Jumaat, 21 Mei 2010

Menteri nafi belia Kelantan tak dijemput sambutan hari belia

Menteri Belia dan Sukan Datuk Ahmad Shabery Cheek menafikan belia Kelantan tidak dijemput menyertai sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan yang diadakan di Putrajaya minggu lepas.

Malah, katanya belia dari negeri Kelantan antara yang teramai mewakili negeri ke perhimpunan Hari Belia selama tiga hari di Pusat Konvensyen Putrajaya bermula 14 Mei lepas.

Beliau berkata lebih 150,000 belia menyertai perhimpunan itu dan mengambil bahagian dalam pelbagai acara, termasuk larian serta futsal dengan mewakili negeri masing-masing.

"Semua belia dari seluruh negara dijemput ke perhimpunan itu mewakili pertubuhan yang didaftarkan di bawah Pendaftar Pertubuhan Belia dan jemputan tidak dibuat melalui kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung berkelompok cawangan-cawangan Umno dalam bahagian Tumpat malam tadi.

Beliau diminta mengulas dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Abdul Fatah Mahmood yang kecewa kerana menurutnya Kelantan tidak dijemput menyertai majlis sambutan Hari Belia Negara 2010 peringkat kebangsaan.

- Bernama

Nik Aziz mengaku UMNO kuat



Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata PAS tidak akan bekerjasama dengan Umno kerana parti lawan itu lebih kuat daripadanya.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pengalaman lepas juga mengajar PAS agar tidak mengulangi kesilapan bekerjasama dengan Umno sebelum disingkir daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

"...kita ditendang begitu sahaja apabila kita tidak diperlukan. Pengalaman itu sudah cukup memberi pengajaran kepada kita, kita tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang lebih kuat daripada kita," kata Nik Abdul Aziz pada kuliah mingguannya, di sini pada Jumaat.

Nik Abdul Aziz berkata PAS mempertimbangkan faktor kekuatan setara itu berasaskan prinsip 'menang-menang' yang hanya boleh dicapai jika kedudukan kedua-dua parti sama kuat.

"Islam mengajar supaya kita bekerjasama dengan pihak lawan, jika kedudukan kita sama kuat barulah kerjasama itu mencapai matlamat, kalau tidak kita mudah ditindas," katanya.

Beliau juga mempertahankan kerjasama PAS dan DAP yang disifatkannya telah banyak membantu masyarakat Cina memahami Islam dan tidak lagi menganggap masyarakat Islam sebagai golongan ekstremis.

DAP juga katanya menerima Islam sebagai asas perjuangan PAS.Bernama

NOTA KAKI: Akhirnya Musyidul Am PAS,Datuk Nik Aziz Mat bersetuju bahawa UMNO adalah sebuah parti yang kuat.

Walaupun dengan memberi pelbagai alasan untuk tidak mahu bekerjasama dengan parti yang mewakili orang Melayu itu tetapi dalam masa yang sama , Nik Aziz terpaksa mengakui kekuatan UMNO.

Dengan ini jelas, pelbagai alasan yang diberikan PAS sebelum ini untuk tidak mahu bekerjasama dengan UMNO lebih kepada helah politik yang enggan untuk mengakui kelemahan sendiri.

Sepatutnya sebagai sebuah parti yang lemah, PAS tidak perlu bergantung kepada parti yang lemah juga, sebaliknya harus memilih dahan yang kuat untuk bergantung, agar tidak jadi seperti kata perpatah, si luncai terjun dengan labu-labunya.

Tetapi Nik Aziz memilih untuk basah dan berenang bersama parti yang lemah dan lebih berminat memecahkan perpaduan rakyat dari menyatukan bangsa dan kaum di negara ini, dan kalau macam ini pemikiran pemimpin PAS, tak kemana parti ini sekadar menjadi bahan mainan golongan yang sama sama lemah kerana enggan belajar dari orang yang kuat. Kesian kat Nik Aziz, lagi kesian kat ahli PAS.

Di pecat kerana desak Samy berhenti




Pemecatan Timbalan Ketua Pemuda MIC V. Mugilan daripada parti tiada kena mengena dengan dakwaan beliau telah sabotaj parti dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor Mac lepas.

Sebaliknya, katanya beliau dipecat kerana beliau meminta presiden parti Datuk Seri S. Samu Velly melepaskan jawatannya selewat-lewatnya akhir tahun ini.

Mugilan, yang akan merayu terhadap pemecatannya melalui surat yang diterimanya pada kira-kira 11 malam semalam, memberitahu Bernama:

"Satu-satunya sebab bagi pemecatan saya, seperti dinyatakan dalam surat itu, ialah kerana meminta Samy Vellu meletakkan jawatan...ia (pemecatan) tiada kena mengena dengan isu (saya) sabatoj parti dan Barisan Nasional pada pilihan raya kecil Hulu Selangor.

"Surat itu menyatakan saya dipecat daripada parti, berkuatkuasa serta merta, dan saya boleh merayu dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat pemecatan itu, kepada CWC (jawatankuasa kerja pusat, badan pembuat keputusan tertinggi MIC).

Beliau mendesak Samy Vellu meletakkan jawatannya dengan segera atau selewat-lewatnya Disember, selepas presiden parti berkata beliau akan meletakkan jawatan "lapan atau sembilan bulan" sebelum penggalnya sebagai presiden parti tamat pada Mei 2012.

Mugilan yakin jika Samy Vellu melepaskan jawatan tertinggi parti itu, BN akan memperoleh sekurang-kurangnya 80 peratus undi kaum India pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, Mugilan, yang juga Ketua Pemuda MIC Bahagian Hulu Selangor, akan mengadakan sidang akhbar pada 11 pagi esok di Restoran Lotus di Jalan Gasing, Petaling Jaya.

Beliau berkata pelan tindakan drastik terhadap kepimpinan Samy Vellu akan diumumkan pada sidang akhbar itu.