalid kekal sebagai MB

Barisan Nasional (BN) menyokong Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor, tanpa syarat dan ikhlas, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin. Muhyiddin, yang juga Timbalan Pengerusi BN, berkata beliau telah berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN bagi mendapatkan hala tuju berhubung kemelut kepimpinan di Selangor. "Jadi atas beberapa dasar, sebab dan prinsip, BN menyokong MB Selangor (Abdul Khalid). "Kita juga tidak mengambil kira fahaman politik dan sebagainya, kita juga lihat tiada kewajaran perubahan pimpinan sebagaimana yang hendak dilakukan oleh Pakatan Rakyat di negeri itu ," katanya ketika diminta mengulas situasi terkini di Selangor selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pelancongan kali ke-11 di sini hari ini. Muhyiddin berkata sokongan itu juga adalah tidak bersyarat dan ikhlas kerana apa yang ingin dilihat ialah keadaan yang stabil di negeri itu. "Kalau anda tanya apa yang kita akan dapat dengan menyokong beliau (Abdul Khalid) kita pun tak tahu apa yang kita akan dapat," katanya. Muhyiddin berkata yang penting ialah soal kesinambungan kepimpinan dan nasib rakyat di negeri itu. Beliau berkata semua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor juga akan menyatakan sokongan sekiranya usul undi tidak percaya dikemukakan terhadap Abdul Khalid. "Selangor sebuah negeri yang penting dan atas sebab itu kita berpendapat kalau tiada perubahan kepimpinan, walau pun Khalid bukan daripada parti BN tetapi itu lebih baik untuk keadaan yang ada sekarang," katanya. Beliau berkata dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Abdul Khalid juga memberikan sokongan dan kerjasama berhubung masalah air dan penstrukturan semula air di Selangor serta projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2). "Jadi projek itu pada peringkat ini masih boleh diteruskan, itu perkara utama untuk mengelakkan krisis air bagi kami kerajaan persekutuan dan semangat kerjasama yang sudah sedia terjalin itu perlu diteruskan," katanya. Muhyiddin berkata, apa yang dibimbangkan ialah jika berlaku perubahan kepimpinan sudah tentu persefahaman dan perjanjian yang ditandatangani berhubung masalah air mungkin akan terjejas. "Bagi kami dalam keadaan itu siapa yang elok kita sokong...bagi Kerajaan Pusat ialah menentukan nasib rakyat baik di Selangor dan persekutuan tidak terjejas dan terus dibela dengan perjanjian yang telah disepakati. "Ikut bacaan saya kalau ada perubahan maka ada yang akan pinda itu...ini...dan ia akan bawa kesan besar kepada masalah air serta soal-soal berkaitan kebajikan rakyat di Selangor dan Wilayah Persekutuan," katanya. Ditanya sama ada boleh berlaku perubahan dalam perjanjian yang telah ditangani sebelum ini jika berlaku perubahan pentadbiran, Muhyiddin berharap perjanjian yang ditandatangani itu dihormati. "Tetapi jika ada perubahan kerajaan saya juga tidak boleh jangkakan apa akan berlaku dan itu turut menjadi kebimbangan kita juga," katanya. Mengenai sama ada akan berlaku pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor, Muhyiddin berkata perkara itu sukar diramal dan tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh Pakatan Rakyat.

Sultan perkenan saya teruskan tugas sebagai MB

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan kepada beliau untuk meneruskan tugas sebagai menteri besar. Bercakap pada sidang media di bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, Abdul Khalid juga menegaskan beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua Exco Kerajaan negeri Selangor dalam masa terdekat. "Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai ahi PKR, saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri. Justeru itu DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor," ujar beliau. Sementara itu, Abdul Khalid turut memberitahu, beliau tidak menolak untuk menyertai mana-mana parti politik termasuk Pas selepas beliau dipecat daripada keahlian seumur hidupnya daripada PKR. "Sehingga ada perkembangan baharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa," tambah beliau lagi. Menurut Abdul Khalid lagi, beliau perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya empat orang Exco Selangor untuk terus menerajui kerajaan negeri itu. Sehingga kini, Abdul Khalid berkata hanya empat Exco Selangor dari Pas telah menyatakan sokongan terhadap beliau untuk menerajui kerajaan negeri Selangor. "Menurut artikel 53 (2) b Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor, Exco selain menteri besar mesti mendapat sokongan sekurang-kurang empat ahli atau maksimum 10 orang. "Jika memenuhi syarat itu, barulah saya boleh meneruskan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri," katanya lagi.