Selasa, 5 April 2016
KERAJAAN TERUS SOKONG MARA TERAJU ASPIRASI MELAYU
Kerajaan akan terus menyokong visi Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menerajui aspirasi Melayu dan Bumiputera menjadi kuasa besar dalam bidang keusahawanan, pendidikan, pelaburan dan pemilikan ekuiti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata selepas 50 tahun penubuhan MARA, institusi itu telah memainkan peranan penting terhadap pembangunan sosioekonomi negara dan setakat ini MARA sudah memperkasa lebih daripada 4 juta Bumiputera melalui keusahawanan, pendidikan dan pelaburan berimpak tinggi.
Dalam catatan terbaru di blog beliau, Najib berkata, sejarah penubuhan MARA, adalah sesuatu yang amat dekat dan peribadi buat dirinya.
Diilhamkan oleh Timbalan Perdana Menteri (kemudian Perdana Menteri kedua) yang juga ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein pada 1965 dan digazetkan pada tahun berikutnya, beliau berkata, MARA mula mengorak langkah mengangkat martabat bangsa dan menerajui bidang keusahawanan, pendidikan dan pelaburan untuk penguasaan ekuiti Bumiputera.
"MARA membesar bersama-sama Malaysia. Selepas kita mencapai kemerdekaan, MARA adalah antara institusi yang telah mentransformasikan dan menaik taraf kehidupan Bumiputera secara berterusan," katanya.
Dari segi keusahawanan, beliau berkata MARA sentiasa tanpa gagal memberi bantuan kepada usahawan-usahawan dengan bantuan kewangan, latihan kemahiran dan juga bantuan dari segi pembangunan infrastruktur.
Malah, hanya melalui pelaksanaan Pelan Strategik MARA 2011-2015, institusi ini telah mendidik lebih 80,000 usahawan ke arah kejayaan, katanya.
Selain keusahawanan, MARA juga memainkan peranan penting melaburkan dana dan masa dalam pembangunan modal insan melalui pendidikan.
"Buktinya, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan pendidikan tertiari seperti Universiti Kuala Lumpur (UniKL), German Malaysian Institute (GMI), MARA-Japan Industrial Institute (MJII), GiatMARA dan Kolej Mara, telah melahirkan banyak tenaga kerja, pakar industri dan profesional," kata Najib.
Mengambil contoh beberapa individu seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, pengasas bersama AirAsia Datuk Kamarudin Meranun dan ketua pegawai eksekutif Celcom Axiata Datuk Seri Shazalli Ramly, beliau berkata, mereka ini adalah antara sebahagian graduan MARA yang berjaya dan kini menjadi tokoh industri.
MARA turut menghasilkan generasi yang berpengetahuan dan berkemahiran melalui pemberian biasiswa kepada pelajar cemerlang untuk pendidikan di dalam dan luar negara.
Katanya, MARA telah menaja 75,000 anak-anak Melayu dan Bumiputera untuk melanjutkan pelajaran supaya mereka mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa dan mempunyai pengetahuan yang tinggi dalam apa jua bidang yang diceburi.
"Saya yakin dan percaya, MARA akan terus melahirkan bakat berkualiti Melayu dan Bumiputera yang mampu membanggakan negara, agama dan bangsa.
"Pada masa sama, saya harap mereka yang telah mendapat manfaat dan kini berjaya melalui bantuan MARA akan kembali menyumbang kepada generasi Melayu dan Bumiputera seterusnya," katanya.
Dari segi ekonomi, Perdana Menteri berkata MARA juga menubuhkan anak syarikat seperti MARA Liner Sdn Bhd, MARA Incorporated Sdn Bhd, Pelaburan MARA Bhd dan Asia Aerospace City bagi menjana kewangan mampan.
Najib berkata sempena sambutan ulang tahun MARA yang ke-50 semalam, ia (MARA) mengumumkan akan menstruktur semula semua anak syarikatnya yang akan diletakkan di bawah MARA Corporation Bhd (MARA Corp) dengan modal berbayar RM1.4 bilion, manakala Rural Capital Bhd, sebuah institusi kewangan khusus bagi membantu usahawan, juga akan ditubuhkan.
Selain itu, beliau juga berkata, sebuah universiti bukan teknikal dikenali sebagai Universiti Mara (UniMara) akan diwujudkan untuk membantu pembangunan modal insan di negara ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan