Isnin, 4 April 2016
SEBUAH UNIVERSITI MARA BAKAL DITUBUH-PM NAJIB
Sebuah universiti bukan teknikal dikenali sebagai Universiti Mara (UniMara) akan diwujudkan untuk membantu pembangunan modal insan di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Tinggi telah memberi kelulusan bagi penubuhan Institusi berkenaan.
"MARA (Majlis Amanah Rakyat) sudah ada Universiti Kuala Lumpur (UniKL), maka untuk bidang bukan-TVET (latihan pendidikan teknikal dan vokasional), sebuah universiti MARA juga akan diwujudkan, maka ramai pelajar kita dapat peluang melanjutkan pelajaran di universiti ini," katanya ketika berucap merasmikan sambutan perdana 50 tahun MARA di sini, Isnin.
Penubuhan universiti berkenaan merupakan beberapa perkara penting diumumkan Perdana Menteri sempena ulang tahun ke-50 MARA bagi menentukan hala tuju baharu agensi itu selain memperkemaskannya untuk mendepani 50 tahun akan datang.
Perdana Menteri turut mengumumkan perubahan nama Yayasan Pelajaran MARA kepada Yayasan MARA untuk memperluaskan bantuan kepada pelbagai kumpulan sasar.
"Maknanya, dahulu Yayasan Pelajaran MARA tanggung jawab sosialnya cuma terhad kepada bidang pelajaran, tetapi bila kita ubah nama, dengan dana terkumpul sebanyak RM800 juta, jadi MARA boleh beri bantuan lain seperti bantuan kebajikan waktu banjir dan sebagainya," katanya.
Najib juga berkata Jalan Semarang yang menempatkan Menara MARA di sini juga akan ditukar kepada Jalan MARA sebagai satu simbol kewujudan MARA.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata kegemilangan MARA selama 50 tahun kewujudannya berkait rapat dengan kegemilangan Umno sebagai parti pemerintah di negara ini.
Menurutnya MARA sebagai agensi yang memperjuangkan hak Melayu dan bumiputera berkemungkinan tidak akan wujud tanpa Umno.
"MARA lahir daripada perut siapa? Umno. Jadi tanpa Umnio, tak mungkin MARA akan terus wujud.
"Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) cakap MARA akan terus wujud selagi ada bulan dan matahari. Tetapi saya akan kata MARA akan wujud selagi Umno berkuasa," katanya.
Sehubungan itu, Najib berkata Umno sebagai parti yang mempertahankan MARA perlu terus dipelihara.
"Sebab itu kita perlu jaga Umno, jaga MARA dan tidak duduk sebaris dengan orang yang mengkhianati Umno," katanya.
Najib turut menyifatkan hubungan antara Umno dan MARA sebagai tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain.
"Hubungan yang kita sifatkan sebagai simbiotik antara satu sama lain, seperti aur dan tebing. Maka komitmen kita, kelangsungan kedua-dua institusi ini sebati dengan perjuangan kita," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan