Selasa, 14 Oktober 2014
Kes Azmin masih dalam siasatan SPRM
Dakwaan salah laku rasuah Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali ketika memegang jawatan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Mohd Jamidan Abdullah dalam kenyataan media hari ini berkata pegawai penyiasat kes masih dalam proses mengumpulkan bukti dan keterangan berhubung isu itu.
"SPRM tidak akan mendedahkan atau memberi maklum balas berhubung siasatan ini sehingga dibawa kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.
Semalam, sebuah akhbar berbahasa Melayu melaporkan desakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Solidariti Abdul Khalid Ibrahim, meminta pihak SPRM mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan salah laku rasuah menteri besar Selangor itu ketika menyandang jawatan pengerusi PKNS.
Pihak yang telah membuat laporan kepada SPRM boleh menghubungi pejabat SPRM untuk mendapatkan maklum balas berhubung kes itu tanpa melalui pihak ketiga, kata Mohd Jamil.
Sehubungan itu SPRM meminta orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau andaian berkaitan kes berkenaan.
Kerajaan sentiasa pantau fahaman militan- PM
Kerajaan sentiasa memantau dengan teliti fahaman militan dan ekstremisme dalam negara yang melibatkan apa jua label, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata ini termasuk mereka yang terlibat dalam aktiviti militan di Syria dan Iraq serta kumpulan Negara Islam (IS).
"Sebagaimana kita ketahui tindakan penahanan telah diambil, bererti kita amat serius dalam hal ini dan kita tak teragak-agak untuk ambil tindakan secara berterusan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC pada Selasa.
Najib berkata demikan ketika diminta mengulas sama ada rakyat negara ini perlu mengambil berat isu keselamatan mereka ekoran penahanan rakyat Malaysia yang didakwa terlibat dengan kegiatan militan.
Terdapat tiga kumpulan militan yang disertai rakyat Malaysia di Syria iaitu IS, Jabhat Al Nusra serta Ajnad Al Sham, dan lazimnya mereka menggunakan ayat al-Quran dan 'jihad' semasa 'mengumpan' golongan sasaran.
Sehingga kini, 22 rakyat Malaysia termasuk tiga wanita dikesan berada di Syria menyertai kumpulan militan manakala 23 individu lagi ditahan selepas dipercayai terlibat dengan kumpulan militan.
Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata pemantauan rapi itu tidak bermakna risiko terhadap sesuatu kejadian keganasan adalah tinggi dalam negara.
"Tidak... tetapi kita mesti berwaspada dan memantau secara berterusan dan perkara ini sedang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia," katanya.BERNAMA
KLIA menang anugerah Lapangan Terbang Besar Terbaik
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipilih sebagai pemenang Anugerah 'Lapangan Terbang Besar Terbaik' oleh Pusat Penerbangan Asia Pasifik (CAPA) yang berpejabat di Sydney.
Anugerah itu yang sekali gus meningkatkan status KLIA dalam industri penerbangan dunia, disampaikan pada Sidang Kemuncak Penerbangan Asia dan Kongres Syarikat Penerbangan Kos Rendah, anjuran CAPA, di Singapura semalam.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd Datuk Badlisham Ghazali yang menerima anugerah itu, berkata perakuan ke atas KLIA sebagai lapangan terbang utama paling pesat berkembang di Asia Pasifik, dibuktikan menerusi pertumbuhan 19 peratus pergerakan penumpang tahun lepas.
"Dari segi pertumbuhan penerbangan, kawasan Asia Pasifik berkembang pesat dengan separuh daripada pertumbuhan trafik udara dunia dalam tempoh 20 tahun akan datang dijangkakan datang dari kawasan ini," katanya menerusi satu kenyataan Rabu.
Badlisham berkata Malaysia Airports merancang meningkatkan usaha sama dengan syarikat-syarikat penebangan dan kerajaan bagi membawa lebih banyak trafik ke Malaysia.
Tidak ada unsur rasuah dalam pengurusan Kawalan Keselamatan di sekolah-PAC
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati kelemahan Kementerian Pendidikan berhubung isu pengurusan Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) di institusi pendidikan tidak membabitkan unsur rasuah.
Pengerusinya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, sebaliknya hasil siasatan mendapati kelemahan kementerian itu seperti yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 hanya membabitkan isu pentadbiran serta penganugerahan tender kontrak.
"Kita mendapati tidak ada unsur rasuah dalam pengurusan kawalan keselamatan. Cuma kita dapati jumlah tender yang besar dan kelonggaran daripada segi kontrak yang dikhuatiri mungkin boleh berlaku insiden rasuah.
"Sebab itu kita minta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyiasat. Itu pun sebenarnya berdasarkan laporan sebuah akhbar yang menyatakan bahawa ada syarikat kontraktor keselamatan sekolah yang membuat dakwaan bahawa ada amalan rasuah," katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
PAC sebelum itu membentangkan laporan siasatan berhubung pengurusan PKK di institusi pendidikan dan sekolah di Dewan Rakyat yang mana laporan berkenaan turut diedarkan kepada media.
Jelas Nur Jazlan, PAC turut mencadangkan agar mana-mana syarikat kawalan keselamatan sekolah yang bermasalah tegar perlu disenarai hitam dan diberi penalti.
Katanya, kementerian juga disyor memberi penalti kepada syarikat kawalan keselamatan bermasalah tegar dalam pengurusan keselamatan sekolah.
"Usaha yang wajar perlu dibuat bagi memastikan syarikat yang dilantik berkeupayaan menjalankan perkhidmatan yang ditawarkan," katanya. - Bernama
Tiga ahli UMNO dipecat kerana sabotaj parti
Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan keputusan hukuman terhadap kes sabotaj parti dan melanggar tataetika yang dibuat oleh Lembaga Disiplin UMNO iaitu pemecatan tiga anggota parti.
Mereka adalah Mohd Zamri Sham (Bahagian Maran) – Berceramah di pentas PKR dan memburukkan UMNO/BN kerana tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Bahagian – Keputusan bersalah (Dipecat), Mohd Khiri Dahalan (Bahagian Maran) – Mempunyai dua keahlian iaitu UMNO dan PKR, mengaku sudah menjadi ahli Cabang PKR – Bersalah (Dipecat)dan Haji Ahmad Shuhor Awang (Bahagian Maran) – Mempunyai dua keahlian iaitu UMNO dan PKR, mengaku sudah menjadi ahli Cabang PKR – Bersalah (Dipecat)
Penggumuman tersebut dibuat dalam sidang akhbar selepas mengpengerusikan mesyurat Majlis Tertinggi UMNO hari ini
Sementara itu, Presiden juga memaklumkan mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2015 akan diadakan pada 25 – 29 November hadapan dengan dimulakan oleh Forum Antarabangsa pada 24-25 November.
Katanya, Forum Antarabangsa kali ini bertajuk ‘A Hyperconnected World: Challenges In Nation Building’
“MT juga mengambil maklum bahawa mesyuarat Bahagian UMNO berlangsung lancar dan hanya satu bahagian sahaja yang memohon penangguhan dan akan diadakan pada 19 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang berlangsung di Ibu Pejabatnya, Menara Dato Onn, hari ini.
Beliau turut menerangkan berkaitan perjalanan Perhimpunan Agung UMNO yang akan dimulakan sebagaimana lazimnya dengan Taklimat Presiden pada 25 November dan perasmian Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO yang akan berlangsung pada sebelah malam.
Pada hari berikutnya persidangan pergerakan sayap akan berjalan dengan Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UMNO pada sebelah malamnya. Kemudian pada 27– 29 Nov, Perhimpunan Agung UMNO akan berlangsung dan jamuan makan malam akan diadakan pada malam 27 Nov.
“MT juga mengambil maklum berkaitan pencapaian Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor dan kita mengucapkan tahniah kepada jentera UMNO dan BN yang diketuai oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga Datuk Mustapa Mohamad selaku Pengerusi Perhubungan yang dibantu oleh jentera Ibu Pejabat UMNO serta pergerakan Wanita, Pemuda Puteri UMNO Bahagian dan semua yang terlibat.”
Tegas beliau, UMNO mengambil maklum bahawa kejayaan ini mesti dikaji sebagai kerangka untuk menentukan kejayaan secara berterusan.
Rayuan kes liwat: Anwar sekali lagi gagal singkirkan Shafie Abdullah
Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan akhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyingkirkan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai timbalan pendakwaraya kes liwat beliau.
Ketua Hakim Tun Arifin Zakaria berkata, Anwar sepatutnya memfailkan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail yang melantik Shafee sebagai timbalan pendakwaraya bagi kesnya.
Beliau berkata alasan yang diberikan peguam Anwar, Tommy Thomas adalah Shafee tidak mempunyai merit.
"Shafee layak dan sesuai untuk dilantik sebagai timbalan pendakwaraya," kata Arifin dan menambah kehadiran peguam itu tidak akan menjejaskan integriti rayuan Anwar di hadapan mahkamah tertinggi negara akhir bulan ini.
Arifin berkata kegagalan mengarahkan tindakan itu terhadap peguam negara sahaja sudah cukup sebagai alasan membuatkan rayuan itu ditolak.
Hakim itu mengatakan tidak ada konflik kepentingan di pihak Shafee hanya kerana peguam itu mendapati Jude Blacious Pereira, pegawai penyiasat dalam kes liwat itu, sebagai seorang saksi yang tidak boleh dipercayai dalam satu inkuiri.
Shafee pada 2009 mempengerusikan sebuah panel tiga anggota dalam inkuiri Suhakam yang mendapati Pereira merupakan seorang saksi yang tidak benar dalam satu kes lain.
"Kedudukan Shafee tidak terjejas dan alasan ini tidak mencukupi untuk membatalkan kelayakannya," katanya.
Sebelum itu, Shafee memberitahu mahkamah beliau tidak boleh dinafikan kelayakan atas alasan konflik kepentingan, semata-mata kerana beliau kini mempertahankan Pereira.
Beliau berkata, keterangan Pereira dalam kes liwat itu tidak boleh ditolak hanya kerana beliau saksi yang tidak boleh dipercayai dalam kes yang lain.
"Integriti rayuan itu juga tidak terjejas kerana Pereira bukan sebahagian kes itu, tetapi seorang saksi, " katanya.
Thomas berkata Shafee mesti dikeluarkan daripada bertindak sebagai TPP kerana mempunyai hubungan istimewa dengan Pereira, berikutan beliau mendapati pegawai polis bersara itu merupakan seorang saksi yang tidak boleh dipercayai.
Thomas juga memberitahu mahkamah, Shafee pernah disabitkan kerana salah laku profesional dan didenda RM5,000 oleh Lembaga Tatatertib Peguam-Peguam.
Menjawab hujah ini, Shafee mengatakan, beliau didenda kerana seorang pemberita akhbar membuat kenyataan yang bersifat pujian mengatakan beliau ialah seorang peguam terkenal.
"Saya bukan didapati bersalah kerana tidak jujur atau melakukan penipuan," katanya, sambil menambah beliau sudah merayu terhadap keputusan itu.
Anwar kemudian memberitahu pemberita beliau tidak terkejut dengan keputusan itu dan pasukan undang-undangnya akan bersedia sepenuhnya menghadapi pendakwaan itu.
"Kami akan menentang habis-habisan," katanya.
Anwar pertama kali mencabar kesahihan pelantikan Shafee mengikut Kanun Tatacara Jenayah tetapi ia ditolak Mahkamah Persekutuan pada 20 November tahun lepas.
Permohonan kedua beliau mencabar Shafee, berdasarkan akuan bersumpah bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Mat Zain Ibrahim, juga ditolak oleh Mahkamah Persekutuan pada 11 Februari.
Pada 7 Mac , Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Januari 2012 yang membebaskan Anwar atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara jam 3.10 petang dan 4.30pm petang, 26 Jun 2008.
Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan menghukum Anwar lima tahun penjara tetapi memberikannya penangguhan sementara menanti keputusan rayuan kesnya di Mahkamah Persekutuan.
Anwar dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dan seorang penjamin.
Pihak pendakwaan juga memfailkan rayuan balas bagi hukuman penjara yang lebih berat.
- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/muktamad-mahkamah-putuskan-shafee-abdullah-ketuai-pendakwaan-kes-liwat-anwa#sthash.0PqBh5Pt.dpuf
MB Kelantan gesa ahli PAS tidak sertai PasMa
Majlis Syura Ulama PAS sekali lagi menegaskan agar semua ahli parti itu mematuhi ketetapan majlis berkenaan untuk tidak menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa).
Pemangku Ketua Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata sebagai ahli parti itu, mereka perlu patuh segala ketetapan parti dengan tidak sesekali melanggar arahan untuk menyertai persatuan berkenaan.
"Kita ini berparti dan perlu patuh kepada keputusan parti dan itulah keputusan kita (Majlis Syura).
"Apa-apa arahan dengan keputusan parti mana sekali pun kita kena patuh dan ikut," katanya kepada pemberita sewaktu Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan berhenti rehat di Kota Darul Naim di Kota Baru hari ini.
Pada 13 Oktober lalu majlis berkenaan mengeluarkan arahan agar ahli PAS tidak menyertai PasMa.
Bagaimanapun Presiden Pasma Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi semalam dilaporkan tetap berkeras untuk tidak membubarkan persatuan itu kerana penubuhannya tiada kaitan dengan PAS atau parti lain.
Mengulas perkara itu, Ahmad yang juga menteri besar Kelantan berkata pihaknya akan menunggu keputusan PAS Pusat berhubung perkara itu sama ada perlu mengambil tindakan atau sebaliknya kepada ahlinya yang menyertai PasMa.
"Kita dengar keputusan PAS Pusat dulu mengenai mereka yang menyertai PasMa ini," katanya.
Ketika ditanya adakah perlu PasMa dibubarkan, Ahmad berkata ia merupakan masalah lain tetapi yang penting ahli PAS perlu mengikut arahan yang dikeluarkan. – Bernama
Langgan:
Ulasan (Atom)






