Selasa, 18 November 2014

Cameron Highland kekal sebagai lokasi pelancongan

Status tanah tinggi Cameron Highlands di Pahang sebagai kawasan pelancongan tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak semata-mata kerana kes tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini. Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan kerajaan akan terus mengekalkan kawasan tanah tinggi itu sebagai tempat pelancongan sama ada domestik mahupun luar negara. "Tidak perlu disahkan (Cameron Highlands) oleh sesiapa pun, ia memang tempat pelancongan, saya tidak faham kenapa ia dikatakan tidak sesuai, ia kerana perbuatan manusia dan kawasan itu telah disalah guna. "Dia bukan pakar dalam perkara ini dan kita akan tetap terus menjadi pusat pelancong Malaysia dan luar negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran eEolusi Senjata dan Kemanusiaan Sedunia di Muzium Negara, hari ini. Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) R Ramakrishnan yang mendakwa tanah di Cameron Highlands tidak lagi sesuai untuk aktiviti pelancongan berikutan ancaman banjir lumpur dan tanah runtuh, baru-baru ini. Katanya juga, tanah tersebut tidak sesuai untuk aktiviti pertanian disebabkan tidak selari dengan garis panduan Kementerian Pertanian iaitu di bawah 25 darjah (kecerunan). Dalam pada itu, Mohamed Nazri mengakui insiden tanah runtuh tersebut sedikit sebanyak telah menjejaskan kedatangan pelancong asing ke pusat peranginan tersebut. "Buat masa ini kedua-dua pelancong domestik dan luar negara sebab Cameron Highlands merupakan destinasi pelancongan sangat popular terutamanya untuk merasakan hawa dingin di atas sana yang sekarang tidak lagi dingin. "Berlakunya tanah runtuh yang mendapat liputan berita luas, seluruh dunia tahu, sudah tentu pelancong luar negara juga akan ambil maklum perkara ini, kalau ke Malaysia, mereka tidak akan pergi ke Cameron Highlands, ini satu perkara yang amat mendukacitakan," katanya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan