Rabu, 18 Jun 2014

RM13 bilion membabitkan pengubahan wang haram

Jumlah keseluruhan amaun yang disiasat bagi kesalahan aktiviti pengubahan wang haram di negara ini bagi tempoh 2011 hingga 2013 adalah bernilai RM13.1 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan hari ini. Beliau berkata sebanyak RM567.9 juta pula disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) bagi tempoh sama. Ahmad berkata demikian semasa menggulung Rang Undang-Undang Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (Pindaan) 2013 pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Rang Undang-undang itu bertujuan meminda Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Pindaan) 2003 (Akta A1208). "Kerajaan memandang serius permasalahan yang dikaitkan dengan kegiatan jenayah dan ketirisan hasil, yang sekiranya tidak dibendung boleh mengancam kestabilan ekonomi dan kesejahteraan negara," katanya. Ahmad berkata jumlah kes yang disiasat bagi kesalahan-kesalahan berat di seluruh negara ialah penipuan (7,983 kes), penyeludupan (2,155 kes), dadah (1,435 kes), jenayah cukai (1,046 kes), curi dan rompakan (309 kes) dan lain-lain (198 kes). Menurutnya agensi-agensi berkaitan seperti Polis DiRaja Malaysia telah membuka 216 kertas siasatan berhubung kes pengubahan wang haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (119 kes), Lembaga Hasil Dalam Negeri (115 kes), Jabatan Kastam Malaysia (104 kes), Bank Negara Malaysia (lima kes), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (lima kes), dan Suruhanjaya Sekuriti (satu kes). Bagi membanteras kes itu serta mengenakan hukuman setimpal, beliau berkata hukuman maksimum bagi pengubahan wang haram telah ditingkatkan daripada RM5 juta denda atau penjara lima tahun, kepada denda lima kali ganda jumlah nilai pengubahan wang haram dan penjara 15 tahun. "Ini untuk membolehkan kesan pencegahan yang lebih berkesan dan hukuman baru ini lebih setimpal dengan kesalahan pengubahan wang haram untuk menghukum orang yang membuat kesalahan mengikut AMLATFA," katanya. Mengambil contoh kes Pak Man Telo (Osman Hamzah), pengendali skim cepat kaya, Ahmad berkata Pak Man Telo telah disiasat, disabit kesalahan dan dipenjara. "Namun, kerajaan tidak dapat melakukan apa-apa terhadap aset Pak Man Telo (sebanyak RM99 juta yang diperolehi melalui penipuan 50,000 pelabur) kerana kita tidak mempunyai undang-undang AMLATFA pada masa itu. Oleh itu, keluarganya terus dapat menikmati hasil daripada kegiatan jenayah itu. "Tanpa AMLATFA, penjenayah tetap mempunyai insentif untuk terus melakukan jenayah. "Dengan adanya AMLATFA yang dipinda, kita boleh menyekat penjenayah yang mendapat keuntungan dan hasil kelakuan jenayah. Ini akan meningkatkan keupayaan kerajaan memerangi jenayah secara adil dan lebih berkesan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan