Selasa, 18 November 2014

Tanah rizab Melayu di Johor meningkat- MB Khaled

Peningkatan tanah rizab Melayu di Johor sejak merdeka membuktikan kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan kepentingan tanah rizab Melayu selama ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Beliau berkata kawasan tanah rizab Melayu di kawasan Iskandar Malaysia yang merangkumi daerah Johor Baharu dan sebahagian Kulaijaya meningkat 12 kali ganda kepada keluasan 23,517.37 hektar sehingga September ini berbanding sebelum merdeka iaitu 1,921.44 hektar. “Dengan data peningkatan keluasan tanah rizab Melayu ini, maka, ia secara tidak langsung menolak dakwaan kononnya kerajaan negeri mengabaikan tanggungjawab untuk mempertahan dan memperluaskan tanah rizab Melayu,” katanya. Mohamed Khaled berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Maulizan Bujang (BN-Tiram), Ayub Jamil (BN-Rengit) dan A.Aziz Ismail (BN-Senggarang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di Kota Iskandar, Nusajaya, hari ini. Beliau berkata kerajaan negeri memberi jaminan untuk mempertahankan tanah rizab Melayu dan ia merupakan agenda utama kerajaan negeri di bawah pentadbiran beliau. Menjawab soalan tambahan Datuk Samsolbari Jamali (BN-Senggarang), Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menguatkuasakan tindakan perampasan tanah rizab Melayu yang sudah bertukar tangan kepada bukan Melayu melalui pengambilalihan pemegang saham atau pemilikan syarikat. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Datuk Ir Hasni Mohamad berkata kerajaan negeri merangka Pelan Keselamatan Jalan Raya 2014-2020 bagi menekankan program keselamatan jalan raya. Menjawab soalan Chew Peck Choo (DAP-Yong Peng), katanya antara yang terkandung dalam pelan berkenaan adalah pendidikan dan langkah-langkah psikologi dalam menangani isu keselamatan jalan raya serta mengurangkan kecuaian manusia dengan menggabungkan kepakaran teknologi seperti kamera perangkap had laju. “Program-program keselamatan jalan raya ini akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta komuniti setempat,” katanya. Beliau berkata antara penyebab kebanyakan kemalangan yang berlaku adalah kerana kecuaian dan sikap pengguna jalan raya sendiri iaitu akibat memotong kenderaan, terbabas sendiri, melanggar belakang kenderaan, keluar dan masuk simpang jalan, melawan arus serta menukar lorong secara tidak berhemah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan