Jumaat, 4 Julai 2014

Pemalsuan MyKad-105 individu ditahan sejak September lepas

Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menahan 105 individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pemalsuan MyKad sejak September tahun lepas hingga April ini. Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka yang ditahan itu terdiri daripada anggota sindiket dan individu yang bergerak aktif menjalankan kegiatan berkenaan bagi mengaut keuntungan. "Berdasarkan siasatan, kita mendapati mereka yang ditahan itu terdiri daripada tiga kategori utama iaitu sindiket yang menyasarkan warga asing yang berhajat menjadi warganegara Malaysia. "Dua lagi ialah individu yang mengenakan bayaran tertentu kepada pihak yang mahukan kad pengenalan dan individu yang melaksanakan aktiviti itu secara berkala dengan menumpukan di kawasan tertentu terutama di ladang serta kawasan perumahan yang mempunyai warga asing," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Warga KDN Pulau Pinang di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang, di sini hari ini. Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi. Ahmad Zahid berkata antara yang ditahan sepanjang tempoh berkenaan adalah warga asing daripada beberapa negara yang dipercayai bertindak sebagai ejen. Katanya setakat ini tiada penjawat awam terutama daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditahan dalam aktiviti pemalsuan MyKad. Beliau berkata MyKad palsu itu tidak mempunyai 13 ciri khas seperti yang terdapat pada kad tulen, malah tiada butiran maklumat dalam sistem berkomputer JPN yang boleh diimbas menerusi mesin pengimbas. Ahmad Zahid turut menafikan KDN melantik ejen untuk memudahkan urusan bagi memohon MyKad kerana pihaknya mempunyai 41 pejabat JPN di seluruh negara. "Saya minta orang ramai jangan terpedaya atau percaya dengan pihak yang cuba menawarkan kad pengenalan kerana kita tidak pernah lantik mana-mana ejen. "Lagipun urusan pemprosesan MyKad hanya memakan masa 24 jam dan bukan berminggu seperti yang didakwa mereka (ejen)," katanya.

Lapor terus aktivti rasuah kepada SPRM dan bukan di laman laman sosial

Orang ramai diminta melapor terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika mengetahui sebarang aktiviti rasuah dan bukan menyalurkannya di laman-laman sosial. Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Mustafar Ali berkata ini bagi mengelakkan bahan bukti hilang ketika hendak disiasat selain maklumat yang diperoleh bukan maklumat asal sekali gus merosakkan sistem keadilan jenayah. "Mungkin ramai yang tidak mahu laporkan kepada pihak berkuasa kerana takutkan ancaman tetapi kita mempunyai beberapa akta seperti Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 serta Akta Perlindungan Saksi 2009 untuk menjaga pemberi maklumat," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Lawatan Sambil Belajar oleh 70 pelajar dan guru dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Ladang Harcroft, Puchong susulan Kempen Wira AntiRasuah di sini hari ini. Katanya mereka yang menyebarkan maklumat palsu mengenai rasuah juga boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Kanun Keseksaan. Kempen itu mula diadakan di peringkat sekolah rendah sejak awal tahun ini untuk memberi pendedahan awal mengenai kegiatan rasuah dan sehingga hari ini empat buah sekolah telah mengambil bahagian.

Kerajaan perlu perbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam- Cuepacs

Kerajaan perlu memperbaharui ikrar sumpah setia penjawat awam dalam perkhidmatan bagi membendung penglibatan mereka dalam kegiatan militan atau aktiviti negatif yang lain. Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, ikrar Aku Janji yang dilafazkan penjawat awam ketika mula bertugas di jabatan awam harus sentiasa diperbaharui dari semasa ke semasa sebagai peringatan kepada mereka supaya sentiasa taat setia terhadap kerajaan dan negara. "Pembaharuan ikrar ini bertujuan untuk memberi kesedaran agar para penjawat awam tahu tanggungjawab mereka terhadap kerajaan, dan hal ini juga mampu untuk memberi persepsi yang positif terhadap pembangunan negara," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini. Azih turut melahirkan rasa kecewa berhubung pembabitan penjawat awam dalam kegiatan militan, dan menganggap ia satu pengkhianatan terhadap amanah negara dengan menjalankan aktiviti yang tidak sepatutnya. Cuepacs akan bekerjasama dengan berbagai kementerian bagi mencari jalan terbaik menangani masalah ini daripada terus berlaku, katanya mengulas penglibatan dua penjawat awam yang merupakan antara lima warga Malaysia yang diburu polis kerana disyaki terbabit dengan kegiatan militan. Azih turut menggesa kerajaan mengadakan program menyemai kecintaan dan kesetiaan terhadap negara di pelbagai peringkat termasuk di sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) mahupun di tempat kerja. Beliau berkata, jati diri rakyat Malaysia mudah goyah apabila timbul perbalahan ataupun perbezaan pendapat dalam parti politik, tetapi hal ini tidak seharusnya terjadi kerana ia akan menggugat dan memecahbelahkan perpaduan negara. "Semangat cintakan negara seharusnya sentiasa dipupuk dan diberi penekanan dalam diri masing-masing dan ia harus dididik tanpa mengira perbezaan ataupun percanggahan parti politik," katanya.

Rakyat boleh menulis surat kepada PM mengenai pelancongan

Rakyat Malaysia berpeluang menulis surat tidak rasmi kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyalurkan cadangan untuk meningkatkan industri pelancongan di negara ini melalui 'Pertandingan Menulis Surat 1Malaysia 2014'. Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Che Azemi Haron berkata tema pelancongan dipilih bersempena Tahun Melawat Malaysia, dengan sasaran penyertaan yang lebih banyak pada tahun ini berbanding 79,875 tahun lalu. Peserta boleh memilih satu daripada tiga tajuk iaitu 'Kenapa Malaysia Menjadi Destinasi Pilihan Pelancong Asing', 'Pengalaman dan Keistimewaan Melancong di Malaysia' dan 'Cadangan Untuk Meningkatkan Industri Pelancongan di Kawasan Anda yang Berkonsepkan Pelancongan 1Malaysia'. Selain kategori Sekolah Rendah (150-250 patah perkataan), Sekolah Menengah (350-500 patah perkataan) dan Terbuka untuk 18 tahun ke atas (550-700 patah perkataan), kategori baharu yang diperkenalkan adalah untuk orang kelainan upaya (OKU) dari 9 hingga 45 tahun (tidak melebihi 300 patah perkataan), katanya. "Surat mesti bertulis tangan dan tidak boleh ditaip kecuali bagi kategori OKU (penglihatan) surat itu hendaklah menggunakan mesin taip braille dan karya yang dihantar disertakan dengan terjemahan," katanya pada sidang media di sini hari ini. Pertandingan edisi ke-5 itu yang merupakan anjuran bersama Pos Malaysia Bhd dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Pendidikan, bermula 1 Julai hingga 31 Ogos. "Kita juga telah membukukan 100 surat terbaik setiap tahun iaitu empat buku dalam empat tahun lalu dan ia akan diterbitkan untuk pembacaan umum dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka tidak lama lagi," katanya. Beliau berkata selain menggalakkan budaya menulis di kalangan generasi muda dan masyarakat Malaysia serta meningkatkan kecekapan penulisan, pertandingan itu juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan industri pelancongan. Sepuluh pemenang dalam setiap kategori akan menerima wang tunai, album setem, sijil, netbook dan hadiah-hadiah lain bernilai RM72,800 yang dijangka disampaikan pada 9 Okt bersempena Sambutan Hari Pos Sedunia. Untuk maklumat lanjut boleh layari laman web www.pos.com.my, www.skmm.gov.my atau di laman Facebook www.facebook.com/surat2014 dan www.twitter.com/surat1malaysia.