Khamis, 19 Jun 2014

Isu Bible-Sultan Selangvor arah JAIS ikut undang undang

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merujuk kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada naskah Bible dalam bahasa Melayu yang dirampas daripada Persatuan Bible Malaysia (PBM) perlu dipulangkan atau dilupuskan. Setiausaha Sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu perkara itu dilaksanakan mengikut proses dan prosedur perundangan sedia ada dan terpakai. "Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan," katanya dalam kenyataan di sini. Beliau berkata titah Sultan Selangor adalah selaras dengan arahan di dalam minit yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara yang menyatakan "berhubung Bible Al-Kitab yang dirampas, pihak Jais diminta untuk mengambil tindakan selanjutnya mengikut undang-undang". Justeru itu, katanya Jais perlu segera merujuk perkara itu kepada pihak pendakwa raya. “Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua pihak yang terlibat. "Sultan Selangor juga berpendapat isu ini tidak wajar dipolitikkan oleh mana-mana ahli politik sehingga boleh mengelirukan dan meresahkan masyarakat dengan mengesyorkan jalan penyelesaian yang tidak berpandukan kepada undang-undang dan syor-syor yang tidak munasabah," katanya. Sultan Sharafuddin Idris Shah turut meminta ahli politik supaya tidak menggunakan isu Bible itu untuk kepentingan peribadi, kumpulan ataupun parti mereka. Sebelum ini, Peguam Negara, Abul Gani Patail mengumumkan bahawa pendakwaan tidak akan dilakukan berhubung rampasan Bible itu dan kes berkenaan ditutup. Jabatan Peguam Negara telah meneliti fakta dan bukti yang terkandung di dalam kertas siasatan berhubung rampasan itu dan memutuskan ia bukan tulisan yang diterbitkan mengikut Seksyen 9(1)(a) Enakmen Bukan Islam (Kawalan dan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) 1988. Berikutan itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengarahkan Jais memulangkan Bible berkenaan kepada PBM. Bagaimanapun, pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata MAIS tidak bersetuju dengan arahan Kerajaan Selangor dengan alasan ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri. Pada 2 Jan lepas, JAIS menyerbu pejabat PBM di Damansara Kim, Petaling Jaya dan merampas 300 Bible dalam Bahasa Melayu dan Iban sebagai langkah menyekat penggunaan kalimah 'ALLAH' di dalam Bible yang didakwanya bercanggah dengan enakmen itu. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan