Khamis, 20 November 2014

Pekerja KTM yang dihentikan akan diambil bekerja semula-Nawawi

Kira-kira 100 pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang diberhentikan kerana membuat protes terhadap pengurusan syarikat itu akan diambil bekerja semula, kata khidmat pengurusan keretapi negara hari ini, menurut laporan Malaysiakini. Pengerusi KTMB Datuk Nawawi Ahmad berkata jawatan mereka akan dikembalikan semula tetapi perlu menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan KTMB terlebih dahulu. Menurut laporan itu, 97 pekerja yang akan diberikan semula jawatan dan menyambung kerja pada Selasa adalah mereka yang diberikan surat tunjuk sebab. Pemecatan dibuat selepas beratus pekerja menyertai piket dikendalikan Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) terhadap Presiden KTMB Datuk Elias Kadir. Piket pada 9 Mei lalu dibuat bagi memberi tekanan kepada Elias supaya meletakkan jawatan kerana gagal menunjukkan prestasinya dan tidak mampu mengekalkan mutu kerja profesionalisme pekerja dan imej KTMB. – 20 November, 2014.

Isu Akta Hasutan dijangka memanaskan Perhimpunan Agung UMNO kali ini

Akta Hasutan 1948 adalah antara isu yang akan dibahaskan pada Perhimpunan Agung Umno yang akan berlangsung minggu depan. Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, perhimpunan selama lima hari bermula 25 November itu akan memberi ruang kepada perwakilan untuk melontarkan pendapat serta cadangan konstruktif berkaitan akta berkenaan. "Banyak usul yang dikemukakan oleh bahagian dan cawangan. Jawatankuasa usul telah menapis usul-usul yang boleh dibahaskan dan tidak ada sekatan, tetapi masih ada penapisan kerana tidak semua usul kita terima. Akta Hasutan ini merupakan satu akta yang kita sedar dan tahu ada beberapa pandangan dan kita harus lihat dari beberapa pilihan yang dilontarkan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dalam pembangunan 'Teaching Factory dan Program 'Industrialmanship' untuk meneroka potensi dalam industri kejuruteraan perkapalan di sini, hari ini. Mohd Shafie berkata, terdapat pandangan bahawa akta itu perlu dihapuskan dan ada juga yang berpendapat ia perlu dikekalkan dengan beberapa pindaan. "Kita perlu ada keterbukaan dan perlu menerima pandangan daripada akar umbi untuk memperkasakan (akta itu) supaya tidak timbul kecelaruan," katanya. Beliau berkata penambahbaikan perlu dilakukan terhadap akta itu kerana zaman sudah berubah seperti penggunaan media sosial yang mungkin tidak terkandung dalam akta sedia ada. "Media sosial antara faktor yang boleh melahirkan keadaan kacau bilau, hasutan, fitnah dan penyampaian maklumat yang tidak betul," katanya. - Bernama

Pemohonan baru BR1M bermula 1 Disember ini

Pemohon baharu Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diminta membuat permohonan mulai 1 Dis depan manakala penerima sedia apa perlu mengemas kini semula maklumat peribadi bagi memastikan proses bayaran berjalan lancar. Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata proses permohonan baharu dan pengemaskinian maklumat boleh dibuat melalui portal rasmi BR1M Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) iaitu https//:ebr1m.hasil.gov.my sehingga 31 Dis. Proses itu juga boleh dibuat dengan menggunakan Borang Permohonan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2015 (BK-01) atau Borang Kemas Kini dan dikembalikan ke mana-mana cawangan/pusat khidmat hasil/Pusat Transformasi Bandar LHDNM atau pejabat daerah. "Kerajaan telah menghantar surat mulai 1 Nov ini untuk meminta penerima sedia ada mengemas kini maklumat peribadi merangkumi pasangan/tanggungan; alamat terkini untuk memastikan tidak berlaku keciciran semasa proses pengeposan surat. " ...maklumat tepat akaun bank pemohon memandangkan pembayaran BR1M akan dibayar sebanyak tiga kali setahun dan maklumat waris pemohon di bawah kategori isi rumah serta warga emas bagi tujuan pembayaran khairat kematian," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis. Selain itu, bagi memudahkan penerima sedia ada, kerajaan akan menghantar Borang Kemas Kini mengikut alamat dalam rekod mulai 24 Nov ini. Pemohon atau penerima yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian bebas tol 1800-88-2716 (LHDNM) atau 03-8882 4565/4566 (Kementerian Kewangan) serta emel ke br1m@treasury.gov.my. Pembayaran BR1M 2015 akan dibayar tiga kali setahun kepada penerima di bawah kategori isi rumah manakala bagi penerima di bawah kategori individu dengan pendapatan RM2,000 ke bawah, bantuan sekali bayaran sebanyak RM350 akan diberi mulai 28 Jan 2015. Bagi kategori isi rumah dengan pendapatan bulanan RM3,000 ke bawah, nilai BR1M adalah sebanyak RM950 dan bayaran pertama sebanyak RM300 akan dibuat pada 28 Jan, RM300 (28 Mei) dan RM350 (28 Sept). Bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,001 hingga RM4,000 nilai BR1M adalah sebanyak RM750 dengan bayaran pertama sebanyak RM200 pada 28 Jan, RM200 (28 Mei) dan RM350 (28 Sept). "Pembayaran BR1M 2015 secara berperingkat diharap dapat membantu meringankan belanja bulanan dan merancang perbelanjaan isi rumah," katanya. Ahmad Husni berkata memandangkan masih terdapat ramai penerima yang belum membuat penuaian BR1M 2014, kerajaan telah membuat keputusan untuk melanjutkan tempoh penuaian sehingga 30 Nov 2014. "Penuaian boleh dilakukan terus di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) seluruh negara dan penerima hanya perlu mengemukakan kad pengenalan asal untuk tujuan pengesahan serta semakan," katanya. Sementara itu, bagi Skim Perlindungan Berkelompok Rakyat 1Malaysia (i-BR1M), sehingga kini sebanyak 16,540 tuntutan telah diluluskan dan waris boleh membuat tuntutan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2015. Borang tuntutan boleh diperoleh menerusi laman sesawang www.malaysiantakaful.com.my atau menghubungi hotline i-BR1M di talian 03-27152716 atau emel ke i-BR1M@takaful-ikhlas.com.my.

Perhimpunan Agung sebagai medan mengukuhkan perjuangan parti-Ahmad Maslan

Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan berharap agar lebih banyak idea-idea yang membantu mengukuhkan kembali perjuangan parti UMNO di hati rakyat di negara ini, khususnya terhadap bangsa Melayu dapat dilontarkan melalui perbahasan di sepanjang perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan bermula pada 25 November ini. Menurut beliau, Perhimpunan Agung UMNO merupakan acara tahunan yang terpenting pada setiap tahun di mana perhimpunan ini akan mengumpulkan semua pemimpin dan pendokong-pendokong parti ke PWTC. “Jadi kita berharap agar perhimpunan kali ini dapat mencetuskan idea-idea yang baik agar ianya menjadi titik tolak kepada kebangkitan gerakan perjuangan UMNO untuk kita bersedia bagi menghadapi PRU yang ke 14 akan datang. “Jika kita tidak melakukan sesuatu, maka trend seterusnya adalah trend kekalahan yang akan melanda parti kita ini. Pembangkang sememangnya sudah sedia maklum akan perkara ini dan trend ini bukanlah satu realiti yang perlu kita sembunyikan. “Perkara ini perlu diketahui umum khususnya kepada ahli-ahli UMNO dan orang Melayu agar kita dapat menyedari bahawa betapa bahayanya trend menurun ini dan oleh itu, sesuatu yang drastik perlu dilakukan untuk kita mengubah trend menurun ini kepada trend yang meningkat pada masa yang akan datang,” tegasnya kepada UMNO-Online di sini hari ini. Jelas beliau lagi, ahli-ahli dan pendokong parti perlu menyedari setahun setengah telah berlalu setelah PRU 13 di mana selepas ini UMNO dan BN akan menghadapi PRU 14 yang teramat penting. “PRU 13 merupakan satu sejarah apabila undi popular pembangkang telah melebihi kita sedikit. Saya ingin berikan contoh undi popular di Johor negeri yang merupakan kubu kuat UMNO.Pada PRU 11 kita memperolehi 82 peratus undi popular. PadaPRU 12 pula, undi popular kita merosot kepada 64 peratus dan pada PRU ke 13 ianya terus merosot kepada 53 peratus. Kit Kelengkapan Perwakilan “Ini yang disebut oleh Perdana Menteri sebagai realiti check. Biarpun kita menang di Johor dengan kerusi 2/3 namun 2/3 yang kita perolehi itu hanya berbeza dengan satu kerusi saja. Kalau kita kalah lagi satu kerusi maka kita akan kehilangan 2/3 majoriti di Johor. “Jika perkara ini berterusan maka parti kita akan menjadi semakin lemah dan akhirnya akan menuju ke trend kekalahan dan untuk memastikan perkara ini tidak berlaku, maka kita mesti bangkit daripada trend yang menurun kepada trend yang meningkat dan mampu untuk meraih sokongan rakyat,” ujarnya. Justeru itu, beliau mengesyorkan kepada pembahas-pembahas agar mengkaji dan meneliti ucapan-ucapan Presiden ketika merasmikan konvensyen negeri Selangor, negeri Johor dan juga Wilayah Persekutuan. “Saya yakin pada konvensyen itu banyak perkara-perkara yang boleh dijadikan hujah-hujah yang baik oleh pembahas-pembahas samada pembahas pemuda, wanita, puteri dan juga ketika perhimpunan . “Pembahas juga perlu melontarkan pandangan dan idea-idea bernas berhubung soal apa lagi yang kita perlu lakukan untuk memperbaiki UMNO merapatkan UMNO kepada rakyat terbanyak dan menjadikan UMNO sebagai parti teras dalam negara kita yang bukan hanya memperjuangkan nasib Melayu Islam tetapi juga nasib kaum bumiputera dan seluruh rakyat di negara ini,” akhiri beliau.-MediaUMNO

106 agensi media akan membuat liputan Perhimpunan Agung UMNO minggu depan

Sebanyak 106 agensi media yang terdiri daripada dalam dan luar negara akan berkampung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014 yang akan bermula minggu depan. Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata daripada jumlah itu, 96 melibatkan agensi tempatan dan 10 lagi adalah agensi luar yang membabitkan kira-kira 1,452 warga media yang akan ditempatkan di Laman Media Aras 2, PWTC sebagai satu perkampungan dengan infrastruktur dan kemudahan elektronik bagi memudahkan liputan dibuat sepanjang perhimpunan ini. “Sebelum berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2014, kita akan ada Pra Perhimpunan iaitu Persidangan kepimpinan Mahasiswa Nasional (PEMANAS) yang akan diadakan pada 22 hingga 23 Nov manakala Forum Antarabangsa pada 24 hingga 25 November. “Untuk tahun ini, tajuk Forum adalah “A Hyperconnected World : Challenges In nation Building”. Turut diadakan juga Pidato Piala Presiden peringkat akhir pada 25 Nov yang membabitkan 12 peserta. “Perhimpunan Agung UMNO 2014 akan bermula dari 25 hingga 29 Nov iaitu dimulakan dengan Majlis Taklimat Presiden (tertutup), seterusnya perasmian serentak Perhimpunan Agung sayap UMNO oleh Timbalan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada malam hari berkenaan. “Keesokannya akan berlangsung perhimpunan sayap-sayap parti dan Mesyuarat Majlis Tertinggi khas pula akan berlangsung sejurus perhimpunan agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO berakhir,” katanya. DSC_2590 Kata beliau lagi Upacara menaikkan bendera dan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak akan berlangsung pada hari Khamis dan sesi perbahasan akan berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu. Sebanyak empat usul akan dibahaskan iaitu usul Ucapan dasar Presiden, Ekonomi, Agama dan Pendidikan. “Anggaran jumlah perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO 2014 seramai 5,739 orang iaitu 2,763 (Perhimpunan Agung UMNO), 993 ( Wanita), 992 (Pemuda) dan 991 (Puteri),” “Dan sebanyak 95 delegasi yang mewakli 27 parti dari 19 buah negara serta 84 perwakilan kelab UMNO Luar Negara turut mengesahkan kehadiran mereka ke Perhimpunan Agung UMNO tahun ini,” katanya. Tambah Tengku Adnan lagi sidang akhbar serentak Naib Presiden, Ketua-Ketua Sayap serta Ketua Penerangan akan diadakan pada 27 Nov, Khamis. Jadual sepanjang Perhimpunan Agung UMNO boleh dilihat menerusi laman web rasmi www.umno-online.my

Kementerian Pendidikan akan lancar buku teks digital gelombang kedua

Kementerian Pendidikan akan melancarkan Buku Teks Digital Interaktif Pintar, gelombang kedua inovasi dan transformasi buku teks digital, yang dijangka dilaksanakan mulai 2016 hingga 2025. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ia adalah kesinambungan daripada gelombang pertama transformasi buku teks sebanyak 313 judul, yang kini boleh diakses oleh murid, guru dan ibu bapa menerusi laman 1BestariNet. Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata melalui penggunaan Buku Teks Digital Interaktif Pintar, proses pengajaran, pembelajaran, kolaboratif dan pentadbiran akan dijalankan melalui persekitaran pembelajaran maya (VLE). "Inovasi ini juga merupakan antara usaha kementerian pendidikan menyelesaikan isu beg sekolah berat yang sering dibangkitkan ibu bapa pelajar sebelum ini," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Inovasi peringkat Kementerian Pendidikan di sini, Khamis. Muhyiddin turut memberi jaminan bahawa pelaksanaan buku teks digital itu tidak melibatkan kos tambahan kepada ibu bapa. Sebaliknya, semua peralatan berkaitan termasuk Google Chrome Book diberi kepada sekolah untuk ditempatkan secara kekal bagi kegunaan murid-murid, katanya. Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyarankan Kementerian Pendidikan supaya memulakan kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang pembangunan infrastruktur sekolah dan universiti bagi memastikan aspek penyediaannya relevan dengan keperluan abad ke-21. Beliau berkata perancangan ke arah itu perlu dibuat daripada sekarang, dan antara perkara yang perlu diberi tumpuan ialah bentuk dan rupa sekolah, bilik darjah dan bilik kuliah. Menurutnya R&D itu penting bagi memastikan apa yang dibina adalah selari dengan perkembangan kurikulum, pedagogi dan pengurusan keseluruhan bilik darjah dan bilik kuliah pada masa hadapan. "Kajian dalam bidang itu perlu dipergiatkan kerana konsep konvensional memperluas akses pendidikan dengan membina lebih banyak sekolah, mungkin tidak relevan pada masa depan dengan adanya persekitaran pembelajaran maya," katanya. Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Kualiti Menteri Pendidikan 2014 kepada Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor Bahru, Johor; Sekolah Kebangsaan Seri Makmur Sabak Bernam, Selangor; Sekolah Tun Fatimah Johor Bahru, Johor dan Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, Terengganu. Sekolah berkenaan yang bertanding dalam kategori Sekolah Rendah Bandar, Sekolah Rendah Luar Bandar, Sekolah Menengah Luar Bandar dan Sekolah Menengah Bandar masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000.