Ahad, 9 Disember 2012

Cerita hujung minggu 3..

Bekas seorg pemimpin Dap dan pernah menyertai Pkr dan dan kini menjadi Mp bebas pernah memberitahu, hubungan akrab antara kit siang dengan punaisihat umum parti itu bukan saja ketika sama2 dlam.gagasan pembangkang. Malah sewaktu berada dlam kerajaan pun mereka dah kawan rapat. Hebat mamat tu...luar dllm, depan belakang dia pegang!...jadi tidak hairan hari ini Pas pun di kontrolnya

Sabtu, 8 Disember 2012

Cerita hujung minggu...

Cerita hujung minggu 1: Ketika menghadiri majlis walimatulurus seorg teman mlm tadi, duduk semeja dgn bekas pemimpn kecil UMNO yang satu ketika dulu pernah menjadi ketua pemuda, katanyan sehingga hari ini dia rasa bersalah kerana dalam satu pemillihan agung parti 1982, dia memilih tidak memberi undi kepada Datuk Suhaimi Kamarudin tetapi bagi kepada pencabar Datuk suhaimi kerana tertarik pada watak pemimpin itu, rupanya hari ini terserlah pemmpin tersebut adalah petualang agama bangsa dan negara...kerana satu undi itu saya rasa bersalah sangat! ".katanya.
Cerita hujung minggu 2: Sambil2 minum kopi di Chawan Bangsar tadi, seorg kawan bertanya kenapa kat wall saya banyak sangat menghemtam Anwar Ibrahim Al juburi, takde yang baik langsung ke mamat tu, jawab saya mudah, ada yang baik tentang mamat tu satu aja,.. lakonan dia memang baik sangat, antarannmya naik mimbar masjid tpi wang judi pun telan, tuduh orang amal kroni sedangkan dia yang menternak spesis tu dlm UMNO dulu...dan macam2 lagiiiiiiiiiiiiii

Khamis, 6 Disember 2012

Rabu, 5 Disember 2012

BN Yakin Menang Majoriti Dua Pertiga - Ucapan Penuh Penggulungan Preside...

Sokongan Rakyat Terhadap Kerajaan BN Dan Konsep 1Malaysia Semakin Kukuh ...

Jangan main politik isu masjid Al Rahman

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(Jawi), Datuk Che Mat Che Ali mengingatkan pihak tertentu tidak mempolitikkan isu penutupan sementara Masjid Al Rahman di jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur. "Jangaen ada pihak yang mempolitik isu ini dan memutarbelitkan isu penutupan sementara masjid ini kerana pihak JAWI sentiasa berkhidmat untuk meningkatkan syiar islam di negara ini" Katanya masjid yang dibina pada tahun 1942 sudah semakin uzur dan memerlukan pembaikpulih walaupun sebelum ini sudah beberapa kali kerja kerja berkaitan dilakukan. Menurut Datuk Che, masjid tertua di kawasan berkenaan sering bocur dan masalah pendawaian eletrik yang tidak selamat dan menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah untuk mendirikan solat. Sehubungan itu JAWI mendapat peruntukan menjalankan kerja kerja pembaikpulih secara menyeluruh dan memaksa masjid di tutup untuk keselesaan dan keselamatan. Sebelum ini ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izah Anwar memainkan isu ini dengan mendakwa kerajaan akan menutup masjid tersebut atas arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Raja Nong Chik.

Pemuda UMNO Gombak Nafi Mulakan Provokasi Insiden Di Gombak

Selasa, 4 Disember 2012

Kejadian di Gombak, provokasi atau tragedi...

Apapun taksiran orang ramai terhadap kejadian di batu 8, Gombak malam tadi jelas membuktikan masyarakat Melayu semakin tegang dan hilang kesabaran dan tata susila yang menjadi adat resam sekian lama. Segalanya berpunca dari seorang dua yang tamakkan kuasa hingga mempergunakan anak anak muda sebagai alat mencapai cita politik masing masing dan menjadikan mereka sebagai perisai untuk memperkukuhkan empayar kuasa. Dengan niat untuk tidak memyebelahi sesiapa dalam kejadian ini, jauh sekali untuk menghukum siapa yang bersalah memandangkan saya tidak berada di tempat kejadian tetapi dengan pengalaman sebelum ini, saya boleh membuat taksiran sendiri. Kenapa sejak parti yang diasaskan Anwar Ibarahim ini wujud, terlalu banyak kejadian sebegini berlaku dan yang terbaru dalam beberapa pilhanraya kecil disamping kejadian lain di dataran merdeka dan Universiti Perguruan Sultan Idris. Dengan latar belakang, pemimpan jalanan, barangkali Anwar terlalu percaya dengan cetusan kejadian sebegini mampu meraih sokongan rakyat sekaligus memcemar baik nama kerajaan. Tetapi apakah dia lupa bahawa dalam mencetuskan suasana ini, banyak yang menjadi mangsa termasuk penyokong sendiri dan paling sedih di kalangan anak muda bangsa sendiri yang sedang mencari identiti. Tentunya anak muda yang kurang kesabarannya senang untuk di provok , apa lagi kalau kita berkunjung ke rumah orang, tuan rumah tentunya akan mempertahankan pencerobohan dan mudah untuk mewujudkan ketegangan. Bila berlaku ketegangan kita akan menyalahkan tuan rumah sedangkan kita lupa siapa yang berkunjung atau menceroboh rumah terlebih dahulu dengan membawa grombolan tentera upahan. Walaupun ini barangkali sekadar provokasi tetapi kita harus melihat sebagai satu tragedi besar yang sedang menimpa anak Melayu hari ini, demi kerana rakus berkuasa ada darah telah mengalir. Sampai bila kita harus begini dalam menegakkan idelogi dan mencapai cita cita politik kita harus korban generasi mudah dan menanam kebencian mereka kepada bangsa dan negara sendiri.

Anwar marah Najib baik dengan Tun M...

Nampaknya Encik Anwar Ibrahim masih menyimpan dendam kesumat pada bekas pemimpin besar UMNO yang pernah mengutip dia di tepi jalan mengangkat dan memberi seluasnya peluang kepada presiden ABIM itu untuk mencapai cita cita politiknya. Malahan pemimpin yang pernah digelarnya sebagai bapa dan berpelukan dalam majlis UMNO itu terus dihentam dan bertambah hebat lagi selepas dia dipecat pada 11 September 1998 dulu lagi. Sehingga hari ini pelbagai gelaran dan usaha masih diteruskan untuk membunuh nama baik Tun Mahathir yang sering di sanjung sebelum ini. Kerana demdam yang tidak terkawal lagi, Anwar sanggup mengkritik Perdana Menteri Najib yang memuji Tun M secara terbuka dalam pergulungan hari terakhir perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu. Kerana terlalu berdemdam dengan nafsunya, hingga tidak terkawal sampai mendorong dia mengkritik PM Najib yang sekaligus memjadi bukti jelas bahawa bagi Anwar, bayangan Tnn M sentiasa menghantuinya. Sedangkan sikap terpuji PM Najib yang memuji bekas bosnya termasuk Tun Abdullah secara terbuka itu satu contoh yang baik dan bukti pemimpin berjiwa besar kerana tentunya Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Sebaliknya perangai bagai kacang lupakan kulit itu sudah menjadi amalan yang sinonim dengan Anwar yang sering akan meninggalkan kawan kawan yang pernah bekerja dan bersama untuk memastikan matlamat politiknya tercapai. Kebimbangan ini juga bukan saja di dorong oleh benci kesumat kerana tindakan berani Tun M itu menyebabkan dia gagal utk mencapai cita cita politik yang tersurat dan tersirat.. Sebaliknya kebimbangan ini juga didorong oleh pelbagai rahsia jahatnya masih tersimpan dalam tangan Tun M yang pastinya mampu menyekat kemaraan politik dan cita cita besarnya itu. Apalagi kali ni dia tidak mempunyai ruang yang banyak untuk memburukan suasana kerana dua bekas pemimpin utama UMNO, Tun M dan Tun Abdullah terus tunjukan komitmen untuk membantu PM Najib. Dakwanya yang dia mengetahui Tun M ada mengadakan pertemuan dengan bekas pemimpin juga bukti kebimbangan itu sedangkan tidak menjadi kesalahan bagi bekas pemimpin tertinggi UMNO itu untuk berjumpa dengan sesiapa sahaja ahli UMNO.. Malahan pengakuan terbuka PM Najib juga mengenai pertemuan itu sekali lagi menyebabkan dia tersentak dan tentunya akan bertambah gerun lagi apabila Tun M akan turut membantu BN dalam pilihanraya umum akan datang. Apupun kita lihat sejauhmana rentak tari Anwar akan lakukan memandangkan bekas sifunya pasti akan menyekat kemaraannya untuk bertapak dengan kuasa boneka ini...hanya jauhari mengenal manikam! !

Terkantoi lagi mamat munafik ni...

Kenyataan Anwar Ibrahim dalam sidang media semalam : "PKR supremo Anwar Ibrahim today denied that the opposition was responsible for the recent controversial claims made by businessman Deepak Jaikishan against the Umno leaders."
Tidak sampai 48 jam selepas membuat kenyataan menafikan pembabitannya dalam satu lagi konspirasi jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan PM Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah, kebenaran terserlah akhirnya. Pendedahan dari blog PapaGomo dan networkedblogs sudah cukup untuk membuktikan apa yang cakap Anwar dalam sidang akhbar itu adalah satu penipuan dan sebuah kenyataan munafik dan lempar batu sembunyi tangan. Tentunya apa yang terjadi itu sebagai salah satu bukti jelas kerja kerja jahat sorang manusia yang bercita2 besar, tidak mampu untuk bertahan lama dan dengan mudah isu tersebut terkantoi begitu saja. Seperti kata perpatah sepandai pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga, dan ini bukti jelas bahawa memang menjadi amalan encik Anwar al Juburi ini sebagai satu usaha untuk memburuk burukan PM Najib dan Isteri selama ini. Banyak lagi fitnah yang disebarkan sebelum ini hinggakan sanggup membawa peguam asing bagi menyokong kerja jahatnya itu walaupun tidak pernah mengaku apa yang dilakukannya. Apapun Allah tidak merestui usaha jahat itu yang akhirnya begitu mudah terdedah sebagaimana pelbagai pendedahan lain sebelum ini. Yang jelas segala pendedahan ini adalah bukti doa puak2 yang masih masih mendukung penjuangan palsu encik Anwar itu mula di makbulkan Allah dan sepatutnya mereka yang menadah tangan itu harus menerima hakikat yang doa mereka sedang dimakbulkan Allah kalau tujuan doa itu untuk memcari kebenaran...

Sabtu, 1 Disember 2012

Nostalgia Perhimpunan Agung UMNO

Nostaligia PAU 1, teringat seorg yang pernah diangkat menyertai UMNO dengan kedudukan yg paling tinggi, berucap berikrar bersumpah berpeluk2 dan memaki hamun pembangkang tpi bila disingkir parti, UMNO yang pernah digilapnya dimaki, dituduh dan difitnah dan berpeluk2 pula dengan pembangkang. MUNAFIK!. harap jangan ada lagi watak ini dlm UMNO!. Nostalgia PAU 2. Teringar sorg bekas pemimpin UMNO, diundi untuk menduduki kerusi di barisan pentas depan, siang malam berarak mencari perwakilan dengan sampul surat berisi, tetapi bila tamak dan termakan janji manis terus keluar parti dan tinggal jawatan kerajaan dengan bangga mendakwa tidak sanggup berada dlm partii dan kerajaan yang rasuah..MUNAFIK!. Lupakah apa yang anda lakukan ! Nostalgia PAU 3. Berkobar2 bersemangat mendengar pengulungan oleh YAB Presiden hingga berlenang air mata...tapi kenapa pilihanraya dulu menangis2 pasai tak dicalonkan...tutup bilik gerakan. harap Jangan ada dusta kali ini! Nostalgia PAU 4. datang sebagai pemerhati tinggal sendiri di hotel chow kit satu bilik kongi lima org, semangatj juang masih kental, tambang, tidor dan makan tanggung sendiri. menjadi pemerhati sejak berpuluh tahun dari KL Hiltan ke PWTC...pemimpin kecil yang ikhlas masih ramai dalam parti, Pemimpin besar harus memerhati dan pemimpin yang diangkat oleh si kerdil ni harus berbakti!.

Khamis, 29 November 2012

KEPIMPINAN TRANSFORMATIF MENUJU WAWASAN NASIONAL

Saudara dan Saudari sekalian, 1. Alhamdulillah dibalut rasa tawaduk dan rasa rendah diri, sekali lagi kita berhimpun untuk menunaikan tanggungjawab lazim sebagai sebuah organisasi bagi mengadakan mesyuarat agong tahunan parti tercinta yakni Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO. 2. Sesungguhnya perhimpunan sebegini bukanlah semata-mata acara ritual dalam memenuhi tuntutan taqwim organisasi. Sebaliknya, ia satu iltizam terbaik melaksanakan proses muhasabah dan islah demi memperbetulkan kelemahan, memperkejab jentera parti, membugarkan halatuju pertubuhan, seterusnya mempastikan kelangsungan jemaah. Saudara dan saudari, 3. Seperti semua maklum, ini merupakan perhimpunan agong terakhir sebelum Pilihanraya Umum yang ke-13. Jadinya, Dewan Rakyat, menurut Perlembagaan, kalau pun tidak dibubar oleh yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Perdana Menteri, ia akan terusai juga dengan sendirinya, tanggal 28 April 2013. 4. Oleh itu, setiap seorang daripada kita, tidak kira saudara dan saudari yang berada di bawah, tuan-tuan dan puan-puan yang memenuhi ruang di atas, apatah lagi para pimpinan di sini, dan pastinya, sekian ramai ahli UMNO di mana sahaja, hatta yang tidak bernama, walau yang tidak berjawatan, waima yang tidak berkedudukan, sekalipun yang tidak pernah menjejakkan kaki ke dewan bertuah ini, saya percaya semuanya sedang berasakan betapa kencang tiupan ke medan juang. Saudara dan saudari, 5. Jelas sekali terasa, parti kita telah semakin pulih semangatnya. Kita yakin bahawa, jentera parti pula, daripada peringkat cawangan, bahagian, perhubungan sehinggalah ke peringkat Kebangsaan telah pun bersedia untuk menghadapi pilihanraya umum yang bakal diadakan. 6. Kini, semboyan sedang berkumandang, genderang makin bergema. Masanya sampai, menyusun langkah, tempohnya matang, memperkemas pasukan, detiknya tiba, mempasak kuda-kuda. Dengan mendokong peranan masing-masing, ayuhlah, kita kembali kepada rakyat, demi memperbaharu mandat. 7. Serentak itu, saudara dan saudari, marilah kita mengangkat sebanyak-banyak doa, bahawa dengan izin Allah jua, apabila kita bertemu pada tahun hadapan di Dewan Merdeka ini, InsyaAllah, kita akan berhimpun semula dengan sokongan kukuh sebagai parti pemerintah, untuk mengurus kepentingan negara, memakmur ekonomi dan mensejahtera rakyat bagi tempoh lima tahun akan datang. 8. Malah, lebih jauh dari itu, moga-moga dengan izin yang Maha Berkuasa juga, kita kekal menjadi parti pemerintah yang akan menjulang darjat Malaysia, sebagai negara maju apabila menyinsingnya fajar 2020 kelak. Saudara dan saudari, 9. Namun begitu, dalam pada kita sedang memupuk semangat juang yang marak dan membara ini, janganlah alpa pada kisah-kisah lalu. Beringatlah, Pilihanraya Umum ke 12 pada Mac 2008 merupakan pengalaman yang sungguh pahit, sungguh kelat, dalam episod politik UMNO dan Barisan Nasional. 10. Sehubungan itu pada hemah saya, ombak serta rintangan yang membadai, selama bertahun-tahun ini, sewajarnya, telah benar-benar menghimpunkan bibit-bibit kesedaran di sanubari semua. 11. Seharusnya lagi, bagi sebuah parti politik yang menunjang Kerajaan Persekutuan lebih separuh abad lalu, episod hitam itu, sepatutnya memahatkan iktibar kepada kita semua. Malah ia merupakan isyarat jelas rakyat Malaysia kepada UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk berubah, sesuai dengan selera, aspirasi dan jangkaan rakyat. 12. Apa yang pasti, kita tidak boleh banyak berbicara dan bertangguh-tangguh lagi. Kita perlu memperhebatkan tindakan dan menggandakan usaha. Hanya sanya, melalui cara itu sajalah parti UMNO akan terus diperhati, sentiasa diperhitung dan selamanya dipeduli oleh rakyat. 13. Justeru, dalam tempoh kurang empat tahun semenjak saya dan rakan-rakan diamanahkan kepimpinan parti dan kerajaan, kita telah tidak jemu-jemu bekerja keras untuk memenuhi kehendak dan keperluan ramai. 14. Sekalipun dihadap dengan pelbagai kesulitan dan cabaran, kita cekal berusaha untuk memulihkan kepercayaan, memulihkan keyakinan serta memulihkan sokongan rakyat kepada parti dan Kerajaan. 15. Sesungguhnya juga, apa yang diupayakan beberapa waktu ini, mana mungkin dilakukan secara enteng atau semena-mena, sebaliknya ia telah melalui proses rundingan dan mendengar secara meluas. Bersesuaian prinsip bahawa, era Kerajaan mengetahui segalanya dan memiliki monopoli terhadap kebijaksanaan sudah berakhir. 16. Lantas, menghitung perjalanan kepimpinan ini, kita sebenarnya telah menempa keberhasilan yang sungguh membanggakan. Antaranya, kita berjaya melindungi Malaysia daripada krisis ekonomi global, meletakkannya kembali ke landasan pertumbuhan mapan serta mengeluarkan kita dari perangkap negara berpendapatan sederhana. Di samping itu, kita memetakan pula secara teliti dan terperinci perjalanan Malaysia ke arah mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. REALITI BARU LANSKAP POLITIK NEGARA Saudara dan Saudari, 17. Sekiranya kemenangan kita impikan, seandainya kelangsungan kita dambakan, sebagai sebuah pertubuhan siasah, sebelum terus mengatur gerak, sejenak perlu menoleh ke belakang, supaya dapat mengetahui letak duduk sebenarnya keadaan parti kita. Adakah lebih baik dari semalam? Cukupkah pula persediaan untuk menghadapi hari-hari mendatang? 18. Pastinya, dalam meniti garis-garis besar perjuangan, langkah-langkah konkrit ke hadapan mestilah penuh berhemah dan berhikmah, ikhlas mendahulukan kepentingan rakyat, bukan dengan helah, menabur janji-janji kosong, tipu daya atau fatamorgana. Barulah segala ikhtiar mendapat rahmat dan keberkatan Ilahi. Saudara dan saudari, 19. Berdiri atas kesedaran dan semangat itu, mari kita tinjau hakikat demografik Malaysia yang telah berubah secara radikal. Majoriti daripada 29 juta penduduk hari ini dilahirkan pasca Hari Malaysia dengan hampir tujuh puluh peratus tinggal di kawasan bandar. Empat puluh peratus pada lingkungan 17 hingga 23 tahun, sedang mengikuti pelbagai peringkat pendidikan pasca menengah. 20. Lapan puluh peratus pula, merupakan mereka yang berumur kurang empat puluh lima tahun manakala separuh daripada rakyat kita berusia di bawah dua puluh lima. 21. Satu faktor penting lagi, transformasi pengundi khasnya dan rakyat Malaysia amnya tidak berlaku dalam tempoh sehari dua, tetapi telah berlangsung secara berdikit semenjak lebih lima dekad. Ia digerakkan oleh kejayaan dasar-dasar serta program hasil prakarsa Kerajaan Perikatan dan kemudiannya diteruskan oleh Kerajaan Barisan Nasional. 22. Hakikatnya, peningkatan taraf hidup, proses pembandaran, akses kepada pendidikan, kemajuan teknologi maklumat, komunikasi serta pengangkutan telah merubah keutamaan, selera, sistem nilai dan profil pengundi Malaysia. Citarasa dan jangkaan mereka terutamanya golongan muda telah bertukar dengan mendadak. Tambahan pula, rata-rata pengundi kini sifatnya lebih bermaklumat serta kritikal. 23. Selain itu, fakta yang sedia ada menunjukkan sejak Mac 2008 terdapat 2.9 juta pengundi baru tidak kira golongan umur telah mendaftar sebagai pemilih. 24. Angka ini, saudara dan saudari, sangat signifikan kerana ia mewakili lebih satu perlima daripada jumlah pengundi Malaysia yakni 13.1 juta orang. Ini bermakna, setiap seorang daripada lima pengundi bagi Pilihanraya Umum Ke-13 nanti, ialah pengundi baru atau pengundi yang pertama kali. CABARAN UMNO Saudara dan saudari, 25. Sepanjang berdepan mehnah dan cabaran politik semasa, UMNO dan Barisan Nasional tidak lagi boleh berasa lepas lega dan mengambil mudah dengan mengharapkan sokongan rakyat berasaskan nostalgia jasa-jasa dahulu atau apa yang telah dibuat parti serta kerajaan pada hari-hari kelmarin. 26. Mendakap cabaran kini, Pilihanraya Umum ke-13 menghadapkan kita dengan satu pilihan, iaitu sama ada kita sebagai individu dan secara kolektif mahukan kemenangan untuk parti atau sebaliknya. 27. Serentak itu, bercakap tentang sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, Kerajaan dibentuk oleh parti atau gabungan parti politik yang memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Rakyat. Ertinya, kemenangan majoriti daripada 222 kerusi yang dipertandingkan adalah penentu kesinambungan kerajaan Barisan Nasional. 28. Walau bagaimanapun, kemenangan dalam pilihanraya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan. Selain itu, realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti. 29. Kata orang, dulu lain, sekarang dah lain. Jika dahulu, siapa pun yang diketengahkan oleh parti, merupakan calon boleh menang. Hakikatnya tidak lagi begitu. Maknanya di sini, kejayaan calon dalam pilihanraya kontemporari ini bergantung kepada penerimaan mereka yang hendak diwakili. 30. Calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah, yakni, bukan sahaja sekadar diterima oleh lingkungan parti, malah, hendaklah juga disenangi oleh masyarakat setempat sebagai pengundi, lebih daripada itu, boleh bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan sukarela serta masyarakat madani, kerana merekalah sebetulnya para pengundi. 31. Kenyataannya lagi, lebih 95 peratus rakyat Malaysia dilahirkan pasca penubuhan UMNO. Oleh sebab itu, penilaian yang dibuat pengundi generasi baru hari ini bukan didasarkan kepada pengalaman masa lalu apatah lagi apa yang telah dilakukan semalam sebaliknya ia berasaskan merit hari ini berserta wawasan masa depan. 32. Kesimpulannya di sini, kemenangan dalam perjuangan pada analisa akhirnya adalah hasil usaha bersama-sama semua rakyat Malaysia dari pelbagai kaum, agama dan ideologi, muda dan tua, lelaki dan wanita, warga bandar dan warga desa, pekerja kolar biru dan putih, sektor awam, swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan serta masyarakat seramai. Ringkasnya, setiap dari kita berperanan dan bertanggungjawab memilih yang terbaik untuk Malaysia. 33. Atas segalanya, rakyat hari ini sudah bijak untuk membezakan yang mana kaca yang mana manikam. Pengundi pula dapat menilai bahawa empati kepada rakyat oleh calon bersifat sejati dan berterusan bukanlah hanya untuk musim pilihanraya. 34. Dalam konteks ini, saya ingin menyeru, jadilah pemimpin parti yang rajin mengkhidmati rakyat, berwibawa dan bersikap rendah diri. Bak kata orang tua-tua, ular yang menyusur akar, pasti tidak akan hilang bisanya. Saudara dan saudari sekalian, 35. Bersuluhkan jamung pejuangan mulia yang cerah menyala, kita mesti cekal bekerja keras, kita mesti terus tabah meyakinkan rakyat bahawa, kitalah pilihan kepimpinan yang utama, bahawa kitalah yang mampu membawa masa depan yang lebih baik kepada mereka dan anak-anak cucu mereka. 36. Apa yang dapat saya katakan, berikhlaslah dalam memberi khidmat kepada rakyat. Berpeganglah kepada kata-kata para ulama dan pujangga, bahawa yang baik akan akhirnya tertampak, yang buruk itu, hujungnya kelak, pasti terpandang jua. Saudara dan saudari, 37. Pada kesempatan ini, renungkanlah sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW sebagai iktibar parti. Kita telah membaca bagaimana dalam perang Badar, tentera Islam yang serba kekurangan telah berjaya menewaskan musuh yang jauh lebih besar bilangan serta lebih lengkap peralatannya. 38. Manakala peristiwa Uhud, walaupun kekuatan tentera Islam dan musuh lebih setara, tentera Islam mengalami kekalahan. Diriwayatkan, ketewasan semasa Uhud berpunca daripada kelemahan rantaian kawalan dan pemerintahan pasukan serta kelalaian mentaati arahan oleh para pemanah berbanding ketika pertempuran Badar. 39. Di sini, pengajaran yang dapat kita ambil daripada sepotong rentetan sirah tersebut, ialah, tentang pentingnya disiplin organisasi dalam sesebuah parti. Implikasi apabila tiada kepatuhan dalam perjuangan berjemaah, kita akan menempa kegagalan, kita akan kecundang, kita akan tumpas dan tewas. Saudara dan saudari, 40. Hal disiplin berorganisasi ini perlu dimengertikan baik-baik. Ia merupakan faktor tonggak yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini. Dalam bidang ketenteraan, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan di medan perang. 41. Dalam sebuah pertubuhan siasah pula, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihanraya. Inti patinya, disiplin berorganisasi bermaksud meletakkan kepentingan organisasi secara di atas…, di atas kepentingan individu. 42. Lalu, mengambil sempena Ayat 83, Surah An-Nisa’, kedisiplinan berjemaah menuntut kita berlapang dada dan bersedia menerima keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti, dan, jika tidak dipersetujui, hendaklah menggunakan saluran organisasi yang sewajarnya bagi menyampaikan pendapat tersebut. 43. Termustahak, jika keputusan muktamad telah dibuat, terimalah dengan hati terbuka dan laksanakanlah dengan sebaik mungkin. Benarlah seperti dimadahkan pemimpin-pemimpin besar dahulu kala, satu petua yang memang kecil, namun sangat sulit hendak diamalkan, itulah dia taat dan patuh kepada arahan. KEBERTERUSAN TRANSFORMATIF YBhg. Tan Sri Pengerusi Tetap, Saudara dan saudari, 44. Pada sisi lain, pendapat dan teori politik konvensional yang mengatakan bahawa perubahan dan pembaharuan akan hanya berjaya jika kita menukar kerajaan tidak boleh diterima pakai di Malaysia. 45. Semenjak lebih 50 tahun yang lalu, Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional secara tali menali, menerajui negara tercinta ini dengan membawa perubahan dan pembaharuan bukan pada kadar berdikit malah dengan lonjakan berganda dengan Keberterusan Transformatif. 46. Kita telah menyaksikan bagaimana Malaysia telah berubah dari sebuah negara yang terjajah kepada sebuah negara merdeka, daripada sebuah negara berstatus negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi. 47. Oleh itu, dengan Keberterusan Transformatif, rakyat boleh melihat sekalipun kepimpinan ini datang dari parti yang sama, namun perubahan dan pembaharuan berlaku secara dinamik, berterusan, tertib dan teratur. 48. Ertinya, parti pemerintah sentiasa memikirkan kaedah atau rekayasa terkini bagi memenuhi keperluan dan kehendak semasa. Kita terus-terusan membuat pembaikan dan perubahan idea, dasar, program yang tuntas lagi menyeluruh. Pokoknya, kita pada tiap ketika mendepani kelok zaman dengan membuat perubahan yang tepat pada masanya. Saudara dan saudari, 49. Kita ada mendengar pendapat yang mengatakan, apa salahnya memberi peluang kepada pembangkang untuk menang bagi dinilai kemampuan dan keupayaan mereka mengurus negara dan rakyat. 50. Namun, ini adalah satu risiko yang amat tinggi kerana masa depan negara, keluarga dan anak-anak kita terlalu berharga untuk dijadikan bahan uji kaji. Tanpa penilaian yang betul, teliti dan kritikal, menukar kerajaan ibarat mengamanahkan tikus membaiki labu atau mempercayai serigala menjaga biri-biri. Saudara dan saudari, 51. Sememangnya menjadi aspirasi setiap parti politik untuk memperoleh mandat dari rakyat bagi membolehkannya membentuk kerajaan dan pemimpinnya menjadi Perdana Menteri. Ke arah itu pelbagai janji dan komitmen ditawarkan. 52. Bagi parti yang sedang menerajui Kerajaan, penilaian dilakukan oleh rakyat berdasarkan dua kayu ukur. Pertama, adakah janji-janji lepas, telah ditunai dan dilunaskan? Manakala kayu ukur kedua, adakah janji-janji baru yang dibuat akan lebih membawa manfaat. 53. Manakala, bagi parti yang tidak pernah membentuk Kerajaan, mereka perlu dinilai berasaskan janji yang sedang dibuat. Jika pada peringkat janji lagi sudah tidak boleh dipegang dan dipercayai, maka, lebih selamat untuk para pengundi agar menjauhi parti tersebut. Saudara dan saudari, 54. Berhubung hal demikian, Malaysia hari ini merupakan contoh sebuah negara membangun yang amat berjaya sama ada diukur dari segi keampuhan institusi negara mahupun kemajuan sosioekonomi. 55. Kejayaan ini bukannya sebuah fantasi yang dikhayalkan kerajaan Barisan Nasional sebaliknya satu kejayaan nyata yang dapat disaksikan dan dinikmati setiap rakyat Malaysia. Bahkan ia juga merupakan kejayaan yang diiktiraf oleh institusi dan masyarakat antarabangsa. 56. Jika dinilai dari kayu ukur global, Malaysia hari ini tercatat antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM 1 trilion. Hari ini kita diiktiraf Institute for Management Development atau IMD dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia. 57. Hari ini juga kita diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau UNDP pula menilai status Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development Index”. 58. Kendatipun begitu, Kerajaan pimpinan UMNO tidak hanya berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan kejayaan sedia ada. Kita mahukan setiap anak Malaysia terus mampu mengoptimakan potensi, kita mahukan setiap anak Malaysia dapat merealisasikan impian, agar hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok, sarat dengan kemungkinan. 59. Untuk itu, Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak saya dan rakan-rakan mengambilalih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu. Melalui dasar ini, kita telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai. 60. Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada 6 700 dolar kepada 9 700 dolar. 61. Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak 15 000 dolar. Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu 12 476 dolar, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut. Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian, 62. Kita maklum bahawa, pihak pembangkang dalam usahanya untuk menawan hati rakyat telah mengeluarkan Buku Jingga sebagai manifesto kenapa mereka perlu dipilih menjadi kerajaan menggantikan Barisan Nasional dengan tema “Ubah Sekarang” “Selamatkan Malaysia”. 63. Dalam dokumen ini terkandung sejumlah 59 janji yang akan dilaksanakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat. 10 daripadanya, konon, akan ditunai dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran mereka. 64. Sebaliknya, semua itu hanya nampak muluk-muluk. Padahal, cerita yang betul tentang kesan buruk jika janji-janji tidak munasabah itu dilaksanakan, tidak pula disampaikan kepada pengetahuan rakyat. 65. Jika disenarai, mereka mendakwa kononnya mampu menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah Malaysia pada kadar RM 4000, menghapuskan tol dan hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru sebanyak RM 500 sebulan dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri. Mana mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi negara, antaranya : 66. Pada tahun pertama seandai dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus. Kedua, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus. 67. Dalam tahun ketiga, kita akan mencapai tahap keparahan dan hilang kedaulatan ekonomi seperti negara Greece. Waktu itu pengurusan iktisad negara tidak lagi berada dalam tangan Kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi beralih ke tangan institusi antarabangsa. Adakah itu yang kita inginkan? Saudara dan saudari sekalian, 68. Inilah… inilah tahap kualiti dan hal ketidak mampuan perancangan ekonomi parti lawan. Namun, ia tidak langsung mengejutkan kita, kerana, semasa krisis kewangan Asia melanda Malaysia pada tahun 1997-1998, terbukti, Menteri Kewangan, saya ulang, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi Ketua Pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap. 69. Beliaulah yang menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF bagi menangani krisis ekonomi ketika itu. Semua orang mengetahui IMF masa tersebut diketuai oleh sahabat karibnya. Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh Kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan. 70. Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Umum Pembangkang, segala pendirian dan fe’elnya berubah pulak. 71. Kalau ikut pepatah dulu, orang menyebut, dia ini lidahnya bercabang. Jelasnya, tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen…dah.. dia menyokong pulak…heran..heran… Saudara dan saudari, 72. Dalam Buku Jingga juga pembangkang menjanjikan pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 tetapi realitinya Kerajaan Barisan Nasionallah yang berani mengambil langkah, tidak setakat memansuhkan ISA tetapi juga Akta Kediaman Terhad, Akta Buang Negeri, membatalkan 3 pengisytiharan darurat serta membiarkan ordinan-ordinan yang digubal, lupus. 73. Tidak sekadar itu, kita juga telah meminda AUKU bagi membenarkan keahlian pelajar dalam parti politik, meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi menghapuskan keperluan lesen tahunan, serta mengembalikan semula hak semakan kehakiman secara amnya kepada mahkamah. 74. Atas sebab-sebab yang demikian, rakyat Malaysia perlu menilai dan membuat keputusan sama ada mereka mahukan keberterusan transformatif ini oleh UMNO dan kerajaan Barisan Nasional atau akan terumbang-ambing dalam kata-kata muslihat serta mainan tanggapan tidak masuk akal oleh pembangkang. UMNO TEGAR DALAM MEMPERJUANGKAN ISLAM Saudara dan saudari sekalian, 75. Sesungguhnya, UMNO sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan. 76. Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa UMNO parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada UMNO. Sedangkan kita, adalah saudara seakidah. 77. Alangkah peliknya perbuatan mereka ini. Dalam detik-detik saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain. 78. Soalnya, adakah sebuah parti yang menguruskan ehwal pentadbiran negara seperti UMNO dengan begitu cemerlang layak dituduh sebagai tidak Islamik dan dinista semahunya? 79. Walhal, UMNOlah parti yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di negara ini. Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah. Saudara dan saudari, 80. Pada kedudukan ini, kita sebenarnya telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam. Malaysia misalnya ialah antara negara Islam yang memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif. 81. Penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji telah membolehkan umat Islam yang dahulunya terpaksa menggadai harta benda, kini, bukan sahaja menabung tetapi juga dapat mengerjakan Rukun Islam kelima itu secara sistematik. 82. Begitulah dalam bidang muamalah. Malaysia ialah satu-satunya negara Islam yang menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam meluas. Dari sistem pajak gadai sehinggalah kepada pengeluaran sukuk. Dewasa ini, kita berasa bangga dan gembira kerana sebuah forum global telah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam terulung dunia. 83. Hakikatnya umat Islam di Malaysia bukan sahaja boleh membuka akaun simpanan di bank yang menggunakan kaedah tanpa riba tetapi juga boleh membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran, membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah. 84. Melangkah dari situ, selain menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia juga rancak menyumbang secara besar kepada kesejahteraan di seluruh dunia. Seperti ramai maklum, kita telah menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan. 85. Malah, mutakhir ini Malaysia telah menjadi pendamai dan orang tengah meleraikan konflik yang telah berlarutan lebih empat puluh tahun di Selatan Filipina, sehingga berjaya membuka lembaran baru kepada Bangsa Moro. 86. Malaysia turut komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin. Kita telah dan akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum-forum serantau dan global. Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. InsyaAllah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak. 87. Malaysia juga prihatin terhadap nasib yang menimpa masyarakat Rohingya di Myanmar. Kita menyeru agar keganasan yang dilakukan terhadap mereka ini, dihentikan serta merta dan penyelesaian yang adil akan dibuat. Saudara dan saudari, 88. Merujuk semua itu, janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa. 89. Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama. 90. Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, UMNO dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara. 91. Berlandaskan semua itu, ingin ditegaskan di sini, tanpa ragu-ragu lagi, bahawa, UMNO komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan. 92. Kita tidak rela untuk memecah belahkan perpaduan umat Islam. UMNO tidak sekali-kali akan mencaci atau menista saudara seagama seperti parti lawan. Kita tetap tegas untuk mempertahan kesucian dan kemurniaan akidah. 93. Di atas pentas perhimpunan ini juga, kita mahu menyatakan tanpa berbasa-basi lagi bahawa, kita menentang… menentang sekeras-kerasnya mereka yang mendokong fahaman pluralisma mahupun liberalisma. Saudara dan saudari, 94. Komitmen UMNO ini, selaras dengan peruntukan Perkara 11 Fasal 1 dan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara. Perkara 11 Fasal 1, menjamin kebebasan beragama di negara ini sekalipun di bawah Perkara 3 Fasal 1, Islam ialah agama bagi Persekutuan. 95. Perkara 11 fasal 1 menyatakan bahawa tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya, namun tertakluk kepada Fasal 4 yang berbunyi “Undang-Undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”. 96. Jadinya, kita ingin berpesan, cukup-cukuplah cuba memperdaya rakyat. Suatu ketika dahulu UMNO dituduh kafir melalui amanat Tuan Guru, yang tidak perlulah saya sebut namanya kerana seluruh Malaysia pasti kenal siapa dia. UMNO dicap kafir kerana bekerjasama dengan rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam, kononnya tidak menyokong penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud. 97. Kesan amanat pada tahun 1981 itu bukan sahaja telah memecahkan perpaduan, tetapi juga telah menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam. Natijahnya, muncullah tragedi Memali, peristiwa Lubok Merbau, kejadian sembahyang dua Imam, perceraian suami isteri, perseteruan keluarga serta wujudnya fahaman haram memakan sembelihan oleh orang-orang UMNO. 98. Soalnya, adakah layak pemimpin seperti ini, yang hendak diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka? Waima, dulu pun, selepas saja satu penggal menjadi Menteri Besar, orang Terengganu terus menolak kepimpinan beliau. 99. Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan. Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular. 100. Kenapa matlamat perjuangan mereka semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini? Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk disembunyikan. Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran. 101. Adakah nafsu untuk berkuasa mengatasi prinsip perjuangan? Adakah matlamat telah menghalalkan cara? Tidak mengapalah kalau tidak melibatkan orang lain, tetapi apa yang tragisnya, ia telah menjadi pesta fitnah, propaganda jahat dan pendustaan yang ditujukan kepada UMNO serta seluruh rakyat Malaysia. 102. Berbicara tentang negara Islam, walau apa pun tohmahan yang diasak kepada UMNO, hasil perjuangan kita dalam memartabatkan Islam di bumi Malaysia ini dan seantero dunia, tetap menyinar, tetap murni dan akan tetap dipersadakan. 103. Terbaru, sekumpulan ulama antarabangsa telah memulakan usaha bebas untuk merangka dan mengukur negara-negara berdasarkan Indeks Syariah. Kita bersyukur kerana, kajian mereka di peringkat global mendapati Malaysia menduduki kedudukan lima teratas dalam pematuhan indeks berkenaan. KITA ATAU MEREKA Rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian, 104. Pilihan kepada tuan-tuan dan puan-puan kini antara Barisan Nasional sebagai sebuah parti dengan rancangan holistik tentang halatuju masa depan negara atau parti pembangkang yang kelam kelibut serta bercelaru dibelenggu matlamat pakatan mereka, sama ada mahu menjadikan Malaysia sebuah negara sekular, sebuah negara teokratik atau sebuah negara berkebajikan. 105. Suka tidak suka, persoalan ini sangat asasi. Sesungguhnya, rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui secara nyata sebelum membuat keputusan paling penting bersabit masa depan mereka. Pilihanraya bukan satu uji kaji. 106. Lima tahun ialah jangkamasa yang lama dalam pentadbiran sesebuah Kerajaan. Pelbagai bentuk kerosakan boleh berlaku hatta sebuah negara yang berjaya pun akan gagal dan tersungkur. 107. Kerana itu, menyisir waktu, UMNO bukanlah parti yang mengamalkan taqiyah atau tipu muslihat dalam kerjasamanya dengan parti-parti komponen Barisan Nasional. Tidak seperti gabungan DAP, PKR dan PAS, yang tiada bertunjangkan ketulusan. 108. Contohnya, di Pulau Pinang yang diterajui DAP, parti PAS tidak menyertai kerajaan, di Kedah yang diterajui PAS, parti DAP tidak menyertai pentadbiran. Kita maklum, puncanya, kerana mereka saling tidak mempercayai antara satu sama lain. 109. Selanjutnya marilah kita menyingkap tabir di sebalik dakwaan parti DAP, yang mendabik dada bahawa merekalah yang paling demokratik di negara ini. Namun begitu, sungguhkah bagai dicanang? Apakah cerita sebenar dalam DAP? 110. Semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu. Walaupun hanya memegang jawatan pemimpin Parlimen DAP yang tidak dipilih oleh ahli parti, ternyata Lim Kit Siang ialah individu yang begitu berkuasa dalam DAP. 111. Anaknya pula merupakan Setiausaha Agung parti dan Ketua Menteri Pulau Pinang. Manakala menantunya, merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka merangkap Naib Pengerusi Seksyen Wanita DAP. 112. Begitulah juga kisahnya dengan parti PKR. Di mana ia melibatkan suami, isteri dan anak. Si suami adalah Ketua Umum yang tidak dipilih. Isteri pula Presiden Parti manakala anak sulung Naib Presiden. 113. Berbalik kepada DAP, kalau kita kaji lagi, sifir dan tafsiran demokrasi ala Parti itu amat mudah. Jika bersetuju dengan kepimpinan, semuanya ok. Akan tetapi, seandainya seseorang ahli mempunyai pandangan berbeza, misalnya Tunku Aziz, mantan Naib Pengerusi mereka, yang tidak bersetuju dengan demonstrasi jalanan Bersih 3.0, dan dan tu…. tempoh jawatannya sebagai Senator tidak disambung untuk penggal kedua. 114. Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka. 115. Seperkara lagi, hari ini, tinggal seorang… saja orang Melayu di kalangan 30 kepimpinan pusat DAP. Inikah yang dinamakan demokrasi? Inikah yang dinamakan tidak perkauman? Inikah dinamakan kepelbagaian seperti yang selalu dimomokkan? Cubalah rakyat Malaysia renung dalam-dalam dan fikir masak-masak. Saudara dan saudari, 116. Pucuk pangkalnya, UMNO akan terus memperjuangkan agenda Melayu dan Bumiputera supaya kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di negara tercinta ini. Kaedah yang digunapakai oleh UMNO bagi mencapai matlamat ini berubah mengikut era yang ditempuhi. 117. Perjuangan UMNO semenjak merdeka demi memartabatkan bangsa Melayu bolehlah dibahagikan kepada beberapa Fasa. Pertama, melalui penubuhan agensi seperti MARA, FELDA dan FELCRA. 118. Ia juga diperkukuhkan dengan kewujudan Dewan Latihan RIDA yang berkembang kepada Institut Teknologi Mara pada akhir 60an dan kemudiannya menyaksikan institusi ini dinaik taraf menjadi Universiti Teknologi Mara. 119. Fasa kedua menyaksikan penggubalan Dasar Ekonomi Baru dan pelaksanaannya melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama yang merangkumi empat Rancangan Malaysia selama dua puluh tahun. Usaha berterusan dijalankan demi membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. 120. Ia menyaksikan penubuhan organisasi seperti RISDA, Lembaga Pertubuhan Peladang, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia serta penyediaan kredit mikro melalui Amanah Ikhtiar Malaysia dan Tekun. 121. Usaha juga ditumpukan untuk mencipta masyarakat Perdagangan serta Perindustrian Bumiputera. Lantas kerajaan pimpinan UMNO telah menubuhkan Perusahaan Awam Bukan Kewangan atau syarikat milik kerajaan bagi membolehkan bangsa Melayu berkecimpung dalam dunia perniagaan. 122. Bagi meningkatkan ekuiti Bumiputera, kita mewujudkan Permodalan Nasional Berhad yang menguruskan skim pelaburan saham amanah seperti ASN, ASB dan lain-lain. Sesungguhnya, kejayaan terbesar fasa kedua ini ialah tumbuhnya institusi pendidikan menengah seperti Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Berasrama Penuh aliran sains, dan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam melalui program matrikulasi. 123. Secara nyata, perjuangan UMNO semenjak merdeka melalui fasa pertama dan kedua ini telah memperlihatkan kejayaan yang monumental melalui penciptaan kelas menengah profesional Melayu yang besar di samping menangani permasalahan kemiskinan di kalangan bangsa kita. 124. Bertapak di atas fasa pertama dan kedua tersebut, kita kini merangka dasar serta program yang lebih terarah serta berfokus antaranya inisiatif penubuhan Model Ekonomi Baru, Teraju, Skim Jejak Jaya dan Pelaburan Hartanah Bumiputera. Alhamdulillah, hasilnya, pemilikan ekuiti Bumiputera telah meningkat daripada 21.9 peratus pada tahun 2008 kepada 23.09 peratus pada tahun 2010. 125. Sungguhpun begitu, dalam helaan nafas yang sama, memetik iktibar daripada Firman Allah S.W.T, Ayat 8, Surah Al-Maidah, kita tidak pernah leka daripada mempertahankan hak serta berlaku adil kepada semua kaum. Ia juga terpelihara oleh Perlembagaan Persekutuan yang digubal berasaskan ijmak Kebangsaan. 126. Sedang UMNO komited bagi memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, kita juga penuh iltizam bagi mempastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia. Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan. 127. Bahkan, UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya demi kejayaan nasional. 128. Pastinya, kita sering menginsafi bahawa, kemajmukan yang kita miliki inilah tiang seri yang mempaterikan kekuatan sebuah negara bangsa. Sememangnya lagi, sebagai organisasi siasah, kita mendukung tanggungjawab untuk terus mempersatukan rakyat melalui titik-titik persamaan, bukannya mendamak racun-racun perbezaan. Itulah jua teras falsafah pemandu 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Saudara dan saudari, 129. Perbezaan yang terbesar antara kita dan pembangkang ialah bagi kita, janji dibuat untuk ditepati. Bukan seperti pembangkang yang sering berkata palsu apabila memancing undi, tetapi sesudah menjadi kerajaan semuanya kosong belaka. 130. Tanyalah kepada penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang, di manakah kata-kata manis yang ditabur oleh Ketua Umum PKR semasa pilihanraya 2008? 131. Beliau berjanji kononnya dalam masa dua minggu selepas memenangi pilihanraya, akan selesailah masalah penduduk di sana. Kini sudah hampir masuk empat tahun, bak kata orang Penang… “ilekkk…”. Akhirnya…Barisan Nasional… juga yang selesaikan… 132. Selain itu, macam kata orang Tanjung jugak, boleh jadi caca marba…. seandainya Pakatan Rakyat membentuk Kerajaan. Tukang buat janji, Perdana Menteri mereka, tak kisahlah siapa yang akan dilantik sama ada Ketua Umum PKR atau Presiden PAS, tetapi… si Ketua Menteri Pulau Pinang dari DAP akan tetap “buat tak tau…. dan buat dek…jer…” atas janji itu. Mungkin inilah sebabnya Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang menggelar bosnya sebagai Cocky, Arrogant dan Tokong. Saudara dan saudari, 133. Selanjutnya; “tanyalah kepada oghe Kelate, …selesa doh ko masalah air ?… Sedar tak sedar, dah lebih dua puluh tahun PAS memerintah, tak selesa-selesa jugak”. 134. Tanyalah pulak kepada orang Kedah; “pasai PAS. …depa janji apa kat hampa tahun 2008 hari tu? …Cuba habaq mai…. tak ka macam-macam depa tabuq janji… kita tau sampai laa ni… macam-macam tak selesai… habuk pun tak dak”. 135. Seterusnya, kita tanya pulak penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang memakai meter pukal di Selangor. Mana janji-janji indah nak bagi air percuma? Satu lagi isu, kita tanya kepada ibu-ibu tunggal juga di Selangor, apa sudah jadi dengan elaun bulanan sebanyak seratus ringgit yang nak dibagi? Tak patut. Saudara dan saudari, 136. Berbeza dengan kita UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional. Buktinya, semenjak saya dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan Kerajaan, melalui pelbagai usaha dan ikhtiar, parti ini dan Kerajaan ini, bukan sekadar suka-suka membuat janji dan memberi harapan, namun kita juga pasti berusaha, merintis sejuta jalan untuk menunaikannya. 137. Misalnya, di bawah pelan jangka pendek, antaranya : • kita ada BR1M untuk rakyat berpendapatan rendah • kita ada baucer buku 1Malaysia untuk mahasiswa • kita ada bantuan 100 ringgit untuk semua pelajar sekolah • kita ada Skim tayar 1Malaysia untuk pemandu teksi 138. Untuk jangka sederhana : • kita menyediakan Pusat Transformasi Luar Bandar • kita menyediakan Pusat Transformasi Bandar • kita ada KR1M, Klinik 1Malaysia, Kedai Kain 1Malaysia, Kedai Buku 1Malaysia, dan 139. Bagi jangka panjang pula, kita dipayungi Dasar Transformasi Nasional melalui inisiatif Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi hinggalah kita mencapai status negara maju. InsyaAllah. Saudara dan saudari, 140. Pada sesetengah pihak, kita ingin ingatkan, kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit. Hari ini, pelbagai institusi negara diserang dan dituduh sesuka hati secara melulu, dengan tujuan jahat untuk mengeliru dan menimbulkan syak di kalangan rakyat. 141. Misalnya, Suruhanjaya Pilihanraya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur. Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab, seandainya mereka kalah dalam pilihanraya nanti, bukan faktor tidak mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPRlah yang akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa. 142. Sebab itulah tanpa segan silu mereka mengadu kepada kuasa asing bagi mengantarabangsakan masalah dalaman, sedangkan mereka tahu tindakan berkenaan hanya mengaibkan negara dan menghina intelek rakyat Malaysia. 143. Sebenarnya saudara dan saudari, tak perlulah kita libatkan orang asing untuk menunjuk ajar bagaimana menguruskan negara. Janganlah menjadi Si Kitul moden sampai sanggup mengkhianat bangsa dan tanahair. 144. Dah lebih separuh abad pun kita merdeka… tahulah kita selok belok negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada pilihanraya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi. 145. Seperti yang saya kata, bukankah Parti PAS sudah 22 tahun menerajui Kerajaan Kelantan? Bukankah juga Parti PAS yang telah memenangi pilihanraya negeri pertama tahun 1959? Bukankah Parti PAS sedang menerajui Kerajaan Kedah? Bukankah Parti PAS pernah menerajui Kerajaan Terengganu dan Perak? 146. Tidakkah pula PKR sedang menerajui Kerajaan Selangor manakala DAP kini mengepalai Kerajaan Pulau Pinang? 147. Selain itu, barangkali ramai masih ingat, bahawa sebelum menyertai Barisan Nasional, Parti PBS dan Gerakan merupakan Parti Pembangkang, dan bukankah PBS telah memenangi pilihanraya Sabah tahun 1985 dan Parti Gerakan telah memenangi pilihanraya Pulau Pinang tahun 1969. 148. Akhirnya, seperti terakam dalam peristiwa, bukankah Barisan Nasional gagal memperoleh majoriti dua pertiga semasa Pilihanraya Umum 2008? Saudara dan saudari, 149. Jadi, jika sungguhlah tuduhan bahawa SPR tidak berwibawa dan tidak jujur, ini semua tidak mungkin berlaku. Ternyata, demokrasi tetap berfungsi, malar dan segar di Malaysia. Ternyata, pilihanraya di negara ini ialah proses yang bersih dan rakyat sudah matang serta bijaksana untuk memilih. Saudara dan saudari, Pilihanraya Umum ke-13 ini bukanlah satu pilihanraya yang biasa. Ia merupakan titik penentu kepada destini rakyat dan negara. Pilihanraya inilah yang akan mencorakkan rupawajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau, Malaysia yang mundur terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis. Hakikatnya, hasil kerja keras setiap generasi, kita telah membentuk Malaysia yang dikagumi rakan dan dihormati taulan. Siapa menjangka bumi yang sarat dengan segala rencam ini, mampu melepasi, apatah lagi berjaya menangani cabaran bernegara. Pilihannya juga amat jelas, untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama, atau didewasakan dengan kebencian yang membara. Di satu sudut, jalan mulia yang telah terintis semenjak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman. Hendaklah kita selalu beringat. Betapa susah payahnya bapa-bapa pengasas kita membina apa yang dinikmati hari ini. Sesungguhnya kita terhutang budi kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Hussein, Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah. Sebaliknya, saudara dan saudari, di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam. Sudah barang pasti UMNO tidak akan membiarkan semua itu berlaku. Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. Jika kita hilang darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula. Tetapi, jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang. Akhirnya, terbangsat dan merempat di tanah sendiri. Bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan. Justeru, saya selaku Presiden UMNO, bersama-sama Timbalan Presiden, serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam. Walau apapun rintangan yang melanda, biar apapun cabaran menghalang, UMNO tidak akan berpulang walau setapak, UMNO tidak mungkin berpatah jalan. UMNO takkan berdalih dalam menjulang sebuah kebaktian. UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan, menghadapi musuh dari luar mahupun dalam. Saudara dan saudari, Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangani hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik. Kita akan bersaing untuk setiap undi, kita akan berusaha untuk menyakinkan setiap rakyat Malaysia, kita juga akan mengetuk setiap pintu hati dan membuka setiap gerbang harapan. Kita percaya, rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik dan kita yakin bahawa, UMNO dan Barisan Nasionallah yang mampu untuk menawarkan yang terbaik untuk rakyat Malaysia. Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian, Di sini… di sinilah kita dilahirkan, di sini… di sinilah tangis kita mula bergema. Di sini kita membina keluarga dan di sinilah kita melakar masa depan. Di sinilah juga, dengan izin Allah yang Maha Berkuasa, kita akan bersemadi untuk selama-lamanya. Penuhkanlah tanah bertuah ini dengan rakyat yang mencintai harumnya perdamaian. Makmurkanlah watan ini sehingga labanya melimpah ke kaki halaman. Duhai putera puteri… duhai para pejuang bangsa, segeralah… segeralah semua menyembah bakti. Pertahankan… pertahankan satu-satunya Bahtera Merdeka ini… pertahankan…. pertahankanlah Putrajaya. HIDUP UMNO! HIDUP BARISAN! HIDUP MALAYSIA! Allahuakbar! Allahuakbar! Allahua

Rabu, 28 November 2012

Beranjak untuk melonjak ke arah kemenangan-Kak Izat

1. Syukur Alhamdulillah, kita dapat berhimpun pada pagi yang barakah ini. Hari ini bersejarah, menyaksikan satu Perhimpunan Agong Pergerakan Wanita UMNO di Dewan Merdeka. Bersejarah kerana kita serikandi Malaysia datang dari seluruh pelusuk negara bukan hanya untuk menunaikan tanggungjawab kita mengikut Perlembagaan UMNO, tetapi juga untuk berikrar dan berjanji bahawa kita akan berjuang habis-habisan dengan penuh keikhlasan, demi Agama, Bangsa dan Negara. Bersejarah kerana Perhimpunan Agong ini diadakan di ambang PRU 13, satu-satunya Pilihan Raya Umum yang akan menentukan dan memuktamadkan bukan hanya nasib orang Melayu tetapi juga seluruh rakyat Malaysia. 2. Saya amat bersyukur, hari ini saya bersama-sama puan-puan dan tuan-tuan dari Majlis Tertinggi UMNO, diberi kesempatan bersidang lagi. Saya mengucapkan Selamat Datang dan mengalu-alukan kehadiran 979 orang perwakilan Pergerakan Wanita UMNO dari seluruh negara. Kehadiran pada hari ini adalah besar ertinya kepada perjuangan parti kita. Kerana kita datang berhimpun untuk mewakili dan menyuarakan hasrat dan aspirasi lebih kurang 1.3 juta ahli Wanita UMNO dari 191 bahagian merangkumi 20,797 cawangan di seluruh negara. 3. Perhimpunan ini besar maknanya kepada kita, kerana sepanjang Perhimpunan Agung UMNO, kita akan mendengar dan menghayati amanat pucuk kepimpinan tertinggi, supaya selepas perhimpunan ini, kita akan pulang ke tempat masing-masing dengan membawa mesej yang disampaikan oleh pemimpin kita ke peringkat akar umbi. Di sinilah letaknya peranan pemimpin dan perwakilan, untuk menjelaskan kepada rakyat dasar perjuangan kita dan sebab-sebab mengapa kita mesti teguh bersatu mempertahankan perjuangan UMNO dalam pilihan raya yang akan datang. Insya-Allah dengan semangat “Bersatu Teguh Bercerai Roboh”, serta hasil kerja kita yang tidak kenal penat lelah, peranan kita ini dapat melonjak kemenangan untuk Barisan Nasional. Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian, 4. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Malaysia kerana berjaya mentadbir negara dengan penuh tanggungjawab dalam masa lebih kurang empat tahun memimpin negara. 5. Gandingan yang mantap bersama-sama Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri dan saf-saf kepimpinan, kita telah dapat melihat sendiri kejayaan pelbagai dasar yang telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha melonjakkan negara kita ke hadapan. 6. Saya ingin jelaskan bahawa Wanita UMNO berbangga sekali dengan dasar transformasi ekonomi dan politik yang telah diperkenalkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri dan barisan kabinetnya. Bagi memastikan dasar ini mencapai matlamatnya, saya ingin menyatakan Wanita UMNO bersiap siaga untuk digerakkan bersama dengan kerajaan dalam usaha untuk memastikan setiap dasar dan agendanya dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sebagai tulang belakang kepada parti yang menjadi kerajaan, Wanita UMNO akan sentiasa memastikan visi kerajaan dapat dicapai. 7. Saya bersyukur kerana berkat kepimpinan jujur dan ikhlas Perdana Menteri yang dikasihi, negara kita kini berada di landasan yang betul ke arah mencapai sasaran negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ini boleh dilihat dari beberapa laporan antarabangsa seperti berikut. 8. Sebagai contoh, Global Competitiveness Report 2012-2013 yang diterbitkan oleh World Economic Forum meletakkan Malaysia sebagai negara yang ke-25 paling berdaya saing daripada 144 buah negara. Selain itu, laporan Doing Business 2013 yang dikeluarkan oleh Bank Dunia pula meletakkan Malaysia di kedudukan ke-12 daripada 185 negara yang paling berdaya saing untuk menjalankan perniagaan. Dalam persekitaran ekonomi global yang kian mencabar ini pula, negara kita masih mampu mencatat pertumbuhan sebanyak 5.2% pada suku ketiga tahun 2012. Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian, 9. Apa maknanya data yang saya ungkapkan di atas? Data di atas menunjukkan tiga perkara. Pertama, kejayaan kerajaan memacu negara kita ke depan dan ini pastinya hasil dari kepimpinan baik yang didokong oleh parti UMNO kita yang keramat ini. Kedua, ini membuktikan dasar dan program yang dirancang oleh kerajaan memberi kesan yang positif kepada negara, termasuklah kepada semua ahli kita, keluarga kita, dan juga suku sakat parti pembangkang yang setiap hari kerjanya sentiasa mengutuk dan memfitnah kita. Ketiga, kita mencapai kejayaan tersebut kerana adanya kerjasama dari rakyat Malaysia, khususnya dari kakitangan perkhidmatan awam. Hasil kegigihan dan komitmen mereka, maka mutu perkhidmatan kita menjadi cekap, pelayanan kepada masyarakat menjadi tepat, dan persekitaran hidup kita menjadi sihat dan selamat. 10. Maka, atas dasar peranan kakitangan awam yang setia bersama kerajaan ini, Wanita UMNO hari ini ingin memohon kepada kerajaan dua perkara yang saya fikir sudah sampai masanya diberikan perhatian. 11. Pertama, permohonan Wanita UMNO ialah supaya kerajaan memberikan pertimbangan untuk memastikan suami isteri yang bekerja, dapat ditugaskan berdekatan antara satu sama lain. Isu ini adalah di antara isu yang dimaklumkan kepada Wanita UMNO melalui kerja-kerja Jalinan Rakyat kami di peringkat akar umbi untuk diperjuangkan. Wanita UMNO amat memahami bahawa isu ini memerlukan penelitian yang serius. Namun begitu, Wanita UMNO mahu supaya permohonan suami isteri untuk ditugaskan berdekatan dapat dilayan dalam tempoh masa paling lama setahun dari tarikh permohonan. Langkah ini penting untuk kita memberi perhatian kepada pengkukuhan institusi keluarga. Saya yakin prestasi dan produktiviti kerja mereka pastinya dapat ditingkatkan lagi sekiranya masalah ini dapat diselesaikan. 12. Kedua, Wanita UMNO menyokong permintaan CUEPACS supaya kakitangan awam yang telah mencapai tahap gaji maksimum diberikan kenaikan gaji tahunan. Ini kerana praktisnya setakat ini ialah pegawai awam yang telah mencecah mata gaji maksimum tidak diberikan kenaikan gaji tahunan, sedangkan mereka yang berpengalaman ini begitu signifikan sekali dalam melonjakkan kemajuan dan pembangunan negara. Kita sedar kakitangan awam ini tidak dinaikkan pangkat kerana terhadnya bilangan pangkat yang ada. Justeru itu, Wanita UMNO merasakan amatlah wajar mereka diberikan kenaikan gaji tahunan, seiring dengan kenaikan kos hidup dan sumbangan mereka kepada negara. MELONJAKKAN KEPERKASAAN WANITA Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian, 13. Saya teringat kepada kata-kata keramat Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman. Kata beliau “Wanita hendaklah dimerdekakan terlebih dahulu sebelum negara merdeka.” Alhamdulillah kata-kata Tunku itu menjadi kenyataan. Dengan pelbagai dasar kerajaan Barisan Nasional yang mesra wanita, hari ini wanita yang mewakili 49.1% daripada jumlah penduduk Malaysia, telah menjadi penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan sosial dan kemakmuran negara. 14. Kejayaan wanita ini adalah sesuai dengan tema Hari Wanita tahun ini: “Wanita Pencetus Ekonomi Baru”. Betulkah begitu sekali kejayaan wanita? Jawapannya dalam positif, ‘ya’ kerana hari ini telah ramai wanita yang berjaya mencatatkan kecemerlangan. Mari saya berikan beberapa contohnya. 15. Kita lihat sahaja dalam bidang pendidikan. Jika pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an, apabila kita masuk ke universiti, kita boleh lihat secara umum nisbah kemasukan lelaki:wanita adalah dalam lingkungan 60:40. Pada hari ini, saya persilakan kita ke universiti, dan lihatlah dalam apapun bidang pengajian, nisbah lelaki:wanita telah bertukar menjadi sebaliknya. 16. Secara lebih spesifik, saya ingin berikan data berikut. Hari ini bilangan wanita yang melanjutkan pengajian di peringkat universiti telah meningkat daripada 57.8% pada tahun 2001 kepada 60.3% pada tahun 2011. Kini, lebih 6 daripada 10 pemegang ijazah kelas pertama adalah wanita. Kejayaan ini adalah membanggakan kita kaum wanita. 17. Kejayaan anak-anak ini adalah kerana asuhan wanita yang juga seorang ibu. Hebatnya wanita ini dapat dilihat dari kata-kata orang dulu: “Tangan yang menghayun buaian itu boleh menggoncang dunia.” Hari ini kehebatan wanita semakin terserlah kerana “tangan wanita yang mengundi itu boleh memerintah dunia.” 18. Benarkah begitu? Kenyataan ini menjadi betul sekiranya kita melihat kepada data-data wanita yang mengundi Francois Hollande hingga menjadi Presiden Perancis, mengundi David Cameron hingga menjadi Perdana Menteri England dan paling akhir mengundi Barack Obama sehingga beliau kekal menjadi Presiden Amerika Syarikat. Kemenangan mereka semua adalah lantaran pengundi wanita yang lebih ramai mengundi mereka daripada lelaki dengan masing-masingnya 2.3% bagi Hollande, 1.9% bagi Cameron dan 2.7% bagi Obama. 19. Mengambil semangat inilah, saya ingin mengajak puan-puan dan ahli-ahli Wanita UMNO untuk bekerja lebih kuat, bagi memastikan Wanita Malaysia juga dapat menyumbang undi yang tinggi untuk membawa kemenangan Barisan Nasional dalam PRU 13. Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian, 20. Pencapaian wanita dalam bidang pendidikan telah menyebabkan ramai wanita bukan hanya bertugas di rumah tetapi juga mempunyai kerjaya yang hebat. Peratusan tenaga kerja wanita telah meningkat dari 37% pada tahun 1970 kepada 44.7% pada tahun 1995, dan 47.9% pada tahun 2010. Mereka juga tidak lagi tertumpu pada pekerjaan yang separa mahir dan tidak mahir. Hari ini semakin ramai wanita telah menjadi profesional dan menceburi bidang yang dahulunya didominasi oleh golongan lelaki. Kini, 46.2% daripada doktor adalah wanita, akauntan seramai 49.6%, doktor gigi seramai 63.2% dan peguam seramai 49.2%. 21. Kejayaan wanita Malaysia di bawah Kerajaan Barisan Nasional boleh dibanggakan. Dan pencapaian ini menjadi kenyataan, kerana kesediaan kerajaan Barisan Nasional untuk mengarus perdanakan peranan wanita di dalam semua aspek kehidupan. Misalnya, sejak bulan Ogos 2004 lagi, kerajaan telah mengumumkan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus pegawai di peringkat pembuat keputusan di sektor awam mesti terdiri dari wanita. Sejak dasar ini diumumkan penyertaan wanita di peringkat pembuat keputusan di sektor awam telah meningkat kepada 31.7% pada tahun 2011 berbanding hanya 18.8% pada tahun 2004. Tambah memberangsangkan ialah terdapatnya pada hari ini hasil perjuangan kita bersama, 6 orang wanita dalam kalangan 24 orang Ketua Setiausaha Kementerian. Ini merupakan sejarah pencapaian terbaik wanita. 22. Pencapaian di atas belum lagi mengambil kira kejayaan wanita yang menjadi Naib-naib Canselor, Timbalan Naib Canselor dan pelbagai jawatan tertinggi lagi di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Selain itu, wanita juga memegang jawatan penting dalam menjaga dan menggerakkan ekonomi negara. Antaranya adalah seperti Gabenor Bank Negara, Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE dan SME Corp. dan sehingga bulan April 2012 Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti. 23. Dalam bidang kesihatan pula, jangka hayat ketika lahir wanita telah meningkat dari 73.7 tahun pada tahun 1990 kepada 77.1 tahun pada tahun 2011. Kadar celik huruf wanita pula telah meningkat daripada 77.3 peratus pada tahun 1990 kepada 91.4 peratus pada tahun 2011. Tidakkah contoh yang saya berikan di atas menunjukkan betapa wanita telah semakin perkasa berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki untuk membangun negara. Syukur Alhamdulillah. KEJAYAAN WANITA KE DEPAN Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian, 24. I have a dream. Inilah kata-kata yang diucapkan oleh Martin Luther King, Jr. semasa berucap di hadapan kira-kira 200,000 orang di Lincoln Memorial pada 28 Ogos 1963. Ucapan ini kemudiannya dipilih sebagai ucapan terbaik pada abad ke-20. Seperti Martin Luther King, saya juga mempunyai hasrat yang menggunung tinggi selaku Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Ketua Wanita Barisan Nasional untuk kejayaan puan-puan di dalam parti dan untuk wanita dan keluarga Malaysia. 25. Apakah hasrat saya tersebut? Semasa memegang amanah dan tanggungjawab sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, saya berazam untuk menentukan tiga perkara menjadi kenyataan. Pertama, menghentikan diskriminasi sama ada tersirat maupun tersurat terhadap wanita. Kedua, menentukan semua perundangan, polisi dan peraturan berkaitan dengan wanita, keluarga, kanak-kanak, orang kurang upaya, warga emas, isu kebajikan dan kemasyarakatan diberi keutamaan bagi membantu dan melindungi kumpulan sasar ini dari sebarang bentuk penindasan dan diskriminasi, malah saya mahu lihat pembangunan dan kejayaan mereka. Ketiga, mengarus perdanakan kesemua isu ini di dalam perancangan kerajaan dan melaksanakannya didalam kehidupan seharian. 26. Alhamdulillah, sepertimana hasrat Martin Luther King tercapai setelah Barack Obama dipilih menjadi Presiden kulit hitam Amerika yang pertama empat tahun lalu, begitulah juga dengan impian saya yang kian menjadi realiti. 27. Apa yang menjadi realitinya? Bermula dengan Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8(2) pada tahun 2001 di mana jelas dinyatakan tidak boleh ada lagi diskriminasi di antara gender, disusuli dengan pelbagai pindaan perundangan, polisi-polisi dan peraturan dari semua peringkat pentadbiran untuk mengarusperdanakan is-isu wanita sehinggalah polisi terbaru awal tahun ini di mana sekurang-kurang mesti ada 30 Peratus Wanita Di Peringkat Pembuat Keputusan Dalam Sektor Korporat dan juga pengujudan Kursi Kepimpinan Wanita yang kita amanahkan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia. Hasil perjuangan kita bersama, maka lebuh raya politik, ekonomik dan sosial telah diperlebarkan untuk wanita Malaysia, terutamanya dalam 10 tahun kebelakangan ini sejak pengujudan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 28. Saya cukup teruja dan juga terharu dengan pencapaian yang telah dicapai di atas. Oleh itu, saya sekali lagi mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memahami aspirasi wanita dan memberi perhatian kepada pembangunan wanita. BERSATU MELONJAKKAN KEMENANGAN Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dirahmati Allah, 29. Melihat kepada perkembangan dunia yang berlaku sekarang ini, saya harus mengaku bahawa amat sukar untuk saya memulakan ucapan kata pada hari ini. Terlalu banyak isu yang perlu disentuh dan terlalu banyak perkara yang perlu dibangkitkan. Namun, dalam keterbatasan waktu yang ada ini, adalah tidak mungkin untuk saya mengupas kesemuanya. Justeru itu, dalam ucapan ini saya akan hanya menyentuh tentang “Anjakan untuk Melonjakkan Kemenangan”. 30. Saya memilih tema ini kerana saya merasakan pilihan raya yang lepas meninggalkan implikasi tertentu kepada UMNO kita. UMNO dan Barisan Nasional mendapat undi yang semakin merosot sehingga penganalisis politik menggelarnya sebagai tsunami politik. Saya tidak mahu mengulangi data-data pilihan raya yang lepas dan juga tidak mahu mengulangi faktor kemerosotan pencapaian kita dalam PRU yang lepas. Pada saya keputusan PRU yang lepas memberikan satu pengajaran besar kepada kita: ia adalah satu wake-up call supaya kita tidak lagi leka. 31. Ya, memang pun kita tidak boleh leka kerana perkembangan politik hari ini menunjukkan kita mempunyai banyak lagi cabaran di depan. Kesan krisis politik dunia yang berlaku pada hari ini juga melimpah ke negara kita. Kebangkitan rakyat di Asia Barat, krisis di Syria, dan serangan Israel ke atas Palestin meninggalkan kesan ke atas negara kita. Krisis mata wang Euro juga meninggalkan kesan kepada negara kita. Gerakan ekstremis antarabangsa juga meninggalkan kesan kepada negara kita. Globalisasi juga meninggalkan kesan kepada negara kita. Maka ini semua adalah cabaran yang perlu kita hadapi, dan untuk kita menghadapi cabaran ini, maka UMNO perlu kuat kerana UMNOlah satu-satunya wadah perjuangan yang dapat menjaga negara ini dari kehancuran. 32. Demi masa depan negara, kita tidak boleh bergantung kepada parti pembangkang maupun kepimpinan mereka. Mereka bukan sahaja tidak ada pengalaman memerintah, tetapi lebih ketara lagi mereka adalah parti yang tidak moderate, rigid, dan mempunyai sikap politik yang amat menakutkan. Mereka kata UMNO tidak bebas, tidak adil dan tidak boleh menerima perbezaan pendapat, tetapi realiti adalah di sebaliknya. Merekalah yang kuat mengutuk, mengeji, menghina, mengaib, memfitnah dan mendoakan kemusnahan orang di stadium apabila isu yang dibahaskan bertentangan dengan kehendak dan fahaman mereka. 33. Mereka mengatakan kitalah yang menyokong membuta tuli apa yang kerajaan buat, tetapi realitinya merekalah yang menyokong apa sahaja yang dibuat oleh pemimpin mereka walaupun tidak ada logic, tidak munasabah dan akan membawa kepada kehancuran negara. Bukan setakat itu, mereka juga cepat mengeluarkan apa juga nas yang berkaitan untuk membela diri apabila sesuatu isu itu mengena kepada mereka. Matlamat nafsu mereka nak ke Putrajaya (nauizubillah) manghalalkan cara politik mereka. Sikap pembangkang sebegini tentunya tidak layak untuk memerintah negara kerana ia memusnahkan ummah. 34. Saya bagi satu contoh. Enakmen Jenayah Syariah Kelantan Seksyen 24 Takfir memperuntukkan hal berikut: Sesiapa yang mengatakan atau mengaitkan melalui kata-kata, sama ada bertutur atau tulisan, atau melalui syarat, atau melalui gambaran yang boleh dilihat atau melalui apa-apa perbuatan, kegiatan atau kelakuan, atau dengan mengelola, menggalak atau memperaturkan apa-apa kegiatan atau lainnya dengan apa jua cara bahawa mana-mana orang yang tergolong dalam mana-mana kumpulan, kelas atau perihalan orang-orang yang menganuti Agama Islam; (i) adalah orang kafir, atau (ii) telah berhenti menganut Agama Islam, atau (iii) tidak patut dapat diterima, sebagai menganuti Agama Islam, atau (iv) tidak mempercayai, mengikuti, menganuti, atau tergolong dalam Agama Islam, Adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau denda tidak melebihi lima ribu tinggit atau kedua-duanya. 35. Terkini orang PAS telah berdoa di stadium sehingga melukakan hati-hati rakyat Malaysia, dan jika merujuk kepada Enakmen yang diluluskannya sendiri di Kelantan, maka apakah tindakan PAS itu tidak bersalah? Saya serahkan kepada perwakilan dan rakyat Malaysia untuk menilainya. Tapi kita dalam UMNO tidak bersikap begitu. Kita tidak mahu kepada permusuhan. Lantas kita hulurkan tangan perpaduan kepada semua, malah nikmat program di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dirasai oleh semua termasuklah ahli-ahli parti pembangkang. Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dikasihi, 36. Saya ingin tegaskan kita tidak mahukan permusuhan dengan sesiapapun kerana kita tahu permusuhan tidak membawa apa-apa kebaikan, melainkan kemusnahan, kesusahan rakyat dan seumpamanya. Oleh itu, dalam menghadapi setiap tohmahan dan permainan politik yang semakin kotor ini, kita perlu kuat dan kita perlu bersatu demi memperkasakan parti. 37. Bercakap tentang hal di atas, kutuk mengutuk, keji mengeji, fitnah memfitnah, musuh memusuhi, saya teringat kepada sebuah buku yang ditulis oleh Francis Fukuyama, seorang profesor sains politik terkenal yang sekarang ini mengajar di Stanford Universiti. Tiga tahun selepas menulis magnum opusnya The End of History and the Last Man pada tahun 1992, beliau menerbitkan sebuah buku bertajuk Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity. 38. Dalam bukunya ini beliau membincangkan tentang high politics dan low politics. Kata beliau sikap benci membenci, melaga-lagakan orang dan kaum, memfitnah orang adalah tahap low politics yang boleh menyebabkan munculnya low trust yang kemudiannya boleh memporak-perandakan tamadun yang telah atau sedang kita bina. Hadirin sekalian, dalam konteks negara kita ini: - Parti manakah yang suka berbuat demikian? - Bolehkah parti yang sebegini kita berikan peluang untuk menerajui negara kita? - Apakah yang kita akan buat untuk mempertahankan kesejahteraan pertiwi yang telah kita bina selama ini? 39. Saya sedih dan amat kesal dengan sikap parti pembangkang. PAS, sebuah parti konon katanya Islam, yang sepatutnya mendokong cara gaya Islam, dalam kehidupan berpolitik dan bemasyarakat sendiripun masih jauh dari mengamalkan cara hidup berpolitik dan bermasyarakat secara Islam. Sehingga kini pemimpin-pemimpin mereka tidak habis-habis menimbulkan isu-isu remeh yang boleh memecahbelahkan masyarakat Melayu seperti memulau majlis-majlis yang dianjurkan oleh ahli UMNO, tidak menziarahi orang UMNO yang sakit biarpun tinggal berjiran, terlalu sombong untuk bertegur sapa sesama Islam semata-mata kerana datang dari parti yang berlainan dan banyak lagi contoh lainnya. 