Khamis, 7 April 2016
VETERAN UMNO MINTA PM NAJIB JANGAN LAYAN TUDUHAN KAITKAN 1MDB
Veteran Umno Malaysia (Veteran) meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak lagi melayan sebarang tuduhan yang mengaitkan beliau dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Setiausahanya Datuk Mustapha Yaakub berkata laporan yang dibentang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen hari ini jelas mendapati perdana menteri tidak terlibat dalam isu membabitkan syarikat berkenaan, termasuk dakwaan bertanggungjawab dengan kehilangan wang RM42 bilion dan tuduhan menggunakan wang 1MDB untuk tujuan peribadi.
Mustapha berkata pihaknya sememangnya menunggu laporan dan pengesahan PAC yang diketuai Datuk Hassan Arifin itu.
"Veteran yakin, laporan PAC yang keanggotaannya terdiri dari wakil-wakil kerajaan Barisan Nasional (BN) dan pembangkang adalah telus dan tidak boleh dibeli atau disogok.
Oleh itu, tidak ada sebab keputusan itu harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak yang rasional, kecuali mereka yang tidak mahu mengalah dan mahu menegak benang basah serta berniat jahat," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Sehubungan itu, katanya pihaknya menggesa perdana menteri untuk tidak lagi membazir masa melayan kerenah mereka yang memang berniat jahat dan cuba menjatuhkan beliau dengan secara tidak sah dan tidak mengikut lunas saluran demokrasi.
"Sekiranya selepas laporan PAC ini masih ada pihak yang masih menuduh Najib terlibat dengan kehilangan wang 1MDB dan penyaluran RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya, Veteran mahu supaya Najib mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka," katanya.
Mustapha berkata pihaknya juga mahu laporan PAC itu diperjelaskan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah difahami oleh semua pihak termasuk media.
Justeru, katanya, pihak terlibat termasuk menteri-menteri, ketua jabatan dan pemimpin BN perlu turun padang untuk memperjelaskan keputusan PAC itu.
"Tindakan ini perlu dilakukan bukan untuk membersihkan nama Najib tetapi untuk membersihkan nama kerajaan yang tercemar dengan tuduhan dan fitnah liar oleh pembangkang dan mereka yang mahu Najib dijatuhkan sebagai ketua kerajaan," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan