Selasa, 18 November 2014

GST- Peniaga ambil kesempatan akan didakwa-Ahmad Bashah

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menjamin peniaga yang mengambil kesempatan atas pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan menaikkan harga barangan sesuka hati akan didakwa. Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, seramai 2,300 pegawai bakal bertugas bagi mengawal perkara tersebut. "Insya-ALLAH, kementerian sudah ada 1,800 anggota penguatkuasaan untuk memastikan apabila GST ini telah dilaksanakan dan penambahan pwgawai penguatkuasaan juga telah diluluskan oleh kabinet jumlahnya hampir 500 orang. "Jadi, jumlahnya lebih kurang 2,300 pegawai penguatkuasa yang akan pastikan apabila GST ini dilaksanakan pada April tahun depan, masalah yang disebut YB itu akan kita tangani," katanya kepada Dewan Rakyat menjawab pertanyaan Ahli Parlimen PKR, Datuk Mohd Idris Jusi, hari ini. Menurutnya, pihaknya sedar bahawa akan ada peniaga-peniaga yang mengambil kesempatan apabila GST dilaksanakan untuk mengaut keuntungan lebih. "Memang kita tahu kesempatan ini akan diambil oleh peniaga-peniaga yang mahu mencari keuntungan cepat ataupun lebih. "Tapi kita akan buat kawalan dan pendakwaan akan dibuat terhadap mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST ini," katanya. Sebelum itu, Mohd Idris meminta jaminan kerajaan agar senarai barangan dikecualikan GST tidak berubah selagi cukai itu dilaksanakan. "Boleh tak kementerian beri jaminan bahawa senarai itu tidak akan berubah-ubah? Tambah boleh, kurang jangan. Selagi GST dilaksanakan, selagi ada bulan dan mentari. "Kedua, boleh tak kementerian kekang kenaikan harga barang, memastikan bahawa barang-barang kawalan, yang dikecualikan GST itu tidak dinaikkan sewenang-wenangnya," katanya. Ahmad Bashah sempat berkata bahawa pihaknya tidak dapat menjamin bahawa tidak akan berlaku perubahan tersebut. "Sekiranya YB meminta kerajaan jamin agar harga barang ini tidak berubah, cuma jaminan yang minta ini (harga) jangan naik. Turun itu berubah juga. Jadi, kalau dah naik tak turun, macam mana nak berubah. "Jadi, sebab itu, jaminan untuk pastikan barang ini tidak berubah, tidak mungkin kerana sekiranya harga barang itu turun, itu sudah berubah dari harga itu," katanya. Mohd Idris mencelah dengan mengatakan, "Datuk Seri, harga tak pernah turun."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan