Selasa, 5 April 2016

BN DEDAH DOKUMAN TANAH DI TAMAN MANGGIS PULAU PINANG

Barisan Nasional (BN) telah mengemukakan dokumen perjanjian jual beli mengaitkan plot tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang yang menimbulkan kontroversi yang dijual kepada pihak ketiga. Ketika mendedahkan perjanjian itu di sini hari ini, Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata dokumen itu menunjukkan bahawa Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) Sdn Bhd telah menjual saham tanah itu kepada pihak ketiga. Abdul Rahman, yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata perjanjian bertarikh 11 Nov tahun lepas, juga menunjukkan bahawa harga pembelian transaksi sub-jualan itu ialah RM70,643,628. Tanpa mendedahkan identiti "pihak ketiga", beliau menarik perhatian bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng telah menafikan yang tanah itu dijual kepada pihak ketiga. "Tetapi apa yang beliau (Lim) tidak mendedahkan ialah tanah itu sekarang dipegang oleh KLIDC dan penjualan sahamnya (KLIDC) mempunyai kesan yang sama seperti juga menjual tanah," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini. Pada 24 Mac, Lim menolak dakwaan bahawa tanah di Taman Manggis - yang dikatakan untuk pembangunan projek perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) akan dijual kepada pihak ketiga dan tanah itu masih di bawah KLIDC seperti dinyatakan dalam geran tanah. Isu berhubung tanah Taman Manggis dan banglo yang dibeli oleh Lim bermula apabila perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat oleh Anggota Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya, yang meminta Jabatan Penilaian dan Pembangunan Hartanah membuat penilaian ke atas hartanah RM2.8 juta itu kerana mendakwa harga semasa adalah melebihi RM3 juta. Abdul Rahman berkata, perjanjian meliputi penjualan antara lain berhubung-kait antara satu sama lain melibatkan penjualan KLIDC dan Victoria International Medical Centre Sdn Bhd, masing-masing pada harga RM18,643,628 dan RM52,000,000, dan syarikat yang terlibat dimiliki oleh Datuk Tang Yong Chew dan isterinya. "Apabila dibaca pada masa yang sama, kedua-dua perjanjian nampaknya melibatkan penjualan Medical Centre dan projek Hotel dengan aset teras ialah tanah di Taman Manggis," kata beliau. Projek di kawasan tanah itu kini ditangguhkan selepas mendapat bantahan daripada beberapa pihak. Walaupun penjualan tanah di Taman Manggis adalah lebih rendah daripada harga pasaran, Abdul Rahman berkata, tanah itu kemudian dijual semula oleh KLIDC kepada pihak ketiga bagi RM70.6 juta, dengan keuntungan diunjurkan sebanyak RM59 juta, walaupun teras projek belum dibangunkan. Beliau berkata tanah itu asalnya dijual kepada KLIDC pada 6 Jun, 2010 apabila Kerajaan Pulau Pinang menawarkannya di bawah permintaan kontroversi untuk proses cadangan pada harga RM11.55 juta atau RM232 untuk sekaki persegi, harga yang kebanyakan pihak percaya adalah lebih rendah daripada nilai pasaran pada masa itu. Abdul Rahman turut mempersoalkan sama ada kerajaan negeri telah dimaklumkan mengenai transaksi tersebut dan sama ada ia telah memberi kelulusan. Selain itu, Abdul Rahman berkata beliau telah mengarahkan pasukannya untuk mengemukakan perjanjian jual beli dan dokumen lain yang berkaitan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis hari ini. "Kami berharap dokumen tersebut akan membantu mereka untuk melaksanakan tugas, tanpa takut atau memihak," katanya. Kepada satu soalan, Abdul Rahman berkata, keputusan Kerajaan Pulau Pinang untuk membina projek perumahan kos rendah pada plot tanah yang lebih luas di Jalan S. P. Chelliah, di pusat bandar, adalah sama sekali berbeza daripada rancangan awal di Taman Manggis. "Di S. P. Chelliah, satu unit berharga RM72,000 manakala unit PPRT dijual pada harga RM35,000, walaupun kos pembinaan melebihi RM100,000, dengan kadar sewa RM100 sebulan. Harga di S. P. Chelliah adalah dua kali ganda dan ia tidak memenuhi permintaan golongan miskin tegar," jelas beliau. Tanah di Taman Manggis, Pulau Pinang mulanya telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi pembinaan rumah mampu milik tetapi rancangan untuk PPRT digantikan dengan cadangan untuk projek pembangunan bercampur pada 2005. Lim berkata kerajaan negeri mendapati keluasan tanah di Taman Manggis (lebih satu ekar tanah) tidak sesuai untuk perumahan kos rendah, dan telah memindahkan projek perumahan mampu milik ke tanah yang lebih 10 kali lebih besar di Jalan S. P. Chellilah. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan