Sabtu, 16 April 2016

PENGUNDI SARAWAK DIGESA TOLAK CALON KELAWAR PADA MUSIM BUAH

Rakyat Sarawak diminta menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang sentiasa turun padang bagi menyelesaikan pelbagai masalah penduduk tanpa mengira waktu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata penduduk memerlukan wakil rakyat yang mampu menyelami keperluan dan melihat nasib 'anak buah' di kawasan tanpa mengira sama ada musim pilihan raya atau tidak. Katanya rata-rata pemimpin pembangkang bersikap bagaikan 'kelawar pada musim buah' yang turun padang hanya pada musim pilihan raya dan menghilangkan diri selepas itu. Pemimpin ini hanya tunjuk muka ketika musim pilihan raya dan tinggalkan kawasan itu selepas pilihan raya berakhir tanpa membawa apa-apa pembangunan," katanya pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Linchang, Entawa, dekat sini Sabtu. "Mereka (pemimpin pembangkang) berkokok di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat tetapi tiada pembangunan dibawa, itu sebabnya kita harus mendokong dan menyokong calon Barisan Nasional (BN) yang terbukti sentiasa turun padang, bukan hanya ketika pilihan raya sahaja," tambahnya. Hadir sama, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat yang juga Anggota Parlimen Sri Aman dan juga penyandang kerusi DUN Simanggang, Datuk Francis Harden Hollis. Ahmad Zahid berkata kesinambungan pimpinan kerajaan pusat dan negeri akan memacu pembangunan berterusan di Sarawak. Beliau menyeru penduduk Sarawak memberi mandat kepada Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem dan BN Sarawak pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-11 (PRN-11) pada 7 Mei ini bagi meneruskan pelbagai rancangan pembangunan negeri. "Peluang harus diberikan kepada Tok Nan (Adenan). Walaupun kurang dua tahun beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak, lebih 50 projek, prinsip dan perancangan dilaksanakan. Ini membuktikan beliau seorang pemimpin yang komited," katanya. Selain itu, Ahmad Zahid berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga komited dalam membangunkan negeri Sarawak dengan memberi peruntukan dalam pelbagai projek pembangunan, termasuk pembinaan Lebuhraya Pan Borneo yang bernilai lebih RM16 bilion. -- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan