Isnin, 20 Oktober 2014

Ada ahli politik dibiaya taukeh judi haram- Zahid

Terdapat ahli politik dipercayai dibiayai dengan hasil pendapatan daripada pusat perjudian haram di tiga kawasan iaitu Pekan Kuala Sepetang, Bagan Panchor dan Pulau Kuala Sangga di Perak. Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata meskipun tidak terlibat secara langsung tetapi ada ahli politik yang dikesan dibiayai dengan hasil pusat perjudian haram tersebut. "Tidak ada ahli politik yang terlibat secara langsung tetapi mungkin ada yang memperolehi wang daripada pendapatan hasil perjudian itu untuk melakukan kegiatan politik. "Berdasarkan laporan yang saya perolehi ada ahli politik yang terlibat...saya tidak mahu menuduh, tetapi jika mahu pembuktian pihak polis ada bukti," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin. Beliau berkata dalam masalah perjudian atau kegiatan jenayah sepatutnya mana-mana ahli politik tidak bersekongkol dengan individu atau pertubuhan haram. Ahmad Zahid diminta mengulas laporan akhbar mengenai kegiatan perjudian di tiga kawasan berkenaan yang dikatakan kebal untuk ditembusi pihak berkuasa. Sehubungan itu, beliau berharap pihak parti politik dapat mengambil tindakan terhadap ahli-ahlinya yang terlibat dibiayai dengan kegiatan perjudian haram. "Kami juga mohon kerjasama orang ramai, bukan sahaja melaporkan tetapi bersama-sama mengambil tindakan dengan pihak berkuasa, kerana apa yang berlaku sekarang bila ada permintaan maka adalah penawaran," katanya.BERNAMA

JAKIM siasat pesta pegang anjing

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menjalankan siasatan terperinci berhubung penganjuran acara 'I Want to Touch a Dog' (Saya Mahu Sentuh Anjing) yang berlangsung di Central Park, One Utama dekat Petaling Jaya, petang semalam. Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata program itu tidak sepatutnya berlaku dan pihaknya kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pihak penganjur yang tidak prihatin dengan sensitiviti umat Islam di negara ini. Katanya, Islam di Malaysia yang berpegang teguh kepada Mazhab Syafie sudah jelas memperincikan bahawa anjing dan babi itu tergolong dalam najis mughallazah (berat). "Acara itu tidak pernah dianjurkan sebelum ini dan ia merupakan kali pertama didedahkan kepada masyarakat, kita orang Islam dan agama sudah menetapkan dengan jelas hukum berkaitan anjing. "Jakim akan segera menyiasat perkara ini dan sebarang tindakan akan dirujuk pada peruntukan-peruntukan yang ada," katanya kepada pemberita mengulas penganjuran program itu yang mendapat sambutan luar biasa daripada kalangan umat Islam di sekitar ibu kota, semalam. Othman ditemui media selepas merasmikan Multaqa Pengetua Sekolah Agama peringkat kebangsaan di Kuala Terengganu. Beliau turut menasihatkan umat Islam agar melihat semula dan mendapatkan pandangan ulama mahupun ustaz sama ada apa yang dilakukan mereka dengan menyentuh, memeluk dan mendukung anjing itu betul dari segi agama dan selaras dengan tuntutan Islam. Penganjuran program 'Saya Mahu Sentuh Anjing' oleh Syed Azmi Alhabshi yang bertujuan membantu orang ramai terutama masyarakat Islam untuk mengatasi rasa takut mereka terhadap anjing. Program selama dua jam bermula 8 pagi hingga 10 pagi Ahad itu dibanjiri ratusan umat Islam bagi memberi peluang kepada mereka untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan. Sementara itu, ketika ditanya tentang kehadiran seorang ustaz di samping dua individu lain dalam forum mini bagi menjawab pertanyaan dan kemusyiklan berkaitan anjing dalam acara tersebut, Othman berkata pihaknya akan turut menyiasat kelayakan agama lelaki berkenaan. "Buat masa ini, kita tidak dapat maklumat lengkap sama ada betul atau tidak individu itu ustaz, sekarang ini siapa-siapa yang pakai songkok (berpenampilan alim) pun sudah boleh jadi ustaz," katanya.

Ghapur Salleh nafi keluar UMNO

Anggota Parlimen Kalabakan Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh hari ini menafikan dakwaan kononnya beliau telah keluar daripada Umno. Ketua Umno Bahagian Kalabakan itu berkata khabar angin itu adalah tidak benar dan percaya ia disebarkan oleh individu yang mahu mengambil kesempatan terhadap kelantangan beliau bersuara di Dewan Rakyat. "Saya memang agak lantang ketika menyuarakan hak-hak rakyat Sabah di Dewan Rakyat kerana itu adalah tanggungjawab saya selaku wakil rakyat. Saya mahu setiap permasalahan rakyat terutamanya yang tinggal di kawasan Parlimen Kalabakan, diberikan perhatian yang sewajarnya. "Bagaimanapun, apabila saya bersuara tentang permasalahan atau isu masyarakat, itu bukanlah bermaksud yang saya mahu keluar daripada parti ... saya hanya menjalankan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat," katanya dalam satu kenyataan Isnin. Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat tidak mempercayai khabar angin tersebut dan menyifatkan ia disebarkan oleh pihak tertentu yang memiliki kepentingan tersendiri. Sementara itu, Abdul Ghapur berterima kasih kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana mengambil perhatian terhadap isu kawalan di perairan Tawau yang dikemukakannya di Dewan Rakyat baru-baru ini. "Untuk membanteras isu penyeludupan dengan berkesan, saya berharap semua agensi yang terlibat termasuklah APMM, Kastam, dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dapat bekerjasama, manakala masyarakat pula perlu membantu dengan menyalurkan maklumat yang berkaitan kepada pihak berkuasa," katanya. Untuk memastikan APMM dapat menjalankan tugas dengan lebih mantap dan berkesan, Abdul Ghapur berharap kerajaan dapat membekalkan lebih banyak lagi aset kepada agensi itu yang bertugas mengawal sempadan perairan negara, terutamanya di perairan pantai timur Sabah. "Kita berharap kerajaan akan mempertimbangkan perkara ini. Jika boleh, kita juga berharap bidang kuasa Maritim turut diperluaskan kerana saya difahamkan bahawa ketika ini mereka tidak memiliki kuasa untuk membuat tangkapan selain di kawasan laut," katanya.

SPRM bebas siasat Polis terbabit rasuah- KPN

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa memberi akses penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)untuk menyiasat anggotanya yang terlibat dengan kesalahan rasuah, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Polis tidak pernah melindungi mana-mana anggota dan pegawai polis yang terlibat dengan rasuah, jika ada kami akan serahkannya kepada SPRM untuk tindakan segera," kata beliau. Katanya 273 anggota polis ditangkap kerana disyaki menerima rasuah dalam tempoh tiga tahun sejak 2012 sehingga September tahun ini. Daripada jumlah itu, 43 anggota didakwa di mahkamah manakala 168 lagi masih disiasat, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat delegasi SPRM di Dewan Theatrette, Menara 1, Bukit Aman, di sini, Isnin. "Memang daripada dahulu lagi polis serah kepada SPRM untuk siasatan manakala polis pula lebih kepada siasatan berkaitan salah laku dan prosedur standard," katanya. Kadar peratusan polis menerima rasuah menurun dalam jangka masa tiga tahun selepas indeks jenayah menurun 12.4 peratus, kata Khalid sambil tidak menolak kemungkinan wujud persepsi negatif orang awam terhadap pihak berkuasa apabila dikaitkan dengan rasuah. "Kesalahan rasuah bukan sahaja berlaku kepada polis malahan melibatkan mana-mana agensi yang mempunyai pegawai dan anggota penguat kuasa. Pada masa sama, terdapat 17 kes tahun ini, melibatkan 50 anggota dan pegawai yang cuba disogok dengan rasuah tetapi menolaknya dan daripada jumlah itu, 36 anggota polis mendapat penghargaan kerana bersikap amanah menolak rasuah untuk tempoh April sehingga Sept tahun ini. Khalid berkata daripada 17 kes itu, sebanyak 22 pemberi rasuah kepada anggota polis yang terdiri daripada orang awam, ditahan. Sementara itu, polis turut bekerjasama dengan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) yang memantau SPRM dalam memerangi rasuah. Pengerusi PPPR Tan Sri Johan Jaafar dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed turut menyertai lawatan itu yang merupakan sebahagian daripada program penglibatan SPRM dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan untuk bertukar-tukar maklumat dan pandangan mengenai pendekatan menangani isu rasuah. Hasil pertemuan itu, PPPR meminta pihak polis melipatgandakan usaha membasmi rasuah, selain itu bersetuju dalam program termasuk 'Program Jabatan Angkat' bertujuan memberikan konsultasi dan bimbingan kepada mana-mana bahagian atau unit yang bermasalah untuk tempoh yang ditetapkan. SPR

Kempen sentuh anjing satu gerakan liberal-Ustaz Kazim Elias

Kempen sentuh anjing yang kononnya untuk membuang stigma dan mengatasi persepsi negatif orang Islam dan Melayu terhadap haiwan itu sebenarnya adalah 'jarum halus' bagi menyuburkan fahaman liberal dan pluralisme di negara. Pendakwah terkenal, Mohd Kazim Elias mendakwa kempen anjing anjuran seorang Islam itu merupakan satu gerakan untuk menghalalkan sesuatu yang sudah diharamkan ALLAH kepada penganutnya. "Ini semua ada agenda halus untuk meliberal dan mempluralkan agama. "Ianya gerakan yang cukup halus dan dimulakan dengan satu kempen secara kecil-kecilan yang akhirnya akan merubah dan menidakkan hukum dan itulah tujuan asalnya. "Kalau hendak dijadikan sebagai binatang peliharaan seperti kucing dan ayam dan lain-lain tidaklah boleh dipandang ringan kerana ianya melibatkan urusan ibadat seharian," katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebooknya, sebentar tadi. Beliau berkata demikian mengulas kempen sentuh anjing "I Want to Touch a Dog" anjuran Syed Azmi Alhabshi di Central Park, Bandar Utama, Selangor, semalam. Acara tersebut dianjurkan didakwa bagi membantu orang ramai terutamanya yang beragama Islam untuk mengatasi persepsi negatif terhadap anjing. Kempen itu juga turut memberi peluang kepada orang ramai yang beragama Islam untuk menyentuh anjing sambil diperhatikan oleh pemilik haiwan berkenaan. Dalam pada itu, beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim turut mempersoalkan penganjuran kempen tersebut dan kesal segelintir penganut Islam mudah terpedaya tanpa usul periksa. "Halusnya kempen anjing ini namun sayang ada segelintir umat Islam yang tidak cukup halus mata hatinya untuk meneliti.... "Berhati-hatilah dengan kempen sebegini, lepas kempen arak, mai anjing pula, lepas ni apa pula? "Jangan lepas ini buat kempen babi pula dengan alasan bahawa babi sekarang sudah bersih dah diternak dalam aircond, yang mengamalkan tahap kebersihan mematuhi piawaian antarabangsa," tegasnya. Mengulas lanjut, Mohd Kazim menegaskan hukum memegang anjing sama seperti memegang babi yang telah diharamkan oleh ALLAH kepada orang Islam kerana kedua-dua haiwan itu bersifat 'mughallazah'. "Mana boleh saja-saja bela, saja-saja hendak pegang. Sebab apa hendak pegang? Isu apa? Hendak jadikan anjing sebagai apa? Mula-mula pegang, lepas itu bela, lepas itu masuk dalam rumah! "Binatang mughalazah ini macam babi jugalah mugahalazahnya, lepas ini buat la kempen pula pegang babi dengan melawat ke pasar babi lepas tu melarat ke makan babi pulak. "Tidaklah salah pegang anjing, tapi apa sebabnya sampai buat kempen? Kenapa tidak buat kempen ke masjid, kempen menerima hudud atau kempen menerima konsep kalimah ALLAH," soalnya lagi.

Dyana Sofya Zairil bukan kekasih-Ibu Dyana

“Itu bukan Dyana. Dyana dan Zairil tak bercinta!” itu yang ditegaskan ibu Dyana Sofya Mohd Daud, Yammy Samat berhubung penyebaran gambar intim mirip bekas calon PRK Parlimen Teluk Intan itu bersama Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari. Menurutnya, penyebaran gambar itu sebagai fitnah terbaru terhadap anaknya oleh pihak-pihak tertentu yang mahu merosakkan imej DAP sekali gus melihat Dyana Sofya disingkirkan dari parti itu. Beliau berkata, tindakan itu juga dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian terhadap isu-isu semasa yang lebih besar. “Kalau (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan Azmin Ali, mereka boleh fitnah dan reka gambar macam-macam, inikan pula Dyana. Ini bukan benda baharu, masa PRK Teluk Intan pun berlaku. “Jika difikirkan secara logik, sebagai seorang ahli Parlimen yang dihormati, takkan Zairil nak buat perkara yang jejas imej macam itu,” katanya semalam. Yammy berkata, individu mahupun kumpulan yang sengaja mereka-reka cerita dan menyebarkan gambar ini jelas ketandusan modal. Menurutnya, beliau belum memikirkan sebarang tindakan lanjut berhubung isu itu memandangkan beberapa kes mahkamah yang sudah difailkan terhadap beberapa ahli politik sedang berjalan.