40. Sikap ahli PAS ini tentunya bertentangan dengan nilai-nilai Islam kerana dalam Islam ada enam hak orang Islam ke atas orang Islam yang lain, iaitu memberi salam apabila bertemu, menziarahi apabila sakit, menghadirkan diri apabila dijemput, menyatakan yarhamukallah apabila bersin, mengiringi jenazah apabila mati, dan memberi nasihat apabila diminta. Jika beginilah sikap PAS, bolehkah parti sebegini kita sokong? Pada saya tentunya tidak kerana jikalau parti yang sebegini berada di persada kuasa, tentunya banyak lagi perkara-pekara pelik yang akan mereka buat yang boleh merosakkan institusi kukuh masyarakat yang sedia ada. Bagaimana Memperkasakan Parti? Tan Sri Pengerusi Tetap dan perwakilan yang dihormati, 41. Selepas sahaja pilihan raya umum 2008 diketahui, kita mula menyedari bahawa parti kita akan menghadapi cabaran getir untuk menghadapi perjuangan dalam pilihan raya seterusnya. Apakah cabaran itu? 42. Pertamanya, cabaran kita untuk menghadapi hakisan sokongan dari kaum bukan Melayu terhadap parti kita. Ini kerana Barisan Nasional menghadapi masalah besar dalam kawasan parlimen campuran dalam pilihan raya yang lepas. Bagi menghadapi pilihan raya yang akan datang kita perlu mengatasi masalah ini dengan mengikat erat hubungan dan tali silaturrahim kita di antara kaum. Kita bukan sahaja perlu merapatkan kesenjangan antara kita dan bukan Melayu dalam semangat 1Malaysia, tetapi juga mengelakkan perpecahan di kalangan kita sesama UMNO, sama ada di kalangan pemimpin sesama pemimpin, ahli dengan pemimpin, dan ahli sesama ahli. Ringkasnya, kita perlu bersatu bagi mengelakkan jentera parti kita lemah dan membuka ruang kepada pembangkang untuk mengambil kesempatan. 43. Mengenai perpaduan dan kepentingan kerjasama dalam melakukan sesuatu ini, saya ingin menarik perhatian para perwakilan ini kepada satu cerita tentang perlumbaan Arnab dan Kura-Kura. Dalam satu perlumbaan, apabila loceng dibunyikan, maka arnab mula berlari dengan pantas dan meninggalkan kura-kura jauh di belakang. Arnab memandang lekeh pada kura-kura kerana merasakan tidak mungkin kura-kura boleh memintasnya mengambil peluang berehat di bawah pokok sehingga tertidur. Secara slowly but consistently, kura-kura merangkak dari belakang dan kemudiannya memintas arnab yang sedang tertidur itu sehingga sampai ke garisan penamat. 44. Mengetahui kekalahannya disebabkan kesilapan teknikal kerana tertidur, arnab mencabar kura-kura untuk bertanding buat kali kedua dengan azam tidak mahu tertidur lagi. Kura-kura bersetuju. Setelah loceng dibunyikan arnab berlari pantas dan sampai awal ke garisan penamat dengan kura-kura ditinggalkannya jauh ke belakang. Ceritanya tidak tamat di situ. 45. Kura-kura memikirkan strategi untuk mengalahkan arnab dan mencabar arnab untuk bertanding buat kali ketiga dengan memilih laluan lain. Tanpa berfikir panjang arnab bersetuju dengan laluan baru tersebut. Setelah loceng dibunyikan arnab terus berlari pantas, tetapi sebelum sampai ke garisan penamat, terdapat sungai yang menghalanginya. Arnab terpaksa berhenti hanya setakat itu. Tidak beberapa lama kemudian kura-kura sampai dan berkata kepada arnab. “Nah! Sekarang naik ke atas belakangku, biar aku bawa kau ke seberang.” Arnab pun naik di atas belakang kura-kura, dan setelah sampai di seberang, arnab pula berkata kepada kura-kura. “Sekarang kau pula pegang ekorku biar aku bawa kau bersama ke garisan penamat.” Dengan kerjasama itu, arnab dan kura-kura berjaya sampai ke garisan penamat secara bersama dengan perasaan yang penuh kasih sayang dan saling mempercayai. 46. Apakah pengajarannya dari cerita di atas tadi? Banyak hikmahnya yang boleh kita teladani – sama ada itu dari segi strategi bersaing, atau keuntungannya yang boleh kita perolehi apabila kita bersatu dan bekerjasama dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Begitulah juga dalam politik ini? Harapnya persaingan sesama kita adalah persaingan yang mengutamakan perpaduan dan kerjasama untuk kebaikan parti, Bangsa, Agama dan Negara kita dan bukan untuk membawa kepada kehancuran. 47. Cabaran kedua yang kita hadapi ialah untuk menjaga kuasa Melayu yang kedudukannya adalah “bagai telur di hujung tanduk.” Jika kita tidak bertindak mulai sekarang, kita akan semakin terpinggir kemudiannya. Bayangkan sahaja sekarang ini kuasa politik Melayu di Parlimen adalah amat marginal sekali. Keadaan ini perlu kita tangani dari sekarang jika kita tidak mahu menjadi pelarian di bumi sendiri. Perpecahan undi Melayu akan melunturkan kuasa politik Melayu yang sedia ada. Pada hari ini kuasa ekonomi bukan di tangan orang Melayu. Adakah kita sanggup hilang kuasa politik juga?. Jika UMNO lemah maka percayalah risikonya akan dirasai oleh semua kaum. Jika Melayu bersatu dan kuat dan menjadi tulang belakang kerajaan yang dipilih, apatah lagi jika majoritinya 2 per tiga kerusi Parlimen, maka Insya-Allah semua kaum, semua lapisan masyarakat akan dapat meraih kestabilan politik negara. 48. Cabaran ketiga yang perlu kita hadapi ialah untuk menghadapi isu-isu agama PAS terutama di kalangan mereka yang berasa terpinggir dari arus pembangunan negara. Dua kempen besar yang sering dibawa oleh PAS untuk melemahkan UMNO ialah dengan menggambarkan kepada masyarakat bahawa kononnya pendokong-pendokong UMNO ialah orang yang kononnya korup dan kononnya tidak mengimarahkan masjid. Masya-Allah. Kita tahu tohmahan PAS itu adalah fitnah belaka, dan oleh itu kita perlu menghadapi tohmahan ini dengan membuktikan kita adalah pejuang parti yang luhur dan ahli yang memakmurkan masjid. 49. Cabaran keempat yang perlu kita hadapi ialah untuk menarik pengundi muda dan juga pengundi Melayu supaya mendaftar dan menyokong kita. Data-data pada hari ini menunjukkan bahawa jika ada perpecahan di antara orang Melayu, maka kaum lain akan menjadi penentu kepada keputusan PRU 13. Saya nak minta kepada semua ahli Wanita UMNO supaya bila pulang ke rumah tentukan semua kaum keluarga kita sendiri yang belum menjadi ahli UMNO, mendaftar sebagai ahli UMNO, yang belum mendaftar sebagai pengundi, secepat mungkin mendaftar sebagai pengundi dan tentukan mereka mengundi Barisan Nasional dalam PRU 13. Impaknya amat besar sekali jika kita berjaya berbuat begini. Jangan salahkan orang lain jika orang Melayu sendiri tidak menyanyangi bumi bertuah tanah tumpah darah sendiri. 50. Cabaran kelima yang kita hadapi ialah untuk menjadikan UMNO sebagai sebuah parti Melayu yang kekal relevan. Untuk itu, UMNO tidak lagi boleh berada ditahap lama dan perlu menyesuaikan pendekatan politiknya dengan tuntutan semasa. Persoalannya bolehkah kita buatkan UMNO ini berubah, dan jika boleh, bagaimanakah caranya? Inilah cabaran yang sedang kita hadapi sekarang, iaitu bersedia dari sekarang untuk kembali merekayasa parti dan perjuangan kita. APA IMPLIKASINYA JIKA UMNO LEMAH? Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan yang dihormati sekalian, 51. Pertama, kegagalan kita untuk mengatasi cabaran di atas akan membawa implikasi yang besar kepada parti kita. Terdapat pelbagai kemungkinan implikasi yang boleh difikirkan, tetapi sesuatu yang paling menakutkan ialah sekiranya parti kita menjadi parti yang tidak lagi relevan dan ditolak rakyat. Kita mesti pertahankan ini dari berlaku dan sebab itulah kita perlu bangkit sekarang dengan penuh kesedaran bahawa kita memegang amanah untuk terus menjunjung bangsa dan mendaulatkan negara ini. 52. Keduanya, dijauhkan Allah, jika kita tidak lagi ditampuk kuasa, maka kestabilan politik negara akan goyang. Pastinya kaum Melayu yang menjadi rakyat majoriti di negara kita tidak akan senang. Saya bimbang dan kuatir ini mungkin akan membawa kepada ketegangan kaum yang boleh mengundang kembali tragedi 13 Mei 1969. Mahukah kita melihat keadaan jijik tersebut berlaku lagi dalam negara kita? Kita pastinya tidak mahu. 53. Untuk itulah, sebelum keadaan yang digambarkan di atas berlaku, kita perlu mengambil langkah dan mencari jalan untuk mengatasinya. Kata doktor, barah jika dirawat dari awal kurang menyakitkan. Jika dibiarkan ia akan terus merebak menjadi barah yang membahayakan, menyakitkan dan seterusnya boleh membunuh. Kita mesti berani mengambil tindakan yang tegas untuk kebaikan parti kita kerana “luas tentu bertepi dan panjang tentunya berpenghujung”. AGENDA DAN STRATEGI MEREKAYASA PARTI Tan Sri Pengerusi Tetap dan para perwakilan sekalian, 54. Melihat dua kesan besar di atas, kesannya adalah amat menakutkan sekiranya kita tidak lagi kuat. Oleh itu, kita perlu mengambil langkah yang sesuai bagi mengatasinya. Apakah langkah dan strategi tersebut? Hasil renungan dan perbincangan saya dengan kawan-kawan, terdapat beberapa pendekatan dan strategi yang boleh diambil untuk mengatasi cabaran di atas? 55. Pertama, saya suka merujuk kepada pendapat Martin Seymour Lipset dan Samuel Huntington, dua orang sarjana politik termashyur di abad ke-20 yang menyatakan inti pertama kerajaan yang berjaya ialah kerajaan yang dapat menjaga perut rakyat. Saya yakin kerajaan kita telah menjaga perut rakyat. Misalnya, bagi meringankan beban rakyat, Y.A.B. Perdana Menteri kita telah melancarkan skim BRIM dan lain-lain pemberian one-off yang cukup luar biasa, insentif dan lain-lain. Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri adalah satu bajet yang mengutamakan rakyat “kerajaan rakyat, dari rakyat untuk rakyat” dengan pendekatan “Janji Ditepati”. Kerajaan juga telah melaksanakan pelbagai program kebajikan untuk melawan konsep welfare state pembangkang dengan konsep workfare state kita yang lebih praktikal dan relevan. 56. Apa maksudnya? Maksudnya mudah sahaja. Konsep welfare state pembangkang adalah untuk membangkrapkan ekonomi negara dan satu konsep yang cukup tidak bertanggungjawab kepada ekonomi negara. Banyak yang dijanjikan untuk diberikan percuma kepada rakyat tanpa mengambil kira keupayaan perbelanjaan negara. Saya juga mahu konsep itu dilaksanakan jika kerajaan mampu, tetapi secara logiknya data menunjukkan pendapatan negara kita tidak mampu kerana kerajaan kita tidak mengutip cukai yang tinggi. Malah kadar peratusan cukai di negara kita adalah antara yang terendah di dunia. Oleh sebab itulah Wanita UMNO mendokong apa yang dinamakan pendekatan workfare state, iaitu mendorong rakyat supaya bekerja dan sekiranya hasil pendapatan masih belum mencukupi, kerajaan akan bantu untuk meringankan beban mereka yang miskin dengan pelbagai rancangan bantuan. 57. Dalam hal ini, semasa saya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), kerajaan telah memperuntukkan berbilion ringgit untuk membantu rakyat miskin di bawah program kebajikan masyarakat (KARISMA). Ini kerana kita mahukan rakyat selesa. Kita amat berharap agar rakyat menghargai jasa kita seperti kata pepatah: “ayam yang mengeram tak akan lari dari reban”. 58. Kedua, kita perlu perkuatkan ekonomi orang Melayu. Banyak cara yang boleh dilakukan, tapi dalam persidangan ini Wanita UMNO ingin memohon kerajaan supaya memastikan orang Melayu menguasai separuh dari ekuiti kekayaan negara. Inilah yang kita mahu orang Melayu capai dalam waktu terdekat, iaitu “memegang tali memegang timba, menguasai ekonomi memerintah negara”. Mungkin nampak sukar untuk kita melakukannya, tetapi yakinlah dalam hidup ini kita boleh melakukannya selagi ada kemahuan kerana “kemahuan itu laksana sebilah beliung yang tajam, yang dapat membuat jalan menebas hutan”. 59. Persoalannya, bagaimanakah cara untuk melakukannya? Saya ingin mencadangkan satu perkara yang seingat saya telahpun dibahaskan dalam persidangan UMNO beberapa tahun yang lalu. Perkara tersebut ialah menggesa kerajaan menggalakkan penabungan orang Melayu. Untuk menggalakkan penabungan ini, Tabung Haji perlu dapat menarik pendeposit untuk menyimpan kerana Tabung Haji adalah satu-satunya institusi ekonomi orang Melayu. Namun, bagaimanakah orang Melayu mahu menyimpan dalam Tabung Haji jika dividennya lebih rendah dari Amanah Saham yang lain. Oleh sebab itu, saya berdiri di sini untuk memohon kerajaan supaya menimbangkan bonus dan dividen Tabung Haji, jika tidak lebihpun, sekurang-kurangnya biarlah sama dengan dividen ASB. 60. Selain itu, UMNO perlu meningkatkan taraf pendidikan orang Melayu dan menjadikan setiap desa sebagai ‘jelapang ilmu.‘ Saya mahu sekolah luar bandar diperkasakan ke tahap maksimum sepertimana mana juga sekolah yang terdapat di bandar. Saya cadangkan begini kerana saya yakin pendidikan dan ekonomi adalah seperti kembar Siam yang tidak dapat dipisahkan dalam usaha kita untuk memajukan orang Melayu. 61. Ketiga, bagi menarik sokongan dari pengundi-pengundi baru kita perlu merancang program yang sesuai. Kita perlu memperhebatkan kempen keahlian, mendekati golongan muda dan profesional, dan menunjukkan kepada golongan ini bahawa parti kita adalah relevan untuk terus mentadbir negara. Golongan ini perlu kita yakinkan supaya mereka dapat bersama kita. Sebab itulah saya menyeru supaya kita dapat mentranformasikan pendekatan politik kita: kita beranjak untuk kecemerlangan! 62. Apa maksudnya? Maksudnya ialah kita beranjak mendekati pengundi muda tanpa menceroboh intelek mereka, elakkan dari gagal untuk menerima perbezaan pendapat, elakkan dari menjadi pemimpin yang mempuyai tahap denial syndrome yang tinggi, mesti bersedia to listen not to dictate, dan bajakan kempen dengan idea baru yang segar dan subur. Kita perlu wujudkan suasana feel good dalam parti. Ini perlu kita lakukan supaya anak-anak muda dan orang atas pagar menyertai parti kita. Golongan ini perlu sekali didekati, bukannya dimusuhi. Tan Sri Pengerusi Tetap dan tuan puan yang dihormati sekalian, 63. Sesungguhnya kita belajar dari sejarah dan pengalaman kerana dua perkara ini, mengikut George Satayana, adalah guru yang terbaik. Dalam koleksi tulisannya The Life of Reason yang boleh kita Google, Satayana menyatakan kesilapan manusia yang paling besar ialah apabila kita “gagal untuk belajar dari sejarah.” Ya, sejarah telah menunjukkan banyak contoh kepada kita. Apabila kita bersatu, maka parti kita kuat. Untuk itu, pilihan raya umum yang lalu perlu sekali kita jadikan premis kepada perjuangan kita hari ini, esok dan yang akan datang. Bagi merekayasa kembali perjuangan kita, saya ingin mencadangkan kepada para perwakilan supaya kita mengambil langkah-langkah berikut:- i. selesaikan sebarang kekeruhan dengan cara terbaik, ii. bina sikap saling mempercayai antara satu sama lain, iii. belajar dari kesilapan bukan belajar melakukan kesilapan, iv. bersatu sesama kita sebelum kita menyeru orang lain bersatu dengan kita, v. elakkan jerebu kepalsuan dalam mendokongi perjuangan, vi. berjuang bersungguh-sungguh demi prinsip bukan kerana kebendaan, dan vii. bajakan perjuangan ini dengan hati yang tulus supaya kita dapat mengutip hasil yang lumayan. ANJAKAN WANITA DAN PENCAPAIAN POLITIKNYA Tan Sri Pengerusi Tetap dan hadirin rakan seperjuangan yang dihormati, 64. Selepas PRU 2008, landskap politik telah banyak berubah. Kita perlu beranjak sesuai dengan perubahan ini untuk melonjak kemenangan. Dalam PRU yang akan datang, kemenangan yang kita harapkan tidak akan datang “bagai yang bulat bergolek dan yang pepeh melayang”. Jika kita gagal menyelami dan memahami gelombang perubahan ini, pendekatan kita akan dilihat hambar dan gerak kerja kita tidak bermaya. Wawasan dan dasar UMNO kita akan dianggap lapuk dan gagasan kita disifatkan sebagai usang. Oleh itu adalah amat penting untuk kita memenuhi aspirasi dan memahami perubahan pemikiran orang-orang Melayu. 65. Bagaimana pula dengan Wanita UMNO? Apakah Wanita UMNO telah berubah sesuai dengan tuntutan semasa ini? 66. Alhamdulillah, bagi Wanita UMNO, sejak diberi amanah menggalas tanggungjawab ini, saya bersama-sama dengan saf kepimpinan wanita giat turun ke gelanggang di setiap negeri dan kawasan-kawasan Parlimen untuk memastikan persiapan jentera Wanita UMNO dan Barisan Nasional berada di tahap yang optimum. Saya terperanjat lantas bersyukur apabila melihat semangat Wanita UMNO terus membakar di setiap pelusuk negara. Walaupun semboyan rasmi belum ditiup, Wanita UMNO telah terlebih dahulu mengorak langkah dalam satu barisan rapat menuju medan perang. 67. Bagi mendekati hati pengundi, Wanita UMNO telah merangka dan melaksanakan pelbagai program seperti program Salam Sayang serta program pemantapan dan pemantauan jentera Jalinan Rakyat. Melalui program seperti ini, Wanita UMNO telah berjaya bertemu dengan pengundi-pengundi di akar umbi. Apa yang Wanita UMNO dapati, mood rakyat adalah sangat baik terhadap Barisan Nasional. 68. Selain itu, bagi memperkukuhkan jentera Jalinan Rakyat, pasukan khas yang dinamakan Pasukan Bertindak Wanita Barisan Nasional (PBB) telah ditubuhkan bertujuan untuk menjalankan misi-misi khas yang memerlukan kepada penelitian gerak kerja yang lebih terperinci dan bersistematik. Kerjasama di antara Wanita UMNO dan Wanita Barisan Nasional dipertingkatkan, terutamanya dalam program-program harian. 69. Malahan, saya amat yakin bahawa bila-bila masa sahaja Presiden UMNO akan memanggil untuk mengadakan pilihan raya, jentera Wanita UMNO lebih kurang seramai 230 ribu orang telah bersiap sedia sepenuhnya untuk mempertahankan kemenangan Barisan Nasional. Tan Sri Pengerusi Tetap dan sahabat-sahabat yang dikasihi, 70. Sebagai ibu, saya mahu mengingatkan kaum wanita supaya terus yakin dengan perjuangan UMNO. Ini kerana ancaman terhadap agama Islam dan orang Melayu semakin mencabar. Sebagai ibu kita perlu bertanggungjawab memastikan anak-anak dan generasi akan datang, dapat hidup dalam keadaan aman dan sejahtera. 71. Percayalah! Tanpa UMNO, agama dan bangsa orang Melayu akan tergadai. Siapa lagi yang hendak kita harapkan menjaga agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini? - Bolehkah kita harapkan PAS? - Bolehkah kita harapkan PKR, DAP atau PR? 72. Jawapannya tentu sekali tidak. Oleh itu, kita tidak ada pilihan kerana dalam senario politik hari ini, hanya UMNO sahajalah yang dapat mempertahankan serta memartabatkan Agama dan Bangsa di negara kita ini. Tan Sri Pengerusi Tetap dan sahabat seperjuangan sekalian, 73. Pada tahun 2008, bilangan ahli parlimen wanita telah meningkat kepada 10.4% berbanding 9.6% pada tahun 2004. Bilangan wanita yang dicalonkan ke Dewan Undangan Negeri juga meningkat kepada 8.2% pada tahun 2008 berbanding 6.9% pada tahun 2004. Pada hari ini Senator Wanita adalah 28% daripada Ahli Dewan Negara. Menjadi azam saya untuk memperjuangkan habis-habisan untuk wanita dalam politik. Sepertimana mana perjuangan saya untuk wanita dalam perkhdimatan awam dan bidang korporat. 74. Untuk PRU yang akan datang, saya akan merayu kepada Y.A.B. Presiden parti, supaya bilangan calon wanita ditingkatkan. Saya yakin kita mempunyai ramai winnable candidates seperti yang dikehendaki oleh Y.A.B. Presiden parti kita. Sama-samalah kita berdoa supaya Y.A.B. Presiden merestui permohonan kita ini. PENUTUP KATA Tan Sri Pengerusi Tetap dan sahabat-sabahat seperjuangan sekalian, Perhimpunan kita yang lalu amanat telah dititipkan Pertemuan kita yang lampau semboyan telah dibunyikan Perjumpaan kita yang lepas tenaga tuju telah disepadukan Perhimpunan, pertemuan dan perjumpaan kita sekian kali ini tinggal pada penghujungnya Kita sudah tiada masa Kayu api sedepa hanya tinggal sepuntung Hari malam yang pekat hanya tunggu fajar menyinsing Anak-anak sudah 5 kali beralih tidur Ayam jantan sudah mula berkokok Tanda-tanda hari akan siang semakin menjengok Justeru itu Wahai Sang Saka Pertiwi Srikandi Bangsa Pembela dan pejuang negara Mari kita bersama turun ke lembah Hutan dan api bersama kita tarah Badai dan gelombang bersama kita terjah Musuh dan halangan bersama kita belasah Biar jiwa melayang dari badan Biar nyawa dijadikan gadaian Biar tubuh bermandi peluh Biar jasad hancur luluh Asalkan Agama terus berkiblat Asalkan bangsa hidup bermertabat Asalkan negara tegak berdaulat Asalkan rakyat bahagia selamat Jangan kaki undur selangkah Jangan tangan kudung sebelah Jangan semangat menjadi gundah Jangan sepakat mencari punah Mari kita gerak sederap Bersama hati semangat mantap Amanah tinggi mempertahankan negeri Moga Allah sentiasa memberkati Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, dan Selamat Bersidang Y.BHG. DATO’ SRI SHAHRIZAT ABDUL JALIL KETUA PERGERAKAN WANITA UMNO MALAYSIA DI PERHIMPUNAN AGONG PERGERAKAN WANITA UMNO 28 NOVEMBER 2012 Berita Bertarikh Pada 28 November 2012 12:41 PM Berita Keseluruhan Kategori Ketua Wanita » Berita Terkini Pas Sanggup Ketepikan Agenda Islam Kerana DAP Janji Populis Pembangkang Bakal Undang Negara Lemas Dalam Hutang “Masa Depan UMNO : Beranjak Untuk Melonjak Ke Arah Kemenangan” – Shahrizat “Antara Dua Masa Depan” – Khairy “Juang” – Rosnah Pembangkang Dibidas Amal Politik Ultra Perkauman, Fahaman Songsang UMNO Doa Mohon Pas Dibukakan Pintu Ke Arah Kebenaran UMNO Doakan Orang Islam Tidak Menjahanamkan Sesama Sendiri Berita Bergambar : Berbincang Sesuatu Bergambar Kenangan Lagu Keramat Di Dewan Merdeka