Selasa, 18 November 2014

Projek naik taraf Lapangan Terbang Lahad Datu tahun depan- Aziz Kaprawi

Projek menaik taraf dan memanjangkan landasan Lapangan Terbang Lahad Datu dijangka dilaksanakan tahun depan, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi. Beliau berkata projek naik taraf landasan dari 1.3 kilometer kepada 1.8 kilometer itu akan dilaksana di kawasan tanah rizab lapangan terbang seluas 153.7 hektar. "Apabia siap nanti, lapangan terbang ini mampu mengendalikan pesawat yang lebih besar," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di lapangan terbang itu di sini pada Selasa. Aziz berkata projek bernilai RM50 juta di bawah Bajet 2015 itu akan hanya bermula selepas masalah perkampungan setinggan di kawasan terbabit diselesaikan terlebih dahulu. "Saya difahamkan kira-kira 5,000 penduduk menetap di kawasan projek berkenaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengendalikan proses pemindahan penduduk berkenaan," katanya. Sementara itu, Pegawai Daerah Lahad Datu Iman Ali berkata kerja menaik taraf landasan berkenaan tidak akan dimulakan selagi penempatan semula penduduk di enam kampung terbabit tidak selesai. "Sebagai langkah awal, kami akan mengadakan mesyuarat bersama penduduk yang terlibat pada minggu hadapan," katanya. Turut hadir Anggota Parlimen Silam Datuk Nasrun Mansur dan Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Mohd Yusof Apdal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan