Khamis, 19 Jun 2014

Wanita UMNO ke seluruh negara perjelas isu GST

Pergerakan Wanita Umno akan menjelajah ke setiap negeri untuk memberi taklimat mudah berkaitan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada anggotanya di peringkat akar umbi. Pengerusi Biro Pengguna Wanita Umno Datuk Hasnah Salam berkata taklimat itu akan memberi penerangan kepada kira-kira 1.3 juta anggotanya untuk disampaikan kepada orang ramai. Beliau berkata taklimat itu dilakukan kerana maklumat berkaitan GST telah diseleweng oleh pihak pembangkang sehingga orang ramai keliru dengan cukai berkenaan yang dianggap membebankan rakyat. "Saya yakin Wanita boleh turun padang untuk sampaikan maklumat GST kepada orang ramai. Jika mereka ke pasar dan jumpa rakan-rakan lain, mereka boleh sampaikan apa itu GST dan ini lebih mudah orang ramai faham. "Wanita dikerah untuk menjadi mata telinga kepada kerajaan dalam usaha menyampaikan maklumat tepat kepada orang ramai, khususnya mereka yang hanya mendapat informasi mengenai GST di kedai kopi," katanya selepas merasmikan Taklimat GST dan Isu Halal di Bangunan Umno Kedah hari ini. Hasnah juga berkata Kedah merupakan negeri pertama jelajah Taklimat GST dan selepas ini, program itu akan diadakan di Kuantan, Pahang sebelum ke negeri lain. Beliau berkata wakil pergerakan Wanita Umno yang menyertai taklimat itu akan membawa maklumat ke peringkat bahagian dan cawangan bagi membolehkan semua anggotanya mengambil bahagian untuk memberi pemahaman kepada orang lain. Katanya, penceramah Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga diminta menyampaikan maklumat berkaitan GST dalam bahasa mudah atau dialek dan tidak menggunakan bahasa teknikal yang rumit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan