Khamis, 19 Jun 2014

DUta Khas OIC mengenai Etnik Islam Rohingya akan bentang pelan tindakan

Sebulan selepas dilantik sebagai Duta Khas Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengenai Etnik Islam Rohingya di Myanmar, Tan Sri Syed Hamid Albar membentangkan pelan tindakan beliau dalam satu mesyuarat khas di sini. Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani mempengerusikan mesyuarat Kumpulan Hubungan OIC mengenai Etnik Islam Rohingya di Myanmar untuk membincangkan perkembangan terkini berhubung isu dan cabaran yang dihadapi kaum berkenaan. Ia diadakan di luar Sesi ke-41 Majlis Menteri-menteri Luar yang berakhir Khamis. "Beliau mengalu-alukan kehadiran anggota Kumpulan Hubungan ke mesyuarat khas ini dan mengucapkan terima kasih kepada Duta Khas mengenai Etnik Islam Rohingya di Myanmar, bekas Menteri Luar Malaysia (Tan Sri) Syed Hamid Albar, yang dijemput untuk memberi taklimat kepada anggota Kumpulan Hubungan tentang perancangan terkini beliau," menurut Sekretariat OIC yang berpusat di Jeddah, menerusi satu kenyataan. "Syed Hamid memberi taklimat kepada mesyuarat ini berkaitan wawasan dan perancangan beliau dalam menangani isu Etnik Islam Rohingya di Myanmar," jelas kenyataan itu. Dilantik oleh Iyad bulan lepas, peranan Syed Hamid sebagai Duta Khas adalah untuk memperkukuhkan usaha-usaha diplomatik antara OIC dan pihak berkuasa serta negara-negara serantau dan antarabangsa yang lain. Ini penting dalam menggalakkan keamanan dan mengembalikan keharmonian kaum, khasnya antara penduduk bukan Islam dan Islam, di negara itu melalui proses dialog komprehensif. Ketua Pengarah Kesatuan Arakan Rohingya Dr Wakar Uddin membentangkan taklimat berkaitan perkembangan terkini isu Etnik Islam Rohingya dan menggesa negara anggota OIC agar menyalur lebih banyak bantuan. Kumpulan Hubungan OIC turut dianggotai Mesir, Arab Saudi, Senegal, Indonesia, Malaysia, Brunei Darussalam, Bangladesh, Djibouti, Turki, Afghanistan dan Emiriah Arab Bersatu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan