Selasa, 14 Oktober 2014

Pelan struktur keretapi dikaji semula

Kementerian Pengangkutan akan mengkaji keseluruhan pelan struktur kereta api termasuk Jajaran Baharu Kereta Api Pantai Timur untuk pastikan ia lebih sempurna dan efisien pada masa akan datang. Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ia juga sebagai langkah untuk menjadikan pengangkutan kereta api sebagai kemudahan pengangkutan awam yang paling berkesan menggantikan lebuh raya dan pengangkutan udara menjelang 2020. "Laluan kereta api sedia ada dari Mentakab dan Gua Musang akan dikaji semula secara keseluruhan dan akan dinaik taraf kerana banyak yang telah rosak akibat penyelenggaraan yang kurang memuaskan menyebabkan kereta api tidak dapat bergerak laju. "Laluan baharu itu nanti akan menghubungkan kawasan berkepadatan penduduk tinggi dan melalui laluan bandar-bandar besar seperti Kuantan dan Kuala Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Hari Deepavali di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Karak di sini hari ini yang dihadiri lebih 1,500 murid dan guru dari lima buah sekolah sekitar daerah ini. Majlis Pembangunan Ekonomi Pantai Timur (ECER) sebelum ini telah pun melaksanakan kajian terperinci mengenai jajaran baharu kereta api Pantai Timur menghubungkan Kuala Lumpur ke Kota Baharu membabitkan jarak sejauh 620km dengan kos kira-kira RM30 bilion. Dalam Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM150 juta untuk menaik taraf landasan kereta api dari Gemas, Negeri Sembilan ke Gua Musang, Kelantan. Liow berkata dengan adanya jajaran baharu itu nanti, ia bakal menjadikan kereta api sebagai pengangkutan awam alternatif mengatasi kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Lebuh Raya Pantai Timur terutama menjelang musim perayaan. Sementara itu, katanya laluan landasan berkembar dari Ipoh ke Padang Besar serta Ipoh dan Gemas telah pun siap, manakala Gemas ke Johor Baharu pula dijangka siap menjelang akhir tahun ini. "Landasan dari Johor Baharu dan Padang Besar ini amat penting dan kita akan pastikan ia dapat disiapkan menjelang akhir tahun ini kerana ia telah lama tertangguh," kata Liow yang juga Presiden MCA. Katanya keseluruhan laluan itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada tahun depan. Sementara itu, Liow yang juga Anggota Parlimen Bentong mengingatkan rakyat di negara ini supaya mengekalkan perpaduan untuk keharmonian dan kestabilan dalam negara. "Keharmonian serta kestabilan tak akan datang menggolek dan melayang, jadi kita jangan ambil remeh tentang soal ini, tetapi mesti berusaha untuk mengekalkannya," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan