Selasa, 18 November 2014

Kedah tumpu pembinaan rumah RM200,000 ke bawah

Kerajaan Kedah memberi tumpuan kepada usaha pembinaan rumah berharga di bawah RM200,000 seunit bagi memastikan projek perumahan yang dijalankan benar-benar melibatkan rumah mampu milik. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, dan Pembangunan Insan negeri Badrul Hisham Hashim berkata secara keseluruhan rumah yang paling banyak dirancang pembinaannnya adalah antara RM100,000 hingga RM150,000 seunit kerana dirasakan rumah-rumah berkenaan adalah yang paling banyak permintaan. Katanya dasar perumahan kerajaan negeri memang menyasarkan kepada rumah mampu milik dan rumah kos rendah bagi memastikan rumah yang dibina adalah yang diperlukan dan mampu dibeli oleh rakyat. "Sasaran kita bagi tahun 2013 dan 2014 adalah untuk membina 6,000 unit rumah mampu milik dan kos rendah setahun. Bagi tahun 2013, kita berjaya bina 4,811 rumah dan untuk tahun 2014, hingga kini kita dah bina lebih 10,000 rumah. Jadi sasaran 6,000 setahun itu dah tercapai," katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa. Katanya kerajaan negeri juga akan cuba mendapat kerjasama kerajaan pusat dalam membina rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) yang menawarkan harga yang lebih rendah daripada pemaju swasta. Beliau berkata ketika ini masalah yang mungkin timbul adalah soal pinjaman untuk membeli rumah yang di luar bidang kuasa kerajaan negeri. "Kerajaan negeri tiada kuasa dalam soal pinjaman...kita takde kuasa. Ia adalah polisi di peringkat kerajaan pusat dan bank," katanya. Sementara itu, Badrul Hisham berkata beliau akan melihat semula kepada prosedur perumahan seperti kebenaran merancang dan penyerahan pelan bagi mengelakkan proses birokrasi menjadi halangan kepada pembinaan lebih banyak rumah mampu milik dan kos rendah. "Banyak rungutan daripada pemaju adalah berkenaan kelulusan lambat. Kita nak percepatkan kelulusan. Tak nak birokrasi terlalu banyak. Kita perlu bina banyak rumah (mampu milik) di Kedah," katanya. Sementara itu, Badrul Hisham berkata beliau akan meminta Pejabat Kewangan Negeri untuk mengkaji semula peruntukan yang diterima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan, yang beliau anggap tidak memadai dengan jalan yang perlu diselenggara. "Jalan-jalan yang diselenggara PBT adalah jalan-jalan di kawasan pekan dan taman, jalan yang diguna ramai penduduk. Mintak pejabat kewangan tengok berdasarkan panjang jalan seperti yang didaftar dalam Marris (Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia). Kita mahu ia diselaraskan lebih mendalam supaya PBT dapat haknya. Kalau tak cukup peruntukan itu, PBT terbeban kena cari peruntukan lain untuk menyelenggara jalan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan