Khamis, 7 April 2016

WANITA UMNO JOHOR TOLAK DAKWAAN ADA USAHA JATUHKAN MB

Pergerakan Wanita Umno Johor pada Khamis menolak sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan adanya gerakan untuk menjatuhkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Ketua Wanita Umno Negeri Johor Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata seluruh kepimpinan Wanita Umno Johor berdiri teguh di belakang kepimpinan Menteri Besar. Menurutnya, Mohamed Khaled bukan sahaja dilihat sebagai Menteri Besar yang berjaya membawa perubahan dan kemajuan dalam pentadbiran tetapi juga kepada pengurusan kerajaan negeri yang merangkumi pelbagai aspek untuk kepentingan rakyat dan bangsa Johor. "Menteri Besar Johor juga telah berjaya membawa perpaduan dan permuafakatan di kalangan pimpinan Umno pelbagai lapisan dan peringkat. (Jadi) tidak perlulah kita melayan isu-isu yang boleh melemahkan jentera dan parti. Saya menyeru seluruh ahli Wanita Umno pelbagai peringkat terus bekerja keras membantu Menteri Besar Johor dalam menangani permasalahan dan menjaga kebajikan rakyat seterusnya memastikan pengukuhan parti dipertahankan demi mencapai kemenangan Pilihan Raya Umum Ke-14," kata beliau dalam satu kenyataan di sini Khamis. Sharifah Azizah berkata Johor dengan cara dan acuan tersendiri pastinya memerlukan lebih banyak sentuhan ajaib daripada Menteri Besar Johor bagi melakar kejayaan bangsa Johor kini dan masa hadapan. "Rekod cemerlang ditunjukkan Mohamed Khaled selama ini menjadikan tiada sebab untuk beliau digantikan dengan orang lain. Wanita Umno berharap rakyat menolak dengan sekeras-kerasnya adu domba yang cuba dikaitkan di antara Mohamed Khaled dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata beliau. Wanita UMNO Johor yakin jalinan persahabatan dan keakraban Mohamed Khaled dan Najib amat erat malahan hala tuju kepimpinan Menteri Besar Johor hari ini seiring dengan pendekatan yang dibuat oleh kerajaan pusat. Sementara itu, Ketua Pemuda Johor Hahasrin Hashim pula menyifatkan dakwaan itu sebagai 'pukat terlabuh, ikan tak dapat'. "Kami dari Pergerakan Pemuda Umno Johor ingin menegaskan bahawa sebarang gerakan bagi menukar Menteri Besar Johor adalah satu perkara yang mengarut dan membazir masa," katanya dalam satu kenyataan berasingan. Menurut Hahasrin, di bawah pentadbiran Mohamed Khaled negeri Johor terus maju dan menghasilkan pendapatan ekonomi negeri progresif dan hasilnya menyaksikan Keluaran Dalam Negeri Kasar(KDNK) Johor mencatatkan pertumbuhan pada kadar 6.5 peratus dengan nilai RM93.7 billion pada tahun 2014 sahaja. "Selain itu, banyak perkara yang mensejahterakan dan mengutamakan rakyat telah banyak dijalankan. Ini dapat dilihat menerusi Pelan Suara Hati Johor, Pelan Pertumbuhan Ekonomi Johor dan bajet tahunan yang dibentangkan dan terbukti mengikut kehendak dan keperluan rakyat," kata Hahasrin sambil menambah Pergerakan Pemuda Umno Johor tetap teguh bersama-sama Menteri Besar Johor. Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri Md Jais Sarday pula berkata barisan kepimpinan kerajaan Negeri Johor dan Umno Johor akan terus mendokong kepimpinan Mohamed Khaled dalam menjayakan Gagasan Johor Berkemajuan. "Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas sokongan semua sahabat, rakan serta seluruh rakyat Johor yang berdiri teguh bersama Menteri Besar kita," katanya menerusi akaun Facebook rasminya. Semalam, sebuah portal melaporkan adanya gerakan untuk menggantikan Mohamed Khaled.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan