Selasa, 14 Oktober 2014

MB Kelantan gesa ahli PAS tidak sertai PasMa

Majlis Syura Ulama PAS sekali lagi menegaskan agar semua ahli parti itu mematuhi ketetapan majlis berkenaan untuk tidak menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa). Pemangku Ketua Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata sebagai ahli parti itu, mereka perlu patuh segala ketetapan parti dengan tidak sesekali melanggar arahan untuk menyertai persatuan berkenaan. "Kita ini berparti dan perlu patuh kepada keputusan parti dan itulah keputusan kita (Majlis Syura). "Apa-apa arahan dengan keputusan parti mana sekali pun kita kena patuh dan ikut," katanya kepada pemberita sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan berhenti rehat di Kota Darul Naim di Kota Baru hari ini. Pada 13 Oktober lalu majlis berkenaan mengeluarkan arahan agar ahli PAS tidak menyertai PasMa. Bagaimanapun Presiden Pasma Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi semalam dilaporkan tetap berkeras untuk tidak membubarkan persatuan itu kerana penubuhannya tiada kaitan dengan PAS atau parti lain. Mengulas perkara itu, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata pihaknya akan menunggu keputusan PAS Pusat berhubung perkara itu sama ada perlu mengambil tindakan atau sebaliknya kepada ahlinya yang menyertai PasMa. "Kita dengar keputusan PAS Pusat dulu mengenai mereka yang menyertai PasMa ini," katanya. Ketika ditanya adakah perlu PasMa dibubarkan, Ahmad berkata ia merupakan masalah lain tetapi yang penting ahli PAS perlu mengikut arahan yang dikeluarkan. – Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan