Selasa, 18 November 2014

SPRM tidak perlu menunggu arahan untuk ambil tindakan dalam kes penerokaan haram di Cameron Highland

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menunggu arahan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam kes penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa. Beliau yakin SPRM sebagai badan bebas akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawai terbabit mengikut peruntukan undang-undang. "SPRM adalah badan bebas, jadi mereka akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya. Kami (kerajaan) tidak perlu memberi apa-apa arahan (kepada SPRM)," katanya. Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan surat arahan pemangkuan dan kenaikan pangkat kepada 48 pegawai dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) di ibu pejabat Jabatan Perhilitan, di sini hari ini. Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Zoal Azha Yusof. Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull dilaporkan sebagai berkata, badan itu sedang menyiasat dua pegawai tinggi kerajaan berhubung aktiviti penerokaan tanah secara haram di Cameron Highlands, Pahang. Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka berikutan terdapat maklumat mengenai kedua-dua pegawai yang bertugas di tanah tinggi itu hidup mewah melebihi pendapatan bulanan mereka. Sebelum itu, Ali dalam ucapannya menyeru jabatan-jabatan terlibat dalam aktiviti penguatkuasaan perhutanan supaya melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) secara proaktif melalui kolaborasi dengan JPSM bagi memastikan tugas itu dapat dilaksanakan secara bersepadu dan menyeluruh. "Saya percaya dalam mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan, pelbagai rintangan dan cabaran perlu dihadapi khususnya yang melibatkan bidang penguatkuasaan. "Saya difahamkan JPSM sedang dalam tindakan untuk memperkukuhkan dan memperkemaskan lagi aspek penguatkuasaan hutan bagi memastikan sumber alam semula jadi negara ini dalam keadaan terjaga dan diuruskan dengan baik," katanya.BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan