Rabu, 9 Mac 2016

PAS BERKECUALI DALAM ISU UNDI TIDAK PERCAYA TERHADAP MB TERENGGANU

PAS mengambil pendirian berkecuali dalam isu cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman semalam. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata parti itu tidak terlibat dengan gerakan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang mencadangkan usul itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu. "Sehingga kini kita (PAS) tidak ambil bahagian. PAS hanya lihat isu-isu yang munasabah dan bukan isu untuk merebut jawatan," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, di sini Rabu. Abdul Hadi diminta mengulas mengenai cadangan usul dibawa Ahmad, yang juga bekas menteri besar Terengganu selama enam tahun bermula 2004, sebelum mengakhiri perbahasannya di DUN itu. Cadangan itu bagaimanapun ditolak Speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong. Sementara itu, ketika diminta mengulas pendirian PAS mengenai 'Deklarasi Mahathir', Abdul Hadi berkata parti itu tidak bersetuju dengan tindakan 'gopoh'. "Saya sebelum ini sudah beri kenyataan bahawa ada perkara yang kita setuju dan ada yang tidak setuju mengenai deklarasi itu. Yang kita setuju adalah perubahan. Yang kita tidak setuju adalah gopoh. "Kita mahu perubahan secara demokratik sama ada pilihan raya atau undi tidak percaya. Undi tidak percaya mestilah undi di Parlimen, mestilah (melibatkan) orang UMNO sendiri. Kalau UMNO tak ubah dan kita (PAS) saja yang ada 14 kerusi nak buat apa, maka sia-sialah. Mesti ada kemunasabahannya," katanya. Jelasnya, PAS tidak akan bersetuju dengan perkara-perkara yang tidak mengikut proses demokrasi. Beberapa anggota UMNO dan pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat lalu menandatangani deklarasi yang antara lain mahu Datuk Seri Najib Tun Razak berundur sebagai perdana menteri.BERNAMA

PEMIMPIN TERENGGANU MAMPU SELESAIKAN ISU NEGERI-IDRIS

Bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yakin kepimpinan negeri itu mampu menyelesaikan kontroversi politik susulan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, semalam. "Saya fikir mereka tahu selesaikannya. Speaker memang berhak membuat keputusan (menolak usul undi tersebut). "Saya tidak ada di sana semalam. Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku. Saya hanya Naib ketua, bukan Ketua UMNO Bahagian pun sekarang," katanya ringkas sebagai mengulas tindakan bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said yang mencadangkan usul undi berkenaan. Idris, yang juga Menteri Pendidikan Tinggi ditemui media di lobi Parlimen, di sini. Ahmad yang juga ADUN Kijal mencadangkan usul itu sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. Ahmad memberi alasan bahawa ada konspirasi untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat. Cadangan usul itu bagaimanapun diketepikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Mohd Zubir Embong yang memutuskan bahawa ia dibuat tanpa notis dan melanggar peraturan DUN. Idris menyandang jawatan menteri besar Terengganu dari tahun 2004 hingga 2008, manakala Ahmad memegang jawatan itu dari 23 Mac 2008 sehingga 12 Mei 2014.BERNAMA

Sidang DUN Terengganu berjalan lancar hari ini

eri (DUN) Terengganu yang kecoh semalam berikutan cadangan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, berjalan lancar hari ini. Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said yang mengemukakan cadangan itu tidak langsung kelihatan sehingga selesai sesi penggulungan titah ucapan Sultan, Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN ke-13 itu. Ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, Ahmad Razif melahirkan rasa syukur kerana persidangan hari terakhir itu berjalan lancar, selain mendapat sokongan padu anggota DUN Barisan Nasional. "Saya ucap terima kasih lah kepada semua yang terlibat dalam memastikan sidang DUN berakhir dengan baik, terima kasih dan syabas kepada Speaker DUN Datuk Mohd Zubir Embong yang berjaya mengawal suasana dengan begitu baik sekali. "Begitu juga dengan media, saya ucap terima kasih atas laporan berita yang dibuat kerana ini dapat menangkis berita-berita yang tak betul dan tersebar tentang keadaan di Terengganu. "Ini penting kerana dalam keadaan kita hendak menyambut Tahun Melawat Terengganu 2017, sudah pasti suasana yang aman dan tenang diperlukan untuk menarik kedatangan pelancong," katanya. Mengulas mengenai sokongan semua 15 ADUN Barisan Nasional kecuali Ahmad Said, beliau berkata semua ADUN terlibat telah menyatakan ikrar sokongan kepada kepimpinannya secara sukarela, dan turut menandatangani surat ikrar itu dalam satu mesyuarat semalam. Awal pagi tadi, hampir 300 orang berkumpul di perkarangan Wisma Darul Iman bagi menyatakan sokongan terhadap Ahmad Razif. Mereka turut membawa sepanduk dan melaungkan sokongan terhadap Menteri Besar. Pada pukul 8.30 pagi Ahmad Razif, barisan Exco dan beberapa pemimpin kerajaan bersama-sama menunaikan solat sunat gerhana sebelum turun ke dewan persidangan. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Roslee Daud berkata sokongan yang diberi kepada Ahmad Razif tidak berbelah bahagi. "Aspirasi Menteri Besar dalam meneruskan legasi pembangunan yang dimulakan tiga Menteri Besar sebelum ini semuanya membawa kebaikan kepada rakyat. "Sudah tentu beliau memerlukan sokongan semua Exco dan ADUN UMNO untuk merealisasikan matlamat seperti yang digariskan dalam Transformasi Terengganu Baharu," katanya. ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar pula berpendapat tindakan Ahmad Said itu dilihat dipengaruhi oleh tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang cuba menyingkirkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Jadi saya rasa perkara ini berjangkit di sini yang melibatkan kuncu-kuncunya untuk memalukan Datuk Seri Najib di mana kita tahu Menteri Besar sekarang ialah pilihan Datuk Seri Najib. "Namun kejadian ini secara tidak langsung telah membina satu kekuatan dalaman UMNO untuk terus bersatu padu dan mengenal siapa lawan dan siapa kawan dalam meneruskan perjuangan," katanya. ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar pula berkata, keputusan dalam menentukan pucuk pimpinan kerajaan dibuat secara konsensus oleh parti memerintah. "Dalam hal ini Umno adalah tunjang kepada kerajaan BN di Terengganu, maka pucuk pimpinan Umnolah yang berhak menentukan jika ada sebarang perubahan pimpinan. "Ahmad Razif adalah pemimpin yang disepakati untuk disokong oleh semua ADUN BN Terengganu sebagaimana diputuskan pada tahun 2014 dulu," katanya.BERNAMA

Usul undi tidak percaya tidak wajar dibuat secara serang hendap

S
ebarang usul undi tidak percaya tidak wajar dibuat secara "serang hendap", sebaliknya harus dimaklumkan melalui notis kepada dewan terlebih dahulu, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Merujuk kepada kes "usul" undi tidak percaya yang dicadangkan terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman semasa persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu semalam, beliau berkata ia tidak sepatutnya berlaku dalam negara demokrasi moden seperti Malaysia. "Untuk buat undi tidak percaya, tidaklah sesiapa sahaja apatah lagi seseorang yang cukup berpengalaman berdiri dan selepas itu bawa usul. "Seolah-olah itu adalah serang hendap, tengok kalau ada pihak sebelah sana yang tidak hadir dan anda terus berdiri. Dalam demokrasi tiada tipu menipu," katanya dalam ucapan ketika merasmikan Menara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sini, hari ini. Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said, yang juga bekas Menteri Besar Terengganu, semalam mencadangkan usul undi tidak percaya terhadap Ahmad Razif sebelum mengakhiri perbahasannya pada sesi perbahasan atas titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin merasmikan persidangan DUN ke-13. Bagaimanapun, speaker DUN Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong menolak "usul" itu. ADUN Kijal itu mengemukakan alasan bahawa terdapat konspirasi untuk memburukkan nama beliau dalam politik dan sebagai wakil rakyat.