Isnin, 21 Januari 2013

Isu kalimah Allah- Fuad cabar Anwar

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim di cabar menyatakan pendiriannya mengenai sikap Majlis Syura PAS mengenai isu pengunaan kalimah Allah. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi yang membuat cabaran demikian berkata, apakah pendirian Anwar selepas Majlis Syura memutuskan isu pengunaan kalimah Allah oleh bukan Islam bertentangan dengan akidah "Oleh itu Anwar perlu menyatakan pendiriannya terhadap pemimpin Pas yang tidak berganjak daripada keputusan Majlis Syura dalam isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible bahasa Melayu walaupun bertentangan dengan pendirian pakatan pembangkang. "Saya nak tanya, apa pendirian dia sekarang, nak berlakon lagi dengan menyatakan kami (pakatan pembangkang) ini bersatu padu, mantap dan sebagainya. "Saya nak tanya dia, tolong jawab apa pendiriannya dengan keputusan terbaru pemimpin Pas iaitu bahawa mereka akan ikut (keputusan Majlis) Syura (Ulama). "Jangan membohongi rakyat kerana rakyat nampak semua ini, rakyat nampak mereka ini berlakon dan jangan cari alasan lain dan sebagainya," katanya Isu kalimah ALLAH ini dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan membenarkan Bible bahasa Melayu menggunakan kalimah ALLAH, dan beberapa portal kemudian melaporkan pada 8 Januari bahawa majlis pimpinan pakatan pembangkang memutuskan kalimah ALLAH boleh digunakan penganut semua agama. Bagaimanapun, Pas melalui mesyuarat Majlis Syura pada Ahad menukar keputusan dengan mengatakan kalimah ALLAH adalah khusus untuk agama Islam dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja menukar pendirian, malah menyifatkan pengunaan nama Allah dalam Bible sebagai mengarut. Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, pemimpin Pas sepatutnya lebih awal membuat keputusan berhubung isu itu. Artikel Berkaitan

KALIMAH ALLAH JADI BOLA POLITIK-Hasan Ali

Presiden Jati, Datuk Hasan Ali melihat kalimah Allah sudah benar-benar dijadikan bola politk yang terus dilambung bila Pengerusi DAP Karpal Singh menggesa Majlis Syura PAS mengkaji semula keputusnanya. Serentak dengan itu beliau menyifatkan kebiadapan Pengerusi DAP itu sekali lagi terserlah dengan gesaan itu. Beliau menegaskan demikian dalam satu kenyataan Ahad sebagai mengulas mengenai gesaan berkenaan. Berikut ialah kenyataan penuh Dr Hasan: KENYATAAN YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI MENGENAI ULASAN KARPAL SINGH TERHADAP KEPUTUSAN MAJLIS SYURA PAS Pemimpin, ahli dan penyokong PAS perlu membuka mata dan minda berikutan dengan gesaan yang paling tidak beradab oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh seperti yang telah dilaporkan. Kebiadapan Karpal Singh sekali lagi terserlah apabila beliau : a.Menggesa supaya Majlis Syura Ulama PAS mengkaji semula keputusan yang dibuat berhubung dengan kalimah Allah supaya selari dengan pendirian Pakatan Rakyat; b.Menggesa Presiden PAS menentukan supaya pendirian parti Islam itu juga selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Presiden Pakatan Rakyat; Amatlah jelas bahwa Karpal Singh yang mewakili DAP tidak berganjak dengan pendirian parti itu mengenai Kalimah Allah yang sedang hangat dibincangkan. Selain daripada itu kenyataan terkini Karpal Singh itu boleh ditafsirkan seperti berikut : a. DAP ingin menjadi juara dalam isu kalimah Allah memandangkan pimpinan yang lain termasuk dipihak PKR belum membuat kenyataan. Atau kalau adapun kenyataan dibuat nada kenyataan itu tidak sekeras yang dikehendaki oleh DAP; b. Ternyata bahawa Karpal Singh yang mewakili DAP merasakan pucuk pimpinan PAS boleh dilentur-liuk memandangkan sebelum ini terjahan-terjahan Karpal Singh dalam beberapa isu menyebabkan PAS terpaksa mengangkat bendera putih; c. DAP ingin menjadi peneraju Pakatan Rakyat dalam beberapa isu termasuk yang berkaitan dengan kedudukan Islam dan Melayu; d. Tindakan sebahagian pimpinan PAS yang membuat pusingan U dalam isu ini menjadikan Karpal Singh semakin bersemangat dan bertenaga untuk membawa inti-inti perjuangan DAP ke dalam Pakatan Rakyat; e.Kejahilan Karpal Singh terhadap struktur membuat keputusan yang dipraktikkan oleh PAS. Dalam PAS, hal-hal dasar ditentukan oleh Majlis Syura sementara perlaksanaan dasar dan urusan harian parti diserahkan kepada Presiden dan jawatankuasa pusatnya. Kejahilan sedemikian sepatutnya tidak berlaku kerana kerjasama di antara DAP dan PAS telah diteroka sebelum PRU ke 12 tahun 2008 lagi. Sekarang ini kelihatan isu kalimah Allah sudah benar-benar dijadikan bola politik yang terus dilambung. Karpal Singh telah menggunakan ruang dan kesempatan yang ada untuk cuba membuat pukulan maut ke atas bola tanggung yang sedang dilambung-lambungkan. Tidak salah kalau saya cuba membuat ramalan bahawa sudah terdapat beberapa tanda keretakan di dalam Pakatan Rakyat. Semakin hari keretakan itu bertambah membesar dan berkemungkinan struktur Pakatan Rakyat itu sendiri akan roboh dan tumbang ke bumi akibat daripada struktur utama yang semakin lemah itu. Dalam kedudukannnya sebagai Presiden, Ustaz Hadi Awang tidak mempunyai banyak pilihan yang ada di hadapan beliau. Pilihan pertama akur kepada kehendak Karpal Singh dan DAP yang kini dilihat menjadi peneraju utama Pakatan Rakyat. Pilihan kedua pula keperluan mempertahankan keputusan Majlis Syura dengan lebih bertenaga akibat desakan musuh-musuh Islam dalam DAP itu. Pada hemat saya pilihan yang kedua adalah lebih munasabah dengan mengambil kira apa sebenarnya perjuangan PAS selama ini dan siapa yang menggalas perjuangan itu. Ketegasan dan istiqamah Ketua Dewan Ulama PAS dan beberapa pimpinan ulama PAS harus di sanjung. Mereka mengambil sikap berdasarkan metodologi syariah tidak berganjak untuk mempertahankan bahawa kalimah Allah tidak boleh diguna pakai di kalangan mereka yang bukan Islam. Dengan PRU ke 13 yang akan di umum pada bila-bila masa kemungkinan sesuatu yang tidak dijangka akan berlaku di dalam Pakatan Rakyat. Tidak mungkin mereka akan menghadapi PRU ke 13 dengan beberapa isu besar yang boleh mengubah pilihan pengundi masih belum dapat diselesaikan. YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI Presiden JATI Malaysia TTDI, Kuala Lumpur 20 Januari 2013