Selasa, 18 November 2014

70 peratus pengguna puashati dengan pengangkutan awam di Lembah Kelang- SPAD

Kajian Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2012 hingga 2013, menunjukkan sebanyak 71 peratus daripada pengguna berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan operator-operator pengangkutan awam di Lembah Klang. Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata perangkaan yang dicatat untuk kesemua jenis pengangkutan awam itu menunjukkan pihaknya cemerlang dan komited dalam usaha memperbaiki serta memajukan sistem pengangkutan awam darat khususnya di kawasan bandar. "Bagaimanapun, dalam melaksanakan komitmen itu, kita tidak pernah meminggir perkhidmatan awam darat di luar bandar kerana kita tahu kawasan luar bandar turut menyumbang kesan limpahan ekononomi kepada negara," kata beliau. Syed Hamid bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Pengangkutan Awam Darat (LPT) 2014 bertajuk: 'The Future of Our Cities - Thinking Ahead Building Together', di sini hari ini. Katanya, untuk mengekalkan kesinambungan itu (kepuasan pengguna), SPAD akan mempertimbang beberapa langkah lagi pada masa akan datang termasuk mengkaji keperluan untuk menggunakan keretapi yang berkonsepkan "keretapi atas jalan" dalam kawasan bandar. "Memang ada cadangan untuk 'train' jenis ini tetapi kita kena tunggu reaksi dan jawapan daripada kerajaan," katanya. Terdahulu, dalam ucaptamanya, Syed Hamid berkata masa depan bandaraya Asean banyak bergantung dan dibentuk oleh mobiliti dan kecekapan pengangkutan awam daratnya. Dua faktor ini memainkan peranan penting kepada pertumbuhan ekonomi negara, katanya. "Tidak ada negara yang meningkat dari status berpendapatan rendah ke berpendapatan sederhana/tinggi tanpa memiliki pengangkutan awam darat yang signifikan dan dinamik. "Oleh itu, adalah penting bagi kita sekarang memberi keutamaan kepada pelaburan pengangkutan awam, daripada memberi keutamaan kepada membina jalan raya demi hubungan pengangkutan dan menyelesaikan kesesakan," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan