Khamis, 19 Jun 2014

26 kes pembuangan bayi dilaporkan suku pertama tahun ini

Sebanyak 26 kes pembuangan bayi dilaporkan di seluruh negara pada suku pertama tahun ini, sidang Dewan Rakyat diberitahu hari ini. Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita dan Masyarakat Datuk Azizah Mohd Dun berkata berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Selangor mencatatkan kes tertinggi iaitu lima kes, diikuti Sabah empat kes dan Sarawak dan Negeri Sembilan masing-masing tiga kes. Azizah menjawab soalan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) di sini, Khamis yang bertanyakan statistik dan tindakan kerajaan untuk membendung isu berkenaan. Tambahnya sejak 2011 hingga 2013, 46 wanita telah diambil tindakan kerana kesalahan membuang bayi. Bagaimanapun jenis tindakan dan golongan umur wanita tidak diberitahu dengan terperinci. Azizah yang juga anggota Parlimen Beaufort berkata buat masa ini kementerian masih tidak mempunyai statistik kes pembuangan bayi hasil hubungan antara wanita tempatan dan lelaki pendatang asing. Bagi menangani isu pembuangan bayi, kementerian kini mempunyai tujuh program antaranya memperkenalkan Dasar dan Pelan Tindakan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan pada 2009, katanya. Selain itu, Program Pendidikan Kesihatan Reproduksi dan Sosial (Pekerti) juga diperkenalkan pada 2012 sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah dengan menyasarkan murid Tahun enam, pelajar Tingkatan tiga dan Pendidikan Khas. "Pada 2012, 2,376 pelajar daripada 33 buah sekolah mengikuti program ini. Projek ini terus dilaksanakan pada 2014 dengan mengadakan kursus Training for Trainers (TOT) pada September 2014 kepada tiga buah sekolah rendah, menengah dan pendidikan khas," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan