Isnin, 21 Mac 2016

AUDIT NEGARA BUAT FORENSIK TERHADAP KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

Jabatan Audit Negara akan melakukan pengauditan forensik terhadap proses perolehan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan agensi dibawahnya susulan laporan isu penyelewengan dananya, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Katanya beliau telah berbincang dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang supaya melakukan proses pengauditan itu, selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mencadangkan penubuhan pasukan siasatan bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik prosedur kewangan dalaman KBS. Pengauditan itu, antara lain, akan meneliti peraturan kewangan yang dipatuhi KBS selain mengenal pasti kelemahan prosedur kewangannya, kata Ali dalam sidang media di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal. "Jabatan Audit Negara akan melaporkan hasil pengauditan dan mengemukakan kepada kerajaan penambahbaikan yang perlu dibuat. Ini adalah seperti pengauditan forensik. "Hasil siasatan akan dilaporkan kepada kabinet dan mesyuarat Ketua-Ketua Setiausaha. Kita harap dapat melaksanakannya dalam tempoh suku tahun," kata Ali. Pada Jumaat lepas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang setiausaha bahagian sebuah kementerian selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta. Dalam sidang media di KBS hari ini, Khairy mengesahkan bahawa pegawai kementeriannya yang sedang disiasat SPRM berhubung isu penyelewangan dana itu. Ali berkata Ketua Audit Negara juga diminta melihat proses keseluruhan pengauditan bermula dengan KBS sebelum langkah sama dilaksanakan secara rawak di kementerian lain, supaya tidak berlaku ketirisan dan tiada pihak yang mengambil kesempatan. Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa Ketua Setiausaha kementerian selaku ketua pengawal kewangan sepatutnya mengetahui perbelanjaan peruntukan kementerian kerana mereka bertanggungjawab terhadap perbelanjaan modal dan perbelanjaan operasi. "Sepatutnya, beliau (KSU) harus tahu ke mana perginya wang itu. Kemudian, pembayaran projek dilakukan oleh pegawai di bahagian kewangan atau bahagian pembangunan. "Itulah yang saya mahu tahu sama ada (laporan) itu kembali kepada pengawal kewangan (KSU) atau tidak. Kita perlu tunggu dan lihat," katanya. Ditanya sama ada KSU dan bekas-bekas KSU di KBS perlu bertanggungjawab terhadap penyelewengan dana itu, Ali berkata: "Ia bergantung sama ada ia disalahgunakan atau tidak. Kita akan periksa. Kita tidak boleh buat kesimpulannya sekarang," katanya. Ali berkata suspek itu, yang ditahan SPRM, akan dikenakan tindakan penahanan kerja mengikut Peraturan 43 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah berkata prosedur perbelanjaan wang kerajaan akan diperketatkan dengan ketua setiausaha di setiap kementerian perlu meneliti setiap perbelanjaan. Ketua Setiausaha akan melapor kepada Ketua Setiausaha Negara mengenai setiap perbelanjaan yang dilaksanakan, katanya semasa ditemui pada satu program di Kementerian Kewangan hari ini. "Dengan perancangan yang rapi ini, saya harap tidak akan berlaku ketirisan, rasuah dan sebagainya," katanya sambil memberitahu bahawa langkah memperketatkan prosedur perbelanjaan wang kerajaan telah dibincangkannya dengan Ali. Irwan Serigar turut mengingatkan penjawat awam bahawa arahan Perbendaharaan dan Pekeliling kerajaan mestilah sentiasa dipatuhi.

PAS PULAU PINANG MAHU GUAN ENG BERCUTI

Lim Guan Eng disaran bercuti daripada menjalankan tugas sebagai ketua menteri sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan berhubung isu pembelian rumah bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn, di sini. Ketua Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang (DPPNPP) Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata tindakan bercuti itu perlu bagi memastikan ketelusan dan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa. Beliau berkata DPPNPP turut menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Lim tidak bersalah sehingga diputuskan bersalah oleh mahkamah. "Pendirian beliau ini disifatkan sebagai berjiwa besar kerana mengambil pendirian mempertahankan seseorang yang belum diputuskan bersalah walaupun (Lim) bersikap memusuhi PAS," katanya dalam kenyataan di sini Isnin. Isu pembelian rumah banglo oleh Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjadi kontroversi apabila Anggota Parlimen Tasek Gelugor Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat Khamis lepas. Shabudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang turut meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Harta membuat penilaian berhubung hartanah berharga RM2.8 juta dibeli Lim yang juga Anggota Parlimen Bagan di Jalan Pinhorn, sedangkan nilai semasa rumah itu lebih RM3 juta. Shabudin turut meminta SPRM menyiasat dakwaan penjualan beberapa lot tanah di Pulau Pinang yang dikatakan asalnya diperuntukkan untuk pembinaan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.BERNAMA

BERLAPANG DADA DALAM MENANGANI PERBEZAAN PENDAPAT

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta umat Islam di negara ini supaya berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat. Beliau berkata Islam membenarkan perbezaan pendapat, menyuarakan pandangan dan bantahan tetapi ia harus dilakukan dengan cara beradab dan konsisten khususnya dalam memelihara perpaduan sesama Islam. "Janganlah kerana perkara kecil, titik bengit atau khilafiah, kita berbalah sehingga mendorong kepada permusuhan, kebencian dan menaruh prasangka serta label yang tidak sepatutnya daripada seorang Muslim kepada saudara Muslim yang lain," katanya. Semasa berucap merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-59 bagi Tahun 1437H/2016M di sini, malam ini, Najib berkata matlamat untuk membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul juga mestilah datang dengan pakej dan kaedah yang betul. "Atas nama membetulkan itu dan ini, sudah pasti akan menjadikan rasa aman, harmoni dan kebersamaan yang kita warisi ini, goyah. "Selain itu, bersesuaian dengan komposisi masyarakat yang berbilang-bilang kaum, agama dan budaya khususnya, semangat muhibah, perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat majmuk perlu dipelihara sebaiknya,"katanya. Najib menjelaskan bahawa kerajaan sememangnya amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama terutamanya yang melibatkan persefahaman sesama umat Islam dalam suatu kepentingan bersama. Malah, katanya, kerajaan tidak pernah menutup pintu kerjasama dan rundingan dengan sesiapa sahaja sama ada individu, mana-mana parti mahu pun badan bukan kerajaan (NGO). Menurutnya kerajaan juga tidak pernah mengenakan apa-apa syarat kerana baginya kepentingan umat dan rakyat sentiasa diutamakan berbanding kepentingan kelompok-kelompok tertentu. "Apabila kita menutup pintu-pintu persefahaman dan rundingan demi kepentingan ummah, akhirnya kita akan menjadi bagai nasib Pak Pandir 'menang sorak, kampung tergadai'," katanya. Perdana Menteri berkata untuk mencapai perpaduan, umat Islam di negara ini mesti berusaha sedaya upaya menepis segala serangan pemikiran yang datang dari pelbagai sudut dengan tujuan mengaburkan fikrah dan keyakinan terhadap kesyumulan Islam. "Serangan pemikiran seperti liberalisme, pluralisme, humanisme dan sekularisme, misalnya, perlu ditangani dengan penerangan yang lebih jelas dan menyeluruh oleh para ulama dan cendekiawan Islam agar kesatuan fikrah umat Islam di negara ini tidak goyah dan tergugat," katanya. Najib turut berharap tilawah kali ini mampu menjana penghayatan umat Islam dalam memahami isi kandungan al-Quran agar dapat diimplementasikan dalam urusan kehidupan seharian. Diadakan buat julung kalinya di Putrajaya, tilawah itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Putrajaya (PPj). Tilawah bertema 'Perpaduan Nadi Transformasi Negara' itu bermula malam ini sehingga 26 Mac. Setiap negeri menghantar seorang qari dan qariah menyertai tilawah itu, yang turut disertai oleh johan menunggu qari dan qariah tahun lepas iaitu Wan Ainuddin Hilmi Abdullah dari Kelantan dan Siti Husna Hassan dari Pahang